Hari itu sementara menunggu Jasmine selesai dengan pembedahan, Elhan membawa Aisyah keluar bersiar-siar terlebih dahulu. Mujur Elhan agak berkelapangan selepas waktu tengah hari. Kalau tidak memang sukar untuk dia mencari masa lapang lebih-lebih lagi pada hari bekerja.
" Aisyah!" Hanan melambai-lambai dari jauh sambil melaung nama Aisyah sejurus dia melihat keberadaan Elhan dan Aisyah yang sedang sibuk membeli belah di sebuah kedai permainan kanak-kanak. Dia dan Lukman pula baru selesai makan tengah hari di kedai makan berdekatan.
" Acik su!" Berlari Aisyah memeluk Hanan yang sedang mendekati mereka. Keduanya saling berpelukan mesra.
" Eh, Hanan. Lukman pun ada?" Elhan mendekati mereka dengan sebuah beg plastik di tangan. Dia menyambut tangan Lukman untuk bersalam. Tak sangka boleh terserempak dengan adik dan adik iparnya di situ.
" Cuti bang hari ni. Saja bawak princess ni jalan-jalan. Berdua aje, bang?" soal Lukman mesra seraya mengerling isteri dan anak kecil itu di sebelah.
Dia sudah tidak hairan setiap kali melihat Aisyah kerap ada bersama-sama Elhan kerana sudah lebih 10 tahun dia mengenali keluarga itu melalui Hanan walaupun mereka baru saja berkahwin. Dia kagum dengan kemampuan abang iparnya yang sabar menjaga anak kecil itu walaupun bukan darah daging sendiri. Betullah kata orang, kasih sayang itu tidak semestinya terjalin melalui pertalian darah saja.
" Berdua ajelah. Belum ada orang rumah lagi," seloroh Elhan bersahaja. Hanan yang sedari tadi mendengar menyenggol lengan Lukman.
" Awak tahu, pernah aje orang cakap abang saya ni single daddy. Mana taknya berjalan ke sana sini berdua aje dengan Aisyah. Kalau ada kak Jas kena cop laki bini pulak, " beritahu Hanan dengan ramahnya. Lukman tersenyum saja mendengar isterinya berceloteh.
" Hanan tu pulak selalu ke mana-mana sorang tanpa Lukman, orang ingat anak dara tua. Lagi teruk kan? " Elhan memulangkan paku buah keras.
Serta merta Hanan tepuk lengan Elhan. Ada saja idea nak kenakan dia semula. Dia tidak peduli walaupun Lukman ada di sebelah yang penting abangnya yang senget ini tak boleh diberi muka.
" Eee, jahat mulut abang. Lukman dah ajar orang jadi independent lah. Dah dia yang sayang sangat nak pindah tempat kerja, " ujar Hanan kedengaran suaranya merajuk. Dia menjeling Lukman yang tersengih-sengih macam tak bersalah di sebelah. Bukannya tak boleh berpindah dan tinggal bersama cuma Lukman saja yang sayang sangat tempat kerja pertamanya itu selepas tamat pengajian dulu. Tunggu masa saja dia melancarkan rajuk biar Lukman terhegeh-hegeh nak pujuk.
Elhan hanya tersenyum melihat kemesraan pasangan pengantin baru itu. Adakala tercuit juga hati lelakinya. Mengimpikan untuk menikmati momen itu dengan isteri tercinta juga suatu hari nanti.
Ketika memandang orang yang lalu lalang di sekeliling, mata Elhan tiba-tiba tertancap pada susuk seorang lelaki yang seakan dikenalinya. Di sisi lelaki itu ada seorang wanita yang turut sama terlihat sedang menuju masuk ke dalam sebuah kedai perhiasan. Benarkah apa yang dia lihat tadi.
" Erm, Hanan tolong jagakan Aisyah kejap. Nanti abang ambil semula. " Mata Elhan masih tak lepas mengekori pasangan itu. Dia tak mahu terlepas jejak mereka. Beg plastik berisi mainan diserahkan kepada Hanan.
" Oh... okey bang. Pergilah. Hanan bawak Aisyah jalan-jalan sekejap. Jom Aisyah dekat acik su. "
Hanan menggamit Aisyah ke sisinya. Mereka lihat Elhan tergesa-gesa berjalan pergi dan menghilangkan diri di sebalik blok bangunan. Semua kebingungan di kala itu namun mereka menganggap Elhan hanya ingin menemui kenalannya saja.
Ketika Elhan menghampiri sebuah kedai perhiasan, dia terhenti seketika. Kepalanya dipanggung ke semua arah untuk mencari lelaki itu dan ternyata dia tidak kehilangan jejak mereka saat korneanya membiaskan imej lelaki dan wanita itu di depan mata. Sejenak Elhan memerhatikan dari jauh, dia memang pasti itu adalah Dato' Ghibran, daddy Jasmine dan suami kepada Datin Rozana. Tetapi wanita yang sedang mesra memeluk lengan Dato Ghibran itu siapa?
" Elhan? Kamu buat apa di sini? " Dato' Ghibran berasa agak terkejut melihat Elhan di situ. Lantas dia bertindak meleraikan pegangan Tania. Wajah pemuda itu terlihat tegang bagai ada kemarahan yang maha besar.
" Boleh saya bercakap dengan uncle berdua?"
Akhirnya Dato' Ghibran bersetuju dengan permintaan itu. Mereka bersama-sama menuju ke sebuah kafe yang agak lengang sementara gadis itu menuju ke tempat lain untuk memberikan ruang buat mereka berdua. Sementara menunggu pelayan meletakkan pesanan mereka di atas meja, Elhan memikirkan cara yang paling tepat untuk memulakan kata.
" Saya tak berniat nak mencampuri urusan uncle. Tapi saya cuma nak kepastian. Jasmine dan aunty dah tahu tentang ni? " soal Elhan tanpa niat nak berbasa basi. Sudah terang lagi bersuluh di depan mata jadi untuk apa lagi dia bersangka baik. Memang benar telahannya, Dato' Ghibran berlaku curang.
" Apa kamu merepek ni? Kamu tahu tak, biadap untuk seseorang menyibuk urusan orang lain," tepis Dato' Ghibran. Wajahnya terlihat berang apabila diterjah soalan sebegitu.
" Sakit aunty semakin melarat dari hari ke hari. Sebagai seorang suami, uncle sepatutnya berada di sisi aunty dan bantu aunty sembuh semula. Ubat semata-mata takkan mampu sembuhkan aunty sepenuhnya tapi uncle kena bagi sokongan mental. Bukan dengan cara curang di belakang begini, " kata Elhan dengan nada yang ditekankan tanda dia serius dalam berkata-kata.
Tidak hairanlah mengapa wajah Datin Rozana seakan muram ketika menjawab soalannya tentang Dato' Ghibran kelmarin. Perkara ini bukanlah remeh temeh malah ianya hina dina di sisi agama. Dia tidak boleh menutup mata saja tambahan lagi ini melibatkan sahabat baiknya sendiri, Jasmine.
" Kamu bukan sesiapa nak bercakap soal ni. Berkahwin pun belum ada hati nak bercakap soal tanggungjawab suami isteri, " sinis Dato' Ghibran. Dia menyisip secawan latte bagi menghilangkan gugup. Tidak pernah dia bilang dalam kalendar nasibnya bahawa pemuda itu akan sebegitu berani untuk mendepaninya begini.
Elhan menggeleng kepala. Kesal dengan kata-kata yang keluar dari mulut seorang lelaki kehormat antara yang diseganinya.
" Perkahwinan bukanlah lesen untuk memberikan seseorang itu hak nak bercakap soal baik dan buruk. Apa yang uncle buat ni tak patut pada aunty dan Jasmine. Uncle tak kesiankan anak dengan bini uncle?"
Terbayang-bayang wajah jelita Jasmine di kala ini di layar matanya. Bagaimana kalau temannya itu tahu tentang kebenaran ini. Pasti sukar dan perit untuk ditelan. Apatah lagi Datin Rozana sendiri yang menyandang status sebagai isteri. Betapa hancur dan luluhnya hati dua orang wanita itu angkara perbuatan durja bermahkota nafsu lelaki itu.
" Ah, sudah! Kamu cakap begini apa yang kamu tahu. Bertahun uncle tunggu aunty sembuh. Beratus ribu duit dah habis untuk bagi rawatan terbaik tapi keadaan aunty tetap sama. Uncle dah bosan. Sampai bila uncle kena tunggu, " bentak Dato' Ghibran sehingga suaranya naik beberapa oktaf. Maruahnya tercalar dek kata-kata pemuda itu. Habis keluar semua yang terbuku di dada.
Elhan merenung dalam sepasang mata tua itu. Buat seketika dia cuma mengamati wajah Dato' Ghibran, cuba kelihatan lebih tenang. Kemudian, dia mendepankan tubuhnya untuk berbicara.
" Sekurang-kurangnya berkat kesabaran uncle menjaga isteri yang sakit sepanjang hayat Allah boleh berikan pahala yang banyak berbanding ketika uncle pilih untuk curang belakang anak bini uncle. Uncle perlu tanggung dosa melukakan hati dua orang wanita dan dosa berzina. "
Kali ini Dato' Ghibran terdiam. Barangkali sedikit tersentak dengan pernyataan Elhan. Dia tahu dua wanita yang dimaksudkan itu adalah anak dan isterinya.
" Kamu tak duduk di tempat uncle. Kamu tak faham Elhan, " luah Dato' Ghibran kali ini lirih suaranya.
" Memang nasib kita berbeza. Tapi sesama lelaki saya faham keadaan uncle. Berkeinginan terhadap isterinya yang sah. Tapi Islam ajarkan kita adab. Kalau betul uncle perlukan isteri yang boleh penuhi kehendak uncle, layan uncle, Islam ajarkan poligami. Uncle boleh bincang dengan keluarga uncle dan saya yakin tak ada yang akan kecewa nanti. Jasmine seorang wanita yang matang dan dia akan cuba jadi rasional untuk fahami sesuatu. Saya kenal dia. Aunty pun seorang wanita yang lembut hatinya. Walaupun tak ada wanita suka berkongsi kasih tapi aunty mungkin boleh terima keputusan uncle atas dasar hormatkan uncle sebagai suami. Cuma tulah... tak ada orang yang suka bila ditipu. Curang bukanlah penyelesaiannya uncle. "
Selesai menitipkan kata-kata berbaur nasihat yang penuh makna itu, Elhan berdiri lurus di hadapan Dato' Ghibran yang kelihatan sedang tertunduk. Kesal dan malu barangkali dengan perbuatannya selama ini. Kata-kata yang dilontarkan tadi masih bertapis rasa hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya.
" Uncle anggaplah ini peringatan buat saya juga. Supaya saya tak buat perkara yang sama pada isteri dan bakal anak-anak saya. Uncle lebih tahu mana yang baik mana yang buruk. Saya cuma mengingatkan uncle in case uncle terlupa. Saya dah kenal keluarga uncle lama lebih-lebih lagi Jasmine tu sahabat saya. Saya tak nak dia terluka. Tapi uncle, belum terlambat lagi untuk berpatah balik. "
Elhan berjalan meninggalkan kafe sejurus selepas menuturkan ucapan itu. Tipis harapannya agar perbualan tadi dapat menyisipkan sedikit keinsafan di hati Dato' Ghibran. Dalam hatinya turut memanjatkan doa agar lelaki itu segera menemui jalan kembali.
Share this novel