Bab 14
Usai sesi berbual dan bersantai minum kopi dengan keluarga Hayyani, Elhan meminta diri untuk pulang memandangkan hari sudah semakin lewat. Selepas berpamitan dengan semua, dia dihantar oleh Hayyani sehingga ke pintu pagar. Sejak awal Elhan datang, masih tak ada sebarang patah kata antara dia dan Hayyani. Namun, hati Elhan berteka teki sendiri kalau ada sesuatu yang ingin dibicarakan oleh Hayyani melalui tindak tanduknya.
" Saya balik dulu," pamit Elhan kepada Hayyani.
" Saya ada benda nak cakap."
Elhan tak jadi membuka pintu kereta. Dia mendekati semula Hayyani yang masih setia di situ. Dari raut wajah Hayyani, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
" Kenapa awak bagi barang-barang mahal macam tu pada family saya? Saya tak sangka awak sanggup berhabis semata-mata nak ambil hati family saya. Agaknya betullah, kebahagiaan boleh dibeli dengan wang ringgit. " Tuduh Hayyani tidak semena-mena.
" Awak cakap apa ni? Saya tak faham. " Elhan mengembalikan soalan dengan tenang. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar tanda tidak terkesan dengan tuduhan Hayyani.
" Pasal jam tangan and all the expensive gifts yang awak bagi tulah. Untuk apa? Untuk sogok ibu dengan abah supaya terima lamaran awak?" Soal Hayyani yang sedang sedaya upaya menahan suaranya daripada didengari ahli keluarga yang lain.
Masih dia ingat rasa hatinya yang bagai dikunyah-kunyah tadi apabila melihat kegembiraan ahli keluarganya saat menerima hadiah berjenama dari Elhan sampai tak mempedulikan langsung buah tangan yang dibelinya dari Istanbul. Memang Elhan mampu memberikan semua itu. Tapi, dia tak suka Elhan membeli jiwa keluarganya dengan wang dan kebendaan.
Elhan berjeda seketika. Matanya ralit meratah setiap inci wajah Hayyani di depan. Sesaat kemudian dia mula tersenyum lebar.
" Cik kak, saya dengan awak kita sama-sama orang melayu. Masing-masing dah faham adat orang melayu kalau datang rumah orang macam mana. Hadiah tu semua saya bawak sebagai buah tangan aje. Sesekali keluar duit. Takde kena mengena langsung dengan sogok ke rasuah ke. Awak ni main serkap jarang aje. "
Hayyani mendengus kecil. Dia berpeluk tubuh kemudian menggeleng. " Masalahnya saya tak suka. Saya tak nak ibu dengan abah terbiasa hidup macam tu."
" Apa salahnya kalau saya nak bagi pun? Tak tahu pulak bila dah masuk abad 21 ni amalan bagi hadiah dah jadi illegal. "
" For your information doktor Elhan Ashareeq, my parents sukakan duit. Dan dia orang suka orang yang ada duit aje. Sorry awak kena tahu another side of ibu ayah kesayangan saya, " tutur Hayyani kedengaran sinis. Dia sengaja kata begitu untuk menakut-nakutkan Elhan.
" Oh... macam tu. Eh, kira baguslah kalau suka duit. Boleh bagi banyak-banyak lain kali. Orang kata kalau nak rezeki murah jangan lokek nak berhabis dekat mak ayah. Awak tak pernah dengar? " Soal Elhan kembali lebih kepada sindiran.
Hayyani mengetap bibirnya. Pertuturan dan gerak geri Elhan yang kelihatan selamba dan bersahaja itu membius hatinya. Tak sedikit pun ketenangan lelaki itu berkutik terhadap kerisauannya.
" Eee! Masalahnya, saya tak suka awak buat macam ni. Lain kali kalau nak bagi pun food is more than enough. Ataupun tak payah bawak apa-apa langsung. Kita orang tak mengharapkan buah tangan dari tetamu, " balas Hayyani kedengaran angkuh.
Elhan agak terpana namun tak sedikit pun dia berkecil hati dengan bicara Hayyani. Beberapa saat dia berdiam cuba mengambil iktibar daripada teguran Hayyani.
" Okay, noted. Lain kali saya tak buat dah. Ada apa-apa lagi? "
" Apa yang ibu maksudkan dengan any position would do tadi? " Soal Hayyani dengan rasa ingin tahu yang kuat dalam dirinya.
Perbualan rancak antara Elhan dan ahli keluarganya memancing minat Hayyani untuk turut sama mendengar. Tapi oleh kerana dia terpaksa mengemaskan pinggan mangkuk selepas makan tadi, dia tidak dapat turut serta.
" Oh... pasal kerja. Ibu kata awak tengah cari kerja sekarang. Saya ada sorang kawan yang boleh tolong saya recommend kan awak, " beritahu Elhan tenang.
Hayyani mendengus kasar tanpa mempedulikan kewujudan Elhan di depannya. Dah agak! Soal kerja dan kahwin seolah-olah sudah menjadi zikir di bibir ibu. Egonya rasa tercabar. Pasti lelaki itu fikir dia perempuan yang tak pandai berdikari.
" No, thanks. Tak payah nak baik hati sangat carikan saya kerja. Kalau saya nak saya boleh cari sendiri. " Hayyani tak suka bergantung kepada orang luar. Lebih-lebih lagi lelaki yang belum pasti akan membina ikatan sah dengannya.
" Kenapa? Tak minat kerja?"
" Kalau saya tak minat kerja pun kenapa? Menyusahkan hidup awak ke nak tanggung saya? "
Soalan itu dibalas dengan soalan yang sinis. Raut wajah Elhan ketika melontarkan pertanyaan tadi seakan mencabar egonya. Macam mengejek pun ada.
" Tak menyusahkan la. Kalau awak dah jadi bini saya semua keperluan dan keselesaan awak memang dah jadi tanggungjawab saya," tutur Elhan sengaja nak menguji jawapan Hayyani. Muka yakin ditayangnya. Seperti biasa, jelingan maut pula yang diterima.
" Don't be so confident. Saya belum cakap apa-apa lagi kan? Jangan nak perasan sangat. "
Elhan tergelak kecil. Kata-kata Hayyani tak sedikit pun berbekas di hatinya. Malah hatinya tercuit suka melihat wajah serius itu yang membuatkannya keliru sama ada gadis itu marah atau membebel.
" Takdelah, saya cuma cakap aje. Awak ni suka sangat emosional. Cuba cool-cool aje. Tengok jerawat dah naik dekat dahi tu. Stres banyak ni. "
Reaksi Hayyani jelas menzahirkan perubahan yang ketara. Naik segan dia apabila Elhan sesekali memuncungkan bibir menunjuk ke arah sebiji jerawat yang sedang naik di dahinya. Kurang asam punya mamat!
" Suka hati sayalah. Muka saya, jerawat saya. Takde kena mengena dengan awak pun. "
Elhan merobek senyuman. Mudah betul hendak menjentik emosi Hayyani rupanya.
" Bila-bila free nanti datanglah hospital tempat saya kerja tu. Boleh saya tolong awak buat DASS Test nanti. "
Hampir tercantum dua kening Hayyani cuba mentafsir maksud di sebalik perkataan saintifik tadi. " Sorry but, DASS stands for what? "
" Depression Anxiety Stress Scale. Ujian kemurungan. Mana tahu awak tengah murung ke apa sekarang, ek? Baik cegah awal-awal. Kalau dah parah nanti habislah susah nak ubat, " tutur Elhan bersahaja.
Darah Hayyani makin menyirap. Banyak betul modal lelaki itu nak menyakitkan hatinya. Ada jugak yang balik tak cukup anggota badan ni karang!
" Kalau saya dapat mulut awak tu dah lama saya jahit dengan benang jahit ibu tau. Menyakitkan hati aje, " gerutu Hayyani geram.
" Dah tu awak asyik nak marah-marah aje. Orang nak tolong tak nak. Bagi hadiah pun salah. Semua benda tak kena dekat mata awak. Biasanya orang yang ada masalah jiwa aje emosional macam ni. "
Naik bernanah telinga Hayyani mendengar bait-bait kata yang menyebalkan perasaan itu. Dia langsung tidak menyangka Elhan suka meloyar buruk macam ni. Setiap kali dia bercakap ada saja tutur kata lelaki itu yang merenjat lidahnya.
" Is this your new habit? "
" Habit apa? "
" Menyakitkan hati orang. "
" Eh tak, habit ni datang kalau saya bercakap dengan orang yang suka marah-marah aje. Saya pun baru perasan saya ada habit macam ni lepas jumpa awak, " kata Elhan dengan bersahaja menjentik perasaan si gadis.
" Dahlah, baik awak tutup mulut tu. Kalau asyik nak merepek aje siapa nak dengar. "
" Awak tu kalau asyik nak moody aje siapa yang nak tahan. Istighfar banyak-banyak. Orang yang asyik nak marah ni syaitan suka masuk ikut saluran darah dia tau. " Elhan memulangkan paku buah keras. Sesudah itu senyuman tak bersalah pula ditayangnya.
" Menyampah. " Hayyani sudah tidak mampu membalas lagi. Dia takut makin dia menjawab makin banyak akal lelaki itu nak bermain psikologi dengannya.
" Minggu depan, weekend nanti saya jemput awak, " beritahu Elhan. Kali ini, wajah itu kelihatan serius.
Kening Hayyani bertaut. " Nak pergi mana? "
" Pergi interview la. Pasal position tu. "
Hayyani lepas keluhan berat. " Saya dah kata saya belum sedia nak bagi komitmen untuk kerja lagi kan. "
" Kalau awak tak nak kerja sudahlah. Kita pergi aje jumpa orang tu untuk buat syarat. Kesian dekat ibu awak tu berharap sangat saya boleh tolong. Tak sampai hati la saya nak hampakan ibu. Kita pergilah, eh? Puaskan hati ibu awak, " pujuk Elhan lembut. Lagaknya seperti seorang suami mithali memujuk isteri yang keras hati.
Hayyani terpaku kejap dengan kelembutan dari bicara Elhan. Dapat dia kesan sinar keikhlasan dan ketulusan dari sepasang mata memikat itu. Buat beberapa saat, dia meratah setiap inci wajah Elhan.
Wajah itu nampak bersih dan air mukanya kelihatan tenang. Kulitnya pula sawo matang tak adalah putih sangat. Pakej yang serba serbi lengkap dan sempurna. Patutlah ramai yang tergila-gilakan si Elhan ni dulu termasuklah dirinya sendiri. Ah! Wake up Hayyani! Kau dah lupa ke apa yang dia buat pada kau dulu?
" Tengoklah kalau saya rajin. Weekend saya nak berehat. "
" Eh, bukan hari-hari pun hari weekend untuk awak ke?" sindir Elhan sengaja menjentik emosi Hayyani.
Hayyani merengus kasar. " Masalahnya, saya tak pernah jumpa company yang bukak hari weekend."
" Eh, suka hati dialah nak bukak bila pun. Yang awak sakit hati sangat kenapa? " bidas Elhan selamba. Terdiam terus Hayyani. Dia menanti apa pula yang Hayyani akan katakan lagi.
" Whatever. " Hayyani malas nak bertekak lagi. Bukan boleh menang pun.
" Jumpa nanti, " ujar Elhan sebelum dia memboloskan diri ke dalam perut kereta.
Hati Hayyani terus terbius. Sindiran terakhir lelaki itu ibarat pisau yang dibaling ke mukanya. Sungguh, ini bukan Elhan yang pernah dikenalinya dulu.
Share this novel