Bab 87

Romance Completed 15392

Suasana sayu menemani Hayyani ketika dia berada di pejabat agama daerah Hulu Langat. Setelah berminggu-minggu memakan masa berbincang dan berunding, akhirnya kedua belah keluarga telah mencapai kata sepakat. Elhan akan melepaskan Hayyani daripada ikatan perkahwinan ini.

Air mata lesu mengalir lagi meniti wajahnya yang kelihatan pucat tak bermaya. Tidak terkata rasa perit, pedih dan pilu yang bercampur baur dalam diri membuatkan mindanya menjadi sekosong-kosongnya. Puas dia pertahankan rumah tangga mereka daripada musnah namun kehendak takdir lebih kuat dari segalanya.

Encik Sulaiman yang turut sama menemani di ruang menunggu melepas keluhan panjang. Dia duduk di sebelah Hayyani dan memeluk bahu anaknya itu. Derita itu kalaulah seperti harta, sudah lama dia pindahkan kepadanya. Tak sanggup hati tuanya melihat sang gadis bermuram durja.

" Sampai bila kamu nak menangis, Daneen. Sudah, sudahlah tu. Berlapang dada terima semua ni."

Makin sendat rasa sebak di hati Hayyani. Lantas dia meletakkan kepalanya pada bahu abah. Lengan abah dipeluk.

" Abah, betul ke pilihan yang Daneen buat ni? Takpe ke kalau Daneen buat semua ni?" soal Hayyani lirih. Makin deras air matanya mengalir.

Encik Sulaiman menepuk-nepuk lembut bahu Hayyani cuba memberi ketenangan. Sudah berkali-kali berdepan dengan soalan yang sama. Pastinya apa yang Hayyani perlukan pada saat ini hanyalah kepastian.

" Bercerai tak salah Daneen asalkan ada sebab yang dibenarkan syarak walaupun bercerai tu adalah perkara terakhir yang Allah redha. Elhan lepaskan kamu sebab kamu ada perasaan pada lelaki lain. Dia cuma nak menjaga ladang pahala dan dosa kamu. Elhan nak pelihara kamu daripada menjadi nusyuz dan buat dosa besar," ujar Encik Sulaiman mendatar.

Sejujurnya, dia agak terkilan apabila anak menantunya ingin bercerai. Apatah lagi dia cukup senang dengan keperibadian murni Elhan sebagai menantu. Namun, setelah menitikberatkan segala kemungkinan dan alasan, terpaksa jualah dia meredhai perceraian antara mereka.

Pernah sebelum ini, Elhan dan Hayyani menghadiri sesi kaunseling bersama kaunselor rumah tangga. Mereka juga sudah cuba untuk berdamai kembali dan bermuafakat. Namun, akhirnya mereka berdua tetap memilih untuk bercerai. Ikatan itu akan terus membunuh sedangkan keduanya sudah tidak berdaya untuk menghukum perasaan sendiri. Apa boleh buat. Jodoh itu kalau sudah sampai masa pasti akan tiba atau akan berakhir. Tiada yang boleh memaksa aturan Tuhan.

Hari ini, Puan Farida langsung tidak mahu ambil tahu tentang urusan di pejabat agama itu. Tanda tidak restu dengan perceraian Hayyani sehingga sanggup membuang anak sendiri. Encik Sulaiman tidak pernah sekecewa ini dengan isterinya lantaran itu hubungan mereka suami isteri pun turut sama renggang.

" Daneen memang isteri nusyuz abah. Daneen tak layak dimaafkan atas kesilapan Daneen. "

Makin syahdu esakan Hayyani. Dosanya terlalu besar malah tidak ada yang mampu menebus rasa kesalnya terhadap Elhan. Malah disebabkan dia juga, ramai yang berubah benci kepada dirinya.

" Sudahlah, usah dikenang barang yang lepas. Apa yang kamu hadapi sekarang ni adalah realiti jadi hadapilah dengan tabah. Abah faham perasaan anak abah. Semua ni tak mudah untuk kamu," pujuk Encik Sulaiman tenang. Kepala Hayyani dicium dengan mata yang turut mengilaukan kesedihan.

Seketika kemudian, Haris muncul di situ. Syukur Haris juga seperti Encik Sulaiman bersikap rasional untuk menerima suratan berdarah antara Hayyani dan Elhan walaupun sebagai abang dia turut berasa terkilan pada mulanya.

" Abah, Daneen jom... mahkamah dah panggil masuk. "

Encik Sulaiman mengangguk seraya bangkit dari duduk. Kopiah dari kocek baju melayunya diletakkan atas kepala.

" Mari Daneen. Kita masuk bilik bicara. Nanti lama hakim tunggu. "

Hayyani mengangkat wajah perlahan-lahan. Memberikan satu pandangan sayu dengan air mata yang bertali arus di pipi. Ya Allah, cekalkan hati hambaMu ini!

" Dengan ini, saya mencerai dan mentalakkan isteri saya Daneen Hayyani Binti Sulaiman dengan talak satu. "

Sungguh berat bagi Elhan untuk melafazkan kalimah itu. Suasana suram dan sedih menyelubungi mahkamah saat tertalaknya seorang isteri. Gugur jua air mata yang ditahan oleh Elhan sedari tadi. Dia tidak sanggup berpisah dengan Hayyani, namun bersama juga bukanlah satu pilihan terbaik. Dia harus redha dan akur dengan suratan ini.

Hayyani terjelopok ke atas kerusi. Berjujuran air mata yang semakin lebat membasahi pipi. Jadi inilah pengakhiran cinta mereka yang dahulunya mekar disirami dan dibaja dengan kasih. Kini yang mekar dan takkan pergi dari jiwanya hanyalah perasaan kesal yang tak akan pernah ada penghujung.

Di luar mahkamah, Elhan dan Hayyani berjumpa secara peribadi. Mungkin sekali inilah pertemuan mereka buat kali yang terakhir. Elhan mengusap lembut air mata yang berhujan di pipi Hayyani yang semakin teresak apabila berdepan dengannya.

" Jangan menangis lagi, Daneen. Ini yang terbaik untuk kita. " Elhan cuba memujuk Hayyani walaupun hatinya sendiri berdarah menerima suratan takdir mereka.

Hayyani menggeleng kepala. " Daneen tak nak semua ni berakhir, abang. "

Dia lihat dalam mata Elhan. Mata itu tidak akan berbohong bahawa Elhan juga tidak mahu mahligai bahagia mereka ranap begitu saja. Namun, Elhan tidak lagi mahu memperjuangkan dirinya dan dengan ikhlas melepaskannya pergi. Luruh hati Hayyani hanya Tuhan yang tahu.

" Ikhlaskan hati, sayang. "

Elhan menarik tubuh Hayyani lebih dekat dengannya. Didakap erat tubuh itu kerana inilah saat yang terakhir dia dapat berbuat demikian. Kemudian, dia melabuhkan kucupan hangat pada dahi Hayyani. Semerta, memorinya terhenyak dalam ingatan saat dia menikahi Hayyani dulu.

Tersergam indah keanggunan sang bidadari sehingga dia bermimpi seakan ada syurgawi yang terbentang indah buat mereka berdua ketika itu. Hadiah bermakna dari Allah, Tuhan yang maha menentukan permulaan dan pengakhiran setiap jodoh. Getaran yang dirasakan saat bibirnya mengucup dahi Hayyani pada waktu itu dan kali terakhir ini akan tetap mekar dalam ingatannya buat selama-lamanya.

Membayangkan ada lelaki lain yang bakal menggantikan tempatnya mendakap dan merenung wajah jelita Hayyani setiap hari, hatinya benar-benar pedih bagai digilis-gilis dan dikoyak tanpa belas hingga hancur menjadi kepingan. Dia tidak ingin berakhir semua ini. Namun demi Allah, dia lepaskan Hayyani kerana sayang.

" Abang... "

Buat seketika, mata mereka saling bertaut. Bagai ada sesuatu yang hendak dibicarakan oleh Hayyani namun tidak terluah dengan kata-kata. Walaupun air mata Hayyani seakan tidak berhenti, namun berlainan pula bagi Elhan. Wajahnya tetap tenang dan bibirnya tetap tersenyum biarpun kelihatan sedih.

" Daneen, jangan lepaskan keinginan awak lagi disebabkan orang lain. Awak tak perlu rasa bersalah tentang kita sebab kebahagiaan awak lebih penting daripada impian abang. Terima kasih sebab dah jadi isteri yang baik untuk abang. Maafkan segala kekurangan abang sepanjang menjadi suami awak. Semoga berbahagia, sayang. "

Ucapan Elhan benar-benar menusuk jauh ke dasar kalbu Hayyani. Itulah kalimat terakhir yang Elhan ucapkan kepadanya sebelum lelaki itu akhirnya benar-benar pergi dari hidup Hayyani. Untuk berjalan di haluan tersendiri jauh dari persimpangan malang yang pernah menautkan hubungan mereka. Dan dia juga harus teruskan berjalan di atas muka bumi ini menghirup sisa udara kehidupan yang bernafas derita.

Selamat tinggal buat dirimu yang pernah menjadi teristimewa...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience