Bab 34

Romance Completed 15392

Kira-kira jam 11 malam, majlis kesyukuran itu sudah beransur menutup tirai. Nampaknya masing-masing sudah memisat mata tanda keletihan dan ingin segera berangkat pulang ke lubuk masing-masing. Tuan rumah turut berjalan sama mengiringi keluarga bakal besan menuju ke kereta Toyota Vios milik Puan Farida di bahu jalan.

" Man, terima kasih banyak sudi datang majlis kesyukuran ni."

" Takde apalah. Memang patut pun saya datang sebab majlis ni sempena mensyukuri anak saya yang dah terima lamaran pihak lelaki kelmarin, " balas Encik Sulaiman seraya menepuk bahu Encik Idham.

" Saya pun bersyukur sangat. Harapnya lepas ni kita boleh cepatkan majlis sebab rasanya dah lama tertangguh ni, kan? " cadang Puan Farida teruja bunyinya. Akhirnya, Hayyani menerima juga Elhan sebagai bakal suami. Kalau tidak sebelum ini, cukup sukar untuk memujuk.

" Kalau Elhan dengan Daneen takde masalah kita teruskan aje. Lagi cepat lagi bagus. Takdelah akak ni susah hati tengok anak-anak kita tak disatukan lagi. " Doktor Khalida pula melontarkan suara hatinya.

Hayyani menyorot pada Elhan yang kebetulan sedang memandangnya. Saat itulah, Elhan kenyit sebelah mata lalu menghadiahkan segaris senyuman nakal kepadanya. Tak cukup dengan itu, Elhan menyuruhnya menangkap flying kiss yang diberikan pula.

Hayyani menolak pada mulanya. Mamat ni, depan orang pun sempat. Namun, secara berselindung, dia menangkap jua dan menyimpan flying kiss itu di dalam hati setelah didesak Elhan. Namun, apabila menoleh ke sebelah, dia melihat Haleena menggeleng kepala dan memandang mereka semacam.

" Sabar tau kak. Dua bulan aje lagi. Parah dah ni..." bisik Haleena dengan suara perlahan. Kemaruk bercinta dah dua orang manusia ni. Kalau dulu asyik nak bertekak saja.

" Akak tahulah..." balas Hayyani. Dah agak, mesti ada orang perasan punya. Dia yang naik tersipu dibuatnya tapi Elhan tetap berwajah selamba. Eee... geramnya!

" Insyaallah semuanya akan berjalan lancar. Dua bulan lagi majlisnya. Sabar ajelah ya, " ujar Puan Farida. Terpancar kegembiraan dari raut orang tua mereka di situ menantikan ijab kabul yang bakal berlangsung nanti.

" Kalau macam tu, kami balik dululah. Hari pun dah larut malam. Saja nak bagi peluang tuan rumah berehat, " kata Encik Sulaiman seraya tertawa kecil.

" Yalah, jumpa lagi ya. Elhan, ibu dengan abah balik dulu. Tahniah ibu ucapkan, " ujar Puan Farida.

" Terima kasih abah, ibu. Hati-hati memandu," pesan Elhan tenang. Tangan tua Encik Sulaiman dicium penuh hormat. Begitu juga Hayyani dan Haleena yang turut bersalam dengan Doktor Khalida.

" Elhan, umi nak pesan. Sekarang Elhan dah ada tunang. Kalau boleh umi nak Elhan jaga batas diri dengan perempuan lain. Umi tak nak perkara yang tidak-tidak jadi nanti. Umi pun pernah jadi muda macam Daneen. Jadi, umi faham apa yang Daneen fikirkan," nasihat Doktor Khalida sebaik sahaja kereta itu hilang dari pandangan.

Sebagai ibu, dia harus menasihati anaknya tentang perkara yang sepatutnya. Lagi pula dia cukup maklum dengan persahabatan Elhan dan Jasmine yang begitu akrab. Bimbang timbul ribut taufan pula dalam perhubungan Elhan dan Hayyani akibat salah faham nanti.

" Elhan tahu umi maksudkan Jasmine. Umi jangan risau, Elhan tahu jaga batas Elhan dengan kawan perempuan, " ujar Elhan dengan penuh hormat. Dia mengambil tangan umi lalu dielus dan dikucupnya berkali-kali.

" Umi tahu yang Jasmine dengan Han cuma kawan. Tapi bagi Daneen, sudut pandangan dia berbeza. Dia pun perempuan biasa yang ada cemburu. Umi cuma mintak Elhan berjaga-jaga. Umi masuk dulu, ya. "

Dahi anak terunanya dicium penuh kasih sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Layanan Elhan terhadap Jasmine terlihat istimewa di mata tuanya sehingga secara tidak langsung dia memasang angan untuk menjodohkan mereka. Jadi, dia tak mahu dari sisi Hayyani, perkara itu disalah tafsirkan pula.

" Selamat malam umi, " balas Elhan tenang.

Kata-kata terakhir umi meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya. Walaupun semua itu belum terjadi, dia harus menitikberatkan pesan umi. Namun dia sering terfikir, apakah yang akan terjadi kepada Jasmine selepas dia berkahwin nanti?

****

Haleena tersenyum melihat kakaknya yang tak henti mengukir senyuman tatkala meneliti gambar momen-momen yang ditangkap ketika majlis kesyukuran tadi. Hatinya berasa senang kerana dia sendiri mengerti betapa sukar untuk Hayyani dan Elhan bersatu selama ini. Makan masa dan kesabaran untuk kakaknya itu membuka hati.

" Leen, buat apa tercegat dekat situ?" Hayyani kaget melihat adiknya hanya berdiri di ambang pintu. Selalunya kalau nak masuk Haleena takde pun ketuk pintu terlebih dahulu. Main redah saja walaupun dia tak izinkan.

Haleena menderap langkah masuk ke dalam bilik itu. Dia duduk di birai katil sebelah Hayyani yang sedang bersandar di kepala katil.

" Leen nak tidur dekat sini boleh?" pinta Haleena.

Hayyani berkerut nipis mendengar permintaan Haleena. Wajah adiknya itu kelihatan muram kali ini. Tak nampak macam muka Haleena yang selalu nak cari gaduh dengannya.

" Hmm, yalah. Akak faham kau nak bermanja dengan akak sebelum akak kahwin kan. Meh, sepanjang dua bulan ni kau nak tidur sini setiap hari pun takpe, akak izinkan."

Ruang di sebelahnya ditepuk tanda memberi keizinan. Dia tahu Haleena memang manja begini. Manja sampai kalau boleh nak tidur bawah ketiak abah juga. Lagipun selepas dia berkahwin nanti, Haleena tak berpeluang lagi nak bermanja dan tidur di sebelahnya begini setiap waktu. Ini sajalah kesempatan yang ada. Sedih pula bila difikirkan.

" Yeay!"

" Tapi, sebelum tu tutup lampu dulu."

" Okey. Leen pasang lampu tidur, eh."

Haleena panjat katil dan berbaring di sebelah kakaknya setelah menutup lampu dan membiarkan lampu tidur saja terpasang. Ketika berbaring, dia mengerling sekilas Hayyani yang masih lagi dengan telefon bimbitnya di sebelah. Kala ini, dia sedang bertimbang tara untuk bercakap soal yang satu itu.

" Kak, kalau Leen cakap ni akak jangan marah tau." Haleena bermukadimah. Mencari ruang yang paling tepat untuk dia meneruskan kata.

Hayyani mengangguk lalu telefon bimbitnya diletakkan di sebelah tanda memberi perhatian kepada apa yang bakal dikatakan oleh Haleena.

" Nak cakap apa?"

Haleena bangkit dari perbaringan dan duduknya dibetulkan menghadap Hayyani. Serius wajahnya ketika hendak mula berbicara. Nafas diatur sambil berharap terbukalah hati itu untuk menerima.

" Akak tahu kan yang akak dengan abang Elhan dah nak kahwin nanti. Jadi Leen rasa akak pun dah patut berhenti tulis surat pada lelaki tu."

Berhati-hati Haleena melontarkan kata. Beberapa saat kemudian dibiarkan sepi tanpa kata. Yang terdengar cuma desah nafas yang dicipta oleh Hayyani seolah memberi petanda bahawa dia kurang bersetuju dengan pernyataan Haleena.

" Akak marah Leen? " soal Haleena oleh kerana kakaknya itu masih mendiamkan diri.

" Tak, bukan. Akak tak marah." Lekas Hayyani menafikan. Dia memicit sudut dalam kedua belah matanya yang dipejam seketika. Kemudian, dia memandang tepat wajah Haleena.

" Leen, ini semua bukan macam apa yang Leen fikirkan. Akak dengan dia cuma kawan. Akak cuma nak tanya khabar dia dekat sana. Sekadar kawan, tu aje."

Hayyani cuba meyakinkan Haleena namun adiknya itu seolah tidak terpujuk juga. Surat kirimannya kepada Malik selama ini hanya untuk mengutus dan bertanya khabar. Setiap coretan kenangan mereka yang dirindukannya ketika di Istanbul, perkara yang dia lakukan setiap hari dan perkembangan hidupnya di Malaysia semuanya ada diceritakan dalam berpucuk-pucuk surat tersebut. Itu saja cara untuk dia menghubungi Malik, teman istimewa.

" Akak, Leen bukan budak kecil lagi sampai tak faham apa yang jadi. Leen tahu akak sukakan lelaki tu. Lelaki yang akak kenal waktu akak pergi Istanbul. Tapi akak dengarlah cakap Leen, berhenti hantar surat pada dia. Akak dah nak kahwin dengan abang Elhan dah pun. Semua surat ni akan jadi masalah di kemudian hari kalau akak tak nak berhenti sekarang, " panjang lebar Haleena menasihati. Terlukis riak keresahan dan kerisauan di wajahnya.

Sebagai adik dia rasa berhak untuk menasihati kakaknya apa yang patut. Tambahan lagi, dia tidak mahu Hayyani terus bertelingkah lagi dengan ibu mereka Puan Farida. Penerimaan ibu takkan sama dengan mereka. Lebih-lebih lagi sebagai perempuan, firasatnya mengatakan Hayyani menyukai lelaki Turki itu.

" Leen, kau baca surat akak kan?" Berbanding membalas kata-kata Haleena tadi, Hayyani membuat andaiannya pula. Dia tidak pernah menceritakan soal itu kepada sesiapa termasuklah Haleena. Jadi memang tak lain tak bukan...

Haleena mengeluh berat. Tangan kakaknya digenggam dan wajah itu direnung dengan mendalam bagi benar-benar menyampaikan maksud dari kata-katanya.

" Itu bukan masalahnya, akak. Cuba akak renung apa yang Leen cuba sampaikan. Bayangkan lepas akak jadi isteri abang Elhan nanti, apa perasaan seorang suami bila isteri dia asyik kirim surat untuk lelaki lain? Itu yang Leen cuba sampaikan. "

Hayyani senyum tipis. Pipi Haleena diusap lembut.

" Okey, akak dengar cakap Leen. Akak akan berhenti utus surat sebab akak sendiri rasa yang dia dah lupakan akak. Leen jangan risau. Akak tahu apa akak perlu buat, " ujarnya lagi untuk menutup resah di hati si adik.

Jauh di sudut hati mengakui ada benarnya kata-kata Haleena tadi. Dia akan ditimpa bencana yang memerangkap dirinya dan orang di sekeliling andainya perkara ini tidak dihentikan secepat yang mungkin. Tambahan pula, ada bibit-bibit cinta yang semakin kuat terasa tatkala semakin kerap dia mengutus surat kepada Malik.

Lagipun untuk apa dia terus berharap sedangkan tiada satu pun suratnya dibalas oleh Malik. Mungkin memang benar dia harus berhenti sebelum semuanya menjadi parah apatah lagi sekarang dia sudah menjadi tunangan Elhan. Dirinya sudah ditanda untuk diikat dengan perkahwinan, seharusnya dia tahu itu. Betapa jahilnya dia membiarkan diri bergelumang dalam dosa.

" Terima kasih Leen, sebab ingatkan akak."

Terpeta kelegaan pada seraut wajah Haleena. Kakaknya seorang yang berpegang pada kata. Jadi dia percaya perkara ini akan berakhir setakat di sini saja.

" Leen akan rahsiakan tentang ni daripada semua orang sampai bila-bila. Akak jangan risau. Cuma, akak kena tunaikan janji akak kalau akak sayangkan Leen. Promise? "

Haleena menuntut janji dengan jari kelingking yang dihulurkannya. Hayyani lambat-lambat tersenyum. Akhirnya, dia tautkan jua jari kelingkingnya dengan jari kelingking Haleena.

" Promise. "

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience