Bab 63

Romance Completed 15392

Hari ini, Elhan berada di Bangi untuk bertemu kenalan lamanya yang sudah membuka klinik sendiri. Pertemuan mereka kali ini pun terjadi secara tidak dirancang jadi Elhan tidak berkesempatan memberitahu Hayyani terlebih dahulu. Dia bercadang untuk singgah sebentar di rumah mertuanya sebelum pulang ke Shah Alam nanti.

Sebaik saja kakinya hendak menapak keluar dari pintu klinik temannya itu, dia melihat seseorang yang kebetulan memegang tombol pintu, baru saja hendak masuk. Elhan cam wajah itu. Muna, sahabat baik Hayyani.

" Muna, " tegur Elhan terlebih dahulu. Senyuman dilemparkan sebaik saja gadis itu membalas pandangannya.

" Encik Elhan." Muna tersengih-sengih. Tak sangka boleh terjumpa suami teman baiknya di situ.

Selesai saja berbasa basi tentang khabar dan tujuan kedatangan masing-masing di situ, Elhan mengajak Muna minum di restoran berdekatan. Katanya ada sesuatu yang hendak ditanyakan jadi Muna bersetuju walaupun dia akui agak berdebar untuk mendepani Elhan sendiri.

Muna menaip mesej di bawah meja untuk ditujukan kepada Hayyani tentang perjumpaan mereka, namun tak sempat menghantar pesanan lagi, Elhan sudah datang membawa dulang makanan. Terus dia simpan telefon bimbitnya dalam beg tangan.

" Maaflah dapat ajak minum dekat sini aje. Cukup dah order? Nak apa-apa lagi?" soal Elhan prihatin. Kalau ada restoran yang lebih selesa sudah lama dia bawa Muna ke sana tapi mereka cuma nampak restoran Texas saja yang ada berdekatan. Jadi mereka memutuskan untuk makan di situ.

Muna menggeleng. " Tak, cukup dah. Ini pun dah banyak. "

Setelah memastikan keperluan Muna cukup, Elhan menarik kerusi di hadapan gadis itu dan melabuhkan punggungnya. Dia meletakkan set makanan yang dipesan oleh Muna di hadapan gadis itu. Untuknya, dia cuma pesan minuman saja oleh kerana tadi dia sudah makan tengah hari dengan teman lamanya.

Dalam kesempatan itu, sempat Muna mengusyar lelaki di hadapannya itu. Pemilik wajah yang sederhana namun sedap mata memandang, tubuh yang agak sasa dan cara berpakaian lelaki itu yang segak dan maskulin menambahkan aura pada dirinya. Lihatlah pula cara Elhan melayan orang disekelilingnya, sungguh berbudi dan berbahasa. Siapa sangka lelaki menawan ini sebenarnya suami kepada Hayyani. Untung kau Daneen!

" Ada apa encik nak bincang dengan saya." Muna memulakan perbualan. Dia menyedut sedikit air coca cola yang dipesan tadi.

" Saya nak tanya, haritu masa awak keluar dengan Daneen, ada apa-apa terjadi pada dia ke? Bukan apa, saya tengok baru-baru ni Daneen macam lain sikit. Dia ada cerita apa-apa pada awak? " soal Elhan tanpa berdalih. Muna teman rapat Hayyani. Pasti Muna tahu sesuatu yang dia tidak tahu sedang berlaku pada isterinya.

Muna melarikan pandangan. Bebola matanya bergetar, gugup semacam apabila ditenung sepasang mata tajam itu.

" Erm... saya rasa lebih baik Encik Elhan tanya dia sendiri. Saya pun tak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Walaupun kami ni berkawan dah lama tapi bukan mudah untuk Daneen kongsi semua masalah dia," ujar Muna sedikit teragak-agak. Terpaksalah dia berbohong demi janjinya kepada Hayyani agar merahsiakan perkara ini.

Sudah semestinya dia tahu apa sebenarnya yang terjadi malah cerita Hayyani tentang lelaki yang ditemuinya di Istanbul dulu turut diketahui. Cuma kelmarin dia lebih terkejut saat mengetahui bahawa majikanya itu adalah lelaki yang diceritakan Hayyani. Tidak, tiada sesiapa yang sepatutnya tahu tentang ini sewenang-wenangnya. Lebih-lebih lagi Elhan.

Elhan lepas keluhan kecil. Tangan pula sudah naik memicit kelopak mata. Kecewa kerana dia fikir akan mendapatkan jawapannya kali ini.

" Saya dah cuba tanya. Banyak kali nak selesaikan masalah ni dengan Daneen tapi dia selalu kata dia okey. Awak memang pasti takde apa-apa terjadi masa awak dengan Daneen jumpa haritu? " tanya Elhan sekali lagi meminta kepastian.

Muna ketap bibir kemudian menjawab.

" Erm... ya saya pasti. Masa tu, kami jumpa sekejap aje. Tiba-tiba Daneen nak balik jadi saya tak tahu apa terjadi. Bila saya tanya dia tak jawab. "

Dia tak sanggup sebenarnya membohong Elhan. Kasihan pula dia melihat wajah itu. Sugul. Nampak sangat perwatakan Hayyani banyak berubah selepas pertemuan dengan lelaki Istanbul itu tempoh hari. Elhan turut sama terkesan, kasihannya. Namun, dia tiada pilihan.

" Selama awak kenal Daneen, dia selalu tak kongsi masalah dia dengan awak?" Elhan cuba menyelidik.

" Bolehlah, tapi tak selalu pun. Sebab Daneen suka sangat simpan sendiri masalah dia. Tekanlah dia macam mana pun dia takkan bagitahu kalau dia tak terasa nak ceritakan. Dia akan terbuka sendiri kalau betul dia nak bagitahu. Saya dengan Hanan pun tak pernah paksa dia, " cerita Muna lagi. Memang benar Hayyani seorang yang suka menyimpan masalah sendiri. Adakala, sukar juga baginya untuk menguruskan sahabatnya yang terlalu memendam itu.

Elhan mengangguk kecil mendengar cerita itu. Namun senyum kecilnya nampak sedih.

" Baguslah. Saya lega dengar. Sekurang-kurangnya ada jugak kawan-kawan yang dia boleh percaya untuk ceritakan masalah dia walaupun bukan suami dia sendiri. Saya hormat kehendak Daneen, dia berhak percayakan sesiapa yang dia nak. "

Begitulah hakikat yang harus Elhan telan. Hayyani masih belum mempercayainya sepenuh hati kalau tidak masakan masalah ini masih berlarutan. Entah bila akan terbuka hati itu sepenuhnya untuk dia. Sedangkan Elhan sudah bersiap siaga untuk menerima dan menghadapi apa jua masalah mereka bersama-sama. Sayangnya, Hayyani masih belum memberikannya kesempatan itu.

Muna simpati dengan ayat pasrah Elhan tadi. Kasihannya tumpah lebih banyak. Dia dapat kesan dari sinar mata itu yang begitu tulus dan ikhlas menyayangi Hayyani.

" Encik, saya kenal Daneen tu. Dia cuma tak nak bebankan orang lain dengan masalah dia. Mungkin dengan encik dia cuma nak happy-happy jadi dia elakkan bercakap soal masalah. Encik jangan fikir yang Daneen tak percayakan encik. Nanti saya cuba cakap dengan Daneen tentang ni, ya? "

Kata-kata yang dilontarkan Muna sekadar untuk menyedapkan hati Elhan. Makin tak senang duduk dibuatnya. Dia harus memperbetulkan Hayyani kerana Elhan tak seharusnya dilayan begini.

Kerana itulah Elhan hanya membalas kata-kata Muna dengan tersenyum hambar. Kerana dia tahu sukar untuk Hayyani membuka hati buatnya sepenuhnya, ceritakan segala-gala. Entah bila hari itu akan tiba.

****

" Kalau ya pun teringat dekat wife tak payahlah termenung jauh macam nak tembus dinding tu. Susahlah dapat partner yang angau ni," tegur Jasmine dengan senyuman lebarnya sambil menarik kerusi di meja berhadapan lelaki itu.

Elhan tersenyum nipis mendengar usikan itu. Sudah agak lama sejak dia duduk di kafe itu menantikan kehadiran Jasmine selepas bertemu Muna secara tidak sengaja tadi. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa sebentar.

" Ni bukan angau, I dah sasau sebenarnya. Bini sendiri ada masalah tapi sebagai suami I tak dapat nak tolong banyak. Entah apa masalah yang Daneen tengah hadapi sekarang. I tak dapat nak teka, " cerita Elhan tanpa nada.

Sejak kebelakangan ini Hayyani seakan sudah berubah sikap. Isterinya yang dahulunya ceria dan sering tertawa menjadi pasif saban hari. Apabila dia cuba bertanya, Hayyani terus mengelak dan hanya menjawab samba lewa saja. Muna juga langsung tidak tahu menahu. Dia tidak dapat meneka di mana silapnya.

Jasmine menyedut sedikit air teh hijau ais kegemarannya yang telah dipesan lebih awal oleh Elhan. Dia lihat wajah di depannya itu, berserabut betul. Sah dah sasau.

" Daripada you berteka teki, apa kata you apply benda yang sama macam kita. Ada apa-apa masalah just sit down and talk. Selesaikan selagi boleh, " saran Jasmine tenang.

Terlepas keluhan lemah dari celah bibir Elhan. Wajahnya diraup perlahan.

" I dah cuba. Lagipun kalau you kenal Daneen dia bukannya seseorang yang mudah luahkan perasaan sendiri. Kalau boleh dia nak pendam semuanya. I dah masak dengan sikap dia," luah Elhan tanpa berselindung lagi.

Ternyata Hayyani bukanlah seorang yang terbuka. Isterinya itu tidak mudah untuk menceritakan perihal isi hati kepada orang lain. Sukar baginya untuk menebak namun lebih sukar untuk mendapatkan jawapan.

" Perempuan memang berkongsi spesies yang sama tapi tak semuanya bersifat sama. Lagipun, nak hadam masalah sendiri pun ambil masa sebelum betul-betul yakin nak kongsi dengan orang lain. So, you kena pandailah cari cara buat dia selesa untuk luahkan dengan you. Setiap perempuan ada rentak yang tersendiri. Kalau you boleh ikut rentak Daneen maknanya you boleh hadapi dia sampai bila-bila. "

Nasihat Jasmine sewajarnya. Dia mempamerkan wajah ceria kepada Elhan tidak mahu temannya itu terus runsing. Ini pertama kali Elhan berurusan dengan wanita berperwatakan unik. Sebelum ini, temannya itu asyik keluar dengan perempuan stereotaip saja. Semuanya jenis kaki kikis, seksi dan gedik.

Ada senyuman lebar yang mekar di bibir Elhan. Sejuk hatinya mendengar kata-kata Jasmine. Dinginnya umpama bara yang disimbah air sejuk.

" I'll try. I rasa you dah boleh jadi pakar psikologilah. Kata-kata you buat orang terinspirasi tahu," puji Elhan ikhlas. Sikap Jasmine yang terbuka dan positif itulah yang menguatkan lagi rasa sayangnya kepada temannya itu.

Jasmine tergelak kecil. Anak rambut yang jatuh di dahinya diselak ke belakang.

" I belum pandai handle client yang angau macam you lagi. Nanti kalau dah boleh, I bukak klinik, " seloroh Jasmine mengundang tawa mereka.

Apabila berada bersama Jasmine, Elhan sentiasa berasa tenteram. Begitu juga Jasmine yang sentiasa mendambakan momen-momen indah bersama Elhan. Namun dia lebih cepat tersedar bahawa perasaan itu seharusnya dibuang cepat bimbang menjadi barah yang merebak tanpa bisa dikawal.

" Hey, dengar sini betul-betul Elhan kalau you nak tahu apa sebenarnya yang ada dalam kepala wife you. You pergi bawak Daneen buat apa yang dia suka. Ambil hati dia semula. Insyaallah dengan cara tu dia boleh terbuka hati nak ceritakan sendiri pada you. Trylah. Mana tahu, " nasihat Jasmine seadanya. Dia sendiri masih belum mengenali Hayyani dengan lebih mendalam. Namun Hayyani tetap perempuan, kalau dipujuk dengan caranya mesti jalan juga.

Elhan senyum lega. Tak dapat membayangkan hidup tanpa Jasmine di sisi. Dia amat menyayangi temannya itu.

" Thank you Jas. I'll try my best. "

" How about you? I dah dengar pasal company tu. I tak sangka akan jadi sampai macam tu sekali. Mummy you okey? " soal Elhan prihatin. Baru sekarang dia mempunyai kesempatan bertanya oleh kerana kebanyakan waktu mereka disibukkan dengan urusan lain. Berita tentang pertukaran tampuk pentadbiran syarikat Ghibran Entire sudah tersebar ke pengetahuannya sejak pengarah urusan dan CEO yang baharu diumumkan.

Jasmine hela nafas berat. Seberat beban yang membebani nubarinya. Senyuman tetap diperlihatkan walau hambar.

" Mummy dah tuntut cerai dengan daddy. Tapi daddy tak nak melainkan mummy serahkan semua saham pada dia. Disebabkan mummy tak nak daddy jadi pemegang saham terbesar, mummy buat keputusan untuk jual saham dia pada uncle Lim. Mummy cuma serahkan geran rumah pada daddy sebagai pampasan perceraian dan akhirnya daddy setuju, " cerita Jasmine berat suaranya.

Seakan-akan tidak mahu terus menyingkap kisah sepahit hempedu dalam hikayat rumah tangga orang tuanya. Oleh kerana Elhan sudah mengetahui hampir segala-galanya tentang keluarganya, dia meletakkan kepercayaan untuk bercerita kepada temannya itu. Tiada barang siapa di dunia yang menginginkan rumah tangga yang bergolak dan keretakan. Sudah takdir yang disuratkan sejak azali, manusia cuma perlu membuka hati untuk menerima hikmah dariNya.

" Parents you dah fikir masak-masak pasal ni? Kenapa aunty tak nak heret kes ni ke mahkamah syariah? Lagipun ada bukti daddy you curang. Sekurang-kurangnya takdelah sampai kena serahkan harta benda pada daddy you " soal Elhan, turut bersimpati dengan kisah duka Jasmine. Diuji dengan keluarga dan harta benda pada masa yang sama bukanlah mudah.

" Dah takde apa yang perlu difikirkan lagi, Elhan. Daddy dah nekad takkan kembali. Mummy I boleh aje nak heret kes ni ke mahkamah. Bukti melambak-lambak dan you pun mummy boleh panggil sebagai saksi. Tapi mummy nak selesaikan cara baik. Daripada terus tangguhkan perceraian dengan konflik tu, lebih baik mummy pilih jalan ni. Mummy pun dah boleh terima hakikat untuk teruskan hidup tanpa daddy. Memang susah mulanya tapi I pasti kami boleh hadapi, " ujar Jasmine kedengaran pasrah. Hatinya cepat terusik apabila bercerita soal itu sehingga dia hampir menitiskan air mata.

Elhan terdiam sejenak. Dia merenung wajah Jasmine yang menyelindung duka dan air mata di sebalik senyumannya. Simpatinya tumpah lebih banyak.

" I'm sorry for you. Maafkan I kalau lately I jarang ambil berat tentang you. Ada benda yang kita boleh kawal dan kita tak boleh kawal termasuklah hal cerai berai ni. Semuanya kehendak Tuhan. Tapi sebagai kawan, I rasa tak guna kalau tak dapat nak tolong apa-apa, " luah Elhan kesal.

Sungguh dia keberatan untuk membiarkan teman-temannya terkandas dalam masalah. Sedaya upaya dan usaha telah dicurahkannya untuk menghindari masalah itu berlaku kepada Jasmine namun semuanya tetap terjadi. Ternyata kuasa Allah melebihi batas segalanya.

Jasmine tertawa nipis. Sekadar menceriakan suasana yang tiba-tiba menjadi suram. Cepat-cepat hujung jarinya naik menyapu bersih air mata di hujung kelopak mata.

" Hish, no need lah Elhan. Dah memang takdir jadi I kena redha dengan semua ni. Jangan letak kesalahan atas bahu you. Lagipun, you dah banyak bantu I termasuklah carikan peguam handal untuk bantu I pertahankan hak dekat syarikat tu," kata Jasmine lagi namun Elhan tetap bermuram durja. Sebab itulah dia malas nak menceritakan perihal masalahnya kepada Elhan. Pasti temannya itu akan menyalahkan diri sendiri sedikit sebanyak.

" I nak you kuat. I nak you sabar, okey? " pinta Elhan serius suaranya.

" I akan kuat dan sabar macam yang you nak." Jasmine berjanji sambil tersenyum. Siap mengangkat telapak tangannya lagak bersumpah.

Beberapa detik berlalu, mereka membisukan diri. Masing-masing seakan cuba menjiwai kemelut yang melanda di antara keduanya. Inilah yang terjadi kepada sahabat yang berjanji untuk berkongsi segala masalah bersama.

" Ermm... tak lama lagi Aisyah dah nak terima jantung baru. You dah bersedia? " Lekas-lekas Jasmine mengubah arah perbualan.

" Entahlah, Jas. Macam-macam perasaan bertarung dalam diri ni. Berdebar ada, risau ada, gembira ada. "

Berita gembira yang baru diterima minggu lepas. Aisyah bakal menerima jantung dari seorang pesakit kanak-kanak yang mati otak. Syukur akhirnya Allah menemukan solusi.

Sejenak fikirannya terbang memikirkan Louisa. Apabila terkenang janji yang dimeterainya untuk menjaga Aisyah suatu ketika dahulu, azamnya menjadi lebih kuat. Dia mahu Aisyah sembuh demi Louisa yang selalu dirindui.

" Sebagai ibu susuan Aisyah, I sentiasa nakkan yang terbaik untuk dia. Kalau dengan pembedahan tu Aisyah boleh kembali hidup seperti biasa, I takkan halang." Dengan tenang Jasmine mengatur kata. Tanpa sedar, Elhan merenung Jasmine dengan pandangan kagum.

" I sukalah dengar cara you cakap. Bila you cakap you sentiasa ada keyakinan. Macam you tak risaukan apa-apa. "

" Tipulah kalau I tak risau sikit pun. Heart transplant is a risky surgery. Tapi I tetap berdoa semoga semuanya berjalan lancar. Lagipun, you ada untuk temankan Aisyah dekat sana. You buat yang terbaik tau. I tak nak kehilangan Aisyah. She's my daughter. "

Suara Jasmine kendur di hujungnya. Barangkali cuba mengharung sebak yang meranduk tangkai hati. Dia sedar bahawa keputusan pembedahan itu di tangan Tuhan. Namun dia takkan sanggup menerima kenyataan kalau sesuatu yang tidak diingini berlaku.

" Jangan risau. I akan buat yang terbaik untuk ibu Louisa dan mummy Jasmine kesayangan Aisyah ni. Percayakan Allah, Dia yang bagi kesembuhan. Dan percayakan I, sebab I akan buat yang terbaik sampai waktu tu tiba. Okey? "

Elhan mengerti kerisauan Jasmine cukup dalam. Apatah lagi Aisyah sudah disusukan dan dijaga oleh Jasmine bagai darah daging sendiri. Beruntung Louisa menemui seorang wanita yang menyayangi anaknya seperti anak sendiri.

Lantas Jasmine menganggukkan kepala. Hatinya rasa terpujuk selepas Elhan meyakinkannya. Entah mengapa tiba-tiba rasa berdebar pula apabila ditentang senyuman dan pandangan memikat Elhan itu.

" Senyum sikit. I nak tengok senyuman tu sampai bila-bila, " ungkap Elhan cuba menceriakan lagi wajah mendung yang diredam air mata itu.

Keadaan itu tanpa sedar menerbitkan tawa di antara keduanya. Kekok mungkin. Lebih-lebih lagi apabila Elhan cuba membuat wajah hodohnya di depan Jasmine. Memang tak boleh tahan diri. Mesti nak tergelak juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience