Seminggu selepas penerimaan pinangan Elhan yang terjadi pada malam itu, Doktor Khalida mengadakan kenduri kesyukuran demi meraikan Elhan dan Hayyani yang secara rasminya sudah bergelar tunangan. Mengikut persetujuan dan persepakatan, mereka akan bernikah dalam masa 2 bulan lagi. Oleh itu, segala persiapan akan mula dilaksanakan untuk meraikan majlis yang bakal kunjung tiba.
Kedua-dua keluarga kelihatan sungguh gembira dengan keputusan ini. Ramai saudara mara yang giat mengusik Elhan dan Hayyani ketika mereka bersembang bersama tetamu. Majlis perkahwinan merpati dua sejoli yang paling dinanti-nantikan kata kebanyakan mereka.
" Lembut juga hati keras Daneen Hayyani anak cikgu Sulaiman ni untuk terima pinangan abang aku ya, " kata Hanan yang sedang mengambil makanan di meja buffet. Sengaja nak mengusik Hayyani.
Hayyani melorek senyum. " Elhan layak dapat yang lebih baik daripada aku. Tapi aku, aku tak tahu kalau aku boleh jumpa lelaki yang lebih baik daripada Elhan. Sebab tu aku buat keputusan berani ni. "
" Memang pun. Aku tak rasa ada lelaki yang boleh angau dengan kau lebih baik daripada lelaki lain. Tengok dekat sana tu, " kata Hanan seraya memuncungkan bibirnya ke arah bertentangan mereka.
Hayyani memandang ke arah yang dimaksudkan oleh Hanan. Dia lihat Elhan sedang asyik merenungnya tidak jauh dari situ. Apabila mata mereka mula bertentang, Elhan melayangkan senyuman manis. Sebenarnya, sudah lama Elhan memerhatikan Hayyani begitu cuma baru kini mereka sedari.
Semerta, Hayyani mengukir senyuman lebar di bibir untuk membalas senyuman itu. Memang benar, belum pernah seumur hidup dia bertemu seorang lelaki yang menatapnya dengan pandangan penuh cinta. Syukur, Allah telah memberikan sebuah jawapan yang tepat untuk dirinya bermimpi indah dalam mahligai cinta yang akan dibina selepas ini.
" Faizul? Siap makan dah ke? Tambahlah lagi. Jangan nak malu-malulah. Tak kena dengan kau. " Elhan menegur Faizul yang sedang makan berseorangan di satu meja berdekatan buffet. Sempat juga dia berseloroh dengan kawan sekolah menengahnya itu.
Faizul tergelak. " Cukuplah ni. Lagipun, kalau nak diikutkan nafsu makan, boleh meletup perut aku ni tau. Banyak sangat makanan sedap. "
" Sedap kan? Petanda kena tambah lagi tu, " seloroh Elhan bersahaja. Meledak tawa mereka.
Faizul tersenyum seraya menggeleng. " Tak maulah, cukuplah tu. By the way, congrats bro. Semoga selamat sampai ke pelamin nanti. "
Dengan senyuman senang, Elhan menyambut tangan Faizul untuk bersalam. Hatinya penuh dengan kesyukuran dan kegembiraan hari ini. Ramai yang datang untuk mengucapkan selamat dan memeriahkan suasana.
" Insyaallah, thanks bro. "
Seketika Elhan meninggalkan tetamu, dia mencari kelibat teman-temannya pula. Dia melihat Arif sedang melayan Aisyah makan dan minum di bawah kanopi. Lalu dia menyoroti pandangan ke sekeliling untuk mencari Jasmine pula namun kelibat temannya itu tiada.
" Hanan, nampak kak Jas? " Soal Elhan kepada Hanan yang sedang membancuh air ribena di dapur.
" Kak Jas dah balik rasanya. Tadi masa Hanan nak pergi dapur, Hanan nampak kak Jas salam dengan umi, " beritahu Hanan yang jelita dengan persalinan kurung pahangnya. Sejujurnya, dia pun hairan mengapa wanita itu pulang begitu awal tadi.
Elhan meninggalkan kawasan dapur untuk meneruskan pencariannya. Dia ke kawasan belakang rumah pula. Kali ini, dia terlihat Jasmine sedang melangut seorang diri di taman bunga.
" Jas... " panggil Elhan. Belum sempat lagi dia menarik nafas gara-gara kalut mencari Jasmine tadi.
" Elhan, you buat apa dekat luar ni? " Soal Jasmine. Reaksinya seolah-olah terkejut dengan kehadiran Elhan di situ.
" Majlis baru sangat mula. Takkan nak balik dah. Jomlah masuk I nak ajak you berbual dengan Daneen, " ajak Elhan. Dia menarik lengan Jasmine yang berbaju kurung itu untuk mengikutinya. Lekas Jasmine menepis.
" Takpelah, I kena balik awal sebab kak Wani kata mummy tak sihat. Next time ajelah, " tolak Jasmine serta merta.
Jujurnya dia masih belum bersedia untuk berdepan dengan Hayyani. Hatinya belum cukup utuh untuk menerima kenyataan ini. Datang ke majlis kali ini pun bukan atas kehendaknya tapi kerana Elhan berkeras memintanya hadir, dia terpaksa turutkan.
Elhan melepas keluhan lemah. Fikirnya dapatlah dia berbual lama dengan Jasmine. Namun, dia harus memberikan keutamaan kepada yang perlu.
" Okey, kalau macam tu I hantarkan you." Elhan baru berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah mengambil kunci kereta.
" No, it's totally fine. I boleh naik grab, " tukas Jasmine.
" You masuklah. Nanti tetamu cari you. "
Elhan mengangguk tanda setuju dengan saranan Jasmine itu. Namun baru selangkah dua pergi, Elhan kembali merapatkan jarak mereka. Ada sesuatu tentang Jasmine yang membuat hatinya tidak keruan. Namun, baru saja dia hendak bertanya, ada satu suara lain mencelahnya.
" Elhan? Awak pergi mana? Umi cari awak," beritahu Hayyani yang muncul di antara mereka.
Elhan panggung kepala memandang Hayyani lalu mengangguk. " Kejap lagi saya datang."
Pandangan Hayyani jatuh pada wajah Jasmine di sebelah Elhan pula.
" Jasmine... kejapnya singgah. Dah nak balik ke?" Soal Hayyani yang anggun berbusana kebaya berona pastel. Berseri wajahnya layak seseorang yang bakal diraikan pada hari bahagia.
Jasmine melemparkan senyumannya. Kalau pun dia yang paling terkesan kerana pertunangan Elhan, tidak seharusnya dia berkelakuan janggal. Namun, hatinya terasa disiat-siat untuk terus menyaksikan kemesraan Elhan dan Hayyani tadi kerana itulah dia memutuskan untuk pulang.
" Yup. Sorry, tak boleh lama. I ada hal dekat rumah. "
" Oh, yeke? Baru nak ajak awak berbual. Elhan kata nak kenalkan awak pada saya," ujar Hayyani ramah.
" Elhan has your number. I will give you a call later on. Mana tahu lain kali kita boleh minum kopi and get to know each other, " tukas Jasmine dengan baik dan mesra.
Hayyani mengangguk dan membalas dengan senyuman. Manis orang di depannya ini. Berbudi bahasa dan sopan santun seperti yang diperkatakan oleh orang lain.
" Sekurang-kurangnya biar I hantarkan. Bahaya you drive ke KL sorang-sorang waktu malam. Lagipun ni cuma majlis kesyukuran. Kalau I takde pun takpe. I hantar, eh?" Elhan berkeras untuk menghantar Jasmine. Lagipun, Jasmine hadir ke majlis sebentar tadi pun bersama Arif.
Hayyani agak tersentak dengan kata-kata Elhan tadi. Apa yang membuatkan Jasmine lebih mustahak berbanding dirinya? Sehinggakan Elhan sanggup meninggalkan majlis sendiri demi orang lain.
" Mana boleh. Ini majlis you tau. Tetamu semuanya datang untuk meraikan you. You kena ada," bidas Jasmine. Entah apa pula kata orang kalau Elhan bersamanya sedangkan tunang lelaki itu ada di situ. Tak pasal-pasal dilabel pengganggu hubungan yang baru saja hendak bermula itu.
" Betul tu, Han. Kau duduk aje sini. Aku pergi hantar Jas balik kejap. Nanti aku datang semula. Aku tinggalkan Aisyah dengan Hanan tadi. Jom Jas. "
Arif yang sudah lama mendengar tadi secara tiba-tiba mengubah keadaan. Lagipun, dia mahu Elhan fokus dengan majlisnya sendiri. Jasmine hanya mengangguk kepada Arif tanda bersetuju. Hayyani bersalam dan melagakan pipinya dengan Jasmine sebelum berpisah.
" Awak masuk dulu. Saya nak hantar kawan-kawan saya ke pintu pagar kejap, " kata Elhan kepada wanita kesayangannya. Hayyani sekadar mengangguk dan menyaksikan saja tiga sahabat itu berjalan pergi.
Pertama kali bersetentang empat mata dengan wanita itu, Hayyani berasa sedikit tergugat dengan aura yang diserlahkan oleh Jasmine. Kata-kata Haleena tempoh hari memang tidak salah. Jasmine memang seorang wanita yang rupawan dan berkarisma. Gerak laku dan pertuturan wanita itu pun cukup untuk menggambarkan bahawa wanita itu bukan calang-calang wanita. Betulkah mereka setakat berkawan saja? Desis hatinya.
Share this novel