Petang sabtu yang redup dan sedikit berangin itu menjadi pilihan Encik Sulaiman untuk bercucuk tanam di kawasan rumah. Selalunya kalau ada Hayyani, mereka berempat akan berpakat sama-sama menyertai aktiviti itu. Namun kini tinggal bertiga sajalah. Itu pun kadang-kadang Haleena sibuk dengan urusan belajar.
Sudah penat berkebun, Puan Farida menatang dulang berisi kuih ros dari dapur untuk dibuat minum petang. Haleena yang turut mengekori dari belakang membawa sedulang teko dan cawan pula. Dihidangkan semuanya di atas meja kopi di bawah pokok redup di halaman rumah mereka.
" Sudah-sudahlah tu abang. Berehat minum air dulu. Nanti sambung balik."
" Kejap lagilah abang minum. Abang nak pergi buat batas dekat belakang rumah kejap. Nak buat tanam ubi."
" Kut ya pun minumlah dulu. Nanti kopi ni sejuk tak sedap pulak." Puan Farida bertugas menuang air kopi ke dalam cawan lalu disuakan ke hadapan suaminya.
Encik Sulaiman tidak membantah lagi kali ini lalu mengambil tempat di bangku batu bersebelahan isterinya.
" Yalah. Leen boleh tolong abah ambilkan cangkul?" pinta Encik Sulaiman sambil mengesat peluh yang merintik di dahi dengan tuala kecil di bahu.
Haleena sekadar mengangguk menerima arahan. Sementara menunggu, sempat Encik Sulaiman menjamah sedikit kopi o yang masih berasap di dalam cawan dan menikmati kuih ros buatan isterinya. Selang seminit, Haleena pula kembali dengan sebatang cangkul di tangan lalu diletakkan atas tanah berhampiran abahnya.
" Baik-baik abah. Jangan cangkul kaki sendiri sudah. Abah tu baru elok demam." Ada gurauan dalam pesanan Haleena yang sedang tersengih-sengih itu. Dia turut mengambil tempat bertentangan Encik Sulaiman sebelum kuih ros diambil dan dikunyah.
" Kalau abah tercangkul kaki ni Leen tolonglah cantum kan balik," gurau Encik Sulaiman tak kurangnya melayan.
" Hish, apalah abah ni. Leen ni nak jadi doktor gigilah. Mana pandai nak sambung-sambung kaki. Nanti kalau Leen boleh tolong pun tolong kebumikan kaki abah ajelah, " jenaka Encik Sulaiman disambut pula oleh Haleena.
" Tuannya tak ke tanah lagi kaki dah pergi dulu ya, " sambung Encik Sulaiman lagi.
Puan Farida sudah menggumam sendiri memerhatikan gelagat dua beranak itu yang sedang ketawa terbahak-bahak. Entah apalah yang lawak sangat pun tak tahu. Eloklah anak borek bapak rintik!
" Hish! Apalah dua beranak ni. Tak ada benda lain agaknya nak dibuat gurau," bebelnya geram. Anak bongsu dan suaminya itu memang suka bawa bergurau benda yang bukan-bukan. Hairannya, suaminya itu suka sangat melayan itu yang makin menjadi-jadi. Setakat berdua pun tak ada masalah sampai dia terasa bagai tak wujud di situ.
" Abang jangan pegang cangkul hari ni. Buat esok. Hari ni tolong saya alihkan pasu aje. Gurau memang gurau, jadi kenyataan karang siapa nak menjawab," omel Puan Farida dengan wajah yang beriak serius.
" Tengok... sayang lagi ibu pada abah, Leen. Ingat tak sayang dah. " Encik Sulaiman tersenyum lebar ketika memandang sekilas isterinya di sebelah. Kemudian, dia berbalas pandangan bermakna dengan Haleena yang sudah tersengih bagai kerang busuk itu pula.
" Mana tak sayangnya. Ibu sampai tertidur jaga abah dekat sebelah masa abah tak larat nak bangun tau. Lepastu, dah masuk mengajar dalam kelas pun sanggup habiskan kuliah awal sebab nak balik jaga abah. Abah tak selera makan bubur ibu buatkan nasi ambeng sebab abah teringin. Tangan kaki abah tak sempat nak lenguh pun ibu dah urut. Pandai abah cari isteri kan, " ujar Haleena panjang lebar. Lebih pada sengaja berpakat nak mengusik ibunya.
Dia lihat Puan Farida di sebelah hanya buat muka tak tahu. Padahal dalam hati tu memang ada sesuatu. Eleh, ego betul nak mengaku yang ibu memang risau masa abah demam beberapa hari lepas. Macam manalah agaknya zaman bercinta dengan abah dulu kalau asyik nak menyinga saja kerjanya.
" Salah tu. Ibu yang pandai cari suami. Kalau nak tahu, ibu yang mengurat abah dulu. Yalah, duduk sekampung pulak tu abah yang paling handsome mana tak ibu jatuh hati. Masa tu abah baru aje jadi cikgu. Berebutlah orang nak jadikan menantu." Encik Sulaiman sudah mula membuka cerita.
" Mesti ramai perempuan cantik nak ngurat abah kan. "
Encik Sulaiman tergelak kecil. Dia perasan isterinya ada menjeling sekilas. Amaran agar dia tidak meneruskan. Tapi memandangkan Haleena sudah terlebih teruja mendengar cerita itu, takkan nak dibiarkan tergantung pula.
" Eh, ramai. Tapi abah pilih ibu kamu jugak sebab dalam ramai-ramai perempuan, ibu kamulah perempuan yang paling berani. Ibu kamu tulis surat untuk berterus terang pasal perasaan dia, siap ajak kahwin lagi. Abah lepas dapat surat tu tak lena tidur malam tahu tak, Leen. Bulan depannya abah masuk meminang. Agak-agak berkenan dekat hati tu terus ajak tunang sekali. Bulan depannya nikah. Habis cerita. "
" Abang, sikit-sikit sudahlah. Tak payah nak cerita lebih-lebih pada budak ni. " Puan Farida mula tak betah. Yalah, mana pernah dia canang cerita zaman perkenalan dengan suaminya itu kepada anak-anak mereka. Dia yang segan dibuatnya.
" Eh, eh. Biarlah, tak luak pun kalau abang cerita. Bukan anak jiran, anak kita yang nak dengar. " Encik Sulaiman masih dengan wajah bersahaja.
Puan Farida hanya mampu menadah telinga sedari tadi. Nak membantah, tapi benda betul.
" Ibu sayang dekat abah tu. Kalau tak macam mana boleh terkeluar kita orang bertiga. Hasilnya cantik segak semua. Betul tak abah?" Haleena makin naik minyak. Makin ibu buat tak peduli makin dia suka nak menyakat.
" Kakak kamu, mukanya sebiji macam ibu masa muda dulu-dulu. Cantiklah orangnya, " tambah Encik Sulaiman lagi, teruja bercerita.
" Itu ke yang buat abah tak lena tidur malam tu? " giat Haleena lagi. Dia ketawa mengekek pula selepas itu sambil mengerling ibunya.
Encik Sulaiman tergelak besar mendengar kata-kata Haleena.
" Aip! Bukan main kau, ya. Bercakap pasal bercinta bukan main seronok." Puan Farida sudah mencerlung kepada Haleena. Namun, anak gadisnya mana pernah takut makin galak tertawa adalah.
Encik Sulaiman ketawa lepas. Keletah isteri dan anaknya itu benar-benar mencuit hati. Apatah lagi Encik Sulaiman memang tahu kalau isterinya itu cukup sukar nak mengatakan ucapan sayang atau cinta dari mulut sendiri. Bila diusik, seganlah jadinya.
Sementara Encik Sulaiman di belakang rumah, Puan Farida ditinggalkan sendirian bersama Haleena menikmati minum petang. Kala ini juga, Puan Farida terfikir untuk bertanyakan sesuatu kepada Haleena. Sesuatu yang sudah agak lama dia simpan. Dia cuma menunggu ruang yang tepat sementara suaminya tiada untuk berbicara soal itu.
" Leen, ibu ada benda nak tanya ni. Kamu dengan kak Balqis ada jumpa ke baru-baru ni? " Puan Farida menyentuh pada mukadimah bicara.
Haleena yang sedang menatap skrin iPad miliknya terhenti seketika. Dia memandang pula wajah ibu dengan kening yang bertaut.
" Kenapa ibu tanya? Oh, ni mesti sebab ibu dah ternampak Leen dengan kak Balqis dekat kampus. Kan, ibu? "
Melihat Puan Farida yang tidak pula menafikan andaiannya itu, Haleena akhirnya terangguk-angguk sendiri. Dia sudah dapat mengagak. Kalau tidak masakan ibu boleh tiba-tiba nak bertanya tentang kak Balqis. Sebelum ini, mana pernah ibu berminat nak ambil tahu tentang isteri abang Haris itu.
" Tak kisahlah pasal tu. Yang penting ibu nak tahu, apa yang Balqis buat dekat situ? Kamu suruh dia jemput kamu balik ke? " soal Puan Farida jelas perasaan ingin tahunya sedang membara.
Minggu lepas, sewaktu selesai saja mengajar di fakulti, dia terlihat Haleena dan Balqis jalan bersama-sama menuju ke fakulti ekonomi dan pengurusan. Sempat dia memberhentikan kereta dari jauh untuk memastikan bahawa apa yang dilihat oleh matanya adalah sahih. Memang benar yang disaksikannya itu adalah Haleena dan Balqis namun sampai sekarang dia tidak pasti apa urusan Balqis di sana.
" Ish, ibu ni. Apa salahnya ibu tanya kak Balqis terus. Leen kan naik vespa pink tu hari-hari. Takkanlah tiba-tiba nak susahkan kak Balqis pulak nak jemput balik kelas. Kita sedar kita bukan puteri diraja, " tukas Haleena.
Bukan ibu tak tahu yang sebolehnya dia tak mahu menyusahkan sesiapa untuk ke mana-mana. Walau perlu berpanas, berhujan, dilambung ribut taufan sekali pun, selagi dia boleh berdikari dia takkan meminta bantuan sesiapa. Vespa itu pun hadiah pemberian abah walaupun pada mulanya dia berkeras untuk menolak. Tapi bagus juga. Sekurang-kurangnya tak perlu tumpang ibu.
Puan Farida mendengus kuat. Sudah habis sabar dengar jawapan Haleena gamaknya.
" Habistu, bagitahu aje tak boleh? Banyak songel pulak budak ni," gerutunya geram. Lantaran itu, pandangan tajam dicerlungkan pada wajah tak bersalah Haleena.
" Garang betul ibu ni. Patutlah kak Balqis tu tak logat nak bagitau ibu yang dia tengah sambung belajar. Takut kena condemn sana sini. Kesian dekat bakal suami Leen nanti. Apalah yang ibu nak condemn pulak pasal dia nanti, " omel Haleena tanpa henti.
Puan Farida terdiam sekejap. Sejujurnya dia agak terkesima dengan pemberitahuan Haleena. Balqis sambung belajar? Biar betul. Takkanlah menantunya itu mengambil serius pula tentang perkara yang sudah berlalu.
" Kalau ibu nak tahu, kak Balqis baru aje sambung belajar masa students semua sibuk naik semester baru. Haritu, kak Balqis sesat cari jalan ke kelas dia. Kebetulan Leen ada dekat-dekat situ, itu yang Leen tolong tunjukkan jalan. Dari situ, Kak Balqis ceritakan semuanya pada Leen. Cuma dia mintak Leen tolong rahsiakan dulu daripada ibu sampai dia beritahu sendiri nanti," jelas Haleena lagi memandangkan ibunya masih lagi senyap tanpa suara.
Melihat pada reaksi ibu, Haleena dapat meneka bahawa mungkin ibu terkejut. Memang patut pun ibu terkejut kerana kak Balqis berjaya membuktikan keazamannya bukan sekadar lepas di mulut. Jujur nak dikata, dia tumpang bangga dengan kakak iparnya itu yang kuat semangat dan tidak mengalah dengan perspektif enteng daripada ibu.
" Kalau ibu nak tahu lebih lanjut ibu tanyalah kak Balqis sendiri. Nampak macam banyak sangat soalan nak tanya kalau tengok dari raut muka ibu tu. "
Haleena kembali memberikan tumpuan pada skrin iPad miliknya untuk membaca kajian klinikal. Dia menganggap urusannya sudah selesai di sini. Biarlah ibu pula yang berurusan sendiri dengan Balqis. Nanti kalau dia mengulas lebih tak sopan pula memandangkan dia bukannya tuan badan.
Puan Farida masih lagi membisu sehingga kini. Hanya menghadam sebaik-baiknya apa yang diberitahu Haleena tadi. Memang, memang dia ingin tahu lebih lanjut soal itu. Namun dia sendiri sedang mempersoalkan adakah dia layak atau tidak untuk mencampuri urusan menantu yang dulunya disangka tidak berpotensi dalam pelajaran. Mungkinkah Balqis sedang mencabar kata-katanya? Musykil.
Share this novel