Jasmine yang sedang melayan Aisyah mewarna buku lukisan di depannya sesekali melingas pandangan ke luar rumah. Dia melihat kalau-kalau kereta Elhan dipandu masuk ke kawasan perkarangan rumah agam yang luas milik Doktor Khalida itu. Namun pandangannya sepi tanpa kelibat.
" Abang Elhan tak bagitahu ke dia balik pukul berapa? " soal Jasmine kepada Hanan yang baru saja datang dari arah dapur. Di tangannya ada dulang minuman air sejuk.
" Takde pun. Tergesa-gesa dia pergi tadi. Itu yang adik bawak Aisyah balik rumah umi dulu," jawab Hanan.
Dia meletakkan dulang minuman itu di atas meja kopi lalu mengambil tempat di sofa. Selepas Elhan meninggalkan Aisyah dengannya tadi, abangnya itu tidak muncul semula walaupun sudah tiga jam berlalu. Lama menunggu di sana jadi dia memutuskan untuk pulang menunggu di rumah umi saja.
" Ke manalah papa pergi ni Aisyah? " omel Jasmine sendiri. Dia mengerling seutas jam tangan di pergelangan tangan kirinya. Sudah hampir sejam juga dia di situ menunggu Elhan. Mujurlah Hanan menelefonnya terlebih dahulu untuk memberitahu tentang keberadaan Aisyah jadi dia bergegas ke rumah Doktor Khalida sejurus selepas selesai pembedahan tadi.
" Itu pun papa! " Teriak si kecil apabila melihat wajah Elhan menjelma di muka pintu. Lantas Elhan membalas pelukan si kecil yang berlari mendapatkannya.
" Papa ni macam chipsmore lah. Kejap ada kejap hilang, " celoteh Aisyah itu membuatkan semua orang ketawa.
" Papa lebih kepada spiderman lah sayang. Papa bukan hilang tapi papa pergi selamatkan dunia. " Elhan sengaja mereka-reka cerita. Pipi gebu si kecil dicium kejap.
Hanan buat muka menyampah. " Eee... elok sangatlah tu membohong budak-budak. Kenapa tak parking aje kereta dekat dalam. Suka sangat letak luar. Apa guna ada garaj besar tapi parkir kereta atas jalan kerajaan? "
" Orang terlupa remote lah. Suka sangat berleter kan. Macam nenek-nenek dah. " Selamba saja Elhan mengutuk adiknya. Pantang ada buat salah, laju saja mulut itu mengomel. Menurun dari siapa pun tak tahu.
" Tulah, lain kali gantung dekat lubang hidung. Senang tak payah cari kalau hilang. Kan Aisyah? " Hanan tak mahu kalah sampai mencari sokongan Aisyah. Aisyah yang tak tahu apa-apa itu pula hanya menganggukkan kepala saja. Terburai tawa mereka dengan kepolosan si kecil.
" Hai Jas. Lama you tunggu I?" Elhan menegur Jasmine pula. Aisyah yang didukungnya diletakkan kembali untuk menyambung aktiviti mewarna tadi.
Ada satu perasaan simpati yang dirasakan oleh Elhan ketika terpandang wajah Jasmine. Terus terimbau peristiwa siang tadi di mana dia dapat menangkap dengan mata kepalanya sendiri tentang kecurangan Dato' Ghibran. Kasihan you, Jasmine.
" Taklah, I pun tak sampai sejam lagi kat sini. You pergi mana tadi?" soal Jasmine sekadar ingin tahu.
" Erm... rahsia," bisik Elhan lalu kenyit sebelah mata kepada Jasmine. Dia berjalan pula ke arah meja kopi dan minum air yang dituang oleh Hanan.
" Abang pergi mana? Hanan whatsapp abang tak reply langsung," soal Hanan lebih kepada risau.
" Abang ada hal penting tadi sampai tak sempat nak tengok phone, " kata Elhan. Gelas berisi air oren itu diletakkan semula di dalam dulang dan telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluarnya. Sekilas dia memeriksa memang betul banyak panggilan dan sms yang tidak dijawab.
" Ceh! Abang ternampak skandal lama kan. Itu yang beria-ria kejar tu." Mulalah Hanan membuat andaiannya sendiri. Mukanya memang jelas curiga.
" Haah. Kenal tak Puspita. Lately dia makin hot lah. Tu yang abang tak lepaskan peluang mintak nombor phone dia tadi." Elhan pula melayan saja kata-kata Hanan. Bukan dia berusaha nak menafikan.
" Hebatlah tu? Rasa diri tu kasanovalah tu? " Hanan mencebik. Lengan abangnya disenggol-senggol. Geram rasanya melihat wajah selamba mamat perasan macho itu.
" Mestilah. Semua orang suka dekat abang okey, " kata Elhan penuh lagak. Siap duduk bersilang kaki lagi.
" Eee gediknya. Tak padan dengan diri tu dah tua. Ada hati nak buat perangai lagi. Hanan report dekat Daneen. Biar dia tahu bakal suami dia gedik menggelitis dengan perempuan lain. " Hanan dah bersedia nak mengeluarkan senjata bernama tangan ketamnya. Tunggu masa pinggang Elhan jadi sasaran.
" Eh, kejap bau apa ni? " Elhan berpura-pura mengemutkan hidung dan mulutnya cuba mencium aroma yang berterbangan di udara. Walaupun sebenarnya dia cuba mengelak daripada serangan Hanan, namun memang benarlah, ada sesuatu yang berbau wangi.
" Jangan nak tukar topik. " Hanan mengejar Elhan yang sudah selangkah di depannya melarikan diri ke dapur. Seronok ketawa mengenakannya. Nak menyorok belakang umilah tu. Jangan harap!
Jasmine tersenyum memerhatikan usikan dua beradik itu yang semakin menjadi-jadi. Ada saja akal masing-masing untuk saling mengusik. Seronoknya ada tempat untuk bergurau senda dan bermanja. Mungkin dia tidak direzekikan memiliki adik beradik untuk memeluk erat satu sama lain lebih-lebih lagi ketika sedang diuji dengan kemelut yang melanda rumah tangga orang tuanya. Dia harus memeluk kuat dirinya sendiri demi Datin Rozana.
Namun, di kala ini ada sebuah lagi rasa sayu yang mengulit diri. Fantasinya untuk diakad bersama-sama Elhan suatu hari nanti terus lenyap apabila Hanan menyebut nama Hayyani tadi. Sekali gus mengingatkan dia bahawa Elhan sudah pun meminang gadis idamannya. Dan dia tidak seharusnya terus mengimpikan untuk memiliki kedudukan di dalam keluarga itu. Hakikatnya dia bukan sesiapa. Rintih hati Jasmine yang tiada siapa fahami.
****
Elhan memberhentikan pacuan empat roda miliknya apabila tiba di hadapan rumah keluarga Jasmine. Mereka baru selesai menghantar Aisyah kembali ke hospital. Memandangkan Elhan pulang agak lewat petang tadi, jadi Jasmine mencadangkan agar mereka menghabiskan masa di rumah Doktor Khalida saja. Seronok juga dapat meluangkan masa bersama.
" Thank you for today," ucap Jasmine. Beg tangan sudah diletakkan atas pangkal bahu untuk bersedia keluar dari perut kereta.
" No problem. I should thank you more. By the way, I'm so sorry for that day. I tak patut desak you untuk bagitau I semuanya," ucap Elhan kesal. Didorong perasaan ingin tahu sehingga tanpa sedar dia telah memaksa.
Jasmine ukir senyum tipis. " It's okay. I dah lupakan pun pasal tu. I minta maaf kalau you terasa dengan kata-kata I juga. You know, words bleed more than sword. "
Elhan senyum senget lantas menggeleng kecil. " It's totally fine. Takde apa pun yang you cakap melukakan hati I. You never did that sepanjang kita kenal. But if you bleed, I bleed, okay?"
Jasmine membalas dengan senyuman. Elhan yang manis. Kalaulah ada cara yang berkesan untuk melarikan diri dari pesona you, I dah lama buat. Bisiknya sendiri dalam hati.
" By the way, esok you ada scheduled operation ke?"
" Ada, one at night. Lagipun department I tak boleh dijangka, Elhan. Bila-bila masa aje orang boleh bersalin so I kena bersedia. Tapi high probably I tak available waktu pagi sebab I nak pergi HKL and then barulah I rush back to Shah Alam. "
" Untuk check up mummy you? " Elhan meminta kepastian walaupun dia memang sudah maklum kalau Jasmine akan membawa ibunya ke hospital itu untuk pemeriksaan berkala.
Jasmine mengangguk seraya tersenyum tipis.
" Yup. I harap mummy kuat semangat nak sembuh. She has a lot in mind at this moment. Nampak aje macam mummy tu selalu senyum macam takde apa berlaku tapi deep inside, she's bleeding. "
" Hey, kenapa ni Jas? " Elhan rasa cemas melihat wajah yang tiba-tiba saja berubah mendung itu.
" I rasa malu sangat nak bagitau you. " Jasmine mula teresak kecil. Mendengar esakan itu, Elhan jatuh simpati. Ada banyak kemungkinan tapi dia tak pasti yang mana satukah menjadi kerisauan Jasmine ketika ini.
" Jas? Kenapa ni, erm? " Soal Elhan lembut. Dia mencapai sehelai tisu di tempat duduk belakang lalu pipi Jasmine yang kebasahan dengan tangisan dilap.
" Daddy... daddy turned his back from mummy for another woman. Or maybe bahasa kasarnya, curang. " Terluah jua rahsia yang sebolehnya hendak dia rahsiakan daripada pengetahuan sesiapa. Hatinya yang mendesak untuk meluahkan. Berat untuk terus dipikul sendiri.
Elhan terdiam bukan kerana dia terkejut. Tapi kerana dia sudah dapat menjangkakan apa yang berlaku. Nampaknya skandal Dato' Ghibran sudah pun tersebar ke pengetahuan Jasmine dan Datin Rozana. Dia amat bersimpati atas nasib mereka.
" I jumpa daddy you tadi. And I confronted him for this. I yang bukan siapa-siapa pun terkejut, kecewa apa lagi you and aunty, " beritahu Elhan tanpa berselindung lagi. Dia fikir mahu merahsiakan dahulu daripada pengetahuan Jasmine sehingga masa yang sesuai nanti. Tapi sudah tiada guna lagi.
Berjuraian titis air mata di pipi Jasmine. Lantas dia kesat dengan hati yang lara. Mana hendak dia letakkan muka. Malu dengan Elhan atas perbuatan terkutuk bapanya sendiri.
" I pun baru dapat tahu last month. Sebenarnya daddy dah lama tak balik rumah. Sibuk usung perempuan tak guna tu ke sana sini. Pasal business tak payah ceritalah. Lingkup semuanya."
" Bila kali terakhir daddy you balik? "
" Tiga hari lepas. Dia balik pun sebab nak ambil barang. You know, the worst part is dia suruh I dengan mummy jual saham kami. Dia memang tengah merancang untuk lepaskan hak pemilikan syarikat pada orang lain. Tapi susah, sebab mummy I pemegang saham terbesar. Berkemungkinan, suatu hari nanti kami terpaksa jugak jual saham sebab hutang syarikat sekarang langsung tak tertanggung. You tahu kan betapa besar makna syarikat tu dalam hidup I dalam hidup mummy, " luah Jasmine panjang lebar. Kedengaran jelas sebak suaranya bagai menahan perit yang teramat.
Elhan memusingkan tubuhnya benar-benar menghadap Jasmine. " I tahu tak mudah jadi you. Tapi please, jangan fikirkan sangat sampai memudaratkan diri? Apa pun alasan uncle, curang bukan jalan keluarnya. I berharap sangat suatu hari nanti akan ada waktu di mana daddy you betul-betul insaf. Hidayah Allah tu luas. "
Jasmine mendengus kasar. Hatinya bagai ditarah-tarah apabila mengingat kembali pertemuan mereka tempoh hari. Lantaran itu dia sudah menguatkan tekad di hati. Sekalipun daddy takkan kembali kepada mereka, dia takkan mengesalinya demi kebaikan mummy.
" Dia tak nampak macam akan insaf Elhan. I never see him coming back to us. Sampai I rasa berpisah lebih baik daripada mummy terus makan hati. "
Memerah wajah putih bersih Jasmine mengundang rawan yang berbekas di hati Elhan. Sejenak dia berjeda dan merenung simpati wajah Jasmine.
" Dengar sini, you anggap aje semua ni lumrah pasang surut kehidupan. Semua orang diuji Jas. Mungkin ujian you macam ni ujian I macam tu. Tapi yang penting, I nak you sentiasa sabar okey? Apa pun yang terjadi lepas ni you berlapang dada aje terima. In the meantime, you usaha setakat yang you mampu. You ada I, you ada Arif. You are not alone in this. "
" Thank you so much Elhan. I sayangkan you tahu, " ucap Jasmine sesungguhnya. Elhan adalah sebuah tempat yang selamat untuk dia menjadi diri sendiri, meluahkan kesedihan dan mengekspresikan kegembiraan. Baginya Elhan cukup sempurna sebagai sahabat mahupun teman sejiwa.
Elhan tersenyum penuh makna. Hanya Tuhan saja mengerti betapa sayangnya dia pada Jasmine. Lebih dari sekadar kata dan perbuatan. Sehingga walau ada yang cuba melukai, takkan dia berdiam sepi.
" You masuklah. Takut mummy risau pasal you. Nanti kita jumpa lagi."
" Okey, thank you Elhan." Jasmine sudah bersedia membuka pintu kereta sebelum kata-kata Elhan menghentikannya semula.
" Erm, birthday you dah dekat kan? Ada apa-apa you nak buat on your birthday? "
Jasmine tergelak. Seketika, dia mengurut dagu lagak memikirkan sesuatu. Elhan tak pernah gagal mengambil hatinya walaupun sekecil-kecil perkara. Setiap tahun tak pernah Elhan lupa akan tarikh keramat kelahirannya. Katakanlah, macam mana boleh tak cinta?
" Ermm... makan coklat Langkawi?" Jasmine mengangkat kening sengaja menduga jawapan Elhan. Tergelak temannya mendengar permintaan itu.
" Anything for you," kata Elhan sambil tersenyum tanda bersetuju sebelum akhirnya Jasmine keluar dari perut kereta setelah mengucapkan selamat tinggal. Mercedes Benz dipacu laju membelah jalan raya.
Demi you ke hujung dunia pun I sanggup Jasmine!
Share this novel