" Lama dah rasanya kita tak berkumpul ramai-ramai macam ni kan, kak." Hayyani tersenyum memandang Elhan yang sedang seronok melayan Mikael dan Khaira bermain buih di laman rumah.
Balqis turut tersenyum senang. Lapang dadanya apabila dapat mengembalikan keceriaan di dalam rumah itu. Abah dan ibu antara yang paling gembira dapat berjumpa cucu mereka. Itu yang sibuk sangat duduk di dapur memasak bermacam-macam juadah. Tambah lagi bulan puasa sudah hampir tiba.
" Haah. Maklumlah, akak pun sibuk sekarang dengan belajar. Abang Haris pun bukan setiap hari lengang. Ada aje kerja nak dibuat dekat office. Ni lagi dua minggu nak sambut puasa tak tahulah dia punya sibuk tu macam mana pulak. "
Nasiblah bila berkahwin dengan akauntan. Sibuk sepanjang masa. Pergi kerja matahari belum terbit balik kerja matahari dah terbenam. Dah serupa bermadu dengan kerja pula. Tapi sibuk macam mana sekalipun Haris tetap tak lupakan tanggungjawab sebagai bapa dan suami.
Hayyani senyum tipis memandang tepi wajah Balqis. " Daneen dah dengar cerita dari Haleena. Baguslah keputusan akak untuk sambung belajar tu. Semoga akak kuat semangat untuk teruskan. Daneen faham nak sambung belajar bila dah agak berusia ni susah sikit. Dengan komitmen pada keluarga lagi. Tapi akak jangan risau tau, mesti boleh punya, " ujarnya cuba menyuntik semangat.
Satu perkara yang dicemburui pada Balqis adalah semangat kakak iparnya itu untuk terus menuntut ilmu. Ada cita-cita nak kejar sampai ijazah walaupun baru saja belajar di peringkat diploma. Lain pula dia. Dulu dia dipaksa saja untuk meneruskan pelajaran dalam bidang yang bukan pilihannya. Kalau tak kerana hormatkan ibu, tidak mungkin dia akan menggenggam sijil kejuruteraan sekarang.
" Insyaallah, terima kasih Daneen. Akak lega bila dengar kata-kata positif macam tu. Yalah, kadang-kadang bila penat, stres, sedih kita boleh jadi hilang semangat. Akak cuma berdoa supaya Allah cekalkan hati akak sampai semua ni berakhir nanti," balas Balqis sederhana namun terserlah keazaman dalam katanya.
Penat. Belajar penat. Menguruskan rumah tangga pun penat. Semuanya ada kesusahan yang tersendiri. Namun, Balqis menganggap dirinya insan terpilih untuk menahan kesemua lelah itu atas pundaknya sendiri. Pernah rasa nak putus asa tapi tekadnya kembali menguatkan jiwa.
" Insyaallah kak. Jangan fikir-fikir sangat yang negatif. Pasal ibu pun, akak jangan peduli apa ibu kata. Walaupun Daneen tak nafikan kita memang akan terasa dengan kata-kata ibu, tapi kalau kita asyik fikirkan aje kita takkan dapat teruskan hidup. Daneen sebagai anak kandung pun adakala terasa apa lagi akak sebagai menantu. "
Hayyani tunduk memandang tangannya sendiri. Bila ingat semula kekerasan yang Puan Farida gunakan kepadanya dulu, memang sakit jiwa. Balqis senyum tipis, fahamlah apa yang adik iparnya maksudkan itu.
" Biarlah Daneen. Lagipun seburuk-buruk ibu, dia tetap ibu Daneen, ibu mertua akak. Akak dah faham sangat sebab akak kahwin dengan abang Haris dah lama kan. Akak anggap ibu dah macam mak sendiri. Bila akak balik ke sini tengok muka ibu sekurang-kurangnya boleh buat akak lupa yang mak akak dah tak ada, " kata Balqis, entah kenapa nada di hujung ayatnya kedengaran sedih.
Hidup di dunia tanpa ada ahli keluarga lagi di sisi sungguh menyeksa jiwa. Ayahnya meninggal sejak dia berumur 2 tahun. Sejak itu ibunya sajalah yang ada membesarkannya seorang diri. Setia ibu pada ayah sampai sanggup memegang status janda di usia muda sampailah saat dia meninggal dunia ketika Balqis baru saja tamat spm. Sedih, tapi hidup perlu diteruskan dan ketika dia cuba mencari sinar dalam hidup, dia bertemu dengan Haris. Setelah berkahwin dengan Haris, Puan Farida sajalah satu-satunya yang ada untuk dia menagih sedikit kasih seorang ibu walaupun dilayan bagai pendatang.
Hayyani tersenyum tapi tawar. Dia pandang simpati pula wajah polos kakak iparnya, seolah dapat bersatu dengan isi hati Balqis kala ini.
" Tapi walau tinggi mana pun kesabaran manusia tu, tetap ada hadnya akak. Sebab tulah akak tak balik ke sini sejak sebulan dua ni kan? Sebab akak dah terlalu lama bersabar. Hati akak terluka dengan sikap ibu. Kata-kata ibu, layanan dingin ibu... buat semua orang menjauh," ujar Hayyani dengan suara yang perlahan. Bimbang terdengar oleh mereka yang lain di situ.
Menurut Haleena, selepas Hayyani berkahwin Haris dan Balqis sudah jarang bertandang ke rumah ibu dan abah. Padahal elok saja sebelum ini. Tak usah diceritakan pun Hayyani lebih tahu selama ini Balqis banyak sangat makan hati dengan kata-kata dan layanan ibu. Cuma Balqis memilih untuk mengalah kerana hatinya mulia dan baik. Balqis tak ada kurangnya di matanya tapi kenapalah ibu susah sangat nak terima.
Tubir mata Balqis terasa panas. Bagai sudah hendak gugur air matanya saat ini namun dia tetap menahannya biarpun hati sebak kerana ada yang memahami.
" Daneen, kalau akak nak peluk Daneen boleh? "
Hayyani mengangguk kecil dan tersenyum. Berbalas pelukan mereka akhirnya. Terasa nikmat mempunyai adik ipar yang sentiasa memberi sokongan. Hati memanjatkan doa agar terus dititipkan kekuatan untuk meneruskan hidup penuh ranjau. Walaupun ada seribu yang menentang dia akan terus bangkit demi satu yang mahukannya terus berjuang!
****
Hari ahad yang biasa. Namun, luar biasa bagi ibu bapa yang gembira dapat berkumpul dengan anak dan cucu mereka. Suasana rumah automatik akan menjadi ceria. Hayyani dan Elhan sudah berangkat pulang awal pagi tadi untuk melawat keluarga sebelah mertua pula. Jadi tinggallah keluarga kecil Haris dan Balqis saja yang masih di situ.
" Khaira, sini papa ikatkan rambut. Jangan kacau mama tidur. Kesian mama penat. "
Haris menggamit anak keduanya Khaira yang baru saja hendak memulas tombol pintu bilik tidur dia dan Balqis melarang si anak mengejutkan sang isteri. Terkedek-kedek si kecil menghampiri dengan rambut yang sedikit kusut dan dibiar lepas. Perlahan-lahan dia menyikat rambut lurus si kecil lalu membuat simpulan tocang sebelum diikat.
" Balqis tak bangun lagi ke? " soal Puan Farida sambil memanjangkan lehernya menjenguk pintu bilik Haris yang terkatup rapat. Bakul berisi pakaian yang hendak disidai di laman rumah diletakkan sekejap atas lantai. Apron pun belum sempat tanggal lagi sejak selesai memasak sarapan tadi.
Terdengar kata-kata Haris tadi, itu yang dia berhenti seketika di ruang tamu itu. Kerutan di dahinya menzahirkan rasa tak puas hati. Ai! Jarum jam sudah menginjak pukul 9 pagi pun tak bangun lagi. Tak pernah-pernah jadi.
" Belum lagi ibu. Haris saja nak biarkan dia rehat lama sikit. Malam tadi dia berjaga malam sebab nak siapkan assignment. Kesian pula nak kejutkan dia. Sementara Haris ada ni Harislah urus anak-anak," balas Haris tenang. Pipi Khaira yang mulus itu diciumnya sekali.
Haris faham Balqis sekarang sedang disibukkan oleh jadual yang padat. Mana nak uruskan belajar lain, hal rumah tangga lain. Dia cuma dapat membantu mana yang sempat saja. Kasihan dia lihat Balqis berhempas pulas selama ini sebab itulah dia merasakan sokongan dari segi kata-kata saja tak cukup. Dia mesti campur tangan sekali uruskan anak-anak dan rumah.
Puan Farida sudah bercekak pinggang. Sekilas tawanya kedengaran sinis. Encik Sulaiman sudah mula mengerling isterinya seolah dapat mengagak bahang yang bakal terasa.
" Tulah, dah elok-elok dulu jadi suri rumah jaga anak-anak sibuk nak sambung belajar pulak sekarang. Ibu bukan tak suka Balqis sambung belajar tapi tengoklah isteri kamu tu. Bangun lambat, tidur sampai lewat malam, anak-anak biar tak terurus. Macam manalah hati ibu ni nak tenang, " ungkap Puan Farida kesal.
Bukanlah dia hendak menafikan hak Balqis untuk sambung belajar, tapi hati tuanya mudah bimbang. Lebih-lebih bimbang lagi pada cucu-cucunya. Pernah sebelum ini Khaira demam panas sewaktu di rumah pengasuh tapi Balqis tak dapat dihubungi kerana sedang menduduki ujian. Nasib baiklah Haris sempat ambil tindakan kalau tidak entah apalah nasib budak itu.
Encik Sulaiman melepas keluhan berat. Sudah cukup lelah nak menghadapi sikap isterinya. Ingatkan dah habis rupanya bersambung lagi. Di mata itu, ada saja yang tak kena dengan Balqis.
" Habistu, awak nak apa sebenarnya Doktor Farida. Semua yang menantu kita buat semuanya tak kena di mata awak. Dulu dia tak sambung belajar awak sibuk pertikaikan tahap pendidikan dia. Sekarang dia sambung belajar awak kata macam-macam. Apa kena dengan awak sebenarnya ni. "
Puan Farida tak mempedulikan suaminya. Tahu yang Encik Sulaiman memang takkan sokong kata-katanya. Lalu, dia memandang pula wajah Haris yang masih terdiam itu. Seakan memberi ruang untuk dia terus meluahkan rasa geram yang meluap-luap.
" Haris, kamu ni sebenarnya dah habis fikir ke sebelum izinkan Balqis sambung belajar. Sepatutnya umur-umur macam sekarang ni dah sibuk nak carakan anak-anak dan suami. Nak belajar sepatutnya buat lama dulu sebelum kahwin. Tak ke terkontang-kanting hidup jadinya. Mikael dengan Khaira, ibu rasa nak aje ambil dia orang duduk sini biar ibu jagakan. Teruruslah sikit hidup sekurang-kurangnya, " ujar Puan Farida tanpa berselindung lagi. Orang nak jadi ibu, sibuk nak jadi ibu. Lepastu anak sendiri tak reti nak jaga. Berkata lagi Puan Farida dalam hati. Geram.
" Iya, ibu. Haris dah habis baik dah fikir ni. Biarlah Balqis nak sambung belajar. Ibu sokong ajelah menantu ibu tu. Susah sangat ke, " malas-malas Haris memberi komen balas. Bukan apa, penat dah nak menjawab benda yang sama. Ibu bukan tak faham tapi sengaja buat-buat tak faham.
Saat itu, dia bersabung pandang dengan Haleena yang kebetulan lalu di belakang Puan Farida. Tapak kaki Haleena terhenti di situ kerana dia cuba untuk mentafsir situasi. Dan dari isyarat mata Haris dia faham bahawa situasi sedang getir.
Apa lagi, senyap-senyap dia terus menggamit Mikael dan Khaira mengikutnya naik ke tingkat atas supaya tak mendengar apa yang tidak sepatutnya mereka dengar. Ibu bukan kira, kalau nak marah itu marah saja tanpa mengira siapa di sekeliling.
" Betul kata Haris tu. Awak pulak yang melebih-lebih nak tentukan hidup dia. Biarlah dia nak buat apa yang dia suka. Tak mengganggu hidup awak pun. Benda baik sambung belajar tu awak sokong ajelah. " Encik Sulaiman jelas menyokong pernyataan Haris.
Puan Farida masih menunjukkan riak wajah tak berpuas hati. " Saya dah pesan, kalau nak belajar tanggungjawab jangan diabaikan. Kalau macam nilah jadinya baik tak payah sambung belajar. "
Haris bangun dari duduknya. Kesabarannya semakin menipis apabila mendengar nama isterinya terus diperkotak-katikkan. Ditenung dalam wajah ibu, bukan marah tapi kecewa.
" Balqis tak pernah lupa tanggungjawab dia sebagai ibu dan isteri. Haris yang sepatutnya berterima kasih pada dia sebab tolong urus anak-anak dan kerja rumah. Lepas aje dia habis kelas dia akan jemput anak-anak balik dari rumah pengasuh. Lepastu dia akan memasak, mengemas rumah, jaga anak-anak. Malam lepas tidurkan anak-anak, dia akan siapkan assignment pula barulah dia boleh rehat. Esoknya dia akan bangun awal siapkan anak-anak dan sarapan. Dia tak cukup rehat pun ibu sampai Haris rasa nak menangis tengok dia. Tapi dia tetap nak teruskan. Tetap kuat. Haris tak yakin Haris mampu jadi sekuat Balqis. Sepatutnya tugas-tugas tu semua suami yang buat tapi Haris mampu tolong sikit aje sebab Haris sibuk bekerja. Jadi ibu, salahkah apa yang Haris buat ni? Salahkah apa yang Balqis buat di mata ibu? " panjang lebar Haris mengulas, mempertahankan Balqis. Masih ada batas hormatnya buat ibu, jadi dia berkata-kata dengan sopan walaupun nada suaranya keras.
Tergamam Puan Farida. Encik Sulaiman juga begitu. Seolah mengiyakan Haris. Kalau dia letakkan diri di tempat Haris sebagai suami pun dia akan berasa berang apabila isterinya diperlekehkan sebegitu.
Haris menggeleng kepala, kecewa dan sedih dengan sikap ibu. Dia cuba untuk berjalan pergi meninggalkan ruang tamu. Namun, hanya beberapa langkah dia berpaling semula bagai hendak mengatakan sesuatu.
" Kalau ibu nak tahu, sebelum ni Balqis tak pernah pun nekad dengan kata-kata dia. Tapi kata-kata ibu kelmarin buatkan dia nekad nak dapatkan ijazah. Kalau ibu tak cakap macam tu pada isteri Haris, dia tak perlu bersusah payah macam sekarang. Kebelakangan ni kami tak balik ke sini sebab Haris kecewa dengan sikap ibu. Tapi menantu ibu tu, dia sentiasa akan pujuk Haris balik ke sini walaupun dia sendiri lebih terluka. Haris pertimbangkan semula sebab ibu sanggup datang ke rumah Haris dan minta maaf. Tapi inikah yang ibu maksudkan dengan meminta maaf. Inikah ibu? " Haris kecewa sehingga gugur air mata lelakinya ketika mengucap kata. Fikirnya ibu sudah boleh menerima Balqis sewaktu ibu datang meminta maaf kelmarin. Namun, nyata tanggapannya tersasar.
Bayang Haris sudah mula menghilang di sebalik pintu kamarnya. Puan Farida masih juga tergamam dengan kata-kata Haris tadi dan menungannya mula jatuh pada lantai. Berkaca bening matanya menahan tangis. Itulah buat ulung kalinya dia melihat Haris menangis semenjak anaknya itu menginjak dewasa. Saat itu dia sedar, Haris benar-benar terluka dengan sikapnya terhadap Balqis.
" Abang dah agak, dia orang tak balik sebelum ni kerana kecewa dengan sikap awak. Tak pernah nak berubah! Kalau abang jadi dia orang pun tak ingin lagi abang balik ke sini. Buat serabut kepala aje. Menyakitkan hati!" Encik Sulaiman menengking dengan wajah bengisnya sebelum turut sama beredar. Kecewa. Sudah tidak terkata.
Di dalam bilik itu, Haris duduk di birai katil. Membelakangkan Balqis yang masih terlena. Dikesat birai matanya biar kering. Menangis di depan ibu tadi pun terjadi secara tak sengaja. Manalah dia tahu jiwanya amat hiba dengan kata-kata ibu terhadap isterinya.
Susah sangat ke ibu nak terima Balqis sepenuhnya. Sudah bertahun dia mencuba menyatukan hati ibu dan Balqis, tapi ibu tetap dengan ego. Berkeras menjaga standard dan menunjukkan kebencian. Suami manalah yang tak sedih apabila isterinya diperlakukan begitu.
Balqis yang berbaring pada sisi kiri tubuhnya mengesat air mata yang mengalir tak henti. Bibir juga diketap rapat supaya tak didengari Haris akan tangisannya yang hiba. Dia sudah lama terjaga sebenarnya dan dia juga terdengar semua yang terjadi di luar sana. Remuk hatinya mendengar kata-kata yang dihamburkan ibu mertuanya tadi. Meskipun dia tahu, Haris tetap akan membelanya.
Pantas dia bangkit dan memeluk Haris dari arah belakang. Haris mengusap tangan lembut yang melilit di pinggangnya. Kedua-duanya sepi tanpa bicara. Mata terkatup hanya tubuh yang bersentuhan. Masing-masing ditemani sebak dan bersatu dalam perasaan yang sama. Kasih sayang Balqis kepada Haris amat meluas dan mendalam. Kalaulah Haris tiada di sisi, Balqis yakin dia tak mungkin mampu untuk bertahan.
Inilah harga yang perlu dibayar kerana mengahwini lelaki yang tidak sekufu dengannya. Seharusnya dia sedar diri saat pertama kali diperkenalkan kepada Puan Farida yang terang-terang tidak suka kepadanya. Namun ini semua ketentuan Tuhan, berjodoh juga dia dan Haris sehingga kini.
Selagi Haris memerlukannya, dia akan setia di sisi biarpun diri terus diuji walaupun dia tak tahu sampai bila mampu bertahan.
Share this novel