Hayyani menongkat dagu sambil merenung hampa layang-layang yang telah disiapkan bersama Elhan tadi. Baru saja mereka hendak menerbangkan layang-layang tadi, hujan mula turun dengan lebat. Jadi, mereka duduk di bawah pondok kecil berharap hujan akan reda.
" Itulah. Ejek saya punya layang-layang buruk tadi. Tengok dah hujan. Tuhan tak suka orang yang berlagak tau." Elhan menggeleng kepala. Sesekali dia menadah tangannya membiarkan titis-titis hujan jatuh pada telapak tangan.
Hayyani mencebik. " Eleh, memang layang-layang awak buruk pun. Saya jujurlah."
" Habistu macam mana ni?" Hayyani membuktikan keresahannya. Dia berdiri di sebelah Elhan dan turut meniru perlakuan lelaki itu.
" Macam mana apa? Baliklah. Kita bukan ada kuasa supernatural pun boleh hentikan hujan ikut suka hati, " balas Elhan tanpa riak.
Hayyani terpukul. Kenapa macam menyakitkan hati aje kenyataan dia?
" Memanglah. Saya pun bukannya ahli kaji cuaca boleh ramal bila hujan turun. Tak expect pun akan hujan di petang hari yang indah ni. "
" Tahu pun. Dah Tuhan nak kasi hujan terima ajelah. Tadi sibuk mengadu panas siap suruh saya belikan aiskrim. Sekarang mengeluh hujanlah, sejuklah," bebel Elhan tak henti.
Hayyani terkesima kejap. Mamat ni nak menurun perangai ibu ke? Membebel tak tentu pasal.
" Alah, saya baru nak main layang-layang. Kita tunggulah kejap, eh? Saya tahu kejap lagi mesti berhenti punya, " pujuk Hayyani cuba berdiplomasi. Mana boleh balik sekarang. Semangatnya untuk berjuang masih berapi.
" Mana ada berhenti. Nampak macam hujan sampai malam ni. Jomlah kita balik, " ajak Elhan lagi. Dia menanggalkan jaket kulitnya lalu disarungkan pada tubuh Hayyani. Kalau mereka redah saja hujan, pasti akan basah lencun sebelum sampai ke kereta.
Hayyani terkesima dengan perbuatan Elhan. Lantaran itu, dia memandang mata Elhan tak berkedip. Jantungnya turut sama berdegup kencang.
" Kalau nak sangat main awak ajaklah Haleena main petang esok. Takkanlah sebab hujan awak nak merajuk marahkan saya."
Jawapan Elhan buat Hayyani tersedar dari lamunan yang berlarutan selama beberapa detik tadi. Nasib baik Elhan tidak dapat meneka isi hatinya.
" Jap, sekarang ni siapa yang nak tahu jawapan saya? Awak ke Leen? " Hayyani tuding jari kepada Elhan tanda tak puas hati dengan cadangan itu.
" Lain kalilah, eh? Bukannya hujan untuk selama-lamanya pun. Awak punya risau ni bukan-bukan aje, " tukas Elhan. Kemudian, dia melilau sekitar untuk mencari jalan supaya mereka dapat keluar dari situ.
" Senanglah awak nak menipu kalau kita tak bertanding kali ni. Awak takut kalah dengan saya kan? " Tebak Hayyani yang masih belum mengalah.
Elhan menghembus nafas. Cukup sukar untuk dia meyakinkan Hayyani walaupun hanya soal remeh temeh ini. Nak tak nak dia perlu mencari jalan juga kalau tidak sampai ke sudah Hayyani akan menuduhnya yang bukan-bukan.
" Okeylah, kalau macam tu kita tukar plan. Awak nampak budak lelaki dengan mak dia dekat pondok sebelah tu? " Hayyani melihat ke arah yang ditunjukkan Elhan. Terdapat seorang kanak-kanak lelaki bersama ibunya yang sedang menunggu di pondok sebelah. Kemudian, dia mengangguk.
" Senang aje. Kita bagi percuma layang-layang kita dekat dia. Layang-layang siapa yang dipilih, dia menang. " Elhan menetapkan peraturan permainan yang kedengaran mudah.
Dengan tak semena-mena tawa Hayyani terburai. Elhan yang melihat cuma terkebil-kebil. Tak pasti jikalau dia berjenaka tadi.
" Seriuslah? " Soal Hayyani diselangi tawanya yang masih belum berhenti.
Elhan angkat keningnya. " Seriuslah. Awak gelak kenapa? "
Hayyani pegang perutnya yang terasa senak. Rasa puas dapat gelakkan lelaki itu.
" Dah tentu-tentu lah dia pilih saya punya layang-layang. Cantik, ada lukisan. Budak-budak mana suka layang-layang surat khabar lagi. Tak relevan dah dengan zaman sekarang, " perlekeh Hayyani sambil sesekali menjeling ke arah layang-layang berasaskan surat khabar milik Elhan.
Sebentar tadi, mereka pergi ke kedai untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan untuk membuat layang-layang. Tak tahu mengapa dalam banyak-banyak kertas Elhan tetap berkeras nak menggunakan surat khabar juga. Kali ini Hayyani yakin Elhan akan kalah teruk.
" Takpelah, kita tengok nanti. Orang bercakap besar ni selalu rugi. Jom, kita pergi sekarang. "
" Eleh, takut kalahlah tu. Statement bakal runner up betul ni, " ejek Hayyani seraya menjelirkan lidahnya. Sesaat kemudian, dia ketawa pula. Elhan sengaja merenjis air hujan di tangannya ke wajah Hayyani yang tak henti lagi tertawa.
" Eee! Main kotor pulak ya, " marah Hayyani sambil menggosok matanya yang dimasuki air.
" Gelaklah lagi. Kejap lagi kalau awak yang kalah saya gelak pulak. " Elhan tayang muka selamba. Dia mengajak Hayyani berlari ke pondok sebelah sambil membawa layang-layang milik mereka.
Hayyani mengekori lelaki itu tapi dia masih rasa geli hati. Layang-layang kertas semula jadi tu nak dibanggakan? Memang kalahlah kau Elhan.
Sampai saja di pondok sebelah, mereka menyapa ibu kepada kanak-kanak itu. Kemudian, Elhan mula menyoal budak kecil bernama Danial itu pula.
" Adik, uncle dengan aunty nak bagi layang-layang percuma. Kalau adik suka, adik boleh pilih mana-mana yang adik nak. Percuma aje," ujar Elhan sopan santun. Di hadapan Danial, dia melutut dan melemparkan senyuman manis.
Sementara Hayyani yang memerhatikan jadi kagum. Terserlah sifat kebapaan dalam diri Elhan seolah lelaki itu berpengalaman memiliki anak sendiri. Namun, dia tak boleh biarkan sentimen peribadi melemahkan persaingannya.
" Adik jangan risau. Adik tak payah bayar pun. Esok, adik boleh main dengan kawan-kawan," pujuk Hayyani pula yang sudah melutut di sebelah Elhan.
" Betul ni?" Mata si kecil sudah bersinar-sinar.
" Betul, " jawab Elhan dan Hayyani serentak. Kemudian, mereka saling berpandangan sambil tersenyum sesama sendiri. Kemuncak permainan ini bakal ditentukan oleh Danial.
Ada debaran yang menghukum keduanya ketika menunggu Danial membuat pilihan. Sehinggakan Hayyani menutup matanya kerana tak sanggup melihat layang-layang manakah yang akan menjadi pilihan si kecil. Sungguh pun begitu, dia yakin dia boleh menang besar.
" Nak pilih yang nilah. Yang ni tak nak. Warna pink kan untuk perempuan. " Komen yang diberikan Danial mengejutkan keduanya. Si kecil mengambil layang-layang surat khabar milik Elhan sebelum kembali mendapatkan ibunya.
Elhan ketawa besar melihat wajah bengang Hayyani. Jujur, dia tidak menaruh harapan besar bahawa layang-layangnya akan menjadi pilihan apabila bertanding dengan layang-layang secantik Hayyani. Nampaknya, dia perlu meraikan kemenangan ini.
" Tengok, saya dah cakap jangan cakap besar. "
Hayyani ketap bibir. Bencinya kalah dengan mamat annoying ni! " Whatever. Saya nak balik."
Namun, entah bagaimana ketika Hayyani menyusun langkah untuk ke pondok mereka kembali, dia tersilap langkah sehingga hampir jatuh terduduk dalam lopak air.
" Argh! "
Elhan yang menyaksikan kejadian itu terus menerpa Hayyani. Dia memaut pinggang Hayyani dan menahan gadis itu daripada terjatuh. Buat beberapa ketika, mata mereka bertaut lama. Bagai berada di dunia sendiri, mereka tidak sedar akan titisan hujan yang semakin melencunkan pakaian mereka.
Klisenya, macam dalam drama. Detik hati Elhan. Tapi dia tidak dapat menafikan gelodak yang tiba-tiba berbangkit dalam hati lelakinya. Yang ini, bukan klise. Perasaan ini adalah kenyataan. Pertama kali melihat Hayyani sedekat ini, dia jatuh cinta sekali lagi.
" Boleh saya jujur dengan awak tentang satu perkara? " soal Elhan lembut dengan panahan matanya yang mengancam.
Hayyani tak mampu berkata-kata. Apa ni? Kenapa lidah aku kelu? Kerana malu, Hayyani mengalihkan pandangan ke tempat lain.
" Boleh awak jujur dengan saya lain kali? Tarik saya dulu. "
" Please, hear me out." Kali ini Elhan merayu dengan gemersik suaranya yang menampan cuping telinga.
" Apa dia? " Hayyani seakan-akan hanyut dalam panahan mata itu.
" Awak berat sebenarnya. " Tanpa diduga, Elhan melepaskan Hayyani secara perlahan-lahan sehingga terduduk dia dalam lopak air itu.
" Elhan!" Hayyani terjerit tanda geram. Satu jelingan maut dilayangkan kepada Elhan yang masih galak tertawa. Pakaiannya yang sudah lencun ditarik dengan wajah berkerut. Kotor. Malu pun satu hal lagi!
" Alang-alang dah basah tu biarlah basah satu badan. Awak pun dah lama tak mandi hujan kan, " usik Elhan yang tak henti tertawa.
" Shut up!" Bentak Hayyani. Sungguh pun begitu, dia sempat terpegun dengan pesona Elhan yang sesekali meraup rambut basahnya ke belakang. Bajunya yang basah melekap di tubuh tegapnya pula. Nampak segak benar di mata Hayyani.
Ah, tak peduli! Kacak tapi kurang asam pun tak ada guna. Rasa nak benam aje mamat tu ke dalam perut bumi!
****
Hayyani turun dari tangga selepas membersihkan diri apabila tekaknya yang terasa kering meminta untuk dibasahkan. Kemudian, dia bergerak ke dapur dan sebelum sampai ke anak tangga terakhir, dia dapat melihat kelibat Elhan sedang duduk berseorangan di meja pulau. Kalau nak ikutkan hati dia masih lagi geram dengan lelaki itu rentetan peristiwa petang tadi. Tak cukup dengan itu ibu beria-ria sangat meminta Elhan bermalam di rumah mereka malam ini. Alasan ibu kerana rumah Elhan jauh di Shah Alam.
" Inilah anak kesayangan ibu. Putera yang tertukar. Itu yang sayang sangat sampai tak tahu nak beza anak orang dengan anak sendiri," omel Hayyani sendiri.
Langkah kaki diorak untuk mengambil air mineral di dalam peti sejuk lalu dia duduk di depan Elhan untuk minum.
" Awak demam ke? " Soal Elhan prihatin. Dia lihat wajah Hayyani sudah berubah pucat dan hidungnya sedikit kemerah-merahan. Semerta, ada rasa simpati yang bergayut di tangkai hati.
" Semua salah awak. Kalau awak tak biarkan saya jatuh dalam lopak air tu mesti saya tak demam. " Hayyani masih tak berpuas hati. Bila ingat kembali bagaimana Elhan boleh lepaskan dia tadi, hatinya jadi nanar.
" Tengok. Sikit-sikit nak salahkan saya. Salahkan antibodi awaklah. Kena hujan sikit demam, jatuh dalam air sikit selesema. Cuba tengok saya, sihat aje walaupun kena hujan."
Kata-kata itu buat Hayyani bercekak pinggang. Kecil besar saja matanya melihat lelaki itu.
" Amboi! Berlagaknya bercakap. Ni, saya nak tanya. Berapa lama awak nak tidur rumah saya?"
Soalan itu dibiar sepi seketika. Ikutkan Elhan tak mahu mengambil cuti. Tapi oleh kerana Puan Farida sudah beria-ria memintanya tidur di situ, dia menerima juga tawaran Arif siang tadi.
" Dalam sehari dua lagi saya baliklah, " jawab Elhan ringkas. Hayyani terbeliak. Mungkin Elhan sedang bergurau.
" Awak serius boleh tak?"
" Eh, seriuslah ni. Saya pun bukannya tiap-tiap jam nak main-main aje. Sehari dua lagi saya baliklah. Lagipun ibu awak kata dia ada dekat rumah masa students cuti sem, " jelas Elhan sambil memandang Hayyani yang kelihatan terpinga-pinga.
" Doktor apa yang selalu ada masa lapang macam ni? Bukan doktor selalu sibuk ke? Entah-entah awak tu cuma driver ambulans part time aje tak. " Hayyani membuat andaian sendiri. Selepas itu, dia mengimbas imej Elhan dari atas ke bawah dengan pandangan curiga. Ya tak ya aje mamat ni pakar bedah.
" Yeke? Saya rasa awak tu yang sentiasa ada masa lapang. Itu yang setiap masa kerja nak marah-marah kat orang aje. Nanti kalau Faizul ambil awak kerja, cakap dekat dia bagi kerja lebih sikit tau. Kurang sikit masa nak marah-marah nanti. " Elhan memulangkan paku buah keras dengan setenang yang boleh. Kemudian, dia bergerak mendapatkan waist bag miliknya dan mengeluarkan beberapa plastik kecil berisi ubat.
" Makan dua biji. Yang ni sebiji. Awak ada simptom nak demam dan selesema. Baik makan ubat awal-awal." Elhan meletakkan dua biji ubat demam dan sebiji ubat selesema yang sememangnya sudah dibekalkan dalam begnya setiap kali hendak ke mana-mana. Dia menuang segelas air kosong dan meletakkannya bersama dengan piring kecil berisi ubat tadi di depan Hayyani. Kemudian, dia beredar dari situ.
Hayyani hanya terkebil-kebil memerhatikan. Tapi sejujurnya dia terharu dengan perbuatan Elhan. Sejuk sikit hati. Ada juga orang yang pedulikan dia sekurang-kurangnya.
" Saya naik tidur dulu. Tidur awal supaya banyak tenaga nak marah driver ambulans part time ni esok. Selamat malam. "
Hayyani di situ tidak mampu mengeluarkan walau sepatah kata lagi. Dia memerhatikan saja tindak tanduk Elhan dengan hati yang dimamah rasa jengkel. Ibu kata kena layan tetamu elok-elok. Tapi kalau tetamu yang menyakitkan hati macam ni makin dilayan makin sakit jiwa.
Share this novel