Bab 55

Romance Completed 15392

Memandangkan hari ini hari pertama bagi seluruh umat Islam di Malaysia berpuasa, Hayyani bangun lebih awal dari biasa. Bermacam-macam menu yang terbayang di fikiran untuk dimasak sepanjang bulan puasa ini. Tapi dia ingat pesan Elhan selepas mereka pulang dari solat tarawikh berjemaah di masjid malam tadi supaya dia masak masakan yang ringkas saja dan tidak memenatkan diri.

Itu dia. Makanan yang ringkas tapi sedap, baru saja diangkat dan hangat dari kuali. Nasi goreng tomyam seafood dihidangkan di atas meja hanya menunggu untuk dimakan saja. Kegemaran Elhan dan Hayyani sudah semestinya.

Setelah menyiapkan hidangan atas meja, Hayyani memanjat anak tangga untuk ke bilik tidur mereka di tingkat atas pula.

" Abang? " panggil Hayyani. Sunyi dan gelap suasana kamar itu. Hanya ditemani sedikit cahaya dari lampu tidur. Dia lihat sekujur tubuh Elhan masih lagi pulas terlena di atas katil. Perlahan dia menapak mendekati suaminya.

" Abang, bangun sahur. " Hayyani menggoncang lembut lengan Elhan. Namun, Elhan masih saja statik tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bangun.

Hayyani duduk pula di kepala katil di sisi Elhan. Dia tenung wajah suaminya yang masih lena diulit mimpi. Terpacul keluhan lemah di bibir. Macam mana nak buat ya.

" Abang, bangunlah. Sekarang dah pukul 5 pagi. Nanti lambat bangun tak sempat nak makan, " kejut Hayyani dengan suara yang dikuatkan sedikit kali ini.

Elhan bergerak dari kedudukannya tadi. Tapi, bukannya untuk bangun. Sebaliknya, boleh pula dia menarik selimut sehingga ke paras dada untuk menyambung mimpi indah.

Kecil besar saja mata Hayyani melihatnya. Sejak bila doktor Elhan ni pandai buat perangai tak nak bangun ni. Ketika ini, ada satu idea yang terlintas di benak. Telefon bimbit Elhan di meja sisi katil digapai.

" Oh, abang tak nak bangun eh. Okey, biar Daneen tangkap gambar abang tidur. Daneen nak upload dekat social media biar semua orang tahu muka abang masa tidur macam muka singa kenyang, " omel Hayyani tanpa henti. Dia sudah membuka aplikasi kamera dan bersedia untuk menangkap gambar Elhan. Yang penting dia sudah pastikan, cahaya flash akan betul-betul menyuluh muka itu biar jelas terpampang nanti.

Namun, belum sempat dia menangkap gambar Elhan tubuhnya terasa ditarik sampai terguling ke atas katil. Terjerit kecil Hayyani kerana terkejut.

" Oh, macam apa tadi? Macam singa kenyang? "

Mengekek Hayyani ketawa apabila digeletek oleh Elhan.

" Abang! Cukup, cukup... " Hayyani tidak berhenti ketawa. Tak sangka pula Elhan sebenarnya sudah lama berjaga ketika dia kejutkan tadi. Pandai betul berpura-pura!

Elhan menongkatkan kedua belah tangannya, mengunci pergerakan Hayyani yang sudah terbaring di bawahnya.

" Sayang nak letak caption apa masa upload gambar muka singa kenyang ni kat social media nanti? " ujar Elhan sengaja menduga Hayyani.

" Tak, tak. Tak nak dah. Sekarang dah jadi macam singa lapar. "

Makin galak Hayyani menyakat Elhan. Terbahak-bahak dia ketawa walaupun hari masih subuh. Terhibur dengan soalan Elhan yang begitu.

Elhan tersenyum senget. Hidung Hayyani dicuit manja. " Singa lapar pulak? "

" Iya, singa lapar. "

Hayyani menggosok rambut Elhan yang sedikit berserabut itu biar lebih serabut seperti orang yang baru bangun tidur. Kemudian, dia tersenyum lebar dalam angau menatap wajah yang berada di tepat di hadapannya itu. Suamiku sayang, abang tetap nampak kacak dalam apa jua keadaan pun!

" Tapi singa lapar ni kena ngap sayang baru dia kenyang, " usik Elhan sambil melorongkan pandangan dan senyuman nakalnya kepada si isteri. Kemudian, dia jongket kening.

Hayyani cubit pipi Elhan. " Mengadanya. "

Buat seketika pandangan mereka bersatu, mereka tersenyum sesama sendiri. Siapa sangka ramadhan pertama sebagai suami isteri amat bermakna buat mereka. Berpeluang untuk menjamah momen yang belum tentu ada pada bulan lainnya. Dengan adanya satu sama lain di sisi, segalanya terasa lebih indah laksana di syurgawi.

" Sayang abang tak? " soalan keramat itu tiba-tiba sahaja diajukan oleh Elhan dengan suara manja. Sambil itu, dia membelai lembut wajah Hayyani. Ya, memang dia sengaja nak bermanja dengan isterinya.

Hayyani menyangkut kedua belah tangannya pada tengkuk Elhan, membawa Elhan lebih rapat dengannya lalu dahi suaminya itu dikucup sebelum dia membalas.

" Sayang. Sayang sangat. "

Jelas terpapar senyuman bahagia pada wajah Elhan ketika mata mereka bertentangan. Anak rambut Hayyani dielus lembut. Kemudian, dia melabuhkan kucupan hangat pada dahi isterinya pula.

Hayyani pejam mata, rapat. Tersenyum bibirnya menerima sentuhan penuh cinta dari sang suami yang amat dikasihi. Hangatnya terasa hingga mengalir ke dasar hati keduanya.

" Jom, kita turun. "

Elhan sudah bersedia meletakkan tangannya pada bahagian bawah badan dan kaki Hayyani. Dia ingin mencempung isterinya turun.

" Tak payahlah. Daneen boleh berjalan sendiri, " tukas Hayyani yang sedikit terkejut dengan tindakan spontan Elhan itu.

" Biarlah abang dukung. Awak dah penat berdiri memasak tadi. Selagi abang kuat nak dukung, jangan penatkan kaki berjalan. Erm?"

Elhan kenyit sebelah mata seraya tersenyum. Hayyani tahu dia takkan dapat menolak Elhan kali ini lalu dia hanya membiarkan saja tubuhnya dicempung dan dibawa pergi. Bibirnya tak mampu berhenti mengukirkan senyum. Dia tidak pernah tahu kalau Elhan memang seromantis ini. Berbunga rasa hati!

****

Selesai bersahur tadi, Elhan dan Hayyani bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah. Sebaik saja memberikan salam, Elhan membacakan doa-doa lazim yang setia diaminkan oleh Hayyani sebagai makmum.
Habis berdoa, Hayyani mencium hormat tangan Elhan sebelum dahinya pula dikucup lembut oleh sang suami.

Tiba-tiba, telefon bimbit Elhan berdering nyaring menandakan ada panggilan yang masuk. Lekas Elhan mendapatkan telefonnya yang diletakkan atas meja solek, namun belum sempat diangkat sudah masuk missed call pula.

" Siapa yang call, abang? " soal Hayyani yang sedang melipat sejadah. Telekungnya juga dibuka dan disidai pada rak sejadah.

" Jas. Tak tahulah dia tersalah tekan ke apa. Abang call balik tak angkat pula. "

Elhan duduk di birai katil lalu mendail semula nombor Jasmine namun panggilannya terus dihantar kepada voicemail. Keningnya bertaut sedikit. Tak pernah-pernah Jasmine menelefonnya pagi-pagi begini. Ada apa-apa terjadi ke? Risau pula Elhan jadinya.

" Abang telefonlah semula nanti. Mungkin dia tak pegang phone sekarang, " saran Hayyani tenang walaupun sebenarnya dia agak sangsi juga dengan panggilan mengejut itu.

" Yalah. " Elhan meletakkan telefon bimbitnya di atas katil. Dia bergerak menuju ke almari pula untuk menukar pakaian. Bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Ketika Elhan memakai kemeja putihnya, Hayyani membantu membutangkan kemeja itu dan memakaikan tali leher. Dia sudah semakin mahir memadankan pakaian dan mengikat tali leher suaminya. Barangkali sudah terbiasa kerana mempersiapkan Elhan setiap pagi sudah menjadi rutin hariannya sejak berkahwin.

" Abang sempat balik berbuka dengan Daneen tak hari ni?" Tanya Hayyani lembut sambil membutangkan lengan kemeja Elhan.

" Hari ni kan hari pertama berbuka puasa. Mestilah abang nak berbuka dengan awak, " ujar Elhan sambil meleret senyuman. Minyak wangi disembur pula pada pergelangan tangan dan nadi.

" Nanti Daneen masak sedap-sedap untuk abang. " Daneen tersenyum. Dia sudah memikirkan makanan yang akan dimasak sebagai juadah berbuka puasa nanti.

Elhan menggosok lembut ubun-ubun Hayyani. " Okey sayang. Yang penting jangan penatkan diri. "

Satchel bag miliknya yang dihulurkan oleh Hayyani diambil. Selepas bersalaman, Elhan mengucup dahi Hayyani seperti kebiasaannya. Kemudian, Hayyani akan melambai Elhan sehinggalah suaminya itu hilang dari pandangan.

Sebaik saja tiba di hospital, Elhan mencari kelibat Jasmine terlebih dahulu di jabatan ginekologi. Namun hairan, kelibat Jasmine yang kebiasaannya akan berada awal di tempat kerja itu tiada. Telefon bimbit dari kocek seluar dikeluarkan lalu nombor Jasmine didail. Kali ini panggilan itu bersambut.

" Helo Jas. I return your call sebab subuh tadi you ada call I. Kenapa Jas? " soal Elhan sambil menahan debaran yang memuncak di dada.

Soalan itu dibiarkan sepi paling kurang pun untuk seketika. Terlukis kerutan tipis pada dahi Elhan. Dia benar-benar merisaukan keadaan Jasmine di kala ini.

" Elhan, boleh tak you datang rumah I kejap?" Jasmine menyoal dengan suara yang lemah.

" Jas, are you okay? Bunyi macam tak okey je ni. " Elhan makin tak senang duduk. Suara lirih Jasmine menyendatkan kerisauan di dada.

" I... I tak tahu apa I makan sahur tadi. I tak larat nak bangun. Kepala I pening sangat. "

Desah nafas Jasmine di corong telefon kedengaran seperti amat tidak bermaya. Pemberitahuan itu sememangnya menakutkan Elhan seakan-akan jantungnya bakal terhenti. Bagaimana kalau apa-apa terjadi kepada Jasmine ketika tinggal berseorangan.

" You tunggu kejap, I datang okey? You'll be just fine. "

Lekas Elhan berlari ke bilik rawatannya. Dia menanggalkan kot putih yang tersarung pada tubuh, mengambil dompet dan kunci kereta sebelum bergegas mendapatkan Jasmine. Dalam hati berdoa agar temannya akan baik-baik saja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience