Epilog

Romance Completed 15392

Mata ini melihat bahagia di mana-mana tetapi aku yang sering tertanya-tanya mengapa senja tidak terbit pada deritaku. Ternyata ada di depan mata. Cuma aku yang memilih untuk membutakan mata dari melihat anugerah Tuhan. Benar kata orang, kalau mahu bahagia lihatlah orang yang di bawah kamu dan bukan di atas kamu maka kamu akan berasa cukup dan bahagia. Kini aku berasa cukup dengan segalanya yang aku ada.

Ibu. Sikap dingin ibu terhadapku sudah lama hilang. Seperti impian yang tak mungkin menjadi kenyataan dulu, aku berasa bahagia dengan layanan baik ibu. Terasa seperti kembali dimanjakan bagai anak kecilnya. Mungkinkah pemergian Farhan memberi hikmah kepada hubungan aku dan ibu? Cuma Tuhan yang tahu.

Haleena dan Arif pula sudah mendirikan rumah tangga. Tiada siapa sangka adik kecilnya begitu mencintai Arif dalam diam sejak pertama kali berjumpa dulu. Dengan keajaiban Allah, mereka disatukan dalam titik takdir yang sama. Tak pernah aku melihat Haleena sebegitu ceria sekali. Arif juga tidak menyangka akan jatuh cinta dan dicintai sesungguhnya. Kalau dulu matanya selalu memandang wanita cantik kini matanya hanya untuk Haleena saja.

Kak Balqis juga sudah berjaya menggenggam segulung ijazah seperti yang diimpikannya. Malah hubungan Kak Balqis dengan ibu juga sudah bertambah erat. Sebagai hadiah kejayaan Kak Balqis mendapat ijazah, abang Haris membawa keluarga kecil mereka bercuti di Istanbul. Tetapi, ada kejadian yang kelakar dan tidak dapat dilupakan apabila mereka hampir meninggalkan Mikael di tandas lapangan terbang gara-gara kalut hendak mencari pemandu pelancong. Sungguh menggeletek perasaan apabila diingat kembali.

Muna pula sudah selamat menikahi jejaka berbangsa Jepun setahun yang lepas. Perkenalan mereka berlaku ketika Muna menghadiri lawatan kerja ke negara matahari terbit itu. Di situlah, bibit-bibit cinta mula terasa. Aku gembira melihatnya menemui cinta sejati yang berpenghujung di jenjang pelamin. Benarlah kata orang, kalau ada jodoh memang tak ke mana.

Hanan juga mempunyai kisah hidup yang indah. Walaupun dulu aku dan dia pernah bersengketa namun ikatan persahabatan yang sudah lama membina empayarnya itu enggan runtuh. Aku kembali bersahabat dengannya walaupun aku pasti bukan mudah untuk dia memaafkan keadaan antara aku dan Elhan dulu. Hanan dan Lukman juga sudah bergelar ibu bapa kepada pasangan kembar tak seiras sekali gus mengembangkan lagi saiz keluarga Doktor Khalida dan Encik Idham. Comel belaka anak-anak mereka.

Jasmine dan Elhan pula dah selamat menyambut kelahiran bayi kedua mereka yang diberi nama Aniq Huzaifah. Bahagia. Aku melihat pasangan itu bahagia. Perasaan Elhan dan Jasmine begitu tulus dan ikhlas buat satu sama lain. Kisah cinta mereka tidak pernah dicanang ke seluruh dunia namun keikhlasan cinta mereka dapat kurasakan melalui panca indera yang melihat. Jasmine akhirnya bersatu dengan lelaki yang didambanya sejak dulu lagi. Mungkin aku tidak mampu mencintai Elhan sehebat Jasmine sehinggakan Allah mencabut perasaan ini untuk yang lain.

Biarpun apa, di lubuk hati ini masih menyimpan sisa-sisa kekesalan kerana mensiakan Elhan dahulu. Sehingga ke hari ini, biarlah bahu ini memikul kesal atas keperitan yang dirasainya. Namun, aku berasa lega kerana kini Elhan dapat merasakan perasaan bagaimana dicintai seseorang. Keajaiban cinta mereka dilukis indah oleh Allah walaupun dia terseksa saat harus merelakan aku pergi. Tiada lain kudoakan agar pasangan itu terus menggapai kebahagiaan abadi.

Kisah aku pula, mungkin tidak seindah mereka namun aku bersyukur ditemukan dengan si mamat bunga. Lelaki yang telah membuatku jatuh cinta berkali-kali. Aku tidak pernah serik mencintainya dan aku akan terus membiarkan diriku jatuh. Kesungguhan dan ketelusan hatinya bukan satu dongeng. Aku dapat merasakan sendiri cinta di dalam Farhan. Mungkin Farhan dan Elhan berkongsi rasa cinta yang sama namun perbezaannya, Farhan adalah cinta pertamaku.

Allah itu maha adil. Kalau dulu Elhan tak dapat bersama dengan cinta pertamanya kini Allah juga membalasku dengan perkara yang sama. Terpisah raga dengan suami yang amat aku cintai namun perginya dia turut membawa jiwaku ke sana. Walaupun hebatnya manusia setakat pada perancangan saja, aku masih mahu merancang untuk mengabadikan cinta ini hanya untuk satu lelaki bernama Ismet Farhan sampai syurga. Akan kujaga tanda cinta kami sehingga tutup usiaku.

" Umi, jom kita makan aiskrim dekat sana. Uncle Elhan dah panggil."

Goncangan pada lengan menghentikan lamunan indah Hayyani. Dia mengukirkan senyuman buat buah hati pengarang jantungnya itu.

" Ya sayang. Jom kita pergi."

Hayyani memimpin tangan Ammar mendekati Elhan dan Jasmine serta mereka yang lain di sana. Riuh rendah suasana inilah yang akan terus tersemat menjadi kenangan terindah dalam hidup mereka. Biarpun dulu masing-masing ada kisah derita yang tersendiri semua itu bukan penghalang untuk mereka terus mengecapi bahagia.

Demi sesungguhnya, Allah akan meletakkan senja pada derita hambaNya sehingga tiba pemasa yang sesuai. Bersabarlah dan cekal mengharungi dugaan walau dilambung onak dan duri yang terus menyakitkan tanpa belas.

Biarpun berliku, biarpun berbatu, kita perlu meneruskan ranjau kehidupan demi meraih senja pada derita kita.

Epilog sedikit untuk menutup dengan baik semua cerita dan kesudahannya. Terima kasih sekali lagi para pembaca tegar Senja Pada Derita Kita <33

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2024-11-20 06:29:29 

sudah tamat best ending

Lily Kalam
2024-11-19 16:29:00 

best!!!


NovelPlus Premium

The best ads free experience