Bab 41

Romance Completed 15392

" Aku terima nikahnya, Daneen Hayyani binti Sulaiman dengan mas kahwinnya RM1000 tunai."

Dengan sekali lafaz, Hayyani sah bergelar isteri kepada Elhan. Masjid Putra menjadi saksi terbinanya sebuah lagi masjid atas izin Ilahi. Setelah hari-hari yang mereka lalui sebelum ini mencabar kesabaran, akhirnya Elhan berjaya mengecapi pernikahan dengan gadis idamannya.

Selepas Elhan menunaikan sujud syukur, tibalah saat untuk kedua mempelai membatalkan air sembahyang. Elhan melutut di hadapan Hayyani yang sedang duduk bersimpuh. Dagu isterinya yang sedang tertunduk dicuit lalu didongakkan memandangnya. Mata mereka bertaut lama mengundang debar pada keduanya. Jurugambar profesional termasuk jurugambar tidak bertauliah yang lain tidak melepaskan peluang untuk merakam momen indah ini.

Pertama kali melihat Hayyani sedekat ini, hati Elhan berdegup bukan kepalang. Si jelita di hadapannya ini telah sah menjadi miliknya. Saat itu dia berikrar untuk melindungi pernikahan mereka walau apa pun yang terjadi.

Selesai menyarung cincin di jari manis Hayyani, kini tiba giliran Hayyani pula untuk menyarung cincin di jari Elhan. Pada mulanya dia teragak-agak untuk berbuat demikian namun disebabkan ada berpasang-pasang mata memanah mereka, dia gagahkan jua diri.

Dapat dirasakan kucupan hangat yang singgah di dahinya apabila Elhan melabuhkan ciuman. Lama. Sehingga Hayyani terpaksa menolak lembut tubuh Elhan menghentikan perlakuan itu. Dia masih belum dapat mengikhlaskan perbuatan Elhan terhadapnya. Sanubarinya masih terkandung rasa kecewa.

" Alhamdulillah. Selamat pengantin baru Daneen. Ibu sentiasa doakan keberkatan dalam rumah tangga anak ibu ni, " ucap Puan Farida seraya mencium kedua belah pipi Hayyani. Menitis air matanya saat si anak gadis sah menjadi milik seseorang.

Hayyani tak mampu menahan sebak. Tubuh ibu didakap juga. Hanan dan Haleena yang menemani di sebelah turut memeluknya. Masing-masing berasa sebak dan gembira pada masa yang sama.

" Umi jangan menangis. Elhan tetap anak umi yang sama. Tanggungjawab Elhan pada umi tetap berjalan walaupun Elhan dah kahwin. Elhan sayang umi," ungkap Elhan sambil menyeka air mata di wajah Doktor Khalida. Dia cuba memujuk umi yang berasa begitu sebak.

Bahkan hati lelakinya turut terusik sehingga menitiskan air mata. Tubuh umi didakap dengan rasa kasih tak bertepi. Kemudian, pipi tua itu dikucup berkali-kali. Selepas ini dia tidak berpeluang untuk dimanjakan umi lagi.

" Congratulations, Elhan and Daneen. Hopefully perkahwinan you guys akan kekal dalam keabadian. Please be happy until forever cause I can't wait to see Elhan and Daneen's junior, " ucap Jasmine dengan senyuman yang terletak manis di bibirnya.

Ketika itu, mereka sedang menghadiri jamuan makan di rumah Hayyani selepas majlis pernikahan. Sejak awal, Arif tak lepas mencuri pandang Jasmine yang kelihatan jelita sehingga mempesonakan kaum lelaki yang melihatnya. Walaupun ucapan itu kedengaran ikhlas, namun dia tahu bahawa Jasmine sedang menyembunyikan rasa hati. Wanita itu sungguh pandai menutup kepincangan perasaan sendiri.

" Thank you Jas," balas Elhan. Sedih pula apabila sudah menamatkan zaman bujang. Namun dia akan memastikan persahabatan mereka tetap mekar.

" Thank you, Jasmine. Thank you sebab datang hari ni. "

Hayyani melagakan pipi dengan Jasmine. Kemudian, mereka saling berbalas pelukan. Bukan mudah bagi Hayyani untuk kembali mempercayai Elhan dan meneruskan pernikahan mereka kalau bukan kerana Jasmine. Wanita itu sudah banyak membantu menjernihkan semula kekeruhan dalam hubungannya dengan Elhan.

" Jomlah, kita berbual dekat sana," ajak Hayyani seraya mengiringi Jasmine untuk ke bawah kanopi di mana terdapat ahli keluarga dan sahabat terdekat yang sedang berbual sambil menikmati juadah.

Sempat Jasmine memberi isyarat mata kepada Elhan sebelum mengekori Hayyani. Isyarat mata memintanya tabah dan memberikan ruang buat Hayyani. Elhan angguk tanda faham. Nak buat macam mana orang dah benci.

" Selamat pengantin baru, bro! Selamat menempuh fasa paling mencabar dalam hidup. Jadi ketua keluarga ni kena lagi banyak sabar kan. Nak, nak pulak bini tengah merajuk. Merana member dibuatnya. " Giliran Arif pula untuk berucap. Bahu temannya itu ditepuk. Kemudian, dia ketawa sendiri.

Elhan ukir senyum nipis. Kata-kata Arif memang ada makna tersirat di sebaliknya.

" Double meaning, eh. Tulah, aku risau tapi aku kena hadap jugak semua ni nanti. Aku punca semua masalah ni jadi. Nak tak nak kenalah bertanggungjawab."

Arif menggeleng tanda bangkang. Bahu temannya itu dipaut kemas.

" Semua ni bukan salah kau. Tapi salah pengecut yang buat fitnah dekat korang tu."

" Mula-mula aku tak fikir sangat, Rip. Tapi lama-lama aku mula perasan orang yang tulis surat tu macam dia tahu segala-galanya yang terjadi antara aku dengan Louisa dekat sana. Seolah-olah dia ada dekat sana jugak. Terperinci semua yang dia tulis. Aku still terkejut sampai sekarang, " ujar Elhan tentang apa yang bermain di fikirannya.

Sehingga kini dia merasakan bahawa penulis surat itu adalah orang terdekatnya juga. Namun, dia tidak boleh serkap jarang terhadap sesiapa walaupun gerak hatinya kuat mengatakan itu. Tidak tertinggal walau sebarang fakta pun mengenai cerita hidupnya di sana dalam surat itu.

" Alah bro, biasalah kalau orang nak buat fitnah dia akan cuba kaburkan mata semua orang. Kebenaran dengan fitnah pun sampai boleh jadi keliru. Tak payah fikir sangatlah." Arif mengusir anasir-anasir negatif yang merangsang pemikiran Elhan. Bimbang temannya terlebih memikirkan pula.

Elhan mengukir segaris senyuman. Terhakis keresahan di jiwanya paling kurang pun untuk seketika. Dia mahu fokus dengan majlis dan memperbaiki hubungan dengan Hayyani dahulu.

" Thanks, bro. "

Dikerling sekilas Hayyani yang sedang berbual mesra dengan Jasmine di bawah kanopi sana. Terbit senyuman di wajahnya saat menyaksikan Hayyani tertawa senang walaupun bukan dia sebagai penyebabnya. Tak apalah. Asalkan isterinya gembira, dia tidak mengapa.

" Sebelum aku terlupa, aku dah tanya syarikat kurier untuk periksa identiti pengirim surat dalam database syarikat. Tapi dia gunakan nama dan alamat palsu. Kita tak dapat detect penghantar sebenar, " cerita Arif sambil memandang kawasan sekelilingnya. Bimbang pula ada yang terdengar.

Elhan melepas keluhan berat. Buat seketika, berita itu membuatkan dia tertunduk akur akan suratan. Selepas persengketaan antara dia dan Hayyani terjadi, dia meminta bantuan Arif untuk menyiasat dalang yang menyebarkan fitnah itu. Namun kini, ternyata dia takkan dapat menemukan pelakunya.

Arif memeluk bahu Elhan. Dia mengerti temannya itu berasa marah dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menabur fitnah itu. Mana tidaknya, sampai hampir putus tunang dibuatnya.

" Kau tak payah fikir sangatlah bro. Kau tu baru aje kahwin. Dah ada tanggungjawab lain. Jaga bini baik-baik. Lepas ni fokus untuk baiki hubungan korang aje, " nasihat Arif penuh makna. Dia cuba mengembalikan keceriaan Elhan. Seharusnya pengantin baru berbahagia pada hari bersejarah dan melupakan semua titik kedukaan paling kurang buat sementara waktu.

Elhan tersenyum kembali. Dari dulu, Arif memang tak pernah gagal meneguhkan semula semangatnya tatkala gontai. Dia yakin fitnah itu adalah ujian mahupun kafarah Allah atas dosa silamnya.

****

Tatkala malam membuka tirainya, menyajikan suasana yang nyaman dan cukup romantis bagi tiap-tiap pasangan bercinta. Namun, adakah malam itu bisa menjadi malam romantis buat Elhan dan Hayyani sedangkan ada sengketa yang masih berlarutan antara mereka. Walaupun sukar, Elhan tetap mahu berusaha untuk mencuri hati isterinya semula.

Sejadah dilipat setelah selesai menunaikan solat Isyak. Elhan mengurut belakang lehernya yang terasa lenguh. Sendi dan uratnya juga terasa sengal dan berbisa menuntut tubuhnya mendapatkan rehat yang cukup. Perlahan-lahan dia mula duduk di birai katil.

Gerak geri Hayyani yang sedang menyikat rambut diperhatikan melalui pantulan dari cermin. Pertama kali melihat rambut panjang dan bentuk tubuh Hayyani, hati lelakinya disapa getaran yang luar biasa. Mulai hari ini, setiap inci kecantikan isterinya hanya eksklusif buat dirinya yang bergelar suami saja. Betapa beruntung dirinya memiliki wanita seperti Hayyani.

" Aisyah tu anak angkat awak kan? Kenapa awak perkenalkan dia sebagai saudara mara awak? " Tiba-tiba Hayyani melemparkan soalan itu. Dia mengenali Aisyah sejak berjumpa di majlis kesyukuran tempoh hari. Waktu itu, Elhan memperkenalkan Aisyah sebagai sepupu.

" Saya cuma tak nak awak fikir bukan-bukan. Lagipun tak ramai yang tahu tentang Aisyah lagi, " jawab Elhan tenang sambil menepuk-nepuk bantalnya. Dahulu dia benar-benar tiada pilihan lain kerana dia belum pasti dengan penerimaan Hayyani ketika itu.

" Saya rasa berterus terang lebih baik. Saya tak suka orang tipu saya walaupun awak anggap perkara tu kecil. Saya benci pembohong," ujar Hayyani sengaja menekankan perkataan di hujungnya.

Terasa menusuk sampai ke dasar hati Elhan namun dia tetap bersabar. Dia sudah mati akal bagaimana untuk memahamkan Hayyani. Sebelum berkahwin lagi dia sudah mempersiapkan mental untuk menghadapi apa jua kritikan yang bakal Hayyani lemparkan kepadanya.

Hayyani bergerak untuk mengambil selimut lebih di dalam almari dan sebiji bantal di atas katil. Kemudian, dia berbaring di atas sofa. Terkebil-kebil Elhan melihat isterinya itu.

" Kenapa awak tidur dekat situ? Katil luas nak tidur atas sofa buat apa. Meh, tidur sini, " gamit Elhan lembut. Ruang di sebelahnya ditepuk.

" Saya rasa belum bersedia nak berkongsi katil dengan sesiapa. Awak tidurlah situ. Lagipun awak tetamu. "

Elhan menghela nafas panjang. Begitu sukar untuk dia mendapatkan semula kepercayaan Hayyani. Dia belum pasti sampai bila Hayyani akan melayannya dingin begini.

" Saya bukan setakat tetamu lagi tapi saya menantu dalam rumah ni. Suami awak. Salahkah saya mintak isteri saya tidur sebelah saya? " Sebal perasaan Elhan saat dia menujah persoalan. Tergamak Hayyani menggelarnya tetamu.

Hayyani tersenyum sinis. Tanpa menghiraukan sang suami, dia terus menarik selimut menutupi separuh tubuhnya.

" Pandang muka awak pun saya rasa tak boleh. Awak rasa saya boleh tidur sebelah awak? "

Pernyataan yang tajam itu semakin mencantas nipis kesabaran di dada Elhan. Semakin dia cuba berbaik dengan Hayyani, isterinya itu semakin giat menyakitkan hatinya.

Tanpa bisa menahan diri lagi, Elhan bergerak dan merapati isterinya.

" Daneen Hayyani binti Sulaiman. Sejak kita sah diijab kabul tadi, kita dah buat perjanjian untuk hidup sama-sama. Jadi nak tak nak muka nilah yang awak kena tengok, suara nilah yang awak akan dengar dan tangan nilah yang akan awak cium. Saya rasa awak cukup sifat untuk faham semua tu, " kata Elhan tegas. Bagaimanapun, tidak sedikit wajah Hayyani menunjukkan walau sekelumit penyesalan.

" Jangan berlagak macam tahu agama sangat kalau awak sendiri pun terumbang ambing. Saya tahu tanggungjawab saya. Lagipun saya dah ingatkan pada awak awal-awal lagi yang saya tak pasti kalau saya boleh jadi isteri yang sebenar-benarnya lepas kita kahwin. Jangan berharap sangat pada saya, " bidas Hayyani yang jelas tidak berpuas hati atas kata-kata Elhan. Egonya tercabar saat Elhan mempertikaikan tugasnya sebagai isteri.

Wajah Elhan berubah tegang. Bebola matanya pun sudah terasa semakin panas. Rahangnya bergerak-gerak cuba menahan gelodak kemarahan yang berbangkit di jiwa. Pedih hatinya umpama ditusuk beribu-ribu pisau yang menghunus tanpa belas.

" Daneen Hayyani binti Sulaiman... saya maafkan awak, " tekan Elhan dengan tenungannya yang tajam tidak berani ditentang Hayyani.

Malam itu, kedua-dua pasangan pengantin baru tidur berendam air mata. Tenggelam dalam kesedihan masing-masing. Sememangnya bukan ini yang diingini oleh Elhan ketika menikahi Hayyani. Namun, dia masih bersangka baik pada Tuhan bahawa mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar untuk menebus dosa yang terpalit pada papan sejarah hidupnya kerana banyak mempermainkan hati wanita.

Di sebelah Hayyani pula, esakannya rebah dalam kepedihan. Bukan niat untuk menghukum Elhan tetapi perasaan kesal, kecewa dan sedih bercampur aduk dalam diri mula mengelirukan jalan cerita hikayat mereka yang baru saja hendak bermula. Akankah pelangi menjengah ataupun selamanya mereka perlu bertahan dalam ribut petir yang melanda hubungan ini? Hanya Tuhan yang tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience