Range Rover berona hitam metalik yang berhenti di perkarangan rumah membuatkan Arif menjengah di sebalik tingkap. Tidak lama selepas itu, dia melihat Jasmine melangkah keluar dari perut kereta lalu menekan loceng rumah. Kemudian, dia melihat wanita itu mengeluarkan telefon bimbit seperti hendak menelefon seseorang.
Nada dering yang terhasil daripada telefon bimbit di atas meja kopi di ruang tamu mencuri perhatian. Lantas Arif capai namun panggilan itu tidak terus dijawab. Setelah beberapa kali, barulah dia tergerak untuk menyambut panggilan Jasmine.
" Helo, Arif? Arif you menghilang ke mana selama ni. Seminggu dah you tak datang kerja. I just wanna check on you. I dengan Elhan risaukan you. Please, bukak pintu ni. I tahu you ada dekat dalam." Suara Jasmine di hujung talian kedengaran risau.
Sebenarnya Elhan mahu ikut sama tapi dia berkeras meminta Elhan memberikannya ruang untuk bercakap dengan Arif secara peribadi terlebih dahulu. Itu pun sebenarnya Elhan sudah syak antara mereka berdua ada konflik yang sedang berlaku.
" I rasa lebih baik you balik," balas Arif tak bernada. Dia tidak tahu bagaimana harus berhadapan dengan Jasmine lagi. Hatinya pasti akan sakit apabila mengenangkan cintanya yang telah ditolak.
" Sampai bila mesti you mengelak dari I? I ada sesuatu nak beritahu you. Please, open the door dan jumpa I dekat luar. "
Panggilan ditamatkan sebelum Jasmine sempat mendengar jawapan dari Arif. Kepala yang tidak sakit dipicit bersama keluh kesah yang kian mencengkam. Dia menjengah di celahan pintu pagar lalu meliarkan bebola matanya ke seluruh kawasan. Sungguh, dia amat merisaukan keadaan Arif kalau lelaki itu terus mengelak untuk bertemunya sekarang.
Mujurlah, tidak lama selepas menunggu, bayang Arif mula kelihatan. Sekurang-kurangnya dia lega apabila melihat Arif di depan mata. Pintu pagar terbuka lalu Jasmine mendekati Arif.
" Macam mana keadaan you sekarang?" soal Jasmine prihatin seraya mengimbas batang tubuh Arif dari atas ke bawah. Sampai begitu sekali Arif patah hati kerananya sehingga kesihatan dan kebersihan sendiri pun terabai dan tidak terurus. Ada segenap rasa bersalah yang menyelinap ke daerah hati.
Jasmine meletakkan tapak tangannya pada dahi Arif pula. " You demam Arif. Panas badan you ni."
" I rasa you tahu yang I pun doktor. Pandai-pandailah I jaga diri sendiri," kata Arif dingin seraya menepis tangan Jasmine. Biarpun sederhana, namun cukup untuk menampan pendengaran Jasmine justeru membuatkan wanita itu terkesima seketika.
Jasmine menghembus nafas berat. " Arif, I nak you tahu yang I sangat sayangkan persahabatan kita. I tak nak disebabkan perkara remeh ni hubungan kita renggang."
Pandangan Arif berubah tajam sepenuhnya kepada wanita itu. Kata-kata Jasmine yang dianggap enteng itu menampan cuping telinganya menimbulkan kepedihan di jiwa. Ego lelakinya rasa tercalar.
" Perasaan cinta I bukan satu perkara remeh bagi I, Jasmine. Mungkin bagi you remeh tapi sangat berharga untuk I. Jasmine, I sanggup tunggu seberapa lama pun untuk you balas perasaan tu. I percaya masa akan ubah takdir kita, " ujar Arif dengan harapan yang digarapkan bersama di penghujung katanya. Terasa seolah dirinya yang sihat sempurna sebelum ini telah menjadi buta dan tuli kerana cinta. Mengemis secebis simpati daripada Jasmine walaupun dia sedar perasaan itu tidak akan berubah menjadi cinta.
Jasmine pula seakan hilang kata. Dia memandang wajah sugul Arif dengan mata yang berkaca. Sejujurnya, dia sudah mati akal tentang bagaimana lagi harus dia perkatakan bahawa dia tidak mampu merubah perasaan sayangnya kepada Arif selayaknya seorang sahabat menjadi sesuatu perasaan yang bersifat romantisisme.
" Arif, I hargai perasaan you pada I. Cuma, I lebih hargai kalau kita boleh kekalkan hubungan kita setakat kawan. You lelaki yang baik Arif. You seorang yang bertimbang rasa dan prihatin. Akan ada lebih ramai yang layak dapat cinta you berbanding I. "
Arif meraup kasar rambutnya. " Arghh!! Semua tu klise. Cakap ajelah yang you tak sukakan I. Yang cinta you tu hanya untuk Elhan. Tak payah nak jaga hati I sangat, " bidasnya dengan suara yang lantang sehingga bahu Jasmine terhincut gara-gara terkejut.
Perasaan Arif pedih terhiris. Bodoh! Tak habis-habis dengan Elhan. Elhan juga yang dipuja. Elhan jugalah yang mendapat tempat di hati semua orang. Apa tidak layakkah dia memiliki kasih sayang seperti yang Elhan terima? Jiwanya terasa benar-benar bergelodak saat ini.
" I minta maaf sebab selalu menjauhkan diri dari you. I cuma serba salah nak cakap dengan you pasal ni. I takut akan lukakan hati you tapi percayalah Arif, I tetap hargai you sebagai kawan baik I. Maafkan I kalau I pernah bagi harapan pada you, " ujar Jasmine cuba meredakan kemarahan yang berbangkit di dada lelaki itu. Salahnya juga. Mungkin selama ini tanpa sedar dia telah membuat Arif berharap kepadanya.
Bebola mata Arif kelihatan memerah. Peritnya menanggung sebak di dada sedari tadi, air mata kecewanya mengalir tanpa segan silu. Kedua belah bahu Jasmine yang sedang tertunduk suram itu dipegang kemas.
" Kenapa Jasmine? Kenapa you tak boleh bagi I peluang? I percaya cinta bermula dengan persahabatan sejak kali pertama I jatuh cinta dengan you. Mungkin I yang salah sebab lambat berterus terang sampaikan perasaan you pada Elhan dah makin parah. Semua salah I! " Tekan Arif.
Tanpa sedar, dia melepaskan kemarahannya dengan menumbuk tembok pagar bertubi-tubi. Mengalir cecair pekat dari celah jari jemarinya. Bagai orang yang kerasukan, sakit yang dirasai tidak dipeduli malah tumbukannya dilepaskan bertalu-talu.
" Arif, tangan you berdarah! " Jasmine yang mula cemas segera cuba menghentikan perlakuan Arif. Namun, apalah daya yang ada pada tubuh wanitanya untuk melawan kudrat lelaki itu. Dia terdorong ke belakang saat cuba menarik tangan Arif.
" Jangan sentuh I, Jasmine! Biarkan I terluka. You takkan peduli sebab hakikatnya you cuma pedulikan Elhan. "
Sedaya upaya Jasmine terus mencuba untuk menghalang Arif daripada terus mencederakan diri sendiri. Saat ini, tidak terkira titis air matanya yang berguguran kerana ketakutan. Dia amat takut sekiranya Arif tersakiti kerana dia.
" Stop it, Arif! You cedera. You nak I tengok aje kawan baik I sakit?! Kenapa you kena sakit sebab I? I tak layak terima pengorbanan you sebab I bukan sesiapa. Tolonglah, jangan buat I macam ni! " Marah Jasmine lantang diselangi esakannya yang semakin kedengaran.
Arif terhenti seolah baru terbangun dari tindakan di luar kawalan akal. Turun naik dadanya menjadi laju. Tindak tanduk Jasmine yang sedang menanggalkan blazer lalu membalut buku limanya diperhatikan dengan perasaan yang kacau bilau. Melihat wanita itu menyeka air matanya sendiri membuat Arif galau.
" You ingat I tak tahu yang you letak dadah dalam makanan I masa kita berpuasa dulu? You cuba nak perangkap I berdua-duaan dengan Elhan sampai hampir hancurkan rumah tangga Elhan dan Hayyani. You buat I sakit tenat tapi I diamkan aje Arif. I tak bagitahu Elhan ini semua perbuatan you sebab I tak nak Elhan dengan you bergaduh so I told him I took the drugs on purpose. I tak besarkan hal ni walaupun I boleh heret you ke mahkamah and put you behind bars. Itu semua sebab apa? Sebab I sayangkan you lah stupid! " luah Jasmine dengan sepenuh hatinya sehingga dia turut terjerit. Rasa puas dapat memuntahkan perasaan yang mendongkol di dada. Mengapa susah untuk Arif memahami hikmah di sebalik semua ini. Bahkan lelaki itu sanggup mengkhianati kebaikannya.
" Lain kali tolong jangan buat macam ni lagi. Kalau you nak sayangkan orang lain you kena sayangkan diri sendiri dulu. Cinta tak sepatutnya bertuankan nafsu dan kehendak hati semata-mata. Jangan hilang pertimbangan sebab cinta," kata Jasmine dengan tegas memberikan peringatan. Dia cuba berlagak biasa di hadapan Arif namun air matanya mengalir seakan tiada henti. Rasa simpati dan serba salah bercampur baur saat ini.
Arif tidak mampu mengeluarkan sebarang kata lagi. Dia sedar dia sudah tewas. Dia sememangnya bersalah dalam hal ini. Malu, bagaimana hendak dia tadahkan muka.
Share this novel