Terjaga Hayyani di kala pagi masih di pangkal waktunya. Sebaik saja mata terbuka, hujung jemarinya digerakkan menyentuh kelopak mata yang terasa basah. Tidak mungkin dia tidur berteman tangisan lagi seperti malam-malam sebelum ini. Fenomena ini telah berulang lagi di luar kesedarannya sejak Malik kembali dalam hidupnya.
Perlahan-lahan, dia mencipta gerakan dan bersandar di kepala katil. Dia tidak mahu mengejutkan Elhan yang masih pulas terlena. Wajah tenang Elhan dijamah dengan rasa kasih. Kasihan, pasti lelaki itu keletihan setelah menjalani hari yang panjang.
Secara semula jadi, tangannya naik membelai lembut pipi Elhan. Masih segar di ingatannya tentang aktiviti mereka menaiki belon udara panas semalam. Bersungguh-sungguh Elhan mencuba untuk mengambil hatinya semula. Sungguh, jiwanya cukup tersentuh.
Mengenangkan semua itu, tubir matanya berkaca lagi. Benar, dia harus nekad melepaskan kenangan cinta semalam biarpun masih hangat terasa. Dia tidak rela kehilangan seorang lelaki yang begitu tulus mencintainya. Sesuatu perlu dikorbankan demi masa depan hubungannya.
Hayyani meninggalkan bilik tidur mereka dan masuk ke stor kecil di bahagian dapur. Kotak-kotak yang bertimbun di dalam itu dialihkan dan dibelek satu per satu. Dia harus mencari dan menghapuskan surat cinta yang belum pernah diutus lagi buat Malik.
" Sayang buat apa dalam gelap ni? " Suara garau yang memecah keheningan memeranjatkan Hayyani.
Detak jantungnya mula kencang. Segera dia menyembunyikan surat-surat itu ke dalam kotak dan menyusun semuanya kembali.
Suis lampu di dinding ditekan sebelum bilik itu disimbahi cahaya terang. Daripada cuma berdiri di bingkai pintu, Elhan mara lebih dekat kepada isterinya.
" Kenapa abang bangun? Baru pukul 3 pagi," soal Hayyani sedikit tergagap-gagap. Dia melihat Elhan sudah lengkap berbaju melayu dan bersarung pelikat. Sedar tak sedar, sudah lebih setengah jam dia berada di stor. Barangkali Elhan terjaga waktu itu juga.
" Abang nak qiamulail. Lama dah rasanya tak buat. Sayang buat apa ni?"
Sewaktu dia bangun tadi, dia perasan Hayyani sudah tiada di sebelah. Puas dia mencari satu rumah akhirnya jumpa juga. Hairan juga dibuatnya dengan keberadaan Hayyani di stor itu pada awal pagi.
Saat ini Hayyani hanya mampu tersenyum cuba mengusir rasa canggung. Dia bimbang Elhan mengetahui tujuan sebenarnya di situ.
" Ohh... takdelah. Daneen kemaskan buku sikit sebab bersepah ni. " Buku-buku lama yang terjatuh ketika dia menyelongkar kotak-kotak di situ tadi diambil dan diletakkan ke atas kotak.
Elhan menggeleng kecil seraya tersenyum nipis. Bahu isterinya dipeluk namun dia dapat rasa Hayyani mengeraskan badan. Seolah-olah pesalah yang ditangkap melakukan jenayah.
" Lah... esok-esok kan boleh kemas. Lagipun bukannya abang nak marah pun kalau tak siapkan pagi ni jugak. Tak payah tergesa-gesa. "
" Tulah. Bila terjaga tadi terus tak boleh tidur. Itu yang Daneen kemaskan bilik ni, " kata Hayyani sengaja mencipta alasan. Bibir bawahnya diketap kuat. Maafkan Daneen sebab tipu abang.
Buat sejenak, Elhan terus selesa menatap wajah indah Hayyani. Firasatnya mengatakan bahawa Hayyani sedang menyembunyikan sesuatu. Apatah lagi sikap isterinya sejak kebelakangan ini semakin pelik.
" Abang tengok sayang sejak dua menjak ni nampak lain sikit. Kalau ada masalah, meh duduk bincang dengan abang. Kenapa, sayang? Abang ada buat salah ke? " Lembut soalan itu meluncur dari bibir Elhan. Dia berganjak menghadap si isteri. Kedua belah bahu Hayyani dipegang kemas.
Hayyani tertawa nipis. Barangkali kelakuannya sedikit sebanyak sudah mula dikesan oleh panca indera sang suami.
" Perasaan abang aje kut. Mana ada. Daneen macam biasa aje. Cuma nampak lain baru-baru ni Daneen letih sikit kut. Banyak lukisan yang Daneen kena siapkan," ujar Daneen sekali lagi cuba berdalih. Dia juga cuba untuk mengelakkan daripada bersabung pandang dengan Elhan. Hebat gementar yang dirasainya.
Elhan mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut memandangkan dia lebih maklum akan sikap suka memendam isterinya.
" Okeylah, abang nak solat kejap. Jom, kita tahajjud sama-sama, " ajak Elhan sambil membetulkan kopiah di kepalanya.
" Abang tunggu dekat bilik dulu. Daneen nak kemaskan ni. Sikit lagi. "
Hayyani memalingkan tubuh menghadap longgokan kotak yang diselongkarnya tadi setelah Elhan pergi. Satu demi satu kotak itu diangkat dan disusun semula.
Tiba-tiba, dia merasakan ada tangan yang melilit di pinggangnya. Rangkulan itu semakin kemas hingga menghentikan pergerakannya. Kedudukan yang amat erat sehingga dia dapat merasakan hangat hembusan nafas Elhan di cuping telinganya. Rupa-rupanya Elhan masih belum berganjak sedari tadi.
" Abang, kenapa ni? " Hayyani cuba menoleh namun sukar.
" Jangan tengok abang. Abang tak nak sayang tengok muka sedih abang. Itulah salah satu sebab abang selalu peluk awak macam ni," ungkap Elhan perlahan. Dia menyandarkan kepalanya di belakang tubuh Hayyani.
Hayyani memejam mata rapat ingin mengumpul kekuatan dalam dirinya. Bibirnya diketap kuat enggan membiarkan Elhan mendengar esakannya yang mula pecah. Sungguh, jiwanya lemah mendengar kata-kata itu.
" Daneen selalu buat abang sedih ke?" lirih suara Hayyani bertanya.
" Daneen tak pernah buat abang sedih. Bila abang dengan Daneen, abang rasa gembira."
" Habistu, kenapa abang menangis?"
" Abang dah selalu sangat nampak sayang menangis sorang-sorang. Sayang fikir abang tak sedar tapi abang tahu sayang tengah sedih. Abang mintak maaf kalau ada kecilkan hati awak. Kadang-kadang bila abang bertindak abang tak sedar terguriskan hati awak sayang. Bukan senang awak nak luahkan apa dalam hati tu tapi abang mintak tolong sangat-sangat, tegur abang, cakap dengan abang, sedarkan abang kalau abang buat silap dengan awak, " rayu Elhan dengan penuh syahdu.
Buat seketika, dia mengangkat wajah lalu bahu Hayyani dikucup kejap. Air mata yang berjuraian di pipinya cuba berharmoni dengan irama hati yang mendendangkan kesedihan. Fikirnya dia sudah melakukan semua yang termampu untuk membuat Hayyani kembali tersenyum. Dia sungguh merindui Hayyani yang ceria dan mesra yang dulu.
" Tapi abang tak buat salah pun... Daneen yang... " teragak-agak Hayyani meneruskan kata.
Keadaan itu tanpa sedar telah meletakkannya di dalam dua situasi berbeza. Ada selembar rasa serba salah di kalbunya seumpama selumbar yang tertusuk begitu dalam. Dalam pada masa yang sama, ingin saja suara hatinya memberitahu tentang penderitaan yang dihadapinya saat ini. Tapi dia tidak tega melukakan hati Elhan yang sudah sedia terluka dengan layanannya selama ini.
" Abang mintak maaf sekali lagi atas khilaf abang. Abang manusia biasa macam awak. Ada lebih ada kurang dari segala sudut. Tapi abang nak buat yang terbaik untuk buat sayang gembira. Abang tak nak sayang hidup menderita lagi fikir takde siapa sayang awak. Abang mintak maaf. " Tersekat-sekat suara Elhan menuturkan kata. Apa saja sanggup dikorbankannya demi Hayyani. Dia hanya mahu melihat Hayyani bahagia.
" Abang, sebenarnya... " Hayyani cuba menghentikan bicara Elhan namun tidak ada perkataan yang keluar. Bagaikan titis hujan, air mata semakin lebat membasahi wajahnya.
Suara Elhan tetap yang dominan dalam bicara seolah lelaki itu benar-benar kesal terhadapnya. Hati Hayyani patah seribu angkara rasa bersalah yang sarat dan tidak tertanggung. Andai saja Elhan tahu dan kenyataan itu melukakan parah hati Elhan, maka tidak ada satu pun kebahagiaan di dunia ini layak dimilikinya lagi. Dia rela menderita atas nama hukuman. Maafkan Daneen, abang.
Share this novel