Bab 70

Romance Completed 15392

Hayyani terus menerus memandang Elhan dengan pandangan mata yang berkehendak. Dia ingin berkata sesuatu kepada suaminya itu namun entah mengapa lidahnya kelu. Bertambah tebal rasa serba salah dalam diri tatkala Hanan dan Elhan bertegang urat kerananya.

Apatah lagi, kejadian petang tadi telah mengubah segala suasana. Termasuklah Elhan yang masih kelihatan dingin dan berang. Namun, disebabkan rasa hormat pada umi mereka memutuskan untuk cuba bersikap profesional. Sehinggalah saat mereka pulang ke rumah pun Elhan tetap banyak mendiamkan diri.

" Abang, pergilah pujuk Hanan. Daneen tak sedap hatilah," pinta Hayyani penuh berharap. Baru kini dia mempunyai kekuatan untuk berbicara soal itu.

" Lain kalilah," tukas Elhan pendek. Malas hendak mengulas apa-apa lagi perihal kejadian petang tadi. Dia memulas tombol pintu bilik mereka lalu melangkah masuk diikuti si isteri.

Hayyani melihat saja suaminya menanggalkan tali leher dan membuka butang kemeja. Jam tangan pula diletakkan atas meja solek. Wajahnya masih tegang bagai menanggung kemarahan yang maha dalam.

" Janganlah macam tu abang. Daneen rasa serba salah sangat. Sebab Daneen abang dengan Hanan bergaduh," ujar Hayyani tidak dapat menyembunyikan lagi rasa kesalnya. Pasti Hanan akan lebih membencinya selepas insiden itu. Tidak cukup dengan mengkhianati perasaan Elhan, dia juga telah menyebabkan dua beradik itu bertelingkah. Dia memang tidak layak difahami mahupun dimaafkan.

Elhan duduk bersandar pada sofa L shape yang terletak di sudut bilik. Keluhan panjang dilepaskan sambil matanya dipejam cuba melupakan sejenak apa yang telah berlaku.

" Benda dah jadi. Abang tak nak cakap lagi. "

Hayyani semakin tidak senang duduk. Dia melangkah mendekati sofa itu dan melabuhkan punggung di sebelah suaminya.

" Habistu, abang nak biarkan aje? " soal Hayyani tidak berpuas hati. Dia takkan mampu bertenang seandainya perkara ini tidak mencapai penyelesaian.

Terdengar keluhan lemah yang terpacul dari bibir Elhan. Wajahnya diraup kasar sebelum memandang isterinya.

" Apa yang Hanan buat tu dah melampau. Abang muliakan awak, hormatkan awak tapi orang lain senang-senang gelar awak keji. Abang tak boleh berdiam diri. "

Elhan menyatakan pendiriannya dengan tegas sehingga tubuhnya turut terbangun dari sandar. Memang perbuatannya menampar Hanan tadi dikira keterlaluan. Malah, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyakiti Hanan. Namun, di saat kesabarannya semakin dicantas dek hinaan yang dilemparkan kepada Hayyani, dia tak dapat mengawal diri. Penghinaan Hanan sungguh tidak dapat diterima walau apapun alasannya.

Manik jernih perlahan-lahan luruh ke pipi Hayyani. Sungguh, berat hatinya menerima pembelaan dari suaminya sedangkan hakikatnya dia layak menerima penghinaan itu.

" Tapi Hanan tu adik abang. Sebelum ni abang dengan Hanan tak pernah bergaduh ataupun ada apa-apa masalah. Tapi disebabkan Daneen, abang dengan Hanan bergaduh. Adik beradik janganlah bermusuhan lama-lama. Lagipun, Hanan tak salah dalam perkara ni, " tingkah Hayyani dengan getaran yang jelas pada suaranya. Tegang hubungan dua beradik itu hanya disebabkan Elhan yang lantang membela dirinya. Tuhan saja yang mengerti betapa kekesalan yang bertakhta di hatinya bukan kepalang.

" Kalau dia nak abang maafkan dia, dia kena mintak maaf pada awak dulu. Sayang kena ingat, abang bukan saja-saja nak angkat ego, tapi abang nak Hanan sedar tak semua perbuatan dia tu boleh dimaafkan tanpa kata," kata Elhan tegas. Bergerak-gerak rahangnya cuba meredam amarahnya daripada berbangkit.

Hayyani menggenggam tangan Elhan. Tangan suaminya dikucup lama. Lalu wajahnya yang bermandi lara, diangkat memandang wajah beku Elhan.

" Daneen minta maaf dekat abang. Sebab Daneen semuanya jadi macam ni. Mungkin memang Daneen layak dipanggil keji."

" Abang tak paksa awak ceritakan punca awak dan Hanan bertengkar. Tapi walau apa pun salah sayang, Hanan tetap tak ada hak nak hina awak. Salahkah abang marah Hanan untuk lindungi kehormatan awak? "

Tajam mata Elhan menikam wajah Hayyani. Suaranya turut meninggi. Bertambah sebal perasaannya tatkala Hayyani tak habis-habis hendak mempertahankan Hanan. Hebat sangatkah nilai persahabatan dua sahabat itu sehingga mampu mengaburi tohmahan yang diludahkan adiknya.

" Daneen merayu dekat abang, tolong jangan salahkan Hanan. Daneen yang salah dalam hal ni sampaikan Hanan tak dapat kawal kemarahan dia. Abang kena tahu, Hanan sayangkan abang sangat-sangat. Abang faham kan perasaan bila bergaduh dengan orang yang kita sayang sedangkan kita tak nak semua tu terjadi. Please abang, Daneen merayu abang pergilah pujuk Hanan. "

Elhan bangkit dari duduk. Serta merta, tangan Hayyani yang melingkar pada lengannya turut terlerai. Egonya tercalar saat Hayyani berterusan merayu begitu.

" Kadang-kadang ada perkara yang kita boleh bertolak ansur ada yang tidak. Tolong jangan paksa abang bertolak ansur dengan orang yang tak reti hormat pada kita, " ujar Elhan dengan tegas meminta Hayyani hormat keputusannya.

" Tapi abang, Hanan tak salah..."

" Kalau Hanan tak salah dan awak yang salah tolong bagitahu abang apa salah yang awak dah buat! Hanan kata semua ini ada kaitan dengan abang kan? Jadi kenapa abang tak berhak tahu? Kenapa abang rasa Daneen membelakangkan abang? Kenapa Daneen selalu buat abang rasa tak berguna. Kenapa Daneen?! "

Bertalu-talu soalan yang meluncur dari bibir Elhan. Merah padam wajahnya dengan dada yang naik turun dengan laju. Kesabarannya kian tercantas apatah lagi tika mengenangkan rasa kecewa apabila Hayyani tidak mahu langsung mempercayainya setiap kali ada masalah berlaku.

" Abang... Daneen tak tahu abang terasa. Daneen tak tahu abang kecewa dengan Daneen selama ni. Maafkan Daneen, abang."

Terpejam mata Hayyani dalam esakannya ketika dia menuturkan kata-kata itu. Namun dia tetap memberanikan diri meraih tangan sang suami. Makin menebal rasa bersalah yang bersarang dalam diri. Selama ini dia tidak pedulikan perasaan Elhan kerana dia cuma fokus memperbesar masalah sendiri.

" Ya Daneen, abang kecewa..." Elhan menarik perlahan tangannya daripada pegangan Hayyani ketika dia bersuara lirih. Makin kuat esakan Hayyani yang kedengaran. Kesal, sungguh dia kesal.

Akhirnya, Elhan melangkah keluar dari situ. Air mata yang menitis barang setitis dua diselindungkan daripada penglihatan Hayyani. Di sebalik pintu bilik yang sudah tertutup itu, dia melorot ke lantai dan memegang kepalanya mengesali apa yang terjadi.

Dia turut berperang dengan bermacam-macam perasaan yang berkecamuk dalam diri. Ada rasa kesal, marah dan kecewa yang turut sama membelenggu relung hati. Namun, di kala ini juga dia sedar bahawa yang dia marahkan sebenarnya bukanlah sesiapa tetapi dirinya sendiri kerana gagal mengawal emosi.

****

Sayu. Itulah perasaan yang bergayut di tangkai hati Hayyani di kala ini. Sejak awal pertemuan dengan Doktor Khalida, tak henti-henti air matanya menitis. Ketika itu dia memutuskan untuk berjumpa Doktor Khalida di rumah keluarga mertuanya untuk kembali menjernihkan keadaan. Kali ini tanpa orang lain. Sungguh dia kesal dengan apa yang terjadi antara Elhan dan Hanan semalam.

" Umi, Daneen tahu mesti umi dah tahu pasal apa yang terjadi antara Daneen dengan Hanan. Umi, Daneen mintak maaf umi. Daneen salah," kata Hayyani yang tak henti meminta maaf sejak awal pertemuan mereka lagi. Hanan pasti dah beritahu umi. Hanan bencikannya tak mungkin dia akan terselamat selepas ini setelah rahsianya diketahui.

" Umi tak tahu menahu langsung. Hanan tak bercerita lagi dengan umi. Ni tentang apa sebenarnya Daneen?"

" Hanan belum bagitahu umi?" soal Hayyani kembali.

Melihat Doktor Khalida cuma mengangguk, Hayyani lega sendiri. Jadi Hanan masih belum memberitahu perkara itu? Tapi mengapa, bukan ke Hanan sudah membencinya? Hayyani bermonolog sendiri.

" Daneen, kamu okey ke ni? " Doktor Khalida melontarkan pertanyaan sekali gus memecahkan lamunan kejap menantunya itu.

Hayyani senyum nipis tapi nampak hambar.

" Okey, umi. Daneen cuma sedih sebab tak sangka kami boleh bergaduh sampai macam ni sekali."

Bergenang tubir mata itu. Selama mereka berkawan, belum pernah lagi mereka bergaduh teruk seperti ini. Dia takut andainya akan kehilangan Hanan.

" Biasalah bila berkawan ni. Mesti ada pasang surutnya. Umi tak nak masuk campur urusan kamu berdua dan umi takkan tanya kenapa. Cuma umi nak anak-anak umi semuanya berbaik semula. Umi tak nak kamu semua balik ke rumah umi dengan perselisihan faham yang berpanjangan. Umi tak suka keadaan tu, " ujar Doktor Khalida tenang dan lembut suaranya sambil menggosok bahu Hayyani.

Berdasarkan prinsip setiap masalah ada penyelesaian yang dipegangnya, dia tak mahu turut beremosi dalam menyelesaikan masalah anak menantunya. Kelak semuanya tak berkesudahan kalau emosi yang nak diikutkan. Tak jelas punca mereka bertengkar semalam lantaran tiada yang mahu mengulas tentang itu. Namun, dia mahu meletakkan kepercayaan kepada anak menantunya untuk menyelesaikan persengketaan mereka sendiri.

" Umi, Daneen tak tahu nak jelaskan macam mana. Tapi Daneen akui semua ni salah Daneen sampai Elhan dan Hanan bergaduh. Semua ni salah Daneen." Teresak-esak Hayyani meluahkan kata penyesalan itu.

Sememangnya dia yang bersalah. Semuanya berpunca dari perasaan yang tak sepatutnya dia miliki untuk Malik, lebih-lebih lagi sekarang. Semua itu sudah sepatutnya ditinggalkan menjadi masa silam yang tak lagi patut diulas mahupun dikenang.

Melihat esakan yang semakin menjadi-jadi itu, Doktor Khalida menarik Hayyani ke dalam pelukannya. Diusap dan digosok belakang menantunya itu, biar tenang kembali.

" Daneen jangan risau. Umi lebih kenal anak-anak umi. Elhan takkan marah sampai macam tu sekali kalau Hanan tak bersalah. Daneen, dengar sini sayang. Umi tak salahkan sesiapa pun dalam hal ni. Jadi jangan salahkan diri tu," pujuk Doktor Khalida lembut. Buat masa ini dia enggan menyalahkan sesiapa walaupun Hayyani bertegas ini berpunca dari kesilapannya. Menghukum orang itu adalah tugas Tuhan dan manusia sepertinya harus membuat pertimbangan dengan sebaiknya.

Hayyani meleraikan pelukan mereka. Pipi yang kebasahan dihujani air mata dikesat dengan belakang tangan. Lalu, tangan tua Doktor Khalida diraih. Pandangannya hiba saat dia memandang wajah damai ibu mertuanya itu.

" Tapi lepas ni kalau umi tahu kebenarannya dan umi nak bencikan Daneen sekali pun, Daneen terima. Ni semua salah Daneen. Daneen bersalah pada semua orang termasuk umi. "

Doktor Khalida menggeleng kepala. Apalah yang sebenarnya dimaksudkan menantunya itu. Hendak bertanya, hati pula berasa tidak berhak. Tangannya naik menyeka air mata yang masih bersisa di pipi Hayyani.

" Kenapa dengan menantu umi ni. Sudahlah, jangan fikir lagi. Umi takkan benci anak-anak umi dan umi takkan hukum kamu semua dengan membenci. Umi tak dapat apa-apa pun kalau umi buat macam tu. Sekarang ni, umi cuma akan sokong dan cuba satukan anak-anak umi semula. Jangan putus asa ya, sayang. "

Sebak yang menghimpit dada Hayyani semakin mendalam. Lantas, dia memeluk erat ibu mertuanya. Doktor Khalida membiarkan saja menantunya itu mengongoi di bahunya.

Hanan betul dalam memarahi dan membencinya, memang Hanan berhak. Dia tidak layak mendapat layanan baik daripada semua orang di sekelilingnya sedangkan dia cuma seorang wanita yang berconteng nista di belakang suami dan mertuanya.

Mana harus dia hadapkan hati yang begitu rimbun dengan kesedihan dan derita ini. Andai saja ada yang mengerti, pasti perkara takkan sesulit ini. Yang ada pada diri kini cuma rasa malu pada Ilahi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience