Pagi itu, seperti biasa Elhan akan mengunjungi wad kanak-kanak di Al Jawda Specialist Hospital, sebuah hospital pakar berteknologi canggih yang telah lama berdiri megah di Shah Alam. Hospital itu juga merupakan hospital separuh swasta dan separuh kerajaan yang dibangunkan berkat usahasama bapanya Doktor Nazmi dan bapa tirinya Encik Idham serta beberapa orang pelabur lain. Sejak dia mendapatkan lesen perubatan lagi dia sudah bekerja di situ, menyambung khidmat yang pernah dicurahkan arwah bapanya.
Titisan cecair intravena pesakit berumur 5 tahun itu dilaraskan mengikut kelajuan yang bersesuaian. Kemudian, dia memeriksa rekod laporan perubatan pesakit bernama Aisyah Humaira itu sambil membuat beberapa catatan.
" Wah... awal bukan main doktor Elhan hari ni. Ada operation ke malam ni?" Suara ceria Arif mula kedengaran saat dia menerjah masuk ke dalam wad.
" Takde. Aku saja datang awal bawakkan breakfast untuk Aisyah, " kata Elhan sambil membetulkan selimut si kecil. Kemudian, rambut blonde yang diwarisi daripada arwah Louisa, disebak ke belakang telinga. Si kecil masih pulas terlena tak berkutik walau sedikit pun.
Setiap kali dia merenung wajah comel Aisyah, dia pasti teringat kepada kekasih lamanya Louisa. Kalau dia tidak menahan Louisa daripada membunuh diri dulu, pasti dia tidak akan berjumpa Aisyah sehingga ke hari ini. Kerana itulah, roman wajah Aisyah benar-benar iras orang Inggeris cuma yang berbezanya adalah anak kecil itu petah berbahasa melayu.
" Perghh! Asal tak bagitau? Aku pun ada bawak jugak." Arif menunjukkan sebungkus plastik makanan segera di tangannya.
Elhan menggeleng seraya tersenyum nipis. Oleh kerana sejak bayi lagi Aisyah menghidap kecacatan jantung kongenital atau secara saintifiknya dikenali sebagai Atrial Septal Defect (ASD), pemakanan si kecil perlu dipantau rapi. Penyakit itu lazimnya terjadi kepada kanak-kanak perempuan sejak lahir.
" Ayam goreng lagi? Kalau jantung dia bagi komplikasi sebab makan benda-benda oily macam ni, siapa nak jawab? "
" Alah, sekali sekala apa salahnya. Kau selalu control makan minum dia. Kali ni bagilah dia merasa sikit. Budak lagi, Han. "
" Memanglah budak. Dari dia budaklah kena jaga, " bidas Elhan. Wajah pucat Aisyah mengundang sebak yang tak bertepi dalam hati Elhan. Malah rawan di hatinya tidak berkurang tatkala melihat Aisyah meraung acap kali ada rawatan menyakiti tubuh kecil itu demi memberi gadis itu hidup walau beberapa hari lagi.
" Aku sedih, Rip. Bila aku pandang aje muka Aisyah, aku rasa sebak. Dah macam-macam cara kita buat sebelum ni untuk bagi dia hidup normal macam budak-budak lain. Kau tengoklah dia sekarang, ubat dan rawatan apa pun tak jalan. Bergantung pada mesin aje, " luah Elhan kedengaran sebak. Di sisi Aisyah dia melabuhkan duduk dan tangan kecil yang agak kebiruan dan sejuk itu diciumnya sesekali.
Arif turut duduk di sisi Aisyah. Dia ikut bersimpati. Di dalam jantung kecil itu, ada satu alat yang dipanggil VAD atau ventricular assist device. Sejenis alat yang membantu mengekalkan fungsi jantung pada tahap normal sehinggalah proses transplantasi jantung dilakukan.
" Sabarlah Han. Aku tahu kau dah sayangkan dia macam anak kau sendiri. Aku pun dah anggap dia macam anak aku. Yelah, dah 5 tahun kita jaga dia sama-sama. Macam-macam cara jugak kita cuba nak bagi dia sihat. Tapi kau kena ingat Han, sekuat mana kita cuba tapi selagi Allah tak izin tetap sama jugak lagunya. Kita boleh usaha tapi yang bagi sembuh tu... yang dekat atas sana. Sabarlah, kita try lagi, " tutur Arif tenang cuba menyuntik semangat Elhan. Bahu sahabatnya dipegang kemas. Dia tahu apa yang dipikul dalam hati lelaki itu selama ini.
Elhan tertunduk kecewa. Nama Aisyah diletakkan dalam senarai penerima jantung oleh kerana keadaan jantung si kecil yang kritikal. Sehingga saat itu tiba, dia takkan berhenti cuba melakukan yang terbaik demi Aisyah. Dia tidak mahu kehilangan Aisyah sebagaimana dia kehilangan Louisa dulu.
" Kau ada dengar cerita? " Arif cuba melanjutkan perbualan. Dia menggamit Elhan duduk di sofa panjang berdekatan.
" Cerita apa? "
" Cerita pasal ada sorang ahli korporat ni nak ambil Aisyah jadi anak angkat. Dia dah lama perhati Aisyah ni. Sebab dulu pun dia pernah ambil anak angkat yang ada heart problem. Mulanya dah berjaya buat heart transfer operation tapi beberapa tahun lepastu meninggal sebab badan dia tak serasi dengan jantung baru," cerita Arif.
" Heart transplant rejection? " Elhan meminta kepastian Arif.
" Haah. Sebab tulah dia nak Aisyah jadi anak angkat dia. "
" Elok aje 5 tahun ni aku bela dia tiba-tiba pulak ada orang nak ambil Aisyah. Kau jangan buat pasal. " Dia sudah berjanji dengan arwah Louisa untuk menjaga anak kecil itu dengan nyawanya sendiri. Mana mungkin dia sanggup membiarkan orang lain menggalas tugas itu.
" Okay apa Han. Kau pun nak berkahwin lepas ni. Komitmen tu mesti lagi banyak nak kena bagi. Eloklah kalau ada yang tolong tengokkan Aisyah selain kau, aku dengan Jasmine. " Arif memberi usul sambil memandang sahabatnya. Namun wajah itu terus berubah keruh.
" Kau apahal? Macam takde mood aje bila aku cakap pasal kahwin, " tegur Arif apabila Elhan tak beri respons.
" Daneen... dia tak nak kahwin dengan aku, " tutur Elhan berat. Sesekali pandangannya ditebarkan ke luar jendela hospital. Melihat kereta lalu lalang dengan hati yang libang libung.
" Serius? So, dia berani matilah tolak pinangan kau hari tu? "
" Hmm... nampaknya macam tulah, " balas Elhan rendah.
" Kau pun satu. Kau ingat dia boleh semudah itu nak terima kau lepas apa yang kau buat dulu?"
" Pasal baju lipstick tu?"
" Ha la. Pasal tu. "
" Yang tu bukan idea aku. Itu semua idea gila kau. Kalau kau tak melebih-lebih takde maknanya benda jadi teruk sampai macam ni sekali. Aku rancang nak tuduh dia pasal dia curi baju aku aje. Kau yang lebih-lebih sampai nak letak lipstick bagai, " tekan Elhan
Sampai sekarang dia masih kesalkan insiden yang berlaku itu. Ketika itu dia berada di tahun terakhir pengajian sementara Hayyani di tahun kedua. Pernah dia secara sengaja melanggar Hayyani sehingga kopi gadis itu tertumpah pada bajunya. Hayyani menawarkan diri untuk mencuci baju itu dan kembali berjumpanya di kampus pada waktu malam untuk memulangkan baju itu semula.
Namun, saat bajunya dipulangkan terdapat banyak kesan ciuman pada baju itu sehingga orang lain mempercayai fitnah Arif bahawa Hayyani obses dan menyukai Elhan. Teruk benar Hayyani diserang kekasih-kekasihnya ekoran kejadian itu. Kalaulah dia tahu kesannya sampai begini sekali, dia takkan sesekali melakukannya dulu.
" Sekurang-kurangnya aku dah mintak maaf. Takut aku fail pulak final exam pasal termakan sumpahan orang teraniaya macam dia. Seriau aku. Kau pulak? Takde khabar berita takde apa tiba-tiba aje kau masuk meminang 7 tahun kemudian. Mana tak terkejut dia. "
" Kalau aku cakap yang aku suka dia sejak kecil kau percaya? Aku sengaja tuduh dia curi baju aku sebab aku suka dia. Aku suka usik dia. Tapi aku sedar aku melampau. Masih mentah dulu. "
Arif tekup mulutnya, terkejut. " Perghh! Seriuslah babe? Ni betul-betul gempak ni. "
" Kau tak payah beria. Bukan kau dah lama tahu ke pasal tu? "
" Pasal first love tu aku tahu. Tapi aku tak sangka pulak sejak kecil. Waktu tu, main baling selipar pun aku tak pandai lagi tau." Arif sekadar menerbit jenaka. Elhan tersenyum kecil sebelum dia meneruskan kata.
" Lepas aku jumpa Lou, aku cuba lupakan Daneen. Aku bukak hati untuk Lou. Tapi Allah pinjamkan dia sekejap aje. Lepas Lou pergi, aku serahkan urusan hati aku pada Allah. Aku tak sangka, Allah kuatkan perasaan aku yang dulu. Perasaan aku untuk Daneen. "
" Han, aku tak sangka kau dah dewasa Han. Kau dah jumpa cinta sebenar kau. Come on, hug me man... " Arif mendepang tangannya ingin memeluk Elhan.
" Aku serius tau Rip. Kau ni muka bukan boleh percaya. " Elhan merasakan seolah Arif sedang memerlinya. Tahulah dia banyak bekas kekasih gelap sebelum ini.
" Ya, aku serius. Ni soal hati dan perasaan seseorang lelaki. Bukan benda remeh temeh. Tapi aku tak sangka, yang kau betul-betul serius masa kau cakap dengan aku yang kau sukakan Daneen dulu. "
" Kalau aku tak serius takde maknanya aku cari dia balik lepas 7 tahun kita orang tak jumpa. Aku sedar dulu aku melampau. Aku dah cuba pun mintak maaf tapi sampai sekarang dia tak cakap apa-apa lagi pasal tu. Sebab tu aku tak nak berharap sangat pasal pinangan ni. "
" Hesy... kau tak boleh angkat bendera putih awal sangat. Kalau dia berkeras, kau gunalah langkah romeo kau, cakap nice-nice bagi hadiah baik punya confirm dia cair jugak. Perempuan ni macam kerak nasi, siram dengan air lembut jugak. "
Elhan mengeluh lemah seraya menggeleng kepala. " Masalahnya dia tak percaya langsung dekat aku. Dia ingat aku ni still lelaki yang suka berfoya-foya macam dulu. Aku malas aje nak ungkit lebih-lebih benda yang aku dah lama tinggal. "
" Then show her your new color. Pada dia, kau masih Elhan yang lama. Playboy, mat jiwang, pembuli nakal, si tukang caras balak orang. So kau tunjuk diri kau yang sekarang. Make her believe yang kau dah berubah. Ni tak, belum cuba dah surrender. Ingat, loser akan selamanya loser kalau mengalah sebelum berjuang. Kalau dia tetap reject kau lepas kau dah cuba yang terbaik, sekurang-kurangnya kau tak rasa menyesal sebab dah cuba, " nasihat Arif sambil memaut lembut bahu sahabatnya.
Hati Elhan sedikit terpujuk. Dulu sewaktu dia mengagungkan sikap kasanova dalam dirinya, dia yakin bahawa dia akan mendapatkan mana-mana wanita pun yang dikehendaki. Namun kali ini keyakinannya jatuh merudum apabila Hayyani berterusan menolak.
" Kau rasa dia boleh suka dekat aku balik kalau aku tunjuk yang aku dah berubah? "
" Bro, semua orang nak lelaki atau perempuan yang terbaik untuk dijadikan pasangan. Even perangai kau teruk nauzubillah mengalahkan jebon pun, tapi jauh dekat dalam hati mesti kau nak perempuan yang terbaik jugak kan. Macam tulah kejadiannya dengan Daneen. Dia perempuan, manusia biasa macam kau dengan aku. Mestilah dia nak pilih lelaki yang baik kalau nak dibuat suami pun, " ungkap Arif penuh makna. Kemudian dia ketawa kecil.
" Thanks Rip. " Elhan menepuk lembut belakang Arif. Ada senyuman yakin yang terukir di bibirnya.
" Kau pulak? Tak kahwin lagi sampai sekarang sebab tak jumpa yang terbaik? " Seloroh Elhan dengan senyuman yang makin melebar. Sejak sahabatnya itu putus cinta dulu, sampai sekarang tak ada desas desus yang Arif sedang bercinta lagi. Umur masing-masing sudah berusia 30 tahun memang patut pun bertemu jodoh.
" Dah jumpa pun. Bertahun bagi alamat tapi tetap tak jumpa jalan ke hati aku. Nak buat macam mana jodoh belum berpijak pada realiti. Macam kau, kau dah ada calon yang kau rasa sesuai dengan kau. Perempuan yang kau yakin berkongsi detak jantung yang sama dengan kau. Apa tunggu lagi, sambar ajelah. "
Elhan sekadar tersenyum lebar. Kata-kata Arif menguatkan iltizam dalam nubarinya. Dia sedar bahawa masih terlalu awal untuk mengalah sedangkan inilah kali pertama dia berpeluang untuk menawan hati Hayyani. Baru nak melalui sesi suai kenal hati budi walaupun keluarga Elhan dan keluarga Hayyani sudah lama berkenalan. Semuanya kerana dia baru tersedar kalau Hayyani adalah gadis yang dicarinya selama ini.
Macam mana eh saya lupa nak publish chapter ni dulu? Hahaha
Share this novel