Bab 59

Romance Completed 15392

Tepat jam 8 malam, kereta Elhan menjalar masuk ke perkarangan rumah. Oleh kerana esok dia bakal bertolak ke Penang untuk berkursus jadi dia memutuskan untuk pulang awal. Briefcase dan kot atas tempat duduk sebelah diambil sebelum dia keluar dari perut kereta.

Sebaik saja masuk ke dalam rumah, wajah Hayyani yang dirinduinya dicari dahulu. Namun, ruang tamu itu kelihatan sepi tak berpenghuni. Barangannya diletakkan di atas sofa dan dia pergi meninjau tingkat atas pula.

" Assalamualaikum." Tombol pintu bilik melukis Hayyani dikuak.

" Waalaikumussalam. Abang dah balik?" Hayyani melemparkan senyuman manis sebaik saja wajah Elhan mengisi tabir mata.

Daun pintu ditutup semula. Elhan membiarkan Hayyani mengambil tangannya untuk dicium sebelum dia mendekat dan merangkul erat isterinya dari belakang. Pipi itu diciumnya sesekali.

" Jangan dekat. Daneen belum mandi lagi. Busuklah, " tingkah Hayyani. Dia melingas pada batang tubuhnya yang comot kesan pewarna. Fikirnya Elhan akan pulang lewat malam ini itu yang dia sengaja melengahkan waktu mandi.

" Lah... patutlah bau semacam. Ada shaun the sheep dalam bilik ni. Kejap, apasal kartun boleh keluar program realiti pulak ni? " seloroh Elhan sebelum tawanya pecah sendiri.

Hayyani tarik muncung sedepa. " Abang?! Tak baik tau kutuk Daneen kambing. "

" Mana ada kutuk. Abang suka bergurau dengan sayang, " ungkap Elhan lembut menampan cuping telinga Hayyani. Pelukannya dieratkan lagi.

" Suka? " Hayyani menduga. Tersipu-sipu pula dia dibuatnya. Dia tahu Elhan paling gemar menyakatnya. Kedudukan mereka yang amat rapat membuatkan pipi mereka saling berlaga.

" Suka sangat. Awak lukis apa ni? " soal Elhan sambil mengimbas imej lukisan pada kanvas di depan mereka. Cantik. Dia tidak menafikan bahawa Hayyani sememangnya berbakat dalam melukis.

" Nama lukisan ni Senja Pada Derita Kita. Lukisan ni menggambarkan pengakhiran bahagia dalam hidup seseorang tu. Setiap derita mesti ada bahagia. Cantik tak abang?"

Hayyani berpaling menghadap suaminya. Hatinya berkobar-kobar menanti jawapan daripada Elhan. Maklumlah, lukisan itu adalah lukisan pertama yang dihasilkannya selepas hampir 5 tahun tidak memegang berus lukisan. Kalau dahulu ibu selalu menghalangnya kali ini Elhan pula yang hadir memberi galakan.

" Abang suka maksud lukisan ni. Bahagia. Abang rasa semua orang pun teringin nak ada happy ending dalam hidup masing-masing. Cuma ada segelintir orang Allah pilih ending dia berbeza. Tapi abang harap sangat pengakhiran bahagia untuk kita sampai bila-bila, " ujar Elhan menzahirkan harapan semenjak hatinya jatuh buat satu-satunya wanita bernama Daneen Hayyani.

Walaupun dahulu dia sering berfoya-foya dengan wanita lain dan selalu mempersendakan Hayyani, namun sebaris nama itu tidak pernah pudar hatta digoyah teduhan kasih wanita lain. Mujur Allah masih membuka pintu hati Hayyani untuk menerimanya dan menyatukan mereka. Kini mereka bersama, dia tidak mahu mensiakan isterinya itu.

" Daneen pun harap yang sama. Daneen nak bahagia dengan abang sampai syurga. Tapi abang jangan nak mengelak. Abang tak jawab lagi soalan tadi. Pandai tak Daneen lukis? " Soalan itu diulangi Hayyani kembali. Tangan Elhan digoncang menggesa untuk diberi jawapan.

" Entah. Ni lukisan ke contengan? " perli Elhan sengaja mengusik Hayyani. Sesaat kemudian, dia ketawa kuat lagi.

Hayyani cemberut. Pinggang Elhan yang masih galak tertawa dicucuknya.

" Eee! Tak baiklah hina orang macam tu. Kalau tak cantik abang lukis sendiri, " rajuk Hayyani dengan wajah mencuka. Dia menutup kanvas bertemakan pemandangan laut pada waktu senja itu dengan selembar kain putih.

Elhan tersenyum sendiri. Hayyanilah yang paling menawan saat merajuk. Lantas bahu Hayyani yang sedang membelakangkannya itu dipaut lalu dihadapkan kepadanya semula. Dagu runcing itu dicuit lembut.

" Abang guraulah."

" Daneen dah merajuk. Patah semangat dah nak melukis. Orang tanya benda simple aje, cantik ke tak. Itu pun payah nak jawab," omel Hayyani senafas.

Elhan senyum senget. " Mestilah cantik. Cantik macam pelukis dia jugak. Ini kalau jual orang sanggup bayar sejuta tau. "

Hayyani mendecit. " Bodeklah tu. "

" Kenalah bodek kalau tak abang yang terseksa zahir batin tau."

Geli hati Hayyani melihat senyuman Elhan yang cuba mengambil hatinya semula. Dia mencubit kedua belah pipi Elhan, geram. Macam lelaki miang tahu tak! Boleh pula lelaki itu tergelak-gelak.

Seketika, fokusnya kembali dihadapkan untuk mengemas peralatan setelah siap melukis tadi. Hanya beberapa saat berlalu sebelum dia merasakan lagi pelukan erat Elhan dari belakang tubuhnya. Padahal baru saja dia mengusir Elhan untuk pergi mandi tadi sebelum dia menyusul pula. Kalau ada di situ asyik nak mengusiknya saja.

" Abang, apa kata bagi Daneen mandi dulu. Berpeluh-peluh ni, " kata Hayyani cuba menghentikan perlakuan Elhan. Dia bimbang andai sang suami tidak selesa dengan bau badannya.

Elhan tidak peduli. Dia meletakkan dagunya di atas bahu Hayyani sambil memejamkan mata. Seolah-olah benar rasa selesa dengan kedudukan mereka kini.

" Sekejaplah. Kita stay macam ni kejap. Esok abang nak pergi kursus dekat Penang sampai hari rabu. Saja nak lepas rindu. "

Akhirnya Hayyani membiarkan saja perbuatan Elhan. Tangan kasar yang sedang melilit di pinggangnya diusap lembut. Tenang hatinya berada dalam dakapan lelaki itu.

" Abang pergi kejap aje kan? 3 hari bukan lama mana pun. "

" 3 hari pun rasa macam 3 juta tahun sayang, " balas Elhan dengan suara manja. Kata-kata itu mengundang tawa Hayyani.

" Cheesy betul kan. Abang pergi aje macam biasa Daneen tunggu abang dekat sini. Nanti Daneen spam call dekat abang supaya abang rasa kita tak jauh pun. " Hayyani cuba melegakan hati Elhan.

Semenjak mereka berkahwin, inilah kali pertama mereka akan berjauhan. Mungkin belum biasa tapi akan terbiasa. Dia harus maklum dengan profesion Elhan sementelahan dia memilih lelaki itu menjadi suaminya.

Elhan ukir senyum tipis. Senang hatinya mendengar kata Hayyani.

" Abang nak pergi kali ni jangan sedih-sedih pulak. Nanti abang balik kita spend time sama-sama. Sedih tak abang nak pergi? "

Hayyani tersenyum nakal. Ada satu idea yang terlintas di benaknya. " Ermm..."

Dalam diam dia meletakkan cecair pewarna di atas meja berdekatan pada tapak tangannya sebelum ditepekkan pada wajah Elhan. Habis comot wajah itu dengan pewarna. Elhan apa lagi, terkedu habis sampai tak terkeluar suara.

" Tak. Kejarlah kalau boleh. " Hayyani menjelirkan lidah seraya melarikan diri dari Elhan. Dia menghadiahkan senyuman kemenangan. Puas hatinya dapat menyakat suaminya itu. Barulah saling mengimbangi, usik mengusik.

Elhan tak berpuas hati lantas mengejar Hayyani yang mengacahnya di sebalik kanvas lukisan itu. Setelah dia berjaya menangkap Hayyani, keseluruhan tubuh itu dilumurkannya dengan pewarna. Kamar itu penuh gelak dan tawa. Berkah turun dari Allah buat pasangan yang suka bergurau senda mengikut sunnah Rasulullah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience