" Okey, apa-apa nanti bagitau abah terus. Senang abah nak masak makanan kegemaran kamu nanti. Balik cepat tau. Waalaikumussalam."
Puan Farida yang baru turun dari tingkat atas memerhatikan belakang Encik Sulaiman yang berbaju melayu. Sejak suaminya mula bertelefon dengan seseorang tadi, hatinya terasa bergelodak ingin mengetahui gerangan pemanggil di hujung talian.
" Hai abang, bercakap dengan siapa tu? Bukan main mesra lagi saya dengar dari atas tadi. Ketawa tak ingat dunia, " tegur Puan Farida yang sedang menghampiri Encik Sulaiman.
" Aikk! Bercakap dengan anak sendiri pun awak nak cemburu ke? " Soal Encik Sulaiman kembali. Sesekali dia menggeleng kepala. Ada kala cemburu isterinya tak boleh dikawal. Mujurlah sikap itu beransur-ansur hilang apabila meningkat usia, kalau tidak memang hantu cemburunya waktu muda-muda dulu.
Mereka berdua melabuhkan duduk di atas sofa. Encik Sulaiman menekan punat pada alat kawalan jauh. Matanya terus tertancap pada skrin televisyen yang menayangkan paparan Buletin Utama di tv3 .
" Abang bercakap dengan Daneen? "
" Kenapa, awak tak suka ke abang bercakap dengan anak kita? " Encik Sulaiman sengaja mahu menduga isterinya.
Maklumlah, sikap autokratik Puan Farida terhadap Hayyani sejenis yang tak boleh diduga. Pantang bertembung pasti akan bertelagah dah serupa minyak dengan air. Walhal dengan anak-anak mereka yang lain tak adalah sampai begitu sekali.
" Taklah abang. Saya cuma heran, dengan abang boleh pulak dia bercakap dekat telefon sampai berjam-jam. Kalau saya yang telefon tak pernah pulak nak berangkat. Haih, budak tu la. Kalau dia ada dekat depan saya sekarang dah lama saya sekolahkan dia," ujar Puan Farida tak puas hati.
Kadang kala dia berkecil hati dengan layanan baik yang diberikan oleh Hayyani kepada Encik Sulaiman. Mesra dan manja hubungan dua beranak itu. Tapi kalau dengannya, Hayyani akan diam dan membeku macam orang sedang menunggu hukuman pancung.
" Ha tengok tu. Pasal sikap awak ni gengster sangatlah Daneen takut nak bercakap dengan awak. Silap hari bulan dia tak balik Malaysia lagi dah sebab serik dengar awak bersyarah dekat telefon, " bela Encik Sulaiman seraya mengeluh kecil. Perangai isterinya yang kuat membebel dan suka mengongkong sudah boleh diduga. Dia langsung tak hairan mengapa anak-anak mereka lebih akrab dengannya berbanding ibu mereka.
" Eh abang, kalau mak orang lain pun mesti mengamuk sakan punyalah kalau ada anak yang jenis suka serabutkan kepala otak ni. Orang dekat rumah ni bukan main risau kat dia, tapi dia boleh ikut suka aje nak buat kepala dia sendiri. Pening sayalah. " Wajah Puan Farida sudah berubah tegang.
" Awak macam tak kenal diri awak sendiri. Sepatah budak tu jawab, berpatah-patah awak membalas. Mana tak dia diam membeku aje. Nak melawan cakap awak pun tak guna, awak tetap nak menang. Awak pensyarah kan? Cuba awak gunakan kebijaksanaan awak sekejap untuk buat perbandingan, antara cikgu yang garang dengan cikgu yang penyayang, mana satu murid-murid lagi sayang? " Tanya Encik Sulaiman bersahaja.
Puan Farida berkerut hebat. Panas hati mendengar sindiran dari mulut suaminya.
" Apa abang mengarut ni? Sekarang ni saya tengah bercakap pasal Daneen, bukan pasal saya. Haih, entahlah bang. Saya ni banyak sangat benda nak fikir. Pasal pinangan Elhan tu pun satu hal lagi. Apalah yang susah sangat anak dara abang tu nak bukak mata dia luas-luas tengok betapa eloknya budak Elhan tu. Entah apa yang dia cari lagi saya pun tak tahulah nak cakap, " omel Puan Farida geram.
Masih dia ingat lagi bagaimana dia harus menebalkan muka saat Hayyani sendiri tanpa segan silu bercakap di depan muka Doktor Khalida dan Encik Idham agar pihak lelaki memberikannya ruang untuk berfikir. Habis satu rumah terpaksa mendengar amukannya selepas rombongan meminang itu pulang.
" Awak ni faham ke tidak maksud pinangan tu apa? Secara ringkasnya, kalau dah tak nak tak payah terima, " ujar Encik Sulaiman sambil memandang wajah berang isterinya.
" So, saya nak kena cakap dengan Daneen yang saya lagi gembira kalau dia tolak pinangan Elhan, macam tu? " Puan Farida mula melenting.
" Itulah awak, tiap kali bercakap dengan abang suka sangat ikutkan perasaan. Apa yang abang cuba cakap, pinangan tu lamaran pihak lelaki kepada orang perempuan. Hukum terima lamaran tak wajib. Pihak lelaki tak boleh paksa apatah lagi kita sebagai orang tua. Lagipun abang tengok Elhan tak pernah desak Daneen untuk terima, dia serahkan bulat-bulat pada anak kita untuk bagi kata putus. Ini tidak, orang tak melebih awak pulak yang beria-ria, " tegur Encik Sulaiman penuh berhemah. Kemudian, dia memandang kembali siaran di televisyen.
" Saya cuma tak nak anak kita kahwin dengan orang bukan-bukan yang kita sendiri tak tahu menahu latar belakang dia macam mana. Dapat Elhan jadi suami Daneen pun dah baik sangat dah ni. Orangnya berpelajaran, bekerjaya, mak ayahnya orang yang baik-baik. Budaknya pun, bukan main sopan santun, berbudi bahasa bila bercakap dengan orang tua, " puji Puan Farida.
" Kalau macam tu, lebih baik awak kahwinkan Daneen dengan anak sedara awak. Keturunan Haji Fadhil kan kebanyakannya baik-baik. Takdelah awak takut Daneen berkahwin dengan orang tidak-tidak nanti. Tak begitu Doktor Siti Farida Haji Fadhil?" Encik Sulaiman sengaja meloyar buruk.
Puan Farida tarik muka apabila nama bapanya dipetik. Lengan Encik Sulaiman yang sedang tertawa itu ditepuk. Suaminya memang suka buat main perkara serius.
" Hish, abang ni. Ke situ pulak. Kita ni tak digalakkan berkahwin dengan sepupu sepapat takut tak berkembang susur galur keluarga. Dah elok saya pilih Elhan kenapalah susah sangat semua orang nak faham saya, " omel Puan Farida. Langsung tak berkurang kerisauannya kala mendengar tawa Encik Sulaiman yang bersambung-sambung.
Sejak dulu lagi, apa pun keputusan yang dia pilih untuk anak-anak mereka, Encik Sulaiman selalu saja tidak sehaluan pendapat dengannya. Selalu saja membela anak-anak mereka yang sangat memperjuangkan kebebasan memilih haluan hidup sendiri.
" Awak pilih Elhan, tapi Daneen pilih Elhan jugak ke? Kita ni sebagai ibu bapa, tugas kita didik dan bimbing anak-anak kita aje. Kalau baik didikan kita baik la pilihan anak-anak kita nanti. Awak jangan nak sibuk masuk campur hidup anak-anak sangat. Lebih baik awak masuk dapur buatkan abang lempeng sambal dengan kopi o. Boleh makan dengan Haleena sekali. "
" Yalah. " Puan Farida akur akhirnya. Sudahlah, bertekak pun tak guna sama saja semuanya nanti. Dia segera bangun menuju ke dapur.
Share this novel