Bab 38

Romance Completed 15392

Sejak kejadian itu berlaku, Hayyani terus menerus memencilkan diri menyebabkan kesemua penghuni rumah yang lain berasa hairan. Cuba diselidik namun Hayyani enggan membuka mulut untuk berbicara soal itu. Menyedari keadaan semakin parah, Elhan sendiri datang ke rumah Hayyani dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku pada mereka namun sampai sekarang belum ada kata putus lagi sama ada mereka akan meneruskan perkahwinan atau tidak.

" Saya tak percayalah Elhan orang yang macam tu abang. Takkanlah dia tergamak kecewakan Kak Aida. Abang tengok sendiri kan macam mana Elhan tu hormat dekat umi dia. Saya tak percaya."

Berkali-kali Puan Farida menyatakan pendiriannya. Kepala yang terasa berdenyut dipicit-picit. Selepas Elhan pulang tadi, mereka satu keluarga duduk bersidang membincangkan perihal itu.

Sebelah Elhan kata lain. Yang sebelah Hayyani kata lain. Bagai nak pecah kepala dibuatnya apatah lagi persiapan majlis perkahwinan sudah hampir 80 peratus selesai.

Haris melabuhkan duduk di sebelah Puan Farida. Dia meriba anaknya Mikael yang sedang ralit bermain patung ultraman.

" Sudahlah ibu. Kita semua dah dengar pun cerita dari pihak Elhan. Dia selamatkan sorang perempuan berbangsa Inggeris yang cuba bunuh diri dengan anak dalam kandungan. Demi rasa simpati dia terus berkawan dan bagi semangat pada perempuan tu. Lama kelamaan rasa simpati Elhan tu berubah jadi cinta. Mereka dah merancang nak kahwin pun lepas anak tu lahir. Tapi ditakdirkan Allah perempuan tu meninggal masa dekat Makkah selepas lahirkan anak. Disebabkan rasa cinta pada arwah, Elhan jaga budak tu sampai sekarang. Takde istilah Elhan tu penzina pun dalam hal ni, " panjang lebar penjelasan yang diberikan Haris.

" Betul cakap Haris tu. Elhan dah datang sini pun buat penjelasan sebenarnya. Dia sendiri bersumpah tak pernah buat perkara terkutuk tu. Kalau tuan badan sendiri dah mengaku untuk apa kita terus buat pertikaian, " sokong Encik Sulaiman.

Setelah mendengar cerita dari kedua-dua belah pihak, barulah dia boleh menilai kebenaran yang sebenar-benarnya pasti. Salah faham ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara baik dan perkahwinan boleh diteruskan seperti biasa. Namun, sebagai bapa dia mengerti mengapa Hayyani cepat melatah dengan fitnah sebegitu.

Puan Farida mendengus kasar. Dia melihat reaksi biasa suaminya bagai tak ada apa-apa berlaku.

" Masalahnya abang, saya tak setuju Daneen nak putuskan pertunangan. Saya tak nak dia gunakan alasan tu untuk mengelak daripada berkahwin," keluh Puan Farida lagi. Mana hendak dia letakkan muka kalau perkahwinan itu terbatal. Hanya akan mengundang malu pada kedua belah keluarga saja.

" Daneen berhak untuk tentukan dia nak berkahwin dengan siapa. Kalau dia tak nak tak payah lagi nak memaksa. Dia pun bukannya budak kecil lagi, " bela Encik Sulaiman. Sememangnya sejak awal lagi dia tidak meletakkan paksaan perihal jodoh ini. Tambahan lagi, ibu bapa tidak berhak memaksa kalau anak-anak tidak bersetuju.

Puan Farida bangkit dari duduknya. Matanya membulat merenung Encik Sulaiman. Semakin membahang wajahnya tatkala mendengar kata-kata suami yang bercanggah dengannya.

" Jadi abang sukalah kalau anak kita putus tunang? Sepatutnya abang pujuk budak tu supaya teruskan perkahwinan. Ini tidak, abang makin menggalakkan adalah. "

" Awak ni kan... pernah ke dari dulu awak sokong apa yang abang cakap? Tak sudah-sudah nak menegakkan pendapat sendiri. Yang mana patut yang mana tak patut pun awak tak dapat bezakan lagi. "

Encik Sulaiman menggeleng kepala. Mengapa setiap kali perdebatan berlaku mereka jarang sehaluan lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak. Padahal dia sudah berusaha menjadi seorang ketua keluarga yang cukup rasional.

Ketika itu juga, Balqis muncul membawa sedulang air minuman dari dapur. Kemudian, dia duduk bersimpuh lalu menuangkan air ke dalam gelas. Memikirkan kalau tindakannya menyediakan minuman boleh meredakan ketegangan suasana yang berlarutan sejak tadi.

" Abah, ibu sudahlah. Tak payah kita nak keruhkan lagi keadaan. Lagipun Balqis rasa betul juga cakap abah. Walaupun Elhan tak bersalah dalam hal ni tapi Daneen tetap berhak pilih suami sendiri. Bertunang ni tak semestinya berkahwin," ujar Balqis tenang menyuarakan pendapat.

" Kamu diam Balqis! " selar Puan Farida lantang. Dengan matanya yang membuntang, cukup untuk membuatkan semua orang tergamam.

" Maaf, ibu. Balqis cuma bagi pendapat, " jawab Balqis yang sudah menikus. Tidak menduga niat baiknya ditentang hebat oleh Puan Farida.

" Ini urusan keluarga kami. Kamu tu cuma orang luar. Jangan nak masuk campur. Inilah yang jadi kalau biarkan anak-anak buat keputusan sendiri. Sesuka hati aje nak kahwin dengan orang sembarangan. Yang tak terjamin latar belakang dan masa depan. Inilah contohnya. Abang nak benda yang sama jadi pada Daneen dan Haleena? " sinis sekali kata-kata Puan Farida. Dia menjeling menantunya yang sudah tertunduk di depan meja kopi dengan sebelah mata saja.

Balqis gagal mengawal air matanya daripada tumpah. Ucapan ibu menusuk-nusuk dadanya bagai bilahan tombak yang tajam menikam. Sungguh sakitnya terasa hingga ke dasar hati. Lantas dia bangun dan bergegas meninggalkan ruang tamu masuk ke kamarnya.

" Sayang... " Haris terbangun dari duduknya sebaik meletakkan Mikael di tepi. Dia hanya mampu memandang isterinya pergi dengan perasaan kesal dan kecewa. Pandangannya dialihkan kepada ibu pula.

" Ibu, walaupun ibu tak pernah anggap Balqis sebagai menantu, tapi tolong jangan jatuhkan air muka isteri Haris ibu. Balqis pun ada maruah dan harga diri. Haris tahu isteri Haris bukan anak orang ternama dan terpelajar. Tapi untuk pengetahuan ibu, dengan segala hormat Haris nak bagitau yang Balqis bukan perempuan sembarangan. Dia isteri yang Haris pilih atas takdir Allah. Haris mintak tolong sangat dekat ibu kalau tak boleh terima Balqis sekurang-kurangnya ibu hormatkan Balqis. "

Haris juga meninggalkan ruang tamu dan menyusuli Balqis selepas memberikan teguran yang masih berlapik rasa hormat kepada Puan Farida. Dia amat kecewa, sedih dan kesal. Mengenangkan layanan dingin ibu terhadap Balqis perasaannya calar balar.

" Awak tengok. Tengok apa dah jadi! Bila orang bagi nasihat sikit awak melenting. Awak fikir awak aje yang betul dalam semua perkara. Tapi awak jangan lupa, Balqis tu menantu kita. Dia dah jadi sebahagian daripada keluarga ni. Jangan layan dia macam orang luar lagi. Kenapa susah sangat nak bukak mata dan telinga awak tu! "

Jerkah Encik Sulaiman dengan cerlungan mata yang tajam. Kesabarannya kian tercantas dan terjerlus. Berkali-kali menegaskan perkara yang sama namun semuanya tetap tidak berubah. Sudah tiada lagi kata-kata yang boleh menandingi keegoan isterinya.

" Esok kita ke rumah Aida. Pulangkan cincin macam yang Daneen hajatkan. Abang dah tak peduli apa yang awak nak kata. " Encik Sulaiman turut sama beredar dari situ selesai menegaskan katanya. Meninggalkan Puan Farida yang tergamam sendirian.

Apabila suaminya sudah naik hantu, Puan Farida sedar itulah waktu untuk dia mengalah. Sedikit sebanyak dia kesal dengan kata-kata yang meluncur dari bibirnya tadi. Terdorong oleh ego dan rasa tidak puas hati yang menebal dalam diri sehingga Balqis menjadi mangsa kemarahannya.

Walaupun dia tidak bersetuju dengan keputusan untuk memutuskan pertunangan itu, namun kali ini dia terpaksa akur.

****

Haris menguak pintu bilik secara berhati-hati. Sebaik saja dia melangkah masuk, pandangannya jatuh pada Balqis yang sedang tersandar lesu di katil. Pintu dikatup rapat.

Ketika Haris merapati Balqis, dia perasan isterinya lekas-lekas mengesat air mata seolah baru tersentak dari lamunan. Hati lelakinya dipaut perasaan bersalah. Balqis membetulkan duduk apabila Haris mula melabuhkan punggung di sebelahnya. Seboleh mungkin dia tayang muka bersahaja seolah tidak terkesan dengan kejadian tadi.

Haris menghela nafas panjang. Dia menekur pandangan kesal pada wajah suram isterinya. Buntu harus mula dari mana kali ini.

" Sayang, abang mintak maaf bagi pihak ibu. Abang tahu sayang terasa pasal tadi."

" Saya dah terbiasa sejak dulu lagi. Abang tak payah risaukan saya. " Balqis tahu Haris cuba memenangi hatinya. Bukan kali ini saja, malah sebelum ini setiap kali ada perbuatan mahupun kata-kata Puan Farida yang menyinggung perasaannya, Haris jualah yang akan memujuknya kembali. Dia sudah membiasakan diri sejak 7 tahun bergelar menantu tak diiktiraf dalam rumah itu.

" Sayang tahulah ibu tu macam mana, kan. Ibu memang tak boleh kawal mulut bila marah. Tapi ibu tak maksudkan pun apa yang dia cakap. Hati kata lain mulut kata lain. Sayang janganlah ambil hati, " pujuk Haris lembut. Tangan halus Balqis digosok perlahan.

Sebagai seorang suami, dia turut berduka dengan kesedihan yang dirasakan isterinya. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan turut terasa. Namun harus bagaimana, diluah mati emak ditelan mati bapak. Dia tidak boleh memarahi ibu dan menyebelahi Balqis pada masa yang sama.

" Abang, kalau saya ada permintaan, berat tak untuk abang tunaikan?" Berhati-hati Balqis melontarkan soalan.

" Permintaan apa sayang?" soal Haris kembali. Dari sinar mata Balqis dia tahu ada sesuatu yang isterinya ingin katakan.

" Abang, tolong izinkan saya sambung belajar. Saya nak buktikan pada ibu yang saya layak jadi menantu dalam rumah ni. Kalau dengan segulung ijazah boleh buat saya diterima, saya rela abang, " ujar Balqis bersuara nekad. Dia mahu membuktikan kepada Puan Farida bahawa dia layak dan setaraf dengan Haris. Dia sudah jelak dengan penghinaan yang diterima selama ini.

Terdengar Haris melepas keluhan berat. Punggungnya dianjak supaya lebih dekat dengan Balqis. Rambut panjang Balqis yang menutupi sebahagian kawasan wajah diselak dengan penuh kasih sayang.

" Sayang, semua tu bukan pengukur untuk sayang diterima atau tidak. Walau macam mana sekali pun, sayang tetap menantu dalam rumah ni. Isteri abang yang ada dalam hati. Ibu pada anak-anak abang. "

" Abang, manusia ni dilayan berdasarkan latar belakang kerjaya dan pelajaran ke? Orang tak belajar tinggi macam saya ni tak layak ke jadi menantu dalam rumah ni? Hati saya sakit abang. Setiap kali saya balik ke rumah ni ibu buat saya macam tak wujud. Bila saya cuba bercakap, ibu akan bidas saya semula seolah saya tak berhak bagi pendapat. Apa lagi, abang? Apa lagi saya kena buat untuk puaskan hati ibu? "

Dengan penuh emosi, Balqis meluahkan perasaan yang terbuku di dada. Pipinya yang kering tadi mulai kuyup dengan manik-manik jernih. Sayu hati Haris melihat Balqis menangis sehingga tubir matanya turut bergenang. Lantas, tubuh Balqis ditarik ke dalam dakapannya.

" Meminta maaf takkan dapat redakan rasa kecewa sayang. Abang tahu tapi abang tetap nak mintak sayang maafkan ibu. Hati abang sama sakit bila tengok sayang menangis. Tapi abang tak boleh nak bencikan ibu. Bagitau sayang, macam mana abang nak bencikan syurga abang? Abang takkan sanggup. Dan abang pun tak sanggup nak tengok sayang terluka macam ni. Abang mintak maaf. "

Luahan Haris dengan suara timbul tenggelam itu semakin meruntun jiwa Balqis. Rasa serba salah menyelubungi diri. Dia sedar Haris berada dalam dilema. Tersepit di antara hormatkan ibu dan kasihkan isteri. Berkali-kali menyedari betapa tidak sepatutnya dia meletakkan Haris dalam situasi ini. Barangkali memang tidak seharusnya dia menyimpan angan untuk berkahwin dengan Haris dahulu.

" Saya tak pernah bencikan ibu, abang. Saya cuma manusia biasa yang tahu rasa sakit dan terluka. Tapi selama ni saya bertahan demi abang dan anak-anak. Abang tak perlu bencikan syurga abang. "

Haris merenggangkan pelukan antara mereka. Air mata yang berambal-ambal di wajah Balqis diseka dengan jari jemarinya.

" Abang akan cuba buat yang terbaik untuk elakkan semua ni terjadi lagi. Abang takkan duduk diam aje. Kalau ibu salah abang akan nasihat baik-baik. Satu aje abang mintak, tolong jangan cakap pasal penyesalan sayang kahwin dengan abang lagi. Abang tak mampu nak dengar, " rayu Haris bersungguh-sungguh. Dia takut untuk mendengar kata-kata sesalan dari bibir Balqis walaupun hakikatnya, Balqis tidak pernah menyebut soal itu meski sering kali dilukai. Mulia sungguh hati Balqis sehingga dia begitu takut untuk kehilangan wanita itu.

Balqis ukir senyuman kecil. Kesungguhan Haris memujuk menawan hatinya. Sang arjuna yang terus menjadi kekuatan di saat dia jatuh dan tidak berdaya.

" Abang dah iktiraf saya jadi isteri pun dah cukup baik untuk saya. Cuma kali ni saya dah betul-betul tekad, saya nak sambung belajar."

Haris berkerut halus. " Sayang, abang harap sayang tak serius. Tak payah peduli apa yang ibu cakap. Semua tu tak bermakna apa-apa pun. Yang penting sekarang adalah kita dan anak-anak. "

Haris terus meyakinkan isterinya. Biarlah ibu mahu menentang sehingga 1000 tahun pun, dia akan ada untuk menemani Balqis. Kenapa begitu sukar untuk ibu menerima wanita yang amat dicintainya ini? Rintih hati kecil Haris.

Balqis menggeleng kepalanya. Sinar di matanya menunjukkan kesungguhan terhadap kata-katanya sendiri.

" Saya dah fikirkan masak-masak. Saya buat semua ni bukan untuk menunjuk pada ibu. Tapi saya buat sebab pelajaran penting untuk mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Memang ijazah bukan penentu masa depan tapi saya nak cuba. Sekurang-kurangnya bila saya direzekikan ke syurga nanti, saya dapatlah bawa sikit ilmu yang saya tuntut dekat dunia, " kata Balqis tentang tujuan sebenar dia ingin melanjutkan pelajaran. Bukan semata-mata untuk membuatkan dia diterima sebagai menantu tetapi untuk kepuasan diri sendiri juga. Menuntut ilmu biarlah sampai ke liang lahad.

Haris merenung wajah Balqis dengan sepenuh perasaan cinta dan bangga. Keistimewaan Balqis inilah yang tidak semua orang dapat melihat. Sebagai seseorang yang dekat dengan hati Balqis, dia berasa sangat beruntung dapat memiliki wanita sehebat Balqis. Yang selalu membuatnya jatuh cinta dan berdebar dengan cara istimewa.

" Abang... jangan termenung boleh tak. " Balqis menepuk lembut pipi Haris menyedarkan suaminya dari lamunan.

" Apa?" Haris pura-pura terpinga-pinga.

Balqis menggeleng kepala. Nampak sangat Haris syok dekat dia sampai mengelamun walaupun dirinya ada depan mata.

" Kenapa abang termenung? "

" Cara sayang bercakap buat abang kagum. Sebab tu abang terpegun. " Haris kenyit mata kepada Balqis. Kemudian, mereka tertawa kecil. Sempat lagi nak menggatal.

" Okey, abang izinkan sayang sambung belajar. Pergilah capai cita-cita sayang. Abang tak nak sayang anggap perkahwinan ni satu penghalang untuk capai impian. Cuma satu abang ingatkan, abang tak paksa sayang jadi buat ikut kemampuan, okey? Anak-anak pula biar abang uruskan. "

Akhirnya Haris memberikan keizinan. Lagipun, sebelum ini pernah juga Balqis menyatakan hasrat untuk ke menara gading. Kali ini, dia tidak sanggup lagi untuk membantah dan menafikan hak Balqis. Kalau itu yang mampu membahagiakan isterinya, dia sanggup turutkan.

Balqis tersenyum senang sambil memeluk manja lengan Haris. Bahagia apabila memiliki suami yang tidak pernah lokek memberikannya sokongan dan kata-kata semangat. Galakan yang Haris titipkan menguatkan azamnya untuk menggenggam segulung ijazah seperti yang diimpikan.

" Abang jangan risau, saya takkan abaikan tanggungjawab saya pada keluarga. Terima kasih banyak-banyak, abang. Terima kasih sebab faham saya. "

Alangkah indahnya kalau dia mendapat kesedaran ini sejak awal lagi. Tentu dia sudah berjaya menggenggam segulung ijazah. Darah mudanya yang begitu taksub dengan kebebasan membuatkannya lupa akan pelajaran sejurus selepas tamat sekolah menengah dulu. Tak mengapa, masih terlalu awal untuk mengalah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience