Hayyani melangkah longlai ke arah bilik mandi. Di bawah pemancur air, dia terduduk sendirian membiarkan diri dibasahi pancuran air yang terpasang. Kali ini dia menghamburkan segala keperitan yang dirasai tanpa segan silu lagi. Tubir matanya kini sarat dengan duka dan air mata mengenangkan pertemuan dengan lelaki bernama Malik Ghaozani awal tadi.
Pelupuk matanya semakin sembab dek air mata yang tak henti-henti mengalir. Umpama malam yang suram tanpa bintang diselimuti kabus tebal yang kelam pudar tidak memancarkan adiwarnanya. Ketika purnama berasa gerun untuk bersinar, hanya bersembunyi di balik awan sewaktu bertebarannya titis-titis hujan yang membasahi segenap cakerawala berlatar belakangkan guruh yang berdentam dentum, begitulah gelora yang bertamu di hati Hayyani.
Dia berasa gerun untuk mengakui kebenaran kata-kata akhir Malik kepadanya tadi. Namun, apalah daya untuk dia menafikan bagaimana getar di hatinya mendendangkan detak cinta buat Malik. Seboleh mungkin cuba dia kawal perasaan itu daripada bermaharajalela namun getir cinta, rindu dan kasih semakin membahana tika makin kuat dia berusaha untuk lupakan.
Bagaimana mungkin dia hendak melupakan lelaki itu. Malik adalah lelaki istimewa dalam hidupnya meski tiada yang tahu. Ketika mereka terpisah dahulu dia sudah menguburkan segala harapan untuk mereka bertemu kembali. Kini Malik muncul menguatkan kembali rasa kepinginnya untuk menjadi sebahagian daripada hati Malik.
Hayyani meraung kesal dan menyalahkan diri sendiri pada masa yang sama. Hatinya benar-benar sakit dan tidak keruan. Jiwanya kembali galau merampas ketenteraman yang dirasainya. Kalaulah dulu dia tidak ke Istanbul pasti mereka tidak akan bertemu. Kalaulah sehingga ke hari ini dia tidak menulis surat buat Malik, pasti perasaannya akan pudar dan luput. Kalaulah masa bisa diundur maju, ingin saja dia kembali ke waktu dulu memperbaiki segalanya. Kini, dia sudah terlewat.
****
Ketika jarum jam hampir menginjak jam 12 tengah malam, barulah Elhan menjejakkan kakinya di lantai rumah. Oleh kerana dia tidak mahu merisikokan keselamatan Hayyani untuk menjemputnya lewat malam di lapangan terbang, dia pulang sendiri menaiki grab. Keadaan ruang tamu kelihatan suram ketika dijejakinya. Barangkali Hayyani sudah tidur. Desis hati kecilnya.
Dia mendaki tingkat atas rumah itu dan memasuki kamar mereka. Beg galas dan jaket kulit dihamparkan pada birai katil sambil matanya melilau mencari Hayyani. Namun, bayang isterinya tidak kelihatan di mana-mana.
" Sayang? " Panggil Elhan tetapi tiada suara yang menyahut.
Lalu gerakan kaki membawanya dekat ke arah pintu bilik mandi apabila bunyi desiran air pancur kedengaran sayup di cuping telinga. Tengah mandi ke? Namun hatinya rasa tak sedap. Tombol pintu yang disangka berkunci itu dipulas dan daun pintu mula terkuak. Alangkah cemasnya Elhan apabila melihat Hayyani yang sedang memeluk lutut di bawah pancuran air itu.
" Sayang, awak buat apa dekat sini? Ya Allah! " Pili air ditutup dan Elhan memegang wajah sugul Hayyani. Bibir itu mula kelihatan membiru buat hati lelakinya jadi rawan.
" Abang... " panggil Hayyani dengan nada suara yang hampir tidak kedengaran. Lantas dia memeluk erat Elhan yang sedang melutut di hadapannya.
" Apa jadi dengan awak ni? Kenapa sayang tidur dekat sini? " soal Elhan cemas. Cuak betul apabila memikirkan berapa lama Hayyani kekal begitu tadi sehingga keadaan fizikalnya menjadi lemah dan kesejukan. Dia mendakap tubuh isterinya erat.
Walaupun tidak berdaya setelah seharian tidak mengisi perut, Hayyani tetap melemparkan senyuman. Tangan Elhan dicium juga.
" Abang baru sampai ke? "
Elhan melepas keluhan lega. Rambut basah Hayyani yang sebahagiannya menutup wajah pucat itu diselak ke belakang.
" Baru aje. Sekarang ni, cuba sayang berterus terang dengan abang. Kenapa ni? Sayang ada masalah ke?" soal Elhan cuba mencari punca isterinya berkelakuan begitu. Kali ini dia sedikit tenang walaupun hakikatnya keadaan Hayyani sekarang amat merisaukannya.
Hayyani menggeleng kepala. " Takde apa-apa. Daneen sakit perut sangat sebab period pain. Abang tahu kan kalau Daneen period mesti sakit teruk. Lagi satu, mungkin Daneen terlalu rindukan abang."
Alasan mudah disuakan. Dia tidak rasa ada keperluan untuk memberitahu Elhan punca sebenar dia bersedih. Tambahan lagi, suaminya itu langsung tidak tahu menahu soal hubungannya dengan Malik dulu. Bimbang pula seandainya perkara itu boleh menjadi racun dalam hubungan mereka.
Wajah Hayyani ditatap Elhan dengan penuh simpati dan kasih. Kemudian, dahi isterinya dicium kejap.
" Abang tahu. Abang pun rindu dekat sayang. Cuma lain kali kalau apa-apa jadi sekali pun abang tak nak sayang tidur dekat sini. Kalau apa-apa jadi nanti macam mana? "
Elhan melahirkan kerisauannya. Dia takkan memaafkan diri sendiri andai sesuatu berlaku kepada Hayyani.
" Lepas ni sayang makan ubat. Rehatkan badan. Kesian isteri abang ni. "
Hayyani ukir senyuman nipis seolah tiada apa-apa terjadi. Dia tersentuh dengan keprihatinan Elhan. Lagipun, dia tidak mahu Elhan terlalu merisaukannya. Elhan terlalu baik buatnya yang telah mengkhianati perasaan cinta lelaki itu.
" Abang dah makan? Daneen tak sempat masak kari kepala ikan untuk abang. Abang tak marah kan? "
Tangan Elhan berlari mengusap wajah Hayyani. Sempat lagi isterinya itu berprihatin terhadapnya walaupun sedang lemah. Hal itu menyendatkan sebak di dadanya sehingga tanpa sedar ada air mata yang berkunjung di pelupuk matanya. Lekas-lekas dia sapu dan menayangkan senyuman. Dia harus lebih dominan dari segi kekuatan mental dan fizikal di hadapan Hayyani.
" Takpe, abang dah makan tadi. Lagipun suami mana yang masih ada selera nak makan bila tengok isteri dia macam ni. Betul okey ni? "
Tuala mandi pada rak penyangkut dicapai. Lalu, perlahan-lahan Elhan mengelap wajah dan rambut Hayyani yang kebasahan.
" Betul, " jawab Hayyani terketar-ketar suaranya. Dia tidak dapat mengawal sebak lagi apabila Elhan menyoal begitu. Akhirnya, dia tewas lagi dengan air mata.
Melihat pada kesedihan itu, Elhan menarik tubuh Hayyani ke dalam pelukan eratnya cuba memberikan sekelumit ketenangan.
" Abang mintak maaf sebab tinggalkan awak. Abang tak tahu keadaan awak akan jadi teruk macam ni. Maafkan abang, sayang. "
" Abang tak salah... sampai bila-bila pun abang tak salah..." ujar Hayyani perlahan. Andai saja Elhan tahu apa yang dia maksudkan dengan kata-kata itu, pasti akan ada hati yang kecewa.
Dia membiarkan saja Elhan mencempung gagah tubuhnya untuk dibawa ke katil. Pengorbanan Elhan yang sanggup melakukan apa saja buatnya selama ini semakin menyayat isi hati Hayyani. Sesiapa saja akan tahu bahawa cuma dia saja satu-satunya wanita yang bertakhta di hati lelaki sebaik Elhan.
Maafkan diriku ya Allah kerana tega menyimpan nama lelaki lain di hati.
Share this novel