Usai solat maghrib, Elhan turun untuk membantu Jasmine menyediakan makan malam di dapur. Sebaik saja kakinya mencecah anak tangga paling bawah, langkahnya terhenti saat terlihat belakang tubuh seorang lelaki yang sedang duduk di ruang tamu. Derap kaki diatur perlahan-lahan menghampiri lelaki tidak dikenali itu.
" Ehem..." Elhan berdeham memberi tanda kehadirannya di situ.
Perlahan-lahan lelaki itu bangun dan berpaling ke belakang. Sejenak, nafas diatur dan senyuman kaku dilemparkan seolah-olah dia turut berasa gementar untuk berhadapan dengan Elhan.
" Elhan... "
" Rip... "
Kolam mata Elhan mula terisi dengan air jernih. Dia hendak berkata sesuatu tetapi tiada kata-kata yang bisa dilafazkan. Sebak terasa apabila melihat sahabat yang lama dirindui berada di depan mata. Lantas, tubuh Arif dipeluk erat.
" Kau pergi mana Rip? Sekalipun kau nak bawak diri kenapa sampai lima tahun? Kau dah tak sudi nak berkawan dengan aku lagi ke, Rip?" soal Elhan dengan suara yang bergetar dek sebak tak terkata.
Arif menitiskan air mata yang tertahan sedari tadi. Terkenang kembali kemelut yang pernah menguji mereka dulu memang benar-benar memilukan hati.
" Kau tak nak aku tunjuk muka depan kau lagi. Buat apa aku sibuk nak terhegeh-hegeh dekat kau lagi. "
Elhan tertunduk pilu di bahu Arif. Terkenang kembali kata-katanya kepada Arif dahulu sehingga tega meletakkan persahabatan mereka di ambang pengakhiran. Benarlah bahawa keputusan yang dibuat ketika sedang marah adalah keputusan yang akan dikesali.
" Aku cuma marah dekat kau. Aku tak cakap pun nak putus kawan. Kau satu-satunya sahabat yang aku ada sampai sekarang. Aku redha dengan apa yang jadi dulu. Aku redha atas semuanya. "
" Aku mintak maaf, Han. "
Serak suara Arif menyuarakan maafnya sambil mengeratkan lagi pelukan. Lama dinanti pertemuan semula ini yang tanpa sedar menimbulkan keinsafan dalam hati. Terlerai sudah rindu yang membelenggu selama ini setelah bertemu. Syukur Elhan akhirnya mampu menerimanya semula.
Dari kejauhan, Jasmine tersenyum senang melihat adegan itu sehingga dia hampir menitiskan air mata kegembiraan. Fikirnya Elhan akan melenting sebaik saja melihat wajah Arif. Namun, segalanya sudah membaik dalam sekelip mata. Setelah sekian lama dia bertimbang tara untuk mempertemukan kedua sahabat itu semula, akhirnya usahanya membuahkan penyatuan yang manis.
****
" Aku pergi hospital untuk cari kau dengan Jasmine. Tapi staf hospital kata korang dah bukak klinik sendiri dan tak bekerja dekat situ lagi. Dia orang bagi aku alamat klinik dan dekat situlah aku jumpa Jasmine. Apa yang jadi sekarang, Han? Kenapa... kau dengan Daneen berpisah? " Arif sedikit teragak-agak apabila menyentuh soalan itu. Sebelum ini dia cuma mendengar cerita tentang perceraian Elhan dan Hayyani daripada orang lain saja. Kali ini, dia perlu mendengarkannya sendiri daripada mulut temannya itu sendiri.
Elhan melepaskan keluhan berat. Dia cuba mengumpulkan segudang kekuatan untuk bercakap soal itu.
" Dah takdir Tuhan, Rip. Kita orang berpisah demi kebaikan masing-masing. Susah untuk aku tapi aku kena biasakan diri terima hakikat yang Daneen bukan untuk aku. Lagipun, tak semua orang kekal berjodoh dengan pasangan sendiri."
" Macam mana semua ni boleh jadi? Maksud aku, aku tengok korang cukup bahagia. Tak sangka boleh bercerai berai pulak. "
Kali ini Elhan tersenyum tapi terlihat sedih. Cinta yang diharapkan bakal membawa panji kemakmurannya hingga ke syurga akhirnya rebah di titian takdir Tuhan.
" Aku pun sangka aku dah cukup bahagiakan Daneen tapi ternyata aku salah. Dulu, aku selalu sangat nampak dia menangis sendiri. Sepanjang berkahwin, aku pikul rasa serba salah fikir mungkin aku yang belum cukup bahagiakan Daneen. Sampailah satu hari tu, surat-surat yang dia tulis... " Elhan terhenti di situ seolah sukar untuk meneruskan kata-kata.
Perlahan titis air matanya luruh ke pipi. Elhan tertunduk menanggung keperitan yang masih mencengkam di hati acap kali teringatkan kisah lalu. Biarpun lukanya telah hilang namun parutnya masih berbekas.
" Kalau perkahwinan kami cuma boleh bagi dia derita, lebih baik aku lepaskan dia. Sebab bahagia hanya akan ada bila hati ikhlas, Rip... Walaupun semua tu boleh dibaiki dengan kemaafan, tapi aku tak nak hidup dalam bayangan lelaki lain... " luah Elhan lirih.
Arif memeluk bahu Elhan cuba mengurangkan kesedihan yang bertandang. Dapat dia kesan sinar cinta yang begitu tulus dari Elhan buat Hayyani. Kisah cinta yang nyata berjaya menempa simpati di hatinya sehingga matanya turut bergenang. Namun, perancangan Tuhan maha hikmah walaupun perit untuk ditelan.
" Aku simpati dengan kau, Han. Benda yang bersangkut paut dengan perpisahan ni bukan mudah. Anggap ajelah, ni semua kehendak Allah. Aku yakin ada sebab kenapa Allah hadirkan Daneen dalam hidup kau sebelum kau akhirnya bersatu dengan Jasmine."
Terlukis senyuman di bibir Elhan apabila Arif menyebut nama Jasmine. Wanita itu umpama penawar yang mengubati lara di hatinya. Wanita yang sanggup menerima kisah silam dia seadanya.
" Bila Jasmine pergi dulu, aku usaha macam-macam cara untuk cari dia semula tapi tak satu pun yang berjaya. Satu hari aku dapat panggilan daripada doktor Lincoln yang pernah mengajar kita dulu. Dia kata Jasmine ada jumpa dia untuk bincang pasal rawatan kaki mummy, " cerita Elhan tenang.
Arif sekadar mengangguk dan memberi validasi atas cerita temannya itu.
" Akhirnya aku jumpa jugak Jasmine. Aku hampir putus asa untuk dapatkan dia semula. Hampir lewat untuk aku sedar tentang perasaan aku pada dia selama ni sampailah satu saat aku berserah pada Allah. Aku cuba nasib melamar dia. Aku yakin kalau dia jodoh aku, Allah akan buka pintu hati dia untuk terima lamaran aku. Alhamdulillah, perasaan dia tak pernah berubah, " sambung Elhan. Selama ini dia terus menafikan perasaannya kepada Jasmine atas dasar kesetiaan dan keutamaannya terhadap Hayyani. Kerana dahulu dia yakin Hayyani adalah satu-satunya wanita yang harus dicintai. Kali ini, dia tidak mahu mensiakan Jasmine lagi.
Senang hati Arif mendengar kisah itu. Bahu Elhan ditepuk.
" Aku tumpang senang, bro. Kawan yang baik akan sentiasa harap kawan dia bahagia. Tapi dulu aku iri hati dengan korang. Aku jadi tamak sampai tak peduli siapa kawan siapa lawan sebelum ni. Tapi tulah, perasaan tak boleh dipaksa. Cinta Jasmine memang untuk kau. Aku tak naklah perasaan aku pada dia rosakkan persahabatan kita. Lagipun, aku sendiri dah jumpa separuh dari hati aku. "
Pemberitahuan Arif membuatkan Elhan terkesima barang sesaat dua.
" Alhamdulillah, bro. Siapa yang pegang separuh lagi hati kau tu?"
Arif tergelak. Memang Elhanlah yang paling bersemangat kalau bercakap tentang kisah cintanya.
" Kau kenal orangnya. "
" Siapa? " soal Elhan lagi. Kalau nak kata orang yang dia kenal ada berlambak sampai tak dapat nak meneka.
" Haleena. "
Elhan terpempan mendengar sepotong nama itu antara percaya atau tidak. Atau adakah mungkin dia tersalah dengar. Setahunya, ada seorang saja perempuan bernama Haleena yang dikenalinya.
" Ha... Haleena adik Daneen? "
Arif menganggukkan kepalanya seraya tersenyum lebar. Dia tahu Elhan akan terkejut apabila mendengar berita ini.
" Lepas aje daripada kali terakhir kita jumpa, aku sambung PhD dekat Minnesota. Dekat universiti yang sama, aku jumpa dia. Kita orang cuma pelajar senior dan junior aje mulanya tapi entah macam mana, masing-masing ada perasaan. Rupa-rupanya, dia dah lama crush dekat aku sejak pertama kali jumpa masa majlis kesyukuran dekat rumah kau dulu. "
Elhan menggeleng lalu tergelak kecil. Sukar untuk dia percaya pada mulanya namun kini segalanya sudah terang bersuluh. Maha hebat perancangan Tuhan.
" Haleena... Haleena. Patutlah dulu bila balik dari majlis tu dia macam tercari-cari. Engkau rupanya, Rip. "
" Aku dah rancang lepas aje dia graduate hujung tahun ni, aku nak masuk meminang dia."
Arif menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Haleena. Dia sudah mendapat restu daripada kedua belah keluarga jadi tinggal menunggu masa yang sesuai saja untuk meminang. Haleena adalah perempuan pertama yang pernah dia bualkan tentang perkahwinan apabila bersama. Semakin hari cintanya kepada gadis itu bertambah dalam dan dia serius untuk menyatukan ikatan mereka.
" Tak sangka si comel tu bakal jadi bini kau ni. Apa pun, aku doakan urusan kau dengan Haleena dipermudahkan, " ucap Elhan sambil menepuk bahu Arif. Dia tumpang gembira atas berita baik itu.
" Aku nak tanya sesuatu. Kau... dah jumpa mertua kau?" Berhati-hati Arif melontarkan soalan. Dia lihat ada perubahan drastik pada wajah Elhan.
Elhan mengeluh lemah seraya menggeleng perlahan. " Belum."
" Aku tahu kau masih bawak hati lagi, tapi kau kena ingat Han, mak bapak mertua selamanya tetap mertua walaupun antara kau dengan Daneen dah takde ikatan lagi, " nasihat Arif dengan sebaik mungkin. Ada sesuatu yang perlu diperbetulkan sejak mula perceraian Elhan dan Hayyani berlaku. Terutama sekali apabila nama Elhan tidak lekang disebut oleh Puan Farida dan Encik Sulaiman setelah Elhan menghilang membawa diri.
" Aku tahu, Rip. Cuma aku rasa bersalah dengan ibu abah Daneen pasal apa yang dah jadi. Sampai sekarang aku rasa segan, " ujar Elhan tentang apa yang dirasakannya selama ini.
Bukan dia tidak rindu pada mertua yang telah dianggap sebagai orang tuanya sendiri. Namun, ada sesuatu yang menghalang kemahuan hatinya. Di kala dia cuba untuk melawan, kekuatannya itu akan hilang bertempiaran entah ke mana.
" Haleena kata memang teruk keadaan masa mula-mula dulu. Tapi lepastu, semuanya perlahan-lahan mula elok balik. Ingat, ni jalan yang Allah dah tulis untuk kau. Sama ada berliku atau tak, kau kena teruskan berjalan walaupun payah. Pergilah, jenguk mertua kau. Kalau tak mustahil, jenguklah Daneen sekali. Kau tahu, dia dah berjaya bukak studio seni dia sendiri tau. " Suara Arif sengaja diceriakan pada penghujungnya. Dia sengaja membawa berita gembira tentang Hayyani demi menceriakan sahabatnya.
" Alhamdulillah. " Hanya itu yang mampu Elhan katakan. Impian yang pernah Hayyani kongsikan kepadanya kini telah tercapai ketika wanita itu menjadi milik orang lain.
Biarpun reaksinya tampak biasa, namun Arif tahu temannya itu benar-benar gembira. Hati itu ikhlas menitip bangga buat wanita bernama Hayyani.
" Walaupun dia dah bagi kesan mendalam dalam hidup kau, tapi aku rasa eloklah kalau kau pun lupakan apa yang jadi dulu. Mungkin, korang dah boleh mula berkawan balik sekarang, " cadang Arif yang sememangnya mengharapkan ada sinar dalam perhubungan Elhan dan Hayyani walaupun sekadar temanan.
" Kalau kau betul-betul cintakan seseorang tu, kau takkan dapat bina persahabatan dengan dia lepas berpisah. Susah, Rip. " Elhan meraup wajahnya. Permintaan itu terlalu senang untuk orang lain lafazkan. Tapi sukar baginya untuk lakukan dengan kekuatan yang sebesar zarah.
" Hidup Daneen tak pernah mudah sejak korang bercerai. Ada aje derita dan dugaan yang dia lalui. Dia tak segembira yang kau sangka, Han. Kau ambil masa dulu. Aku tahu bukan mudah tapi sekurang-kurangnya pergilah jumpa dia sekali. Dia ada sesuatu nak bagitau kau. Aku pasti. "
Sinar dalam mata Arif seolah memberikan harapan dan kekuatan kepada Elhan. Kata-kata itu meneguhkan kembali iltizam yang sebelum ini terus rapuh. Benarkah Hayyani memerlukannya? Apakah dia benar-benar kuat untuk berdepan dengan wanita itu nanti? Dapatkah dia memperbaiki semula persengketaan mereka dahulu? Persoalan itu terus berlegar di ruang fikiran.
" Looks like you guys have settled down. Arif, you makan sini tau. I dah siapkan makanan favourite you. Salted egg butter prawn. "
Suara Jasmine membelah suasana suram yang mengulit mereka sebentar tadi. Dia melabuhkan duduk di sofa sebelah Elhan.
" Thank you Jas. You masih ingat rupanya makanan favourite I, " ungkap Arif bangga. Wanita itu tetap sama seperti yang dikenalinya dahulu. Kalau ada yang berubah pun cuma penampilannya yang kini sudah manis bertudung litup.
Jasmine tergelak kecil. " Mestilah ingat. You kan best friend I. "
Dia bukan seseorang yang menyimpan dendam. Walaupun dia akui ada kala akan teringat sejarah lama antara dia dan Arif namun semua itu dianggap bagai angin lalu saja. Tutup buku lama dan buka lembaran baru.
" Mummy... " panggil seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menghampiri sambil mengganyah matanya. Di tangannya pula ada teddy bear.
" Come here sayang."
Jasmine menggamit anak perempuannya. Rambut kusut Aisyah setelah terjaga dari lena diperbetulkan. Semua perhatian tertumpu pada Aisyah sekarang. Lebih-lebih lagi Arif yang pertama kali melihat. Arif memang gemarkan kanak-kanak. Tidak hairanlah mengapa arwah Aisyah dulu pun akrab dengan Arif.
" Ni ke Aisyah? Comelnya dia. Ya Allah memang ada iras arwah Aisyah. Tapi mata dengan rambut dia memang sebiji Jasmine. Come dekat uncle Arif. Kenal tak? Ni uncle Arif."
Arif memperkenalkan diri seraya mengusap pipi kanak-kanak perempuan itu. Dia tidak menyangka Aisyah akan datang kepadanya apabila dia menggamit. Keberanian si comel itu turut mewarisi Jasmine agaknya.
" Kalau Aisyah masih ada mesti dia dah besar sekarang, " ujar Arif lagi. Buat seketika suasana terasa sayu. Hati-hati di situ masih dan tetap akan merindukan Aisyah Humairah sampai bila-bila pun.
" Sebab tu kami decide untuk letakkan our first born ni dengan nama Aisyah juga. Untuk ubati rindu, " balas Jasmine dengan wajah yang sedikit mendung apabila teringat anak susuannya itu. Anak kecil itu pasti sedang berseronok di taman syurga. Rindu. Rindu yang tak berpenghujung.
" Aisyah kenal siapa uncle Arif? " soal Jasmine kepada anak perempuannya.
Aisyah menggeleng. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Arif. " Tak. "
" Uncle Arif ni kawan papa dengan mummy. Sebelum ni, uncle kerja dekat luar negara sebab tu tak sempat nak jumpa Aisyah lagi. Salam uncle."
Dengan lembut Jasmine memperkenalkan Arif kepada Aisyah. Senang hatinya melihat si kecil menurut saja permintaannya untuk bersalam dengan Arif. Cepat saja kedua-duanya menjadi mesra.
Sedang asyik melihat kerenah Arif melayan Aisyah, Jasmine terpandang Elhan yang seolah sedang mengelamun jauh di sebelah. Tangan suaminya digenggam.
" Hubby... you okay? " tegur Jasmine menyedarkan Elhan dari menungan. Padahal dia sangat maklum tentang perkara yang bermain di fikiran sang suami selama ini. Sekilas keruh di wajah Elhan, sudah dia tahu apa yang tersirat.
Elhan ukir senyuman. " Okey sayang. "
Tangan lembut Jasmine dikucup tanda kasih yang hangat bersemi. Biarkan kasih mereka terus utuh walaupun ada duka yang kekal berselindung di sebalik nurani.
Hayyani, mungkin kali ini kita akan bertemu kembali sebagai teman walaupun tidak lagi sebagai pasangan. Hati ini masih melagukan denyutan yang sama malah pasti mengambil masa bertahun untuk benar-benar melenyapkan angan tentang si dia. Namun, dia akur bahawa takdir mahukan sesuatu yang berbeza untuk mereka.
Percayalah, saya tak tahu masih ada orang yang follow up setiap bab dari novel saya ni. Alhamdulillah sudah semakin sampai ke penghujungnya. Ada sebab kenapa saya memilih ending begini malah dari awal cerita pon saya ada bagi klu. Terima kasih atas sokongan semua <3
Share this novel