Bab 60

Romance Completed 15392

Selama dua hari Elhan berpergian ke Pulau Pinang, Hayyani tidak lekang daripada mengutus khabar buat Elhan di sana. Walaupun baru dua hari berjauhan namun mereka tidak dapat menghalang hati daripada terus melagukan rindu. Keduanya tidak dapat membendung lagi rasa cinta yang semakin menggebu di sanubari.

" Umi dengan papa ada datang. Hanan dengan Lukman pun ada sekali. Malam tadi semua tidur rumah kita sebab nak teman Daneen. Rugilah abang takde. Umi masakkan bubur durian tau, " ceria suara Hayyani bercerita di hujung talian.

Elhan tersenyum lebar. Dia mengorak langkah ke kawasan luar restoran mencari ruang yang sedikit asing dari kelibat orang ramai. Telefon bimbit masih melekap di telinganya.

" Sajalah tu nak cemburukan abang. Esok abang balik tahu. Mungkin sampai dah lewat malam. Sayang tidur dulu jangan tunggu abang, " pesan Elhan lembut. Tak sabar rasanya nak bertemu isteri kesayangan.

" Betul abang balik esok? Nak makan apa-apa tak? "

Seketika, Elhan merenung dada langit yang bertaburan bintang ditemani terangnya rembulan. Dia memikirkan sesuatu makanan yang betul-betul mencuit kepinginnya.

" Abang teringin nak makan kari kepala ikanlah, sayang. " Elhan membuat permintaan setelah berfikir. Kari kepala ikan yang Hayyani masakkan buat pertama kali untuknya masih tertinggal pada deria rasa. Cukup enak untuk membuatnya ketagihan.

" Okey, nanti Daneen masakkan. Tapi Daneen nak mintak izin abang untuk keluar dengan Muna. Malam ni umi dengan papa nak balik dah jadinya Daneen ingat esok pagi tu nak keluar sekejap dengan Muna. Boleh kan? " Hayyani meminta keizinan.

" Boleh, abang izinkan. Cuma jangan balik lewat sangat. Drive kereta elok-elok. Jangan tergesa-gesa sampai lupa keselamatan diri tu. Sikit aje awak terluka melayang semua nyawa abang tau, " pesan Elhan. Dalam ketegasan ada kelembutan dari setiap butir bicaranya.

" Pesan diterima. Abang balik cepat tahu. Hati-hati dekat sana. I love you. " Hayyani yang di hujung talian sudah tersipu-sipu ketika melafazkan kalimah itu. Namun, dia tidak mahu lepaskan setiap saat yang dikurniakan Ilahi untuk berkasih dengan sang suami.

Elhan juga tidak dapat menahan bibirnya daripada terus tersenyum. Rumput di bawah kakinya dikuis-kuis. Suara itu seakan membawanya terbang seolah-olah Hayyani terasa ada di sebelahnya.

" I love you too. "

Setelah berbalas salam sayang, Elhan kembali ke dalam restoran. Dia duduk di meja tempat Arif berada. Laju jari jemarinya menaip papan kekunci laptop untuk menyambung tugasan.

Biarpun perhatiannya cuba dihadapkan pada kerja, namun renungan Arif terhadapnya menyebabkan fokusnya tergendala.

" Kau ada apa-apa nak cakap dengan aku ke Rip? Dari tadi tengok semacam aje, " tegur Elhan tanda tak selesa dengan renungan itu. Macam ada sesuatu yang temannya itu ingin luahkan.

Arif senyum nipis. " Bahagia tengok kau Elhan. Tercapai jugak impian nak kahwin dengan cinta pertama. "

Kata-kata Arif meledak tawa kecil Elhan. Kepalanya tergeleng sendiri. Ingatkan apalah main tenung-tenung tadi.

" Rezeki Tuhan. Aku pun tak sangka dapat kahwin dengan Daneen. Kau pun janganlah tunggu lama-lama. Umur dah senja elok sangat kalau kahwin ni, " nasihat Elhan memaknakan katanya. Jauh di sudut hatinya berdoa agar kedua-dua sahabatnya Arif dan Jasmine akan menemui cinta sebenar.

Arif menyisip kopi latte yang sudah suam.

" Tengoklah Han kalau ada rezeki. Masalahnya jodoh dah tersalah alamat. Sesat lagi tak sampai-sampai ke hati, " seloroh Arif seraya tertawa sendiri.

Dia takkan pernah memberitahu Elhan tentang gerangan wanita yang dicintainya. Mungkin bukan sekarang. Pemasanya belum sesuai tambahan lagi Jasmine sudah terang-terang menolak cintanya. Sejak hari itu, mana ada lagi Jasmine berjumpa dengannya.

Elhan tertawa lagi seraya menggeleng kepala.

" Macam-macam hal. Rip, pukul 10 nanti tolong kejutkan aku. Aku ingat nak review balik clinical study sebelum session kedua esok. " Lid laptop ditutup dan dia mula mengemas helaian dokumen yang berselerak di atas meja. Beg galasnya dizip.

" Okey, no prob. Kau dah nak balik ke?"

Elhan mengangguk kepala. " Haah. Kepala aku pening sangat ni. Mata aku pun dah berpinar. Takut karang lain yang aku baca lain yang aku faham. Nanti kita jumpa dekat hotel. "

Dia harus pulang dahulu untuk melonggarkan kembali otot yang terasa tegang. Kursus selama 3 hari itu tidak menyisakan langsung peluang buatnya berehat. Siang sibuk dengan persidangan waktu malam pula dimanfaatkan untuk tawan Pulau Pinang bersama Arif.

" Elhan..." panggil Arif. Serius wajahnya tika ini.

" Hah, apa dia?"

" Aku nak tanya kau sesuatu. Apa perasaan kau kalau Jasmine kata dia cintakan kau? " soal Arif berani. Banyak kali dia bertimbang tara untuk menanyakan soalan itu dan kali ini dia memberanikan diri.

Niat Elhan untuk meminta diri terbantut apabila cuping telinganya ditampan soalan cepumas dari Arif. Lantaran itu, punggung yang sudah separuh terangkat dilabuhkan semula. Terpempan, itulah reaksinya sekarang.

" Aih, tiba-tiba aje. Banyak tengok drama ke apa." Elhan tergelak.

Muka Arif serius. " Aku cuma nak tahu pendapat kau."

Elhan lepas keluhan kecil. Mukanya muka beriak serius. Kenapa pula mamat ni jiwang sangat hari ni. Namun kalau sudah dipaksa, dia terpaksalah menjawab.

" Walaupun tak mustahil tapi aku tahu benda tu takkan terjadi. Mustahil untuk ada cinta dalam persahabatan aku dengan dia. Sebab Jasmine cintakan lelaki lain. " Setenang mungkin Elhan cuba memberi reaksi terhadap soalan itu.

Arif senyum tapi sinis. Wajah Elhan ditenung dengan mata tajamnya. Ya, dan lelaki lain itu adalah kau! Ingin saja hatinya yang meronta-ronta ini menjerit kata-kata itu di depan wajah Elhan.

" Bagi kau mungkin cinta tu bermula dengan pandangan pertama, tapi bagi sesetengah orang dekat luar sana anggap cinta tu bermula dengan persahabatan. Sebab tulah, aku tanya apa reaksi kau kalau Jasmine tiba-tiba kata dia cintakan kau," jelas Arif sengaja menguji jawapan Elhan.

Andai temannya itu tahu betapa kuatnya cinta Jasmine kepada Elhan. Sayang sekali Elhan tidak pernah sedar akan lelaki yang bertakhta di hati Jasmine selama ini. Hanya dia saja yang berusaha menenun kasih buat Jasmine walaupun rasa itu masih belum terbalaskan. Mungkin takkan pernah.

" Kalau Jasmine kata macam tu pada kau pulak? Apa reaksi kau? " Tanya Elhan kembali. Walhal dia cuba mengelak daripada menjawab. Lidah yang kelu seakan memberinya bayangan bahawa dia tidak punya jawapan buat soalan itu.

" Kalau Jasmine cintakan aku, aku janji dengan nyawa aku sendiri yang aku takkan sia-siakan dia. She's my everything, " ungkap Arif bagai benar-benar memaknakan kata-katanya.

Elhan memandang wajah Arif dengan renungan tajam. Automatik suasana bertukar tegang. Naluri lelakinya mengatakan Arif tidak bercanda.

Dalam keheningan suasana, tiba-tiba saja Arif meledak tawanya sendiri. Tindakan itu membelah keadaan yang berkulit janggal tadi.

" Aku saja nak test. Kan aku cakap kalau. Jangan risaulah, aku bergurau aje. Kau boleh tunggu sekejap? Aku nak pergi wash room, " pinta Arif sebelum dia bangkit dari duduk dan berlalu ke tandas. Bahu Elhan yang masih terdiam itu ditepuknya.

Biarpun saat genting itu sudah berlalu, namun Elhan masih dilamun sepi. Walaupun Arif menegaskan bahawa dia sekadar bergurau tadi, namun Elhan dapat merasakan sendiri kalau temannya itu serius dengan kata-kata. Buat pertama kalinya, dia melihat Arif yang dikenali seolah-olah seseorang yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Ataupun dia sendiri yang buta untuk menilai tanggapan Arif kepada Jasmine selama ini.

****

Seronok Hayyani apabila rumahnya dikunjungi Doktor Khalida dan Encik Idham. Lukman dan Hanan pun ada sekali turut menyertai mereka. Meriah dan ceria sedikit suasana. Tak adalah sunyi sangat apabila dia saja yang tinggal seorang di rumah itu sementara Elhan berkursus.

" Luk, mana lagi cantik. Hanan atau Hanan dalam gambar ni?" Hanan menyenggol Lukman di sebelahnya. Sedari tadi bibir tersenyum melihat kanvas yang terlukis gambar mereka berdua. Puas hati dengan hasil tangan Hayyani. Hadiah kahwin kata dia.

" Kalau dua-dua pun Hanan, mestilah dua-dua pun cantik. Isteri Luk kan, " jawab Lukman mudah. Dia tidak melihat sebarang kekurangan pun pada potret itu. Lukisan tampak hidup dan kemas.

Hanan mula buat muncung panjang sedepa. Mulalah dia berpeluk tubuh nak melancarkan rajuk.

" Ish, tak ikhlasnya jawab. Luk memang tak nak layan Hanan kan," itu dia ayat sentap tahap satu daripada Hanan.

Lukman hampir mengucap panjang. Apa tak cukup lagi ke jawapan yang dia bagi tadi. Takkan nak kena karang ayat seratus muka surat pula.

" Mana ada. Pandai-pandai aje cakap macam tu."

" Habistu Luk tak nak jawab betul-betul. " Hanan menjeling suaminya dan memusingkan tubuh ke arah lain.

Lukman garu kepala yang tak gatal. Serupa masuk ke kandang harimau dia punya kecut perut. Karang kalau salah jawab merajuk pula.

" Okeylah, Hanan dalam gambar ni cantik sikit. Sebab pipi sayang nampak kurus sikit dalam ni. Berapa sayang rasuah Daneen supaya lukis sayang biar nampak kurus-kurus sikit eh," kata Lukman cuba berjenaka. Dia menggeletek pinggang Hanan cuba membuat isterinya gelak tapi wajah Hanan makin menyinga adalah. Pucat terus wajah Lukman.

" Ish! Tuduhlah, tuduh. Tidur luar nanti. "

Keletah pasangan itu terus bersambung-sambung bagai tiada kesudahan. Yang seorang merajuk, seorang lagi tukang pujuk. Eloklah tu berjodoh. Sampai Doktor Khalida dan Hayyani yang melihat dari jauh hanya mampu tersenyum dan sama-sama menggeleng.

" Haih, macam-macam hal dia orang tu. Dah kahwin pun perangai macam remaja sekolah bercinta lagi," omel Doktor Khalida seraya menyisip sedikit teh yang masih berasap. Ketika itu, dia dan Hayyani sedang duduk dan minum petang bersama di gazebo tepi rumah.

" Biasalah umi. Hanan tu dengan Lukman memang manja. Love language dia orang lain macam sikit. Sehari kalau tak gaduh memang tak sah," balas Hayyani dengan senyuman di bibirnya.

Hanan dengan Lukman zaman belajar dulu, berapa juta kali bergaduh dan berbaik. Dia sudah terbiasa menadah telinga mendengar aduan Hanan tentang Lukman sampai dah naik lali dibuatnya. Betullah kata umi, macam remaja bercinta pun ada.

" Daneen dengan Elhan pun macam tu ke? Tak sah kalau tak bergaduh dalam sehari? " Doktor Khalida kelihatan teruja ketika bertanyakan hal itu. Sekadar ingin tahu kalau rumah tangga anak menantunya harmoni saja.

Apa tidaknya, sewaktu zaman belajar dulu Elhan dan Hayyani tidak pernah sekepala. Ada saja idea nakal Elhan nak mengusik Hayyani dulu sampai Hayyani naik membencinya. Jadi, dia tidak hairan sama sekali andai menantunya itu tidak mahu menerima lamaran Elhan dulu. Ajaibnya Hayyani terima pula.

" Anak umi tu pun umi fahamlah macam mana. Suka mengusik. Tapi Elhan layan Daneen baik. Baik sangat umi," ujar Hayyani sederhana. Menguntum senyum di bibirnya tatkala teringat gurau senda Elhan dan canda tawa lelaki itu. Terbang seketika rindunya ke Pulau Pinang.

Doktor Khalida senyum tanda lega yang teramat. Bersyukur kerana anak menantunya sedang hidup bahagia. Digosok lengan Hayyani yang sedang tersenyum lebar itu.

" Alhamdulillah. Umi tak risau dah kalau macam tu. Umi tahu anak umi tu macam mana sebelum dapat Daneen. Manusia akan lebih menghargai apa yang dia susah nak dapat. Elhan anggap Daneen ni trofi terbesar dalam hidup dia tau sebab katanya susah nak dapat. "

Mendengar kata-kata itu, hati Hayyani menjadi sayu. Pandangannya jatuh pada cincin perkahwinan yang tersarung elok di jari manisnya. Tanda ikatan yang sudah termetri antara dia dan Elhan. Mengenangkan kembali nilai diri sendiri, hatinya menjadi libang libung, mempersoalkan apakah dirinya begitu berharga sehingga layak mendapat kasih sayang Elhan yang sebegitu mahsyur sekali.

" Kadang-kadang kan umi, Daneen terfikir apalah yang Daneen ada sampai Elhan sukakan Daneen. Daneen cuma ada pelajaran aje tapi tak ada kerjaya. Lepas berkahwin jadi suri rumah sepenuh masa pula. Daneen rasa kerdil kalau nak dibandingkan dengan keluarga umi yang rata-rata semuanya berjaya. "

Kata-kata yang sayu itu berjaya sampai ke dasar hati Doktor Khalida. Memahami apa yang sebenarnya menantunya itu sedang rasakan. Lantas, tangan halus Hayyani digenggam kemas. Sebaris senyuman diberikan. Tenang wajahnya, bila Hayyani memandang rasa damai saja di hati.

" Daneen... Daneen kena faham satu perkara aje. Pelajaran, kerjaya, dan kejayaan Daneen semua untuk diri Daneen sorang. Daneen tak buat untuk orang lain tapi untuk diri sendiri. Elhan pula kahwin dengan Daneen untuk diri sendiri, sebab kebahagiaan dia ada dengan Daneen. Dan umi terima Daneen sebagai menantu sebab kasih sayang umi sendiri pada Elhan dan Daneen berdua. Kebahagiaan umi ada bila kebahagiaan anak-anak umi ada. Jadi tentang latar belakang Daneen tu semua umi tak jadikan sebagai kayu pengukur pun. Sebab semua tu... untuk kepuasan diri Daneen sendiri. Faham? " panjang lebar Doktor Khalida menyuntik semangat. Diusap pula wajah itu. Memujuk Hayyani biar tidak gontai semangatnya.

" Terima kasih umi. "

Hayyani usap tangan umi yang sedang menyentuh wajahnya. Bibirnya kembali tersenyum bersama mata yang mula berkaca. Dia amat bertuah diletakkan di sini hari ini. Memiliki suami dan keluarga mertua yang baik dan menerimanya seadanya. Tiada lain yang lebih bermakna dapat dia pinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience