" Kenapa abang Elhan cepat sangat balik tu?" soal Haleena sebaik saja kereta Elhan meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah. Laju betul pergi. Singgah sebentar pun tidak. Sambil itu dia mengambil tangan Hayyani lalu disalamnya.
" Dia ada emergency operation, " jawab Hayyani pendek. Muka tak berminat saja ditayangnya. Dahlah penat sehari suntuk dalam kapal terbang. Ditambah lagi dengan perlawanan tekak menentang Elhan tadi.
" Oh... ingatkan akak dah sembur abang Elhan tadi, " seloroh Haleena seraya tergelak kecil. Manalah tahu kau marah kak sebab ibu tukar plan last-last minute. Sepatutnya dia yang datang menjemput Hayyani tapi ibu kata tak perlu sebab Elhan yang akan menjemput kakaknya nanti.
Hayyani mula mencerlung. Adiknya itu memang seorang yang suka menyakat. Antara mereka tiga beradik, Haleena lah yang terlebih gula hyper macam kanak-kanak ribena. Ada jugak yang melekat dekat pintu pagar rumah karang!
" Sebelum akak sembur kau baik kau tolong akak bawak luggage ni. "
Salah satu bagasi besar miliknya diserahkan kepada Haleena yang masih tersengih-sengih.
" Garang betul akak ni. Nahaslah abang Elhan kahwin dengan akak nanti. Tidur luar ajelah hari-hari."
Hayyani cucuk pinggang Haleena. " Amboi banyak mulut kau kan. Kau ingat akak tak tahu kau yang bagitau Elhan akak balik hari ni kan?" tuduh Hayyani dengan wajah menyinga.
" Eh, eh! Suka hati aje nak menuduh orang. Yang bagitau tu... ibu kesayangan akak. Siap bergaduh lagi tau dengan umi Khalida pasal siapa nak ambil akak dekat airport. Nasib baik tak buat welcome home party sekali, " perli Haleena bersahaja.
" Kau sengaja nak sindir akak kan?"
Haleena tergelak kecil. " Mana ada. Tapi, over jugak kan ibu kesayangan akak tu. Siap buatkan kek coklat moist favourite akak semalam. Macamlah akak ni dah sepuluh tahun tak balik. "
" Eleh... ibu kesayangan kau jugak. " Sekilas Hayyani menjeling Haleena sebelum dia bergerak merapati pintu utama. Malas melayan adiknya itu.
Serentak, wajah Puan Farida dan Encik Sulaiman muncul di muka pintu. Ada debaran yang menghukum Hayyani, namun dia berlagak tenang saja. Gementar juga rasanya apatah lagi ketika melihat wajah ketat ibu di sebelah abah.
" Assalamualaikum, abah... ibu."
" Waalaikumussalam. Daneen, sampai dah? " Encik Sulaiman menghulurkan tangan untuk bersalam. Daneen menyambut tangan abahnya dan dikucup lembut. Begitu juga tangan ibunya yang terasa dingin ketika disalam.
" Haah abah. Lepas asar tadi dah touched down. Abah dengan ibu sihat?" Hayyani cuba beramah mesra walaupun ada sepasang mata tajam yang memerhatikannya sejak tadi.
" Sihat... macam biasalah. Ni dah nampak muka kamu depan mata lagi bertambah sihat. "
Encik Sulaiman ketawa kuat usai berseloroh. Hayyani hanya mampu tersenyum lebar. Sekurang-kurangnya berkurangan sedikit rasa resah yang mencengkam jiwanya tatkala mendengar seloroh abah.
" Yelah... abah kalau tengok muka Leen aje yang makin sakit, " tutur Haleena di sebelah Hayyani pura-pura merajuk.
Encik Sulaiman menggosok kepala Haleena. Bahu Hayyani pula ditepuknya perlahan. Manakala, Puan Farida sekadar memerhatikan sambil bersilang tangan.
" Pandai ajelah kamu ni Leen. Dah, korang berdua masuklah. "
Encik Sulaiman bergerak ke tepi bagi memberi laluan buat anak-anaknya. Namun langkah Hayyani terhenti apabila Puan Farida tiba-tiba saja menghalang laluannya.
" Baru sekarang nak nampak batang hidung? " Soal Puan Farida bernada sinis. 3 bulan dia menanti kepulangan Hayyani dan 3 bulan jugalah hatinya tak tenang.
" Sepatutnya malam ni kau pergi makan malam dekat rumah umi kan? "
" Elhan tiba-tiba ada emergency operation tadi. Itu yang tak jadi." Terkulat-kulat Hayyani menjawab. Dia tidak tahu menahu akan rancangan itu. Aduh, kenapa Elhan tak bagitahu pun.
Puan Farida bersilang tangan. " Ada emergency ke kau yang tak nak pergi sana? "
Hayyani ketap bibir bawah. Dia perasan Haleena sudah mengait lengannya seakan menggesanya untuk pergi. Kalau dia terus di situ memang tak habis skrip bebelan Puan Farida sampai besok pagi nanti.
" Daneen, pergi naik atas. Malam karang kita makan sama-sama. Abah nak masak sambal kerang favourite Daneen." Tak larat nak mendengar sebarang pertengkaran, Encik Sulaiman terlebih dahulu bertindak meleraikan. Tambah lagi apabila melihat air muka Hayyani yang sudah berubah kelat.
Tanpa menunggu lama, Hayyani terus memanjat tangga menuju ke biliknya di tingkat atas bersama dengan bagasi diikuti Haleena. Dia tak sanggup nak berhadapan dengan drama ibunya lagi. Jalan ceritanya klise, sama ada dia dimarahi ataupun diperli. Dia sudah jelak!
" Sabarlah. Kut ya pun biarlah dia rehat dulu. Ni tak, belum apa-apa lagi awak nak melenting kat dia. Kalau dia lari lagi tahulah awak, " leter Encik Sulaiman sebelum bergerak ke dapur meninggalkan isterinya yang sedang menahan rasa di situ. Menunggu masa untuk meletup barangkali.
****
" Ibu... abah... Leen nak keluar sekejap tau," beritahu Haleena kepada orang tuanya yang sedang duduk di meja makan.
" Leen nak pergi ke mana?" soal Encik Sulaiman sambil membantu isterinya mencurahkan air oren.
" Leen nak pergi rumah Zara. Dia ada buat birthday party hari ni. Pukul 10 balik, " jelas Haleena. Air oren yang dituang Encik Sulaiman diteguk rakus.
" Kau ni memang dah biasa macam ni. Makan tidak, apa tidak lagi dah nak keluar. Siang sibuk dengan kelas. Malam sibuk dengan assignment. Bila masanya nak duduk makan sama-sama dengan kami ni. Merambu tak kena masa la," bebel Puan Farida seraya tergeleng-geleng memandang anaknya.
Haleena tersengih. Bebola matanya tertunak sesekali kepada abah seolah minta sokongan. Dia sedar sikap tegas dan autokratik Puan Farida hanya akan merumitkan keadaan seperti selalu. Pernah sekali dia kena sound depan kawan-kawannya kerana balik lambat. Padahal cuma lambat satu jam saja. Sekali kena, dua kali ingat.
" Leen pergi kejap aje ni. Tak sedaplah orang dah ajak tak datang. Lagipun ibu bukan tak kenal mama Zara. Pensyarah fakulti ibu jugak. Okeylah, abah, ibu. Pergi dulu, eh?"
Tanpa menunggu persetujuan, Haleena buru-buru menyalami Puan Farida dan Encik Sulaiman sebelum bergerak ke arah pintu dan menyarung kasutnya.
" Memang bagus kan perangai anak-anak abang ni. Sorang tak reti diam rumah. Sorang lagi keras kepala. Peninglah kepala saya fikir," keluh Puan Farida sambil mencedukkan nasi ke dalam pinggan suaminya. Dulu sewaktu anak-anaknya masih kecil, seronok saja melihat mereka membesar depan mata tapi bila dah dewasa kerjanya menyakitkan kepala saja. Nasib baiklah anak sulungnya Haris tentu arah sikit orangnya.
" Dah kalau awak nak baran aje setiap masa, mana tak budak-budak ni tak tahan. Abang tahu awak nak anak-anak kita jadi orang tapi cara awak tu tak sentiasa betul Puan Farida oi. Kalau awak nak menyinga aje anak-anak kita menikuslah, " tingkah Encik Sulaiman sambil mencedukkan lauk pauk ke atas nasi panas dalam pinggan. Perangai isterinya sudah boleh diramal setelah hampir 30 tahun hidup bersama.
Puan Farida sekadar membisu mendengar teguran Encik Sulaiman. Dia melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
Seketika kemudian, kelibat Hayyani mula kelihatan. Matanya kemerah-merahan dan rambutnya juga sedikit kusut seperti baru bangun tidur. Berhadapan ibunya, dia menarik kerusi dan melabuhkan duduk. Dia lihat tiada kelibat Haleena di situ. Keluarlah tu apa lagi.
" Sorry abah... ibu Daneen tertidur tadi. Penat sangat rasa badan ni, " jelas Hayyani apabila ada empat mata yang mula memanah wajahnya. Lega sedikit kepalanya yang terasa berat setelah memejamkan mata hampir satu jam selepas maghrib tadi.
" Takpelah, abah faham. Orang baru balik merantau memang penat. Nasib baik tak jet lag. Makanlah. Abah dah masak banyak ni. Ni, ibu ada buatkan sekali kek coklat moist kegemaran Daneen. "
Hayyani terus memandang Puan Farida sebaik saja abah menyebut soal kek. Dia perasan wajah itu kelihatan biasa. Tahu benar kalau Puan Farida sedang menyembunyikan rasa.
" Terima kasih abah... ibu. "
" Sama-sama. Yang... sayang jugak awak dekat Daneen ya sampai sanggup duduk berjam-jam dalam dapur tu untuk buat kek coklat ni." Encik Sulaiman cuba berseloroh.
" Eh abang ni. Saya buat sebab saya sendiri teringin nak makan. Ada lebih bawaklah ke hari ni. Nak buang sayang pulak, kan? " Suara Puan Farida kedengaran sinis.
Hayyani ketap bibir kuat. Egoisnya ibu sampai langsung tak mahu mengakui perasaannya sendiri. ' Daneen ni anak ibu, bukan orang luar. Susah sangat ke untuk ibu ucap kata sayang tu dekat anak ibu sendiri?' Desis hati Hayyani yang pedih terhiris.
" Takpelah Daneen. Kita makan dulu. Kejap lagi boleh sembang-sembang, " Encik Sulaiman menukar topik. Dia sendiri tak mengerti kekerasan hati isterinya itu. Cakap sayang pun susah.
Sepinggan nasi yang dihulur kepadanya disambut. Sambal kerang, sayur kacang dan lauk kari kepala ikan hasil air tangan Encik Sulaiman diceduk. Hayyani menelan liur melihat semua hidangan menyelerakan itu. Yalah, dah 3 bulan tak jumpa masakan melayu memang sasau dibuatnya. Lagipun, abah memang pandai memasak malah lebih sedap daripada masakan ibu.
Setelah membaca doa, mereka mula menjamu selera. Puan Farida hanya mendiamkan diri. Namun matanya tak lepas menikam tajam wajah si anak.
" So macam mana? Dah buat keputusan pasal lamaran Elhan?" soalnya tanpa niat untuk berdalih lagi. Memang jawapan dari Hayyani la yang dituntutnya sejak sekian lama.
Encik Sulaiman mengucap dalam hati sambil memandang isterinya. Dia sudah agak, Puan Farida pasti akan membangkitkan soal itu di sini. Tak reti menunggu masa yang sesuai!
" Daneen belum fikirkan lagi. Lagipun Daneen rasa Daneen belum sedia. " Terkulat-kulat Hayyani menjawab.
" Belum fikirkan apanya. Tak cukup lagi ke masa 3 bulan yang ibu dah kasi? Dulu masa mula-mula nak pergi janjinya nak pergi sebulan aje, alih-alih sampai 3 bulan bawak diri. Dahlah call atau mesej pun jarang-jarang. Suka buat orang dekat rumah ni kecut perut. Ingat sikit, kau tu tak selamanya muda. Sampai bila nak hidup macam ni?" Bebel Puan Farida senafas.
Hayyani rasa tertampar. Sebolehnya dia mahu pergi dari situ namun mengenangkan rasa hormat kepada orang tuanya, dia terpaksa membatu. Tangannya mula menguis nasi putih.
" Boleh tak ibu bagi Daneen ruang. Bagi Daneen 3 bulan tu rasa macam tiga saat aje ibu. Selama ni Daneen habiskan masa belajar engineering macam yang ibu nak. Jadi bagilah Daneen masa nak enjoy masa muda Daneen, " luah Hayyani dengan getaran yang jelas pada suaranya. Dia tertunduk, muram.
" Nak enjoy apa lagi? Umur tu nak masuk 3 series dah. Patutnya sekarang dah menimang anak dah ada laki. Berapa lama lagi nak enjoy dengan duit yang nenek tinggalkan? Ingat duit tu takkan habis?" bebel Puan Farida dengan suara yang sudah naik satu oktaf. Isu wang hadiah sebanyak dua ratus ribu yang ditinggalkan oleh arwah nenek Hayyani sejak 5 tahun lalu masih jadi ungkitan. Masakan tak berangin dibuatnya melihat anak gadisnya sakan berjalan ke sana sini dengan wang itu.
Hayyani mengangkat wajahnya berani. Sepotong nama nenek yang meluncur dari bibir Puan Farida menyimbah asid pada luka batinnya.
" Duit tu nenek tinggalkan sebab nenek sorang aje faham impian Daneen. Yang ibu tahu cuma paksa... paksa... paksa. Boleh tak pasal nikah kahwin ni ibu faham hati Daneen? "
Kali ini air matanya sudah gugur barang setitis dua. Tak dapat ditampung sebak yang memecah di dada. Mengapalah Puan Farida tak pernah bisa memahami suara hatinya.
Puan Farida mula mencerlung. Panas telinganya mendengar jawapan balas Hayyani.
" Kau ni memang dah pandai menjawab kan. Selama ni kalau ibu bagi kau buat pilihan sendiri pun, pernah kau gunakan baik-baik? Budak muda kalau tak dibimbing macam nilah, suka buat kepala sendiri. Lepastu sesat barat entah ke mana pun tak tahu. Ni kalau ibu tak suruh kau belajar engineering agaknya kau nak belajar apa? Belajar melukis muka orang? " Sindir Puan Farida pedas.
Hayyani memintal-mintal alas meja. Kata-kata Puan Farida ibarat pisau yang menikam hatinya. Melukis adalah jiwanya sejak dulu namun perjalanan impiannya untuk menjadi pelukis terhenti begitu saja saat Puan Farida memaksanya mengambil bidang kejuruteraaan. Dia sudah tidak berkuasa menentang dulu oleh kerana ibunya sudah terlebih awal mendaftar namanya sebagai penuntut diploma sejurus selepas mendapat keputusan spm.
" Asalkan duit tu halal takde masalah, kan? Kerja best, title bagus, gaji besar tapi tetap tak guna kalau tak bahagia. " Entah datang dari mana keberanian Hayyani untuk membidas. Sebelum ini dia hanya diam saja namun kesabarannya ada batas juga.
Mata Puan Farida terjegil. " Budak ni..."
" Hai... sudahlah korang dua beranak ni. Awak pun satu Ida. Tak mengira tempat nak bercakar. Agak-agaklah, depan pemakan ni. Hilang berkat rezeki kalau asyik nak bergaduh aje. Tak senang budak tu nak makan, " tegas dan lantang suara Encik Sulaiman menegah. Sejak tadi dia tidak sedap telinga nak terus mendengar pertelingkahan yang seakan tiada titik noktah itu. Seorang ke utara seorang ke selatan. Langsung tak boleh bersatu bagai air dengan minyak.
Puan Farida terdiam. Riak wajahnya kelihatan resah dan tidak berpuas hati. Seakan ada banyak lagi bebelan yang mahu dimuntahkan kalau suaminya tidak menghalang.
" Daneen nak pergi toilet kejap abah. "
Hayyani sudah hilang selera. Dia meminta diri lantas bangun dan meninggalkan meja makan. Tanpa sedar, air matanya semakin banyak yang gugur.
Share this novel