Bab 2

Romance Completed 15392

Dari kejauhan, Elhan melihat Hanan dan Lukman bersanding di atas pelamin. Sesekali gelagat orang yang menepung tawar pengantin membuahkan senyuman di bibirnya. Berseri wajah kedua mempelai apabila diraikan oleh tetamu dan sanak saudara yang hadir bagi memeriahkan majlis yang diadakan di kampung Sekinchan, kampung sebelah suaminya.

Saat matanya memerhati Hanan, dia tidak percaya adik yang dahulunya kecil sudah besar panjang dan kini bergelar isteri orang. Dia amat sayangkan adiknya itu walaupun Hanan hanyalah saudara seibu dengannya. Gadis itu adalah cahaya mata hasil perkahwinan antara mamanya, doktor Khalida dan bapa tirinya, Encik Idham selama 27 tahun berkahwin selepas bapanya meninggal dunia.

Tuhan lebih menyayangi doktor Nazmi apabila beliau terlebih dahulu dijemput menghadap Ilahi ketika Elhan berusia 5 tahun akibat kanser perut. Keuzuran yang dialami doktor Nazmi sewaktu di hujung usianya dulu, menguatkan semangat Elhan untuk bergelar doktor sekarang. Dia sedar, kesihatan itu raja segala harta kerana tanpa kesihatan seseorang itu tidak berkuasa.

Tiba-tiba, bahunya terasa dicuit. Apabila dia menoleh dia terlihat kelibat seorang wanita yang anggun berbaju kurung. Solekannya terlihat sederhana namun elegan. Bagai ada kilauan pada gadis itu yang memukau mata-mata untuk terus menatap.

" Ehem... jauh mengelamun," sapa Jasmine dengan sengihan lebarnya.

Elhan tertawa kecil. " Eh, Jas... Bila sampai? Tak bagitahu pun nak datang tiba-tiba dah terpacak depan ni."

" Baru aje. Tadi I cari you dekat belakang sebab Arif bagitau I yang you jadi orang di sebalik tabir hari ni, " ujar Jasmine ceria.

Sekilas dia memerhatikan Elhan yang santai berpakaian tshirt plain dan seluar jeans serta tuala peluh yang melingkari lehernya. Sekali imbas, pasti tiada siapa tahu bahawa Elhan adalah seorang doktor melalui cara pemakaiannya. Pemuda itu memang seorang yang bersederhana dan tidak suka terlalu menonjol.

" Majlis adik sendiri. Saja tolong sikit-sikit mana yang patut. Nak control macho pun bukannya ada buah hati dekat sini. You la tak nak datang semalam. Kalau tidak boleh tolong I buat kerja kenduri sikit."

" Alah you tak cakap kalau tak lepas subuh semalam I terus pecut datang sini. You bikin spoil la."

" Hek eleh... Orang dah banyak kali ingatkan dia. Dia tu aje tak sudi nak datang agaknya. " Elhan tayang muka hampa.

Jasmine ketawa. Dia menekan kedua belah pipi Elhan yang berpura-pura tidak mahu memandangnya. " Alolo... Merajuk ke orang tu? Tengok sikit muka orang merajuk macam mana. Oh macam ni rupanya... Hensem jugak ek? "

" Ah, sudahlah. Malas nak kawan dengan you lagi. Baik I kawan dengan lembu belakang rumah. " Elhan merajuk sambil memandang orang lalu lalang. Padahal sedikit pun dia tidak berkecil hati. Dia dan Jasmine memang akrab sehingga sudah terbiasa bergurau senda begitu. Jasmine satu-satunya sahabat baik perempuan yang dia ada.

" Okay, okay. Fine, sorrylah! Tak payah nak buat muka tempoyak masam tu. I tanggung semua rasa bersalah tu atas bahu I. Hah, apa you nak kasi sebagai hukuman? "

Elhan mengurut dagu bagai memikirkan sesuatu. Jasmine menanti penuh sabar.

" Hukuman ek? Ha, lepas habis majlis ni you tolonglah cuci pinggan mangkuk pulak. Banyak lagi stok dekat belakang sana. Cuci kasi kilat tau kalau tak jangan balik. " Jawapan Elhan memang kedengaran bersahaja seiring dengan muka selambanya.

" Amboi... amboi! Bab-bab membuli I memang you nombor satu kan. " Jasmine sudah bercekak pinggang.

" Okey apa. Daripada nombor satu bab-bab jadi penutup majlis orang. Lagi teruk. " Elhan memulangkan paku buah keras. Kemudian dia ketawa sendiri.

Jasmine menampar lengan Elhan. Geram melihat muka tak bersalah itu.

" Eee... Teruknya mengutuk orang. "

" Betul apa. Nak dekat penutup majlis baru nampak batang hidung you. Kerak nasi ajelah yang tinggal untuk orang datang lambat, " tambah Elhan sengaja menyakat. Padahal awal-awal lagi umi sudah menyuruhnya untuk menyimpankan sedikit lauk buat Jasmine.

" Yelah-yelah... Memang salah sangatlah I ni ek sebab datang lambat? " Kalau tidak kerana dia mempunyai temu janji dengan pesakit hari ini sudah tentu dia akan datang lebih awal. Namun, tanggungjawab tetap tanggungjawab lagi-lagi sebagai seorang doktor sepertinya.

" Memang salah. " Serta merta ada tamparan berbisa hinggap di lengan Elhan.

" Eee... Jahat mulut. You ingat I sengaja ke datang lambat. I ada patient la tadi. Yelah, nanti I cuci semua pinggan mangkuk tu sampai kilat. Periuk belanga yang hitam tu semua I kasi putih balik. "

" Bagus you ni. Boleh buat bibik kerja dengan I nanti."

Mata Jasmine membulat. " Ohoi! Lasernya mulut. So, you nak kata muka I sesuai jadi bibiklah kiranya ni? "

Jasmine tak berpuas hati. Elhan masih dengan muka selambanya.

" Bolehlah. Tang air muka tu ada iras sikit-sikit. Buk Susanti pulang ke mana untuk menyambut lebaran tahun ini? Jakarta? Bandung? Bali? " Soal Elhan sengaja menggunakan loghat Indonesia. Kemudian, dia gelak.

" Eee... Shut up!!! " Jasmine mencebik. Elhan masih galak mentertawakannya. Dia memang geram dengan sikap Elhan yang memang sejak dulu lagi suka mengusiknya. Ada kala semasa dia sedang serius pun Elhan selalu nak main-main.

" Takdelah, I bergurau aje. Jangan masam sangat muka tu. Senyum sikit, " pujuk Elhan.

Barulah Jasmine tersenyum kembali. Melihat senyuman manis di wajah tampan Elhan sesiapa saja boleh tersenyum kembali. Silap-silap angau sampai tahun depan.

" Kalau ada rezeki I kahwin nanti I jemput you makan nasi minyak I pulak. Waktu tu kalau you datang lambat jugak I tak nak kawan you lagi, " seloroh Elhan sambil memandang Jasmine. Kemudian dia tertawa lagi. Namun, kali ini Jasmine beriak serius.

" Maksud you... Daneen?" Hati perempuannya sedikit terusik ketika menyebut sepotong nama itu.

Senyuman Elhan perlahan-lahan mengendur. Sengaja dia melingas ke kiri dan kanan mengisi tabir matanya dengan figura tetamu walhal hatinya sedang galau tatkala Jasmine membangkitkan soal gadis itu. Yalah, siapa lagi kalau bukan Daneen Hayyani yang dia tunggu selama ini.

" I bukan nak menyibuk urusan you Elhan. Tapi masa you masuk meminang pun, dia biarkan lamaran you tergantung sampai sekarang. Alih-alih, dia dah lari ke Istanbul. "

" Dia bukan lari. Dia cuma perlu masa. "

" Itu kata dia. Secara halusnya dia cuma nak tolak pinangan you. Mungkin dia tak sampai hati nak tolak macam tu aje. "

" Dia suruh I tunggu. Bagi dia masa nak fikir. You pun tahu kan, bukan senang nak buat keputusan macam tu, " jawab Elhan cuba bersangka baik. Dia tidak mahu dianggap obsesif perihal nikah kahwin.

Jasmine mengeluh kecil. " I bukan apa, I just want you to know your worth. Kalau you sorang aje yang beria-ria nakkan dia tapi dia tak bersungguh dengan you, I think it'd be better if you back off. Ramai lagi yang tahu nak hargai you, " tutur Jasmine lembut.

Elhan terpana. Air muka Jasmine memancar sebuah aura, menitipkan sebuah rasa yang terzahir dari lubuk hatinya. Namun, ada bebanan lain di kala ini mengusir jauh perasaan itu bagai titisan embun. Di kala mengering tiada berbekas di dalam hati Elhan.

" Jas... Elhan, jomlah makan. Perut ni pun dah tak tahan sangat nak makan nasi minyak tu. " Arif yang datang entah dari mana tiba-tiba menerjah perbualan mereka.

" Hah elok sangatlah tu. Kau pergi ajak Jasmine makan dulu. Aku nak pergi siapkan kerja sikit. Nanti dah siap aku join korang. "

" Cara cakap macam bagi chance aje kat kita orang nak dating, " ujar Arif seraya tersenyum nakal. Dia mengerling Jasmine di sebelah.

Jasmine tergelak. " Merepek ajelah you ni Arif. Taste you bukan a little bit chinese ke? "

" Itu dulu. Bila I jumpa you terus I tukar taste nak cari perempuan yang ada darah kacukan Scottish pulak. Jasmine, you are the apple of my eyes, " balas Arif sambil memandang Jasmine dengan senyuman nakal. Elhan hanya tersenyum.

" Eee... Statement dia tak boleh blah. Berdiri bulu roma I tau. " Jasmine berjenaka. Dari dulu lagi, Arif gemar mengusiknya begitu.

" Haah. Memang epal lah sangat. Kau pulak nak jadi apa? Pakai kuning dari atas ke bawah. Ini kalau budak-budak nampak benda kuning macam ni, dari jauh lagi dia orang dah lari berkerumun dekat kau sebab ingatkan pikachu tau, " seloroh Elhan sebelum tawa mereka tiga sahabat meletus jua. Memang menonjol sangat pakaian Arif hari ini. Mengalahkan pengantin.

" Amboi! Pikachu pulak dah. Aku pakai ni sebab mak aku yang sediakan. Anak soleh mesti ikut pilihan mak bapak. " Arif angkat kening tanda bangga.

" Bila nak kahwin tahu pulak nak ikut pilihan sendiri." Elhan semakin galak menyakat Arif.

" Betul. Sentiasa on demand, " sambut Jasmine sepakat dengan Elhan untuk mengenakan Arif. Kemudian, tawa mereka meledak dengan serta merta.

" Apa? You pun sama aje nak bersekongkol dengan dia apasal. Tak aci!" Arif tarik muka. Elhan dan Jasmine sama-sama mentertawakan Arif. Masuk air betul masing-masing!

" Aduh. Melayan kau ni sampai majlis habis pun tak sudah. Dahlah, korang pergi makan dulu dekat meja depan sana. Kejap lagi aku join. "

" Cantik sangat tu. Jom Jas, " ajak Arif seraya membiarkan Jasmine mengambil langkah mendahuluinya.

****

Di anjung rumah kayu itu, doktor Khalida mengajak Puan Farida berbual-bual dengan Hanan dan Lukman. Selang beberapa minit berbual, kedua mempelai itu pergi menjalani sesi penggambaran dengan jurugambar pula. Tetamu pun sudah ramai yang beransur pulang oleh kerana malam bakal melabuhkan sauhnya sebentar lagi.

" Rajin saya tengok si Elhan tu buat kerja dari tadi tak berhenti-henti. Orang lain kalau majlis adik sendiri sibuk nak bergaya, dia pulak sibuk nak jadi orang kuat dekat belakang sana, " ujar Puan Farida sambil menyoroti pandangan matanya ke arah Elhan yang sedang menyapu sampah di halaman.

" Elhan memang macam tu. Dia suka sibukkan diri kalau ada banyak benda nak fikir. " Terdengar doktor Khalida mengeluh berat. Ruang yang dibiarkan sepi seketika seakan membuka ruang buat Puan Farida mengupas lebih lanjut soal itu.

" Kenapa kak Aida? Elhan kecewa pasal Daneen tak bagi jawapan lagi ke? " Soal Puan Farida penuh rasa bersalah.

Doktor Khalida berjeda. " Rasanya. Walaupun dia tak cakap tapi naluri akak sebagai seorang ibu kuat mengatakan dia tak okey. Mungkin Daneen dah ada pilihan sendiri kut Ida sebab tulah dia tak bersetuju dengan lamaran Elhan?"

" Saya kenal anak saya tak mungkin dia ada pilihan sendiri, " balas Puan Farida yakin. Selama ini perihal luar dan dalam anak-anaknya dijaga dengan cukup rapi. Mustahil Hayyani boleh bercinta dengan sesiapa tanpa pengetahuannya.

" Daneen takde cakap bila dia nak balik? " Soal Doktor Khalida sambil memandang tepat wajah Puan Farida.

" Erm... sebenarnya kak, Daneen janji dengan saya nak ke sana sebulan aje. Saya pun tunggulah sebulan, dua bulan, sekarang ni dah dekat 3 bulan pun tak balik lagi. Bila ditanya bila nak balik boleh pulak dia kata tak pasti, " cerita Puan Farida. Runsing kepalanya memikirkan anak gadisnya yang seorang itu.

" Entah-entah dia ada masalah dekat sana kut. Yalah, budak zaman sekarang ni bukan mudah nak dibaca macam orang muda dulu-dulu. Kita sebagai ibulah yang kena banyak bersabar, " kata doktor Khalida sempat menyelitkan nasihat dalam bicaranya.

" Itulah... saya bukan tak risau. Risau dekat dia. Entah buat apa, dekat lubuk mana, hidup macam mana dekat sana. Yalah... negara orang kak. Saya takut kalau jadi apa-apa pulak, " luah Puan Farida risau kedengaran suaranya.

Doktor Khalida menggenggam tangan Puan Farida. Cuba menitipkan ketenangan.

" InsyaAllah... jangan fikir yang bukan-bukan. Daneen tu dah besar. Pandailah dia jaga diri dekat sana. Selagi dia update keberadaan dia, kita dekat sini tak payahlah risau. Doa Ida sebagai ibu kan sentiasa ada untuk jadi pelindung dan kekuatan Daneen dekat sana. "

Puan Farida melorek senyum nipis. Kata-kata itu berjaya mematahkan kerunsingannya paling kurang buat seketika.

" Insyaallah kak. Tapi saya nak mintak maaf banyak-banyak dekat akak kalau nanti Daneen tak setuju dengan lamaran Elhan. Harap sangat tak masin mulut saya ni. Saya boleh kerahkan dia untuk ikut permintaan saya sebelum ni. Tapi kalau pasal kahwin, keras kepalanya lain macam sikit. Maaf ya, kak."

" Takpelah, kita tunggu kata putus dari Daneen dulu. Yang penting sekarang dia balik dengan selamat aje. Pasal pinangan tu tolak nombor dua. "

Puan Farida tersenyum mendengar bicara tulus doktor Khalida. Wanita pertengahan 50 an itu sangat baik hati sehingga dia tidak tega untuk menolak pinangan Elhan. Namun apalah kuasa yang dia miliki untuk memaksa Hayyani menerima. Hati ibunya hanya mampu memanjat doa agar segalanya dipermudahkan nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience