Bab 15

Romance Completed 15392

Bab 15

" Anak-anak dah tidur? " Soal Haris sebaik saja isterinya masuk ke dalam bilik tidur mereka.

" Dah. " Balqis merebahkan tubuhnya ke atas katil. Losen tangan di atas meja sisi diambil. Sesekali, suaminya yang masih tekun membaca akhbar dikerling sekilas.

" Abang, Elhan tu baik jugakkan orangnya. Saya tengok pun rasa sejuk hati, " puji Balqis sambil menyapu losen pada tangan dan lehernya.

" Tiba-tiba aje cakap macam ni. Sayang ada hati dekat Elhan tu ke?" Haris melipat surat khabar yang dibacanya sebelum diletakkan di atas meja sisi. Pelik juga apabila isterinya tiba-tiba membangkitkan tentang Elhan.

" Hish... abang ni. Ke situ pulak. Saya ni cuma ada hati dekat abang ajelah, " tukas Balqis.

Haris tayang muka ragu. " Habistu? Beria-ria sangat puji. Macam ada apa-apa. "

" Takde apalah abang. Saya cuma fikir betul jugak apa yang ibu cakap. Dia tu sesuai la jadi menantu ibu. Kerja bagus, anak orang baik-baik. Bukan macam saya. Saya ni dulu kerja cashier aje bang, " luah Balqis kedengaran sayu suaranya.

Haris mendecit. Dia cukup tidak gemar acap kali isterinya membangkitkan soal itu. Seolah Balqis tak yakin kalau dia mengahwini isterinya itu atas dasar cinta bukannya material. Memang ibunya agak terkilan dahulu kerana dia berkahwin dengan wanita biasa namun baginya Balqis itu cukup luar biasa.

Masih dia ingat seraut wajah kecewa ibu apabila dia membawa Balqis pulang ke rumah untuk diperkenalkan kepada keluarganya dulu. Sehingga kini, dia masih cuba untuk membuatkan Puan Farida terima Balqis seadanya sebagai menantu. Susah hatinya melihat isterinya bersedih.

" Ha... ni yang abang tak suka ni. Kenapa sayang cakap macam tu? "

" Takdelah, bila dah jadi macam ni, saya sedar sendiri. Saya bukan menantu pilihan ibu. Lepas dua tiga bulan saya kahwin dengan abang dulu mana ada ibu bercakap dengan saya. Tapi nak buat macam mana. Kalau saya boleh undurkan masa, saya nak buat betul-betul masa SPM. Boleh saya kerja bagus-bagus sekarang. "

" Sayang ada cita-cita nak jadi apa dulu? "

" Hmm... tak kisah. Tapi saya minat jugak nak jadi lawyer ke, pembaca berita ke. Tak pun akauntan. Barulah sepadan dengan abang kan. "

" Tak payahlah sayang. Abang ni kerja kadang-kadang sampai lewat malam. Kalau kita berdua balik lambat siapa nak jaga anak?"

Balqis berjeda. Seakan memikirkan kebenaran dari kata-kata itu. " Betul jugak. Tapi ibu mesti suka kan. Yalah, mesti selama ni ibu malu sebab saya jadi menantu dalam keluarga ni. Saya ni biasa-biasa aje. "

Balqis melepaskan ikatan rambutnya yang mayang mengurai. Kemudian, dia melibas rambutnya ke belakang menampakkan batang lehernya yang mulus.

Haris telan liur kemudian dia beristighfar. Hai isteri, sempat lagi awak menggoda abang kan. Nasib baik esok hari isnin.

" Ni yang abang tak berkenan ni. Sayang, abang suka dekat awak dulu sebab awak ni sopan santun, baik hati, mesra. Awak tak sombong, layan semua orang sama rata, selalu senyum. Sebab tulah abang suka dekat sayang. Takde kena mengena langsung dengan pekerjaan. Semua tu materialistik. " Haris mendekati isterinya. Kepala Balqis dikucup lembut.

" Tapi, abang sepatutnya kahwin dengan orang yang sama taraf dengan abang. Saya ni manalah layaknya. "

Balqis menyembamkan wajahnya pada dada Haris. Dia agak emosional malam ini sehingga ada manik-manik jernih yang gugur barang setitis dua. Mungkin kerana perbualan antara ibu mertuanya dengan Elhan yang begitu mesra dan rancak tadi yang membuatkannya sedih. Kalau berbual dengannya, tak mungkin Puan Farida akan galak tertawa dan mesra begitu.

" Sudah, sudah. Abang tak nak dengar awak cakap macam tu lagi. Kalau awak masih terasa pasal dulu, abang mintak maaf bagi pihak ibu. Biarkanlah semua tu berlalu. Sekarang, ibu dah boleh terima pun yang kita berdua memang berjodoh. Sayang cukup sempurna di mata abang. Tak ada yang kurang, " pujuk Haris romantis. Balqis yang mula rasa terpujuk mengeratkan lagi pelukannya pada tubuh Haris.

" Merajuk lagi tak? " Haris lihat isterinya sudah mula tersenyum. Tangannya menyapu bersih air mata pada wajah si isteri.

" Tak. Tak nak merajuk lama-lama takut tak dapat duit belanja lagi, " seloroh Balqis seraya tertawa.

" Amboi! Mata duitan jugak kan isteri abang ni."

" Bukan mata duitan la. Ni namanya tumpang senang. Yalah, saya kan tak bekerja. Jadi, saya cuma boleh harapkan belas kasihan abang ajelah. "

Haris menepuk lembut bibir Balqis. Dia mula mengetap bibirnya tanda geram. Tak habis-habis beri ayat makan dalam.

" Hah, dah mulalah tu. Cakap lagi abang cium mulut tu nanti. "

Balqis ketawa. Dia cukup suka melihat wajah geram Haris.

" Tapi kan abang, Elhan tu pernah bagi mimpi ngeri dekat Daneen ke sampai Daneen susah sangat nak terima pinangan Elhan? "

" Entah. Mungkin bagi Daneen, Elhan tu bukan husband material dia kut. " Haris memberikan jawapan berdasarkan sudut pandangnya. Sejujurnya dia pun tak tahu mengapa adiknya tidak sukakan Elhan padahal Elhan itu pakej lengkap bakal imam kut. Dia yang lelaki pun akui Elhan bukan calang-calang orang untuk dibuat suami.

" Bukan husband material? Abang tengoklah cara dia layan anak-anak kita dengan family abang, layanan kelas pertama tau. Abang ingat senang ke nak cari pasangan yang boleh layan keluarga kita macam keluarga dia sendiri. Hairan saya, kenapa Daneen susah nak terima Elhan. "

" Mata dengan hati melihat dengan cara yang berlainan. Mungkin pada mata kita Elhan tu dah cukup bagus tapi hati Daneen mungkin ada firasat yang Elhan tu bukan cinta yang dia cari. Ada beza dua-dua tu. " Haris mula menepuk bantal empuknya. Kantuk sudah mula memberat malah dia sudah beberapa kali menguap. Kemudian, dia menarik selimut sedangkan isterinya kelihatan masih berminat nak terus berbual.

" Saya faham Daneen pun tak sampai hati nak tolak sebab ibu jugak. Tapi, kalau saya dekat tempat Daneen, saya tak tunggu lamalah nak terima pinangan tu. "

Haris terkesima kejap. Dia melihat senyuman pada wajah isterinya sebaik saja selesai berbicara. Ini tak boleh jadi! Handsome sangat ke Elhan tu sampai bini aku tak habis-habis memuji ni?

" Abang rasa kalau kita nak jumpa ibu dengan abah lepas ni, kita jumpa dekat rumah kita ajelah. "

" Kenapa pulak? " Kening Balqis bertaut. Selama ini memang mereka akan pulang ke Bangi setiap kali hendak melawat keluarga mertuanya.

" Bahayalah sayang kalau kita datang sana. Buatnya Elhan ada sekali macam mana? Lepas ni apa pulak yang Elhan tu buat untuk kagumkan awak? "

Balqis perlahan-lahan tersenyum kemudian dia ketawa terbahak-bahak. " Oh, patutlah cakap macam tu. Ada orang cemburu rupanya."

Kedua belah pipi Haris dicubit. Muka merajuk Haris memang tak boleh dibawa bincang. Muka anak-anak mereka Khaira dan Mikael pun tak seteruk ini kalau merajuk.

Haris menepis tangan Balqis. Sempat lagi dia berkata-kata sebelum menutup seluruh wajahnya dengan selimut.

" Dahlah, abang nak tidur. Soal adik-adik kita tu tak usah masuk campur. Nanti kalau awak nak sangat Elhan tu jadi biras awak, esok jugak saya pujuk Daneen supaya terima. "

Balqis tersenyum lebar memandang suaminya yang sudah mula terlena. Ni nak kena pujuk lah kiranya ni. Abang, abang... nasib baik sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience