Deruman enjin Mercedes Benz milik Elhan mula kedengaran di garaj rumah ketika jam hampir menunjukkan pukul 10 malam. Hayyani diburu seribu satu perasaan yang bertarung dalam diri ketika menunggu Elhan pulang. Hanya Tuhan yang tahu betapa dalamnya ketakutan dan keresahan yang bergayut di tangkai hatinya.
Daun pintu rumah dikuak dan bayang Elhan mula terjengul di sebaliknya. Melihat wajah yang begitu dingin itu, Hayyani semakin dilanda kegusaran.
" Abang dah balik? Nak air? Daneen ambilkan," sapa Hayyani cuba berkelakuan seperti biasa. Diambil beg satchel milik Elhan dan diletakkan atas sofa sebelum tangan suaminya diraih dan dikucup lembut.
Elhan tidak membalas. Malah dia juga tidak tega memandang wajah Hayyani mengenangkan segala perlakuan Hayyani kepadanya sehingga ke saat ini. Hatinya benar-benar kecewa.
Baru saja Elhan nak mendaki anak tangga, Hayyani memaut lengannya menahannya pergi.
" Abang, Daneen ada hal nak bincang dengan abang. Abang duduk sini kejap?" Hayyani cuba menggamit Elhan untuk duduk bersamanya di sofa. Dia mesti membetulkan letak duduk keadaan mereka malam ini juga memandangkan Elhan sudah pun tahu tentang hal yang satu itu.
Elhan berpaling sambil merengus lemah. Dipandang juga wajah isterinya walaupun kini hatinya terasa bagai ditarah-tarah.
" Selama kita kahwin ini kali pertama awak ajak abang berbincang. Ingatkan abang ni bukan sesiapa. Simpan pun tak berguna. "
Tersentak Hayyani mendengar kata-kata Elhan. Menyedari bahawa selama ini dia sudah menyakiti perasaan Elhan dalam diam. Lalu tangan Elhan diraih perlahan-lahan.
" Abang, janganlah cakap macam tu. Sedih hati Daneen. Abang penting untuk Daneen, percayalah. "
Elhan meloloskan tangannya daripada pegangan Hayyani. Berombak kasar dadanya menahan rasa saat ini. Penting? Kalau begitu mengapa selama ini dia merasakan peranannya sebagai suami langsung tidak penting buat Hayyani. Namun kata-kata itu hanya mampu didengungkan di hati sendiri saja.
" Muna dah ceritakan pada Daneen yang abang ada jumpa dia tadi. Daneen minta maaf sebab lambat bagitahu abang. Daneen cuma tak nak abang fikirkan yang bukan-bukan tentang Daneen."
Perlahan-lahan Hayyani mula mengatur kata. Dia lihat wajah Elhan masih tegang namun tetap mendengar. Diraih kembali tangan suaminya dan digenggam erat.
" Mr. Farhan tu kawan Daneen. Kami kenal waktu Daneen bercuti dekat Istanbul dulu. Memang betul Daneen ada dekat situ pada hari pertama Mr. Farhan. Kami berjumpa secara tak sengaja dan Daneen cuma kecewa ditipu tentang identiti dia. Sebabtu kami bertengkar. Daneen tak nak jumpa dengan dia lagi. Tak nak ada kena mengena langsung. Tapi Daneen tak sangka boleh terjumpa dia semula dengan abang waktu dekat Bangi sebelum ni. Abang faham kan sekarang kenapa Daneen marah abang jumpa Mr. Farhan haritu? " panjang lebar penjelasan yang diberikan Hayyani. Besar harapannya agar Elhan memahami.
Elhan tertawa sinis. " Oh, bukan marah sebab menyesal dulu pilih abang, bukan dia? Bila dia muncul semula hati tu jadi tak keruan, macam tu? "
Sindiran halus itu benar-benar pedih menusuk hati Hayyani. Elhan lihat isterinya menggeleng kepala menafikan dakwaannya. Namun perbuatan itu langsung tidak mampu meredakan rasa kecewanya.
" Abang, bukan macam tu. Daneen tak pernah kesal dengan keputusan yang Daneen buat. Daneen pilih abang sebagai suami dengan ikhlas. Percayalah, abang. "
Mata Hayyani mula berkaca bening saat dia menuturkan kata itu. Elhan adalah suami yang dipilih dengan rasa kasih yang lahir dari lubuk hatinya. Dia tidak akan sekali-kali ragu tentang itu biarpun Elhan tidak percaya.
" Awak cintakan dia ke sebab tu awak ikut cakap dia untuk terima pinangan abang dulu. Betul?"
Hayyani tertunduk muram. " Daneen pun sama macam orang lain. Ada kisah silam sendiri. Tapi Daneen dah tinggalkan semua tu jauh ke belakang. Daneen tak ada perasaan cinta lagi pada sesiapa kecuali abang, suami Daneen sendiri. "
Dahulu memang benar Farhan memujuknya untuk memberi peluang kepada Elhan. Namun itu bukan satu-satunya pendorong yang membuatkan hatinya terbuka menerima Elhan. Sifat keperibadian dan ketulusan cinta Elhan itulah yang menghadirkan ikhlas di hatinya. Sedihnya, Elhan tidak percaya.
" Awak berubah lepas dia jumpa awak semula. Kalau betul awak dah lupakan dia kenapa mesti awak layan abang berbeza. Kita takkan berubah kalau kita tak sukakan seseorang tu. Tapi hakikatnya awak cintakan lelaki tu, betul tak?! " tuduh Elhan dengan suara yang keras. Direnung tajam mata Hayyani yang sudah teresak-esak itu.
Semua perlakuan Hayyani selama ini membawanya kepada satu kesimpulan yang amat memeritkan. Bahawa bukan hanya dia yang Hayyani cinta. Betapa pedih, betapa sakitnya hati untuk menelan kenyataan ini.
" Abang..." panggil Hayyani lirih.
" Kita takkan berada dekat sini sekarang kalau Daneen tak cintakan abang. Mustahil untuk Daneen paksa hati sendiri. Tapi cinta Daneen memang ikhlas untuk abang sorang. Percayakan Daneen, ya?"
Hayyani merayu dengan bersungguh-sungguh. Dia memegang kedua-dua belah wajah Elhan kerana mahu suaminya itu memandangnya dan mempercayainya. Memerah mata Elhan menahan tangis. Apatah lagi hatinya terasa begitu sayu apabila Hayyani merayu begitu. Namun kesedihannya di kala ini bagai tiada bertepi. Ditolak pula tangan Hayyani daripada terus menyentuhnya.
" Daneen boleh cakap macam tu. Berulang-ulang kali pun terpulang pada Daneen. Tapi abang yang paling dekat dengan Daneen ni dapat rasa bukan abang yang Daneen cinta. Abang bukan buta untuk menilai semua perubahan Daneen selama ni. Sepatutnya Daneen ceritakan pada abang, terus terang tentang semuanya, fahamkan abang tentang keadaan Daneen. Jangan biarkan abang tergantung macam ni, " sebak kedengaran suara Elhan kali ini.
Dia melorot ke bawah dan akhirnya terduduk di atas tangga itu. Ketika dia menundukkan wajah ke bawah, tangisannya pecah secara tiba-tiba. Sudah tidak tertampung lagi sebak yang dipikul selama ini.
" Awak nak apa sebenarnya sayang? Kalau dia yang awak cinta dan dia yang awak nak kahwini sepatutnya awak cakap awal-awal. Abang takkan buat awak merana sampai macam ni sekali, sayang."
Makin lebat air mata yang bercucuran di wajah Hayyani mendengar kata-kata merobek hati dari Elhan itu. Tubuhnya turut sama melorot lemah di sisi Elhan. Lengan sasa itu dipautnya dengan wajah yang sayu bermandi air mata.
" Abang, maafkan Daneen. Abang pukullah. Marahlah Daneen sesuka hati abang tapi abang jangan sesekali berhenti cintakan Daneen. Daneen takut hilang cinta abang," tersekat-sekat suara Hayyani merayu agar bisa meresap hati sang suami untuk memaafkannya.
Manusia itu adakalanya dikaburi perasaan tamak. Ingin memiliki lebih daripada apa yang dimilikinya. Ya, dialah manusia yang tamak itu. Mahu mencintai dan dicintai dua lelaki pada masa yang sama. Namun dia pasti di kala ini dia tidak mahu kehilangan cinta Elhan yang begitu tulus buatnya sejak dulu lagi. Biarlah dengan melupakan Farhan menjadi hukuman seumur hidupnya walaupun amat perit untuk ditelan.
" Cinta abang tak pernah hilang. Tak ada penghujung atau dimensi pun. Daneen pergilah sejauh mana, dengan siapa pun, cinta abang akan terus kekal dekat satu tempat yang sama. Takkan teralih sampai bila-bila pun. Jadi kenapa awak fikir abang akan berhenti cintakan awak walaupun awak pilih dia dari awal lagi? "
Elhan memanggung kepalanya memandang Hayyani di sebelah. Pandangan mata mereka saling bersatu menitipkan perasaan hiba di dalam hati satu sama lain. Jujur hati ini masih sayang dan jantung ini masih berdegup untuknya. Tapi apakah dia pun merasakan hal yang sama. Rintih Elhan di dalam hati.
Perlahan-lahan tangan Hayyani naik menyapu bersih air mata di wajah Elhan yang masih tak melepaskan tatapan padanya.
" Abang bagi Daneen peluang? Daneen akan lupakan dia untuk selama-lamanya. Daneen takkan libatkan diri dalam hidup dia lagi. Daneen cintakan abang," ujar Hayyani dengan sepenuh perasaan. Luahan Elhan tadi kedengaran begitu tulus dan meluluhkan hatinya. Dia tidak mahu mensiakan Elhan lagi selepas ini.
" Hanya abang sorang? Tak ada orang lain sebelum tu? "
Itulah soalan terakhir yang Elhan tinggalkan kepada Hayyani bersama harapan bahawa dialah yang sememangnya hanya satu di hati itu. Namun, tidak sekali pun Hayyani mengangguk dan mengiyakan soalan itu membuatkan kekecewaan Elhan terperosok jauh ke dalam.
Elhan tanpa sedar mula mempersoalkan kedudukannya di hati Hayyani. Apakah jalan yang terbaik bagi mereka selepas ini. Tunjukkanlah Ya Allah!
****
Ketukan yang bertalu-talu di daun pintu membuatkan Jasmine buru-buru turun ke bawah. Terpaksalah dia mematikan panggilan telefon dengan Datin Rozana tadi untuk menyambut gerangan yang datang. Sebaik saja tombol pintu dipulas, wajah Elhan mula terjengul di sebaliknya.
" Elhan?" Jasmine berkerut nipis, hairan dengan kehadiran secara tiba-tiba Elhan di situ.
" You okay tak ni? " soal Jasmine dengan suara yang mula kedengaran cemas. Risau sungguh dia melihat wajah yang kelihatan kusut dan muram itu. Seolah-olah ada satu bebanan berat yang sedang dipikulnya sekarang.
" Jasmine... " panggil Elhan lirih suaranya. Dia mengangkat wajahnya memandang Jasmine.
" Elhan, what's wrong with you? Ada apa-apa jadi kat you ke? "
Makin bertambah kerisauan di wajah Jasmine tatkala dia mengulang soalan. Wajah itu melukiskan kesedihan yang maha dalam. Dia yakin kali ini pasti ada sesuatu yang besar telah menimpa Elhan.
Jasmine muncul kembali dari dapur dengan membawa segelas air buat Elhan yang sedang duduk menunggu di ruang tamu. Punggungnya dihenyak atas sofa, sebelah Elhan. Lalu gelas berisi air kosong itu diserahkan kepada Elhan untuk mengembalikan ketenangan temannya itu sebelum dapat berbicara.
Sepanjang sesi Elhan meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya selama ini, Jasmine sendiri terdiam tidak tahu untuk berkata apa. Tambahan lagi dia agak terkejut mendengar pemberitahuan Elhan kepadanya. Lantaran itu, dia sekadar mendengar dan cuba memahami perasaan Elhan.
" Tak sangka pulak sampai macam tu sekali. Tapi I rasa apa yang Daneen cakap tu ada betulnya juga. Dia takkan kahwin dengan you kalau dia tak cintakan you. Maybe betul dia anggap Mr. Farhan tu sebagai kawan aje. You jangan emosional sangat nanti you tak boleh fikir, " nasihat Jasmine sebaiknya. Dia memandang tepi wajah Elhan yang sedang tertunduk memandang tangannya. Kata-kata yang disuakan untuk memastikan lelaki itu tidak terlalu beremosi.
Elhan lepas keluhan berat. Rasa lega dapat mencurahkan emosinya kepada Jasmine. Lapang sedikit dadanya walaupun rasa sakit masih mencucuk hati.
" I puas dah fikir. Membayangkan macam mana I dilayan selama ni disebabkan rasa marah dia pada lelaki tu, buat I rasa kecewa Jas. I tak boleh nak fikirkan apa-apa lagi sekarang ni," ujar Elhan pasrah.
Suami mana yang tidak cemburu apabila isterinya mencintai lelaki lain. Isteri yang masih terbawa-bawa dengan kisah silam dan turut berubah sikap kerana lelaki lain. Tiada walau seorang suami pun yang mahukan itu.
Jasmine mengangguk sekadar memberi validasi pada perasaan Elhan seperti biasa yang dilakukannya.
" Okey, tak payah fikir. Kalau itu yang buat you makin sakit hati you tak perlu fikir."
Elhan senyum tapi hambar. " I tak nak fikir tapi mungkin sebab I dah lama sedih, itu yang I tak dapat tahan diri untuk berahsia lagi. That's why I cari you."
Pandangan matanya tulus mencari sepasang mata Jasmine. Wanita itu ada di setiap jatuh dan bangunnya. Jarang sekali dia meluahkan perasaan kepada sesiapa pun sebelum ini. Namun, hatinya yang sentiasa tenang tatkala dekat dengan Jasmine membuatkan dia percaya sepenuhnya akan wanita itu.
" You kena ingat, Elhan. Bila you sedih I pun sedih. I tak nak you terluka tapi bila perkara dah terjadi I akan cuba sedaya upaya untuk tolong mana yang boleh. I takkan biarkan you macam ni. You orang yang amat penting dalam hidup I. I takkan biarkan orang yang I sayang, merana. "
Tutur Jasmine yang kedengaran ikhlas itu meluluhkan hati Elhan. Sebak terasa sehingga ke dasar hati hingga matanya turut digenangi air hangat. Tenang terasa apabila dipujuk begini setelah sekian lama hatinya dipalu sengsara.
" You balik dulu, tenangkan fikiran. You kena rehatkan badan supaya you tak fikir yang bukan-bukan. Bila dah settle down, barulah you bincang semula dengan Daneen okey? " saran Jasmine lembut tutur katanya.
Ini hal rumah tangga Elhan dan Hayyani. Jadi, dia berasa adalah lebih baik jika dia membiarkan pasangan itu menyelesaikannya sendiri walaupun jujur hatinya sayu melihat Elhan sedih begitu. Dalam pada masa yang sama, dia berjanji akan cuba untuk membantu sedaya mampu juga.
" Jom, I hantar you keluar." Jasmine menggamit Elhan untuk sama mengekorinya. Bukan niat untuk menghalau, tetapi apa pula kata jiran tetangga andai mereka dilihat berdua-duaan di dalam rumah sewanya itu. Tadi pun dia membawa Elhan masuk untuk menenangkan lelaki itu terlebih dahulu.
Namun, baru separuh terangkat Jasmine mengangkat punggung, lengannya terasa dilelar kuat memaksanya kembali duduk. Mata Elhan dan mata Jasmine bertentangan dengan kedudukan mereka yang kian rapat.
" Don't go, Jas. I need you tonight. "
Jasmine terkesima. Namun, entah mengapa dia seakan tidak dapat menolak tubuh Elhan yang semakin menghimpitnya sehingga dia tersandar di sofa. Pandangan mata Elhan kelihatan lirih dan sayu. Membara seolah ada rindu dendam di dalamnya. Pandangan yang benar-benar mendambakan belaian tika ini. Jasmine tidak dapat menolak lirikan mata menggoda dari lelaki yang amat dicintainya itu.
Entah apa yang merasuki Elhan, dia dengan rakusnya mencium Jasmine dan kini bibir mereka bersentuhan. Hangat dan ghairah sekali sentuhannya seolah benar-benar dahagakan layanan seorang wanita. Ciuman Elhan mula meliar ke bahu dan leher jenjang Jasmine. Haruman Jasmine menusuk ke rongga hidungnya membangkitkan lagi gelora di dada.
Jasmine memejamkan mata bagai benar-benar menikmati saat yang sudah lama diidamkannya selama ini bersama Elhan. Sehingga tanpa sedar, dia turut membalas ciuman dan sentuhan itu. Merelakan saja perilaku bebas Elhan yang kian liar menjalar di tubuhnya yang terdedah tatkala pakaian di tubuhnya telah separa terlucut.
Tatkala syaitan makin buas membisikkan hasutan kepada manusia, Jasmine dan Elhan seolah sudah hilang kewarasan akal apabila nafsu menguasai diri mereka. Tidak sedar bahawa mereka sedang melampaui batas. Semakin galak pula keduanya sehingga terbawa-bawa ke atas katil. Butang kemeja ditanggalkan satu persatu sambil mencium bibir merah Jasmine dan kini tubuh sasa Elhan sudah tidak dibaluti baju. Dia tidak peduli lagi apa-apa yang lain saat ini.
Sebelum kedua-duanya semakin hanyut, Jasmine tiba-tiba bertindak menolak dada Elhan menghentikan perlakuan itu.
" Elhan, stop it! We shouldn't be doing this. This is wrong," kata Jasmine mula tersedar bahawa apa yang mereka lakukan kini adalah satu kesalahan.
Elhan menongkat tubuhnya dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi menyelak rambut ikal yang menutupi separuh wajah Jasmine. Dibelai lembut pipi dan dicuit pula dagu wanita itu yang terlihat sedang ketakutan.
" Jasmine, I need you. I akan bertanggungjawab atas you dan apa-apa yang terjadi selepas ni."
Elhan semakin tidak waras. Memberi jaminan bahawa dia akan menjawab segala-galanya bagi pihak mereka demi meyakinkan Jasmine. Dicium lagi leher Jasmine meneruskan lagi niatnya untuk bersatu dengan wanita itu.
" Cukup Elhan! Kita tak boleh macam ni! "
Pang! Satu tamparan berbisa hinggap di pipi Elhan sehingga akhirnya dia terkesima dan terhenti. Lekas dia beralih daripada terus menindih tubuh Jasmine.
Jasmine bangun dari perbaringan sambil menangis. Perasaannya bercampur baur antara rasa takut, kesal dan juga kecewa dengan diri sendiri. Menggigil tangannya mencapai pakaian di atas lantai untuk membaluti kembali bahagian tubuhnya yang terdedah.
" Astaghfirullahalazim. " Elhan beristighfar seolah baru tersedar dari perlakuan liarnya tadi. Dia meraup wajahnya berkali-kali kesal dengan tindakan sendiri. Terbawa-bawa dengan perasaan sedih sehingga tidak boleh berfikir dengan baik. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini!
Kemeja yang terkulai di atas lantai diambil lalu dibutangkan semula pada tubuhnya. Kemudian, dia mendapatkan Jasmine yang sedang menutup wajahnya dengan kedua belah tangan, menangis teresak-esak di hujung katil. Dia meraih kedua belah tangan itu lalu digosoknya lembut.
" Hey, don't cry Jas. I'm sorry. I hilang kawalan tadi. I'm sorry it's my fault," ungkap Elhan penuh kekesalan.
Selama ini layanannya terhadap Jasmine berbatas dan penuh hormat. Menjaga kehormatan dan maruah teman baiknya itu tanpa sedikit pun culas. Namun disebabkan dirinya yang gagal mengawal perasaan, Jasmine turut sama terpalit dalam peristiwa yang memalukan ini. Sungguh dia kesal dengan diri sendiri.
" You baliklah Elhan." Jasmine menepis tangan Elhan. Dia langsung tidak tega memandang seinci pun wajah lelaki itu pada saat ini. Fikirannya terlalu berselirat untuk memikirkan apa jua perkara yang terjadi antara mereka.
Elhan mengangguk tanda akur. Dia pasti Jasmine benci melihat wajahnya. Sememangnya dia yang bersalah dan dia yang sepatutnya memikul kesalahan ini.
" I balik dulu. Tapi I nak mintak tolong satu perkara. Please, jangan salahkan diri you atas apa yang berlaku antara kita malam ni. "
Tenang suara Elhan membisikkan pesanan biarpun gelora di jiwanya hanya Tuhan saja yang tahu. Hampir-hampir saja dia terjerumus dalam kancah dosa besar. Perlahan-lahan dia menapak meninggalkan Jasmine sendirian di dalam kamar itu.
Share this novel