Bab 18

Romance Completed 15392

Bab 18

Terkocoh-kocoh Hanan membuka pintu dan keluar untuk melihat gerangan yang sampai. Apron pun belum sempat ditanggalkan lagi. Apabila dia melihat batang tubuh Hayyani yang sedang berdiri di luar, segera dia berlari dan mendakap temannya itu.

" Daneen! Ya Allah, rindunya kau, babe!" Hanan melagakan pipinya dengan Hayyani. Teruja benar wajahnya ketika ini.

" Baru 3 bulan tak jumpa kau dah rindu aku?" Hayyani tergelak. Mengada juga minah sorang ni. Macam tak jumpa 3 dekad.

" Mestilah. Jom, masuk dalam. " Hanan membuka langkah mendahului temannya. Apabila dia lihat Hayyani masih tercegat di tempat yang sama, dia kembali berpaling.

" Masuklah Daneen. Buat apa tercegat dekat luar lagi."

" Boleh ke aku masuk ni?" Hayyani ragu-ragu untuk masuk ke dalam rumah agam itu. Tak nampak pun kereta mamat tu. Entah ada ke tidak di rumah.

" Bolehlah apa tak bolehnya. Jangan risau, abang aku tak menganggur. Aku dengan umi aje ada dekat sini. " Hanan tahu benar temannya itu cukup takut kalau terserempak dengan Elhan. Sebelum ini pun bukan senang dia nak pujuk Hayyani datang.

Sebaik saja masuk ke dalam rumah, Hayyani dibawa duduk di ruang tamu. Aroma masakan dari dapur bertebaran di seluruh pelosok ruang. Langkah kanan dia datang ke sini nampaknya.

" Kau datang naik apa?" Hanan beramah mesra dengan teman baik sejak kecilnya itu. Dia duduk bersimpuh di atas sofa. Punat alat kawalan jauh ditekan untuk membuka siaran televisyen.

" Abah aku tumpangkan. Kebetulan dia ada hal dekat Shah Alam."

" Eh, Daneen. Dah sampai? " Doktor Khalida yang melihat keberadaan Hayyani di situ segera mendekati. Senyuman keceriaan di wajahnya sungguh ketara.

Hayyani melukis senyuman manisnya. Segera dia bersalam dan memeluk tubuh Doktor Khalida. " Dah. Baru aje sampai. Umi sihat? "

" Sihat alhamdulillah. Rindunya umi dekat kamu. " Tak terkata rasa gembira di hati tuanya terhadap gadis itu saat tangannya mengusap pipi Hayyani.

" Umi... Daneen mintak maaf sebab tak dapat datang makan malam dengan umi masa tu, " tutur Hayyani dengan rasa serba salah yang masih bergayut di tangkai hatinya.

Doktor Khalida tersenyum. " Takpelah, umi tak ambil hati pun. Faham sangat kamu penat masa tu. Duduk sekejap, ya. Umi nak siapkan apa yang patut dekat dapur. Lepastu, kita makan sama-sama. "

" Biar Daneen tolong sekalilah. "

" Tak payah. Dah nak siap pun. Duduk kejap tau. "

" Biar Daneen tolonglah buat apa yang patut." Walaupun dia sudah terbiasa datang ke situ sejak dulu lagi, umi tetap melayannya seperti tetamu istimewa. Dia pula yang rasa bersalah kerana tak menolong apa-apa. Ibu mengajarnya untuk sentiasa menjaga adab walaupun berada di rumah kenalan rapat.

" Tak payah. Duduk aje situ. " Apabila umi berkeras melarang, Hayyani tiada pilihan selain duduk kembali di sebelah Hanan. Doktor Khalida kembali ke dapur membiarkan kedua-dua gadis itu berbual.

" Kau jangan risaulah. Duduk aje sini. Lagipun dah takde apa nak buat dekat dapur tu. Tinggal bancuh-bancuh air aje. Yang lain semua aku dah siapkan tadi. "

" Kau masak apa ni? Beria-ria ajak aku makan sekali. " Sejak minggu lepas lagi, Hanan selalu menghantar pesanan dan menelefonnya untuk makan bersama. Sekuat mana pun dia menolak, lebih kuat Hanan memujuk sampai dia tak betah nak menolak lagi. Karang kalau dia tak datang mahu Hanan merajuk setahun.

" Nasi minyak. Saja nak bagi kau merasa sebab haritu kau tak dapat datang wedding aku kan, " kata Hanan tapi bunyinya kedengaran kecewa. Hayyani di sebelah sekali lagi dihujani rasa bersalah. Lengan Hanan dipeluknya.

" Sorry, aku pun ingatkan aku pergi sekejap aje. Kau cakap macam ni, buat aku serba salah tau. "

" Aku tak ambil hatilah walaupun aku memang tunggu kau datang. Kau macam mana, okey? "

" Okey, macam nilah aku. By the way, aku dah lama nak tanya. Dekat sekolah kau mengajar subjek apa Hanan? " Soal Hayyani. Yang dia tahu Hanan baru saja menjadi seorang guru tapi belum sempat bertanya mengajar subjek apa.

" Aku ajar fizik. Budak-budak SPM yang ambil aliran sains tulenlah senang cerita. "

" Ooo... tak sangka kau jadi cikgu kan. Ingatkan dulu kau nak jadi engineer. " Hayyani meluahkan rasa kagum. Padahal Hanan dulu antara top scorer juga setiap kali musim peperiksaan. Barangkali Hanan sepertinya juga mahir tapi tidak minat.

" Aku dengan Lukman kan bertunang sebelum kita grad dulu. Aku terfikir kalau aku jadi engineer nanti mesti aku tak banyak masa dengan keluarga. So, aku sambung ijazah perguruan untuk jadi cikgu and then kahwin, " cerita Hanan secara ringkasnya.

Hayyani sekadar mengangguk. Disebabkan percintaan Hanan dan Lukman sudah begitu hangat semasa belajar lagi, Doktor Khalida menyuruh mereka bertunang dahulu. Bimbang kalau mereka keluar ke mana-mana bersama bakal menimbulkan fitnah pula.

" Apasal cara kau pandang aku tu semacam aje. " Hayyani rasa tak sedap hati. Pandangan Hanan kelihatan semacam. Sedih ada serba salah ada.

" Aku mintak maaf bagi pihak abang aku tau. Yalah, dulu dia selalu membuli kau, mengusik kau apa semua. Mesti kau benci dekat abang aku kan. Tiba-tiba, berapa tahun tak jumpa dia suruh umi dengan ayah masuk meminang kau. Mana tak terkejut kita orang."

" Aku lagi terkejut daripada kau. Jujur aku cakap, aku ni tak special pun macam perempuan lain dekat luar sana tu. Tak payahlah suka dekat aku, " rungut Hayyani sambil menggoncang lengan Hanan. Kelakuannya seolah-olah sedang memaksa Elhan berhenti menyukainya pula.

" Hish, ada pulak macam tu. Mana aku tahu yang abang aku yang sengal tu boleh tersuka dekat kau selama ni. Tulah orang kata jangan benci nanti jadi suka, " komen Hanan seraya tersenyum. Siapa sangka abangnya yang dahulu mudah jatuh cinta pada wanita boleh berubah menjadi pencinta setia.

Wajah Hayyani berubah monyok." Kau boleh terima ke akak ipar yang sebaya kau? "

" Aku? Boleh aje. Setakat kena panggil akak aku takde masalah. " Kenyataan selamba dari mulut Hanan membuat Hayyani mengeluh panjang. Dia tak tahu nak sangkal apa lagi. Mati akal betul.

" Kau ni... bukannya nak tolong kurangkan kerisauan aku. Makin bertambah adalah. " Boleh dikatakan hampir 99 peratus orang setuju kalau dia berkahwin dengan Elhan. Serabutnya otak!

" Aku rasa abang aku suka kau sebab kau dah makin cantik kut. Kalau dulu dia tak pandang kau memang masuk akallah sebab kau memang skema dulu. Aku ingat lagi cermin mata bulat kau. Ada lagi tak sekarang? " soal Hanan tetapi reaksinya seakan mengejek.

" Eleh, kau jangan pandang rendah, okey? Disebabkan spec tulah aku berjaya habis belajar tau, " pertahan Hayyani lalu tunjuk muka bangga.

" Dengan stoking pelangi kau tu. Sebab stoking tulah kaki kau jadi rajin nak panjat library hari-hari kan." Hanan makin seronok nak mengusik Hayyani.

" Kau ni... kurang asam kan. " Bantal kecil pada pangkuannya dihempuk pada Hanan yang semakin galak ketawa. Geram tau. Aku tahulah muka aku comel kalau masam.

" Hanan, kejap lagi sambung berbual. Ajak Daneen makan dulu, " laung Doktor Khalida dari kejauhan membelah perhatian mereka.

" Tu, bakal mak mertua panggil, " usik Hanan lagi yang sudah bangun untuk ke ruang makan diikuti Hayyani. Kemudian, dia ketawa mengekek-ngekek. Seronok betul mengusik minah ni.

" Tak baik tau. Mana ada cikgu perangai macam ni. " Hayyani mencucuk pinggang Hanan sambil mereka jalan beriringan. Ini mahu sampai tahun depan Hanan gelakkan dia. Bukan dia tak kenal si kaki sakat ini.

****

" Kau ni resah aje dari tadi. Tunggu abang aku balik, eh? " tegur Hanan. Fokus yang tadinya terarah pada skrin televisyen mula teralih pada Hayyani yang seakan tidak senang duduk sejak tadi.

Jam yang sudah menunjukkan pukul 6 petang membuatkan Hayyani mengeluh lemah. Terjenguk-jenguk dia ke luar. Mencari kelibat seseorang yang ingin dia elakkan.

" Aku rasa aku kena balik dulu ni. Kalau lambat nanti buatnya terserempak dengan abang kau macam mana? "

Hanan tertawa. Gelagat Hayyani mencuit hatinya. Macamlah abang dia tu makan orang.

" Kau ni menggelabah sangat. Abang aku ada rumah sewalah. Dia sewa rumah yang paling dekat dengan hospital sebab dia kena standby call selalu. Dia jarang tidur sini lagi dah. Tapi biasanya sekali sekala dia balik. "

Buat seketika, Hayyani bisa menghembus nafas lega. Kalau macam tu, lain kali nak datang rumah umi tak perlulah riki line dulu. Ini tidak, rasa macam masuk kandang harimau pula debarnya.

" Kan bagus kalau kau bagitau awal-awal. Kalau betul aku tak kisah. Buatnya dia tiba-tiba balik macam mana. Abang kau tu dahlah sejenis yang menyakitkan hati. Duduk dengan dia boleh buat aku rasa seram. "

" Seram macam mana tu? "

Hampir terlompat keluar jantung Hayyani sebaik saja ada suara garau yang menerjah perbualan mereka. Di depan mereka sekarang berdirinya Elhan yang sedang melipat lengan kemeja. Butang kemeja yang dibiarkan tidak berbutang di bahagian atas, dengan seluar slack berwarna coffee itu. Segaknya. Tapi alamak! Bila pulak mamat ni balik.

" Err... takdelah. Saya tak cakap pasal awak pun tadi. " Tergagap-gagap Hayyani membalas. Dia mencuit-cuit lengan si Hanan di sebelah. Minta bantuan.

" Saya tak cakap pun yang awak tengah bercakap pasal saya. Memang sahlah ni. Awak mengutuk saya belakang-belakang, eh? " usik Elhan sambil memberikan pandangan mata membunuh kepada Hayyani.

Hanan perasan pipi Hayyani makin kelihatan memerah. Perlahan-lahan dia juga mula tersengih geli hati. Agaknya kalau dia biarkan habis merah satu muka itu nanti.

" Perasan ajelah abang ni. Orang banyak lagi benda nak cakap selain bercakap pasal dia. Ni tiba-tiba muncul abang balik naik apa. Tak nampak pun kereta. "

" Abang parking luar sebab abang tertinggal remote pagar," beritahu Elhan. Kemudian, dia kembali memandang Hayyani yang masih tertunduk. Ada senyuman kecil yang terbentuk di bibirnya.

" Dekat dapur ada banyak air sejuk. Pergi minum sikit. Merah dah muka tu, " sambung Elhan masih giat nak menyakat gadis itu. Memang satu takdir yang indah. Dalam perjalanan ke rumah umi tadi dia ada terfikir tentang Hayyani. Tak sangka dapat berjumpa di sini pula.

Hayyani rasa jantungnya bakal terhenti sekiranya Elhan masih di situ. Ah, tak kira! Aku dah tak tahan lagi.

" Hanan, aku rasa nak guna tandas kejaplah." Cepat-cepat Hayyani bangkit dari sofa tanpa memandang Elhan. Berlari tak tentu hala dibuatnya. Bagai lipas kudung.

" Daneen, tandas dekat belah kirilah. " Hanan menepuk kepalanya. Daneen, Daneen. Punya gelabah kau sampai jalan ke tandas pun lupa.

" Bukan kanan ke? "

" Kanan tu jalan nak ke bilik saya. Nak masuk boleh. Kena jadi isteri saya dululah, " usik Elhan lagi. Gelagat lucu Hayyani yang kelam kabut melarikan diri menggeletek perasaannya. Comel.

****

Hayyani yang baru selesai mencuci pinggan terpegun melihat Elhan yang segak berbaju melayu baru masuk ke dapur. Tanpa sedar, tindak tanduk lelaki itu ditatap tak lepas. Elhan minum air, Elhan mengunyah kacang badam dengan gaya bersahajanya. Handsome pula aku tengok.

" Kenapa pandang saya macam tu? Nak kacang badam ni?" Elhan menghulurkan balang yang penuh dengan kacang badam kegemarannya.

" Tak nak, " tolak Hayyani. Jantungnya mula kencang sewaktu dia melarikan pandangan. Kenapalah kau cuai sangat Daneen.

" Kalau nampak orang-orang yang macam handsome cantik puji ajelah. Tak rugi pun kalau cakap." Selamba saja Elhan bercakap. Dia perasan Hayyani asyik memerhatikannya. Sejujurnya, dia juga tak lepas daripada memandang Hayyani tadi tapi dia pandai cover line!

Hayyani mencebik. " Eee... perasannya awak ni. Saya cuma geram. Kenapa awak tak cakap umi nak jumpa masa awak jemput saya dekat airport haritu? " ungkitnya senafas.

" Amboi... nak salahkan saya pulak? Awak sendiri yang cakap ' muka saya ni macam muka pelahap ke?' Tak ingat? " Sebiji-sebiji bicara Hayyani tempoh hari ditiru Elhan. Dia lihat anak mata Hayyani mula bergetar. Gugup barangkali.

" Kalau awak tak sakitkan hati saya haritu, dah lama saya.... "

Belum sempat Hayyani menghabiskan kata, Elhan menyumbat perlahan kacang badam ke dalam mulutnya. Hayyani terdiam. Beberapa saat pandangan mereka bertaut, jantung Hayyani rasa hampir tercabut.

" Hei, perlahan-lahan sikit boleh? Takde siapa nak kejar awak," bisik Elhan perlahan di telinga Hayyani. Sengaja dia mengusik nakal sebelum dia menjauhkan kepalanya semula.

Hayyani berdeham bagi mengusir canggung. Jujur dia berdebar dengan perlakuan Elhan tadi. Suara garau Elhan yang menyapa telinga boleh membuatnya terbang melayang.

" Kenapa awak tak bawa saya jumpa umi haritu?" soal Hayyani semula, kali ini perlahan dan lembut.

Elhan senyum senget. Suka dengan perubahan dari kata-kata Hayyani itu.

" Umi faham awak penat haritu. Takde siapa yang marah walaupun awak tak datang. Cuba tengok muka umi hari ni. Suka betul bila awak datang. Lain kali awak datanglah lagi. Ceria sikit rumah ni ada ramai orang. Tak payah takutkan saya. Saya ni bukan makan orang. "

Hayyani berdeham lagi. Amat berdebar apabila direnung sepasang mata hitam Elhan. Tutur lelaki itu kedengaran tenang dan lembut. Seakan-akan dia melihat bakal suami mithali idamannya. Ah, apa kau mengarut ni otak?

" Tapi perlu ke awak sumbat kacang dalam mulut untuk suruh saya diam? " Nada suara Hayyani kembali mengeras di hujung. Bulat biji matanya merenung wajah tenang Elhan. Sebenarnya, dia cuba menutup perasaan.

" Asyik awak aje bercakap biar saya bercakap pulak. Awak datang sini tak bagitau ibu awak ke? " Elhan menekur tangannya sesudah selesai makan kacang. Balang itu diletakkan atas kabinet dapur lalu dia meneguk segelas air. Kemudian, dia menuangkan air masak buat Hayyani pula. Lagak bersahaja dan maskulin set-set memikat bakal isteri.

" Apasal awak tanya macam tu? " Hayyani agak saspens memandangkan tekaan Elhan tepat. Air yang Elhan berikan tadi disisip sedikit untuk menghilangkan debar. Sewaktu dia keluar dengan abah tadi ibunya masih di kampus. Jadi, dia cuma mengharapkan Encik Sulaiman yang beritahu kepada Puan Farida.

" Takdelah, cuma ibu ada call tadi. Dia tanya awak dekat mana. Nampak gaya macam risau sangat dekat awak ni, " beritahu Elhan tentang panggilan yang diterimanya awal tadi.

Hayyani gigit bibir bawahnya. Aduh, memang sengaja ibu nak mengadu dekat mamat ni kan. Macam tak ada orang lain nak telefon.

" Kalau dia risau kenapa tak telefon saya terus? Saya tak faham kenapa dia nak mengadu dekat awak jugak. Yalah, ibu kan lagi sayang awak, " ungkap Hayyani kedengaran sedang berjauh hati.

Elhan melepas keluhan lemah. Wajah Hayyani direnung bersama tangan yang disilangkan. Dia cuba memikirkan cara yang paling tepat.

" Ini bukan soal sayang siapa lebih. Ini soal tanggungjawab. Awak anak perempuan berada di bawah tanggungan ibu ayah. Jadi kalau nak pergi ke mana-mana beritahulah sekurang-kurangnya atau minta izin supaya senang orang nak cari kalau ada apa-apa berlaku. Faham? " Nasihat Elhan sebaik mungkin. Walaupun dia maklum dengan hubungan dingin dua beranak itu, namun dia tidak mahu Hayyani mengabaikan tuntutan agama.

" Faham... " jawab Hayyani rendah. Ambik kau Daneen. Kena setepek dengan ustaz Elhan ni.

Ekpresi wajah yang kelihatan muram itu buat Elhan rasa serba salah. Tapi dia sempat tersenyum melihat bibir yang memuncung tanpa sengaja itu. Comel betul pada pandangannya.

" Marah ke saya tegur ni? "

" Tak kuasa. "

" Bagus. Makan banyak-banyak kacang badam. Kasi tajamkan balik apa yang tumpul dalam kepala tu. Untuk orang yang selalu lupa apa dia pernah cakap pun sesuai jugak," perli Elhan tentang kata-kata Hayyani yang diajuk semula awal tadi. Kemudian, dia meninggalkan dapur.

Hayyani tercengang. Wah, dia perli aku? Suka hati dia aje nak kata otak aku tumpul. Menyirapnya darah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience