Bab 71

Romance Completed 15392

Kalau nak diikutkan rasa hati, Hanan tidak mahu datang ke kafe itu untuk bertemu Elhan. Rajuknya masih ada ekoran kejadian kelmarin yang masih segar dalam ingatan. Sakit hatinya bukan kepalang.

Tapi mengenangkan rasa hormatnya yang masih bersisa terhadap seorang abang, dia menerima juga ajakan Elhan. Lagipun umi sudah berusaha memujuknya setelah dia dan Elhan dipanggil untuk berbincang. Hanya mereka bertiga tanpa kehadiran pihak lain.

" Marah dekat abang lagi ke?" soal Elhan sambil memusatkan pandangannya pada wajah muram Hanan.

Keluhan lemah terlepas dari bibirnya memandangkan Hanan enggan menjawab. Sedari awal berjumpa, hanya dia yang banyak bercakap sedangkan Hanan terus mengunci mulut.

" Abang mintak maaf. Abang melebih-lebih hari tu sampai ternaik tangan pada Hanan," ujar Elhan kesal. Dia benar-benar menyesal atas tindakan lampaunya kelmarin. Barangkali atas desakan diri yang ingin melindungi isterinya, dia telah hilang pertimbangan seketika.

Hanan menyisip kopi latte miliknya yang sudah sedikit suam ke mulut. Muka tidak berperasaan ditayangnya.

" Takpelah, nak buat macam mana. Abang lebihkan isteri abang daripada adik sendiri. Hanan sedar diri Hanan bukan orang penting untuk abang," kata Hanan yang jelas masih berjauh hati. Dia pun bukan sengaja nak naik angin ketika itu. Tapi sikap tidak acuh Hayyani benar-benar menggoncang perasaannya. Hakikatnya, dia benar-benar peduli kalau perasaan Elhan akan dilukai.

" Abang tak tahu apa yang berlaku dekat dapur masa tu. Daneen pun tak nak bagitau abang tapi dia kata itu salah dia. Hanan ceritalah dekat abang, apa sebenarnya jadi, ermm? " Elhan mengajukan soalan sebaiknya. Sehingga hari ini dia masih berteka teki tentang punca sebenar kedua sahabat itu bertikam lidah kelmarin.

Hanan pandang Elhan yang masih berharap itu dengan rasa serba salah. Kemudian, dia hembus nafas berat.

" Malaslah nak cerita. Bukan boleh ubah apa-apa pun," tepis Hanan tanpa nada. Biarlah dia simpan rahsia itu kalau lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik yang berlaku disebabkan lidahnya yang bertutur kata.

" Habistu, macam mana abang nak tahu keadaan sebenar yang terjadi. Hanan mintak abang jadi adil jadi abang cuba untuk jadi adil tentukan siapa salah siapa betul. Kalau isteri abang salah, abang boleh tegur. Cuba bagitau abang. "

Elhan bersandar selesa di kerusi. Tangannya disilangkan sambil cuba memikirkan punca sebenar Hayyani dan Hanan bertelingkah. Tidak seorang pun sama ada isteri atau adiknya cuba buka mulut untuk memberitahu soal itu. Buntu dia memikirkannya.

Hanan bangun dari sandarnya. Ada sesuatu yang perlu dia soal. Ah, lupakan soal rajuk yang penting aku kena tanya soalan ni!

" Abang, Hanan nak tanya satu soalan. Abang jawab jujur please? "

Pandangan Elhan kepada Hanan berubah semacam. Hairan melihat mood adiknya yang cepat berubah. Namun, kepala dianggukkan juga.

" Abang cintakan Daneen? Abang cintakan dia sorang aje takde perempuan lain dalam hati abang? " soal Hanan bersungguh-sungguh ingin tahu.

Terbentuk senyum simpul di bibir Elhan. Fikirnya Hanan hendak bertanyakan soal apa tadi. Dia menyisip sedikit kopi cappuccino ke mulut sebelum menjawab.

" Kalau tak cinta abang takkan berani kahwin dengan Daneen. Perkahwinan ni bukan main-main. Abang dah sampai sejauh ni sebab abang yakin abang betul-betul sayang Daneen. Cukuplah Allah yang tahu macam mana cinta abang dekat dia. "

Demi mendengar jawapan itu, hati Hanan menjadi luluh. Tetapi reaksi wajahnya seboleh mungkin cuba dikawal. Wajah tenang Elhan dipandang sayu. Setiap kali bercerita tentang Hayyani, seraut wajah itu pasti akan memancarkan keceriaan. Bibir itu terus mengukir senyuman secerah pelangi senja. Malah, mata itu juga akan memantulkan sinar cinta yang tulus ikhlas buat Hayyani. Kasihan abangnya, cinta yang diberi tidak dibalas kembali selayaknya. Tergamak Hayyani!

" Semacam aje soalan. Hanan ada masalah dengan Lukman ke?" soal Elhan ambil berat. Dia lihat Hanan menggeleng kepala sambil ukir senyuman sedih. Firasatnya mengatakan memang ada sesuatu yang tidak kena.

" Taklah, Hanan dengan Lukman okey aje. Pasal hari tu, abang tak perlu tahulah. Biasalah kawan-kawan bergaduh. Cuma ada salah faham sikit aje," jelas Hanan sambil tersenyum canggung. Dia lebih rela memendam rahsia itu sampai mati daripada melihat abangnya terluka.

Elhan hembus nafas lega lalu dia tersenyum senang. Ringan sikit beban yang memberat di dada semenjak dua menjak ini.

" Hanan jangan benci dekat Daneen. Tak lena tidur dia selama ni sebab asyik fikirkan pasal tu. Ketepikan soal kakak ipar atau hakikat yang Daneen tu isteri abang. Yang penting, kalau ada masalah dengan kawan jangan pendam lama-lama. Bincangkan, selesaikan. Abang tak nak Daneen dengan Hanan bermusuh. Kita dah jadi satu keluarga abang harap tak jadi lagi benda macam ni, " nasihat Elhan panjang lebar. Mengharapkan kelmarin adalah kali pertama dan terakhir dia melihat Hayyani dan Hanan berselisih faham. Sepanjang tempoh itu, Hayyani akan menjadi pendiam begitu juga Hanan yang menjauhkan diri.

" Tapi ada sesetengah kesalahan tu tak layak dimaafkan. Macam kesalahan bila kita khianat perasaan seseorang. Betul tak? " soal Hanan berani. Entah datang dari mana keberaniannya untuk menyoal tentang itu. Barangkali terikut-ikut rasa hatinya yang masih mendongkol mengenangkan perbuatan Hayyani.

Saat ini dia terfikir kalaulah perkahwinan Hayyani dan Elhan tidak terjadi seperti yang dikehendaki Hayyani dulu, pasti tragedi ini takkan berlaku. Sekurang-kurangnya, Elhan cuma perlu menerima hakikat cintanya tak berbalas. Dan itu sentiasa lebih baik daripada menghadapi peritnya rasa cinta yang dikhianati.

" Kalau manusia ni dihukum berdasarkan kisah silam, takde guna lagi hidup untuk masa depan. Ingat Hanan, khilaf hari ni boleh jadi keinsafan esok. "

Kata-kata Elhan berjaya menyentap hati Hanan. Mungkin benar apa yang abangnya katakan. Barangkali Hayyani masih bergelut dengan masalah sendiri dan menjadi lebih tertekan apabila dipersalahkan. Ada sekelumit kekesalan yang singgah di hati biarpun dia sangat kecewa.

" Baik abang. Hanan bukan nak bermusuh dengan sesiapa. Hanan sayangkan Daneen tu. Sejak kecil lagi dah berkawan baik dengan dia tapi... "

Wajah Elhan dipandang sebak. Abang tahu tak Daneen cintakan lelaki lain selain abang? Abang mesti takkan dapat terima. Mesti abang terluka. Kasihannya abang! Rintih hati Hanan sendiri.

" Hanan? Okey tak ni? " Elhan petik jari di depan wajah Hanan yang masih termenung memandangnya.

" Apa dia?"

" Tapi apa? "

Lekas Hanan menggeleng. Dia tidak akan sanggup untuk meneruskan kata. " Takde apalah... "

" Sekarang ni kita makan. Abang tengok dari tadi Hanan terkuis-kuis makanan tu. Buka mulut. Biar abang suap lamb grill ni." Elhan fokus memotong kepingan daging di dalam pinggannya sebelum disuakan ke mulut Hanan.

" Nanti orang fikir Hanan ni girlfriend abang," seloroh Hanan. Sejujurnya, di kala ini memang ada mata-mata yang sedang memandang ke arah mereka.

" Biarlah apa orang nak fikir. Abang dia orang tak sweet macam abang Hanan ni. Sebab tu dia orang pandang. Cepat buka mulut, " tukas Elhan tenang lalu memberi arahan lagi. Akhirnya Hanan membuka mulut juga menerima suapan Elhan.

" Macam mana, sedap?"

Hanan cuma mengangguk. Dia mengunyah dan menelan makanan itu tanpa berperasaan. Layanan baik Elhan membuatnya tersentuh dan sebak pada masa yang sama. Apatah lagi Hayyani yang tentunya dilayan seperti permaisuri. Apa lagi yang Hayyani cari dalam diri seorang lelaki sebaik Elhan sehingga sanggup mencemari kesucian cinta mereka. Simpatinya tumpah lebih banyak.

" Abang dah cakap makanan dekat kafe ni semua sedap," puji Elhan dengan senyuman lebar. Ketika dia sibuk memotong cebisan daging yang lain, tiba-tiba dia merasakan belakang tangannya disentuh Hanan.

" Abang, Hanan sayang abang. Kalau ada sesuatu terjadi satu hari nanti, abang jangan salahkan diri sendiri tau. Abang tak salah pun, " ungkap Hanan bersama tubir mata yang sedang hangat dilinangi air mata.

Elhan berkerut tidak faham maksud yang terisrat di sebalik kata-kata itu. Tangan Hanan diraih.

" Hei, kenapa cakap macam tu? Apa maksud awak adik? "

Hanan menggeleng kepalanya. Senyuman diukir cuba dijadikan benteng untuk membendung kesedihan yang semakin membuak-buak ketika dia mengasihani abang tersayang. Semoga ada sinar buat hubungan cinta Elhan suatu hari nanti. Bisiknya dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience