Hayyani menatap lukisan yang dipamerkan pada ruang pameran studio seni itu. Suatu ketika dahulu dia pernah mengimpikan pengakhiran bahagia dalam hidupnya untuk menamatkan apa jua derita yang diselami. Terciptalah lukisan Senja Pada Derita Kita itu ketika dia masih bergelar isteri kepada Elhan.
Kesilapannya sudah ada sejak dari mula. Lukisan itu dihasilkan berdasarkan ingatannya terhadap Farhan. Benar kata Elhan dulu, zahirnya dia milik lelaki itu namun jiwanya milik Farhan.
Apabila mengenang kembali duka 5 tahun lepas, air matanya bergenang sendiri. Sememangnya dia yang bersalah kerana tega menghancurkan kepercayaan orang yang disayangi. Apatah lagi Elhan yang pastinya lebih terluka setelah ketulusan hatinya dikhianati. Sungguh dia bersalah.
" Daneen. " Tegur satu suara wanita dari arah belakang Hayyani. Lantas dia seka bersih air matanya sebelum berpaling.
" It's been a while, " kata wanita itu lagi dengan senyuman lebar di bibir.
" Jasmine... " Hayyani terkesima melihat seraut wajah di depannya. Air mata yang belum sempat pun mengering kembali berjuraian. Terus dia mendakap tubuh Jasmine dengan erat sambil melepaskan esakannya di bahu wanita itu.
" Maafkan saya Jasmine. Saya kejam dengan awak dulu. Saya menyesal semua..." Tersekat-sekat suara Hayyani sehingga kata-kata itu tergantung gara-gara menanggung sebak yang menyendatkan dada. Terimbau kembali kata-kata kejam yang pernah dia lemparkan kepada Jasmine sehingga memisahkan dua sahabat itu. Kekesalannya semakin membuak-buak.
Jasmine menggosok tenang belakang Hayyani.
" Shh! Sudahlah Daneen. I dah tinggalkan semua tu dekat belakang. I dah anggap you macam adik I. Dan seorang kakak akan sentiasa maafkan adiknya. Let's not talk about that again," ujar Jasmine dengan seikhlas hatinya memberi semangat. Sebagai manusia biasa dia mengakui hatinya terkilan apabila terpaksa meninggalkan Elhan dahulu. Namun, tidak sedikit pun dia membiarkan rasa itu berkudis dalam nurani.
Hayyani tersenyum nipis sambil mengesat air mata. Rasa seperti terangkat satu bebanan di dadanya apabila Jasmine berkata begitu. Sekilas, perut wanita itu yang kelihatan membuncit menarik perhatiannya.
" Besar dah perut awak. Anak sulung ke? " soal Hayyani mesra. Dia cuma pernah mendengar khabar angin bahawa Jasmine sudah berkahwin sahaja. Tetapi, dengan siapa dan di mana dia tidak pasti.
Jasmine tertawa kecil seraya menggeleng.
" Nope. This is the second. Yang pertama dah keluar perut 3 tahun lepas. Ni, anak you ke? " tanya Jasmine pula sebaik melihat ada seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur 4 tahun datang dari belakang dan memeluk lengan Hayyani.
Hayyani tersenyum lebar. Kemudian, dia mengangguk sambil mengusap kepala budak lelaki itu.
" Haah. Kebetulan, umur dia 4 tahun jugak. Sebaya dengan anak sulung awak, " ramah Hayyani bercerita.
Ammar Muhammad adalah nama yang disepakati sempena kelahiran zuriat tunggalnya bersama Farhan. Ammar adalah kebanggaan dan kebahagiaannya. Dan hanya di dalam diri Ammar dapat dia melihat diri Farhan yang teramat dirinduinya sampai bila-bila pun.
" Yeke? Ya Allah, comelnya dia! Sebiji macam muka you. Siapa nama awak? " Jasmine membongkokkan sedikit tubuhnya untuk berbicara dengan kanak-kanak comel itu. Mata dan air muka Ammar kelihatan unik. Tidak hairan lagi kerana si kecil itu adalah anak hasil kacukan darah Melayu-Turki.
" Ammar Muhammad, " jawab Ammar sambil menggenggam erat tangan ibunya. Apabila Jasmine cuba menyentuh kepalanya, Ammar menyorokkan muka.
Hayyani merendahkan tubuh dan memegang kedua belah bahu Ammar. Wajah itu ditenung kasih. Kemudian, dengan lemah lembut dia memberi penjelasan dan peringatan.
" Ammar jangan takut. Ni aunty Jasmine. Kawan ibu. Ibu ada pesan kan supaya kita hormat orang tua. "
" Tapi ibu pernah pesan jangan cakap dengan orang tak kenal. Takut dia jahat. "
Jasmine tertawa mendengar jawapan Ammar yang sungguh menggelikan hatinya. Hayyani juga terkejut kerana tidak sangka jawapan sebegitu akan keluar dari mulut Ammar. Baru saja Hayyani nak membalas, Jasmine beri isyarat mata yang sangat difahaminya. Baiklah, dia serahkan kepada Jasmine pakar pencuri hati kanak-kanak.
" Tadi kan ibu Ammar ada peluk aunty. Ibu peluk aunty sebab aunty orang baik. Ibu tahu aunty tak jahat, " jelas Jasmine dengan senyuman tidak lekang di bibir. Pipi gebu Ammar dicubit lembut.
" Sorry aunty. Kenapa Ammar tak pernah jumpa pun aunty cantik ni, ibu? " soal Ammar terkebil-kebil matanya memandang Hayyani dan Jasmine silih berganti.
Sekali lagi, tawa Jasmine terburai mendengar pertanyaan Ammar. Hayyani turut tersenyum. Anak, anak. Sempat lagi mengayat ya.
" Sebab aunty pindah ke luar negara sebelum awak lahir lagi. Sebab tu kita tak pernah jumpa," jelas Jasmine lagi. Kemudian, dia mengagau sesuatu dalam handbag dan mengeluarkan satu bar coklat Kinder Bueno.
" Ammar nak coklat tak? "
Coklat itu Jasmine hulurkan. Ammar terus mengangguk dan mencapai hulurannya. Senang betul hatinya dapat bersua dengan si cilik ini.
" Mummy! " Suara nyaring seorang kanak-kanak perempuan pula datang menghampiri dan menerpa Jasmine.
" Aisyah jangan lari sayang. Kenapa comot sangat ni? Mummy pesan kalau nak makan coklat jangan kotorkan tangan, " omel Jasmine tegas namun lembut. Terlepas keluhan kecil dari bibir saat melihat wajah Aisyah yang kini comot dengan kesan coklat. Spontan, dia membersihkan pipi Aisyah dengan jarinya.
Tersenyum Hayyani melihat gelagat mesra dua beranak itu. Anak Jasmine yang pertama kali dilihat itu sungguh comel. Namun, semakin lama direnung wajah si kecil itu, Hayyani seakan melihat wajah Elhan di dalamnya. Lekas dia menggeleng kepala menafikan telahan di hati. Pasti semua ini kesan daripada rasa bersalah yang kekal menghantui imaginasinya.
" Sayang, Aisyah ada dengan you ke? I tengah tengok lukisan tadi tapi dia lari."
Tubuh Hayyani mengeras serta merta. Suara ini. Mengapa dia seperti pernah mendengar suara ini? Hati yang meronta ingin tahu membuatkan dirinya berpaling perlahan-lahan untuk melihat gerangan pemilik suara itu. Tak mungkin...
" Elhan..."
Hayyani terkedu, terkesima dan terpana tatkala melihat wajah lelaki itu setelah sekian lama ditinggalkan. Umpama ada panahan petir yang menyambar jantungnya dari terus berdegup. Titis-titis air matanya merembes di luar sedar. Perasaan sebak terus merenggut jiwa saat lelaki yang pernah dia gelar suami itu berada di depan mata.
" I tahu you guys ada banyak benda nak cakap in private. Takpelah, I boleh bawak anak-anak pergi duduk sana. Come sayang. "
Jasmine yang peka dengan situasi itu pantas menggamit Aisyah dan Ammar ke kawasan lain. Pasti ada banyak yang hendak diperkatakan memandangkan kedua-duanya sudah lama tidak bersua.
" Awak apa khabar? " Elhan yang tetap tenang dengan sebaris senyumannya memulakan perbualan.
Walhal, dalam hati cukuplah hanya Allah yang tahu betapa debaran yang dirasakannya amat dahsyat. Seolah dunianya bergoncang sedang dia memilih untuk tetap di situ. Dia harus berhadapan dengan ketakutannya kerana melarikan diri lagi bukanlah satu penyelesaian.
****
" Saya gembira tengok awak dengan Jasmine sekarang. Dah berumah tangga, ada anak-anak. Bahagia aje saya tengok. Kalau dah jodoh memang tak ke mana kan, " ujar Hayyani sederhana.
Ketika itu mereka berada di halaman rumah Hayyani pada waktu petang. Pandangan mereka terhala pada Jasmine yang sedang melayan Aisyah dan Ammar bermain papan permainan dam ular.
Satu senario Tuhan yang tidak pernah Hayyani jangka dulu. Siapa sangka Jasmine dan Elhan yang pernah terpisah akhirnya bersatu sebagai pasangan suami isteri dan sedang hidup bahagia. Terisi rasa gembiranya buat pasangan itu walaupun jauh di dalam hatinya masih tertinggal sisa-sisa kekesalan dan kesedihan yang bagai tiada titik noktah.
" Saya cuma teruskan hidup. Saya sedar saya tak boleh selamanya hidup dalam kisah silam. Oh ya, saya dah lama tak jenguk ibu. Ingatkan lepas ni nak singgah rumah ibu kejap. Awak dengan ibu dah okey? " soal Elhan ambil berat. Sengaja juga dia memesongkan arah perbualan. Bimbang hatinya rapuh dek kisah silam yang hampir menghapuskan keinginannya untuk hidup lagi.
Hayyani tersenyum hambar. Perlukah dia memberitahu perihal kehidupannya selama ini? Yang lebih pahit dari manisnya. Pasti lelaki itu akan mentertawakan nasib buruk yang menimpanya.
" Dulu masa kita berpisah dan saya bernikah dengan Farhan ibu mengamuk teruk. Ibu halau saya dari rumah tu. Katanya dia tak nak tengok muka saya lagi. Tapi setiap minggu mesti Farhan ajak saya balik rumah ibu untuk mintak restu. Dia kata restu ibu penting untuk keberkatan rumah tangga. Tapi ibu tak pernah terima kami, " luah Hayyani hampa.
Jari jemarinya diramas sebagai satu percubaan untuk menenangkan diri sendiri. Selama ini, dia sudah menanam tekad walau apa pun yang menimpa dia harus menjadi kekuatan kepada diri sendiri. Tiada siapa yang akan memeluk dan mendorong dirinya seperti dulu lagi.
Elhan berpeluk tubuh. Cuba terlihat lebih tenang dan kuat di depan Hayyani kerana wanita itu adalah kelemahan terbesarnya.
" Dulu, keluarga kita masing-masing berkenan untuk berbesan. Keputusan kita untuk berpisah dulu pun bukan satu berita baik untuk keluarga kita. Mungkin, ibu masih perlukan masa untuk terima keadaan kita sekarang. Apa kata awak bagi masa, " saran Elhan tenang. Berat lidahnya untuk mengulas tentang itu. Namun, dia terus mengawal diri daripada terbawa-bawa dengan peristiwa lampau.
" Mungkin apa yang terjadi pada saya dan Farhan adalah kifarah atas apa yang berlaku pada kita dulu. "
Air mata berhujan di wajah Hayyani buat kesekian kali. Sering dia mengasuh hati bahawa semua yang terjadi ini adalah balasan atas dosanya dahulu. Ya, mengheret Elhan ke alam perkahwinan sedangkan hatinya juga mencintai lelaki lain adalah satu dosa yang tidak terampunkan.
Elhan memandang tepi wajah suram Hayyani. Dia membetulkan duduk menghadap wanita itu. Tidak mungkin dia akan terus membiarkan Hayyani hidup dengan tanggapan sebegitu lagi. Menghukum berdasarkan perkara silam bukanlah sifatnya.
" Dengar baik-baik Daneen, saya tak nak awak berterusan fikir macam tu lagi. Walaupun saya kecewa tapi saya tak pernah sekalipun berniat nak mendoakan mudarat pada awak. Saya hormat pilihan awak."
Hayyani mengangkat wajah. Memandang Elhan dengan wajah yang kebasahan dengan air mata. Sejak dulu, lelaki itu tidak pernah gagal membuatnya terharu walaupun sering kali dia mencakar luka di hati itu.
" Maafkan saya Elhan."
Elhan ukir senyuman nipis. Dia tidak kuat melihat Hayyani menangis lagi. Keadaan mereka sudah tidak sama seperti dulu. Tetapi, sekurang-kurangnya dia mahu menjadi orang yang Hayyani senangi apabila bersama.
" Sudahlah, barang yang lepas jangan dikenang lagi. Saya tak nampak Farhan dekat sini. Mana dia?" Elhan meliarkan bebola mata ke kawasan sekeliling cuba mencari seraut wajah itu. Sudah lama dia menunggu tapi tiada tanda Farhan akan muncul.
" Panjang ceritanya Elhan. Kalau saya cerita sekarang rasanya takkan habis. "
" Takpelah cerita sikit-sikit aje. Yang lain-lain boleh masukkan dalam agenda mesyuarat seterusnya. "
Seloroh Elhan berjaya meledakkan tawa Hayyani. Suasana yang tadinya sendu bertukar ceria sebentar. Sekurang-kurangnya, gembira juga hati Hayyani.
" Awak ni masih sama macam dulu. Suka buat lawak kan. " Syukur dia masih dapat melihat sifat suka mengusik dalam diri Elhan. Kalau itu juga hilang, maka setiap dia menutup dan membuka mata dia relakan kesalahannya terus membayangi diri.
Sebolehnya, Hayyani mahu mengelak daripada mengupas topik itu. Namun, renungan mata Elhan yang benar-benar menuntut penjelasannya membuat dia akur. Demi sebuah lagi kebenaran, dia telan semua kepahitan.
" Beberapa bulan lepas kami bernikah dulu, Farhan balik ke Istanbul. Dia kata ada sesuatu yang perlu diselesaikan dekat sana. Katanya pergi sekejap tapi setahun dia tinggalkan saya. Setahun dia tak balik dan setahun jugak dia tak izinkan saya jenguk dia ke sana. Sampai saat saya lahirkan Ammar pun dia tak ada di sisi, " cerita Hayyani bersuara lirih.
Bertali arus air mata di pipinya. Dugaan semasa dia melayari perkahwinan kali keduanya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diharungi dulu. Kalau tiada Ammar di sisinya, dia yakin takkan menjadi sekuat ini.
Apabila melihat esakan yang semakin menjadi-jadi itu, Elhan jadi tidak betah. Bahu Hayyani ditepuk lembut.
" It's okay, Daneen. Kalau awak tak kuat nak cerita awak tak perlu paksa diri. Saya tak nak awak bebankan hati semata-mata nak bagitau saya semua perkara. "
Hayyani menggeleng sambil mengesat air mata pilu. " Saya perlu bagitau awak. Tolong, dengar cerita saya. "
Pandangan Hayyani membawa maksud pengharapan. Dia mengharapkan Elhan dengan rintihannya yang tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa. Elhan mengangguk akur. Pasti Hayyani perlukan tempat untuk meluah.
" Okey, tapi tak perlu terburu-buru. Jangan paksa diri awak. "
Hayyani berjeda seketika. Nafas panjang disedut biar tenang jiwanya yang resah. Kemudian, dia kembali menyambung kisah itu.
" Selepas setahun berlalu, Farhan balik ke Malaysia. Tapi keadaan dia tak sama macam Farhan yang saya kenal dulu. Badan dia susut, muka dia cengkung seolah-olah macam dia tengah sakit tenat. Saya menanti di Malaysia dengan khabar gembira yang saya dah lahirkan anak dia tapi dia bawak balik berita buruk yang dia sebenarnya menghidap kanser hati. Rupa-rupanya dia balik ke Istanbul untuk terima rawatan dan sebab dia tak nak saya risaukan keadaan dia. Farhan tak nak saya menderita lagi fikir dia akan menyusahkan saya. Ternyata, memang saya aje yang naif sebab tak tahu tentang suami sendiri. "
" Bukan salah awak, Daneen. Ada sebab Farhan sembunyikan daripada pengetahuan awak, " kata Elhan cuba menyalurkan semangat kepada Hayyani. Bebola matanya terasa hangat pada masa yang sama kerana terpanar mendengar cerita itu. Jadi benar kata Arif. Hayyani tidaklah sebahagia yang dia sangkakan ketika dia melepaskan wanita itu kepada Farhan dulu. Tidak menyangka Farhan akan pergi secepat ini.
" Saya cuba yang terbaik untuk sembuhkan Farhan semula. Saya tak putus asa walaupun doktor kata harapan Farhan tipis. Saya jaga dia dan hari-hari saya merayu dekat dia jangan tinggalkan saya dengan Ammar. Beberapa bulan lepas dia nazak, akhirnya dia tinggalkan kami berdua. Saya sedih sangat Elhan. Saya rasa dunia saya gelap gelita waktu tu. "
Ketika itu, hatinya yang hiba menyalahkan takdir Tuhan. Tentang mengapa dia diuji sebegitu sekali? Mengapa dia yang harus menderita lagi? Mengapa ada saja halangan untuk dia menggapai bahagia? Soalan itu, tidak akan ada yang bisa menjawab kecuali Tuhan.
" Awak kena kuatkan diri Daneen. Awak seorang ibu sekarang. Awak ada anak yang berpaut kuat pada kekuatan awak. Kalau awak lemah Ammar pun lemah. Ada hikmah Tuhan uji awak macam ni. Farhan dah tinggalkan dua amanat Allah yang baik dekat dunia ni. Awak kena kuatkan diri. "
Terbentuk senyuman sedih di bibir Hayyani. Lega dia mendengar kata-kata bermotivasi itu. Surut sedikit keperitan yang mencengkam jiwa setelah dia meluahkan segalanya biarpun kepedihannya hanya dia yang rasakan.
" Saya rasa separuh dari keceriaan saya dah pergi, Elhan. Saya tak boleh bayangkan hidup saya tanpa dia. Akhirnya, Allah jadikan bayangan itu satu realiti untuk saya," luah Hayyani berbunyi pasrah. Ketahuilah, di dalam hatinya menanggung rindu yang teramat. Rindu yang takkan pernah padam terhadap Farhan sehingga ajal menemukan mereka semula.
" Awak tahu tak kalau seseorang tu pergi meninggalkan orang tersayang, satu aje harapan yang dia letakkan. Harapan supaya orang yang disayanginya teruskan hidup dengan baik dan bergembira. Biarkan dia tenang di sana dengan doa dan khabar baik yang dikirimkan. Apa pun, yang hidup perlu teruskan hidup. Yang dah pergi, urusan dia dah selesai dekat dunia ni, " nasihat Elhan dengan seikhlas hatinya meyakinkan Hayyani.
Ketenangan yang terpamer pada wajahnya memberi Hayyani satu kekuatan baru. Elhan tetap istimewa di hatinya biarpun cintanya milik lelaki lain. Dia bersyukur dapat mengenali Elhan.
" Terima kasih Elhan. Elhan, saya ada satu permintaan pada awak. Berat tak untuk awak tunaikan? " pinta Hayyani sederhana.
Dengan hati yang terbuka, Elhan menganggukkan kepala. " Boleh. Apa dia? "
" Tolong siramkan air atas pusara Farhan. Sampaikan berita gembira pada dia yang kita dah kembali berbaik macam apa yang dia nak saya buat sebelum dia pergi."
Hayyani menyampaikan hasrat Farhan sebelum suaminya itu meninggal dahulu. Sungguh berat untuk dia tunaikan dulu kerana rasa bersalah yang menggunung dalam dirinya. Berterusan memikirkan kalau Elhan tidak mahu bertemu dengannya lagi. Syukur, kini Allah permudahkan segalanya.
Elhan tersenyum kemudian mengangguk. Kalau itulah yang mampu melegakan Hayyani dan memberi ketenangan buat Farhan di alam sana, akan dia laksanakan dengan seikhlas hati.
Share this novel