Bab 86

Romance Completed 15392

Hari ini, genap setahun usia pernikahan Elhan dan Hayyani. Telah banyak liku yang dihadapi mereka sepanjang 365 hari bergelar suami isteri. Bermula dari persengketaan yang hampir memisahkan sehingga detik bahagia di hari ini. Berharap mereka berada di landasan yang tepat mengakhiri segalanya di titik bahagia.

Tercungap-cungap Hayyani ketika dia tiba di hadapan pintu rumah. Maklumlah, dia pun berkejar-kejar selepas pulang dari menghantar Haleena di Bangi tadi.

Sejenak, dia membetulkan nafas. Letak duduk tudung dan gaun berona pastel yang dipakainya dibetulkan sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dia terlihat Elhan yang sedang menunggu di meja yang tersedia khas buat hari istimewa mereka. Segala persiapan telah Elhan uruskan.

" Abang dah lama tunggu ke? Sorry, Daneen singgah rumah ibu kejap nak hantarkan Haleena, " jelas Hayyani sambil tersengih-sengih. Jam tangan pemberian Elhan pada pergelangan tangan dikerling kejap. Alamak, sudah hampir 1 jam terlewat.

" Duduklah, " pelawa Elhan tanpa nada. Entah mengapa Hayyani merasakan sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.

Hayyani menarik kerusi berhadapan Elhan. Liur ditelan payah. Wajah dingin Elhan merisik satu perasaan tidak senang di hatinya.

" Abang okey? Abang marah Daneen balik lambat ke?" soal Hayyani sedikit teragak-agak. Bertambah kesangsiannya apabila Elhan cuma membalas dengan senyuman di hujung bibir saja.

Sengaja Hayyani berdeham kecil bagi mengusir canggung. Bebola matanya diliarkan ke kawasan sekeliling rumah yang memberi suasana romantis dan nyaman itu. Taburan kelopak bunga mawar merah yang menutupi permukaan lantai mencipta satu aroma segar dan tenang. Gemerlapan cahaya lilin yang menerangi ruangan itu juga menambah sensasi pada malam istimewa ini.

" Cantik abang hias rumah kita," puji Hayyani jujur. Dia cuba menceriakan suasana. Peliknya, kenapa Elhan diam saja tak cakap apa.

" Oh, saya ada belikan abang hadiah. Abang nak bukak sekarang ke? " Hayyani mengalih paksi perbualan. Sebuah kotak bersaiz sederhana yang diletakkan di sebelah ditempatkan di depan Elhan.

Sebagai balasan, Hayyani lihat Elhan turut mengeluarkan sebuah kotak di sebelahnya juga. Huluran Elhan disambut baik.

" Bukalah. Hadiah untuk awak."

Kertas pembalut dikoyakkan tanpa menyoal lagi. Mungkin Elhan ada sesuatu trik yang istimewa kali ini. Hayyani masih bersangka baik sehinggalah dia melihat isi di dalam kotak itu.

" A... ab... abang, apa semua ni? " Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati semua surat yang ditulis buat Farhan dulu berada di dalam kotak itu. Matanya bergetar ketakutan melihat wajah tegang di hadapan.

Elhan mendecit. Dengan lagak bersahaja, dia menyisip sedikit air kosong sebelum menjawab.

" Kenapa tanya abang? Bukan awak lebih kenal ke surat-surat ni semua? " soal Elhan lebih kepada sindiran.

Hati Hayyani bagai dipanah petir. Sabung menyabung guruh di dalam jiwanya kerana rahsia terbesar sepanjang perkahwinan dengan Elhan sudah terbongkar. Kalau Elhan menemui surat-surat itu pasti Elhan sudah membaca semuanya. Saat ini perasaannya diserbu ketakutan, kegusaran dan kebimbangan yang teramat.

Terketar-ketar tangannya memegang kepingan surat yang sudah pasti amat dikenalinya.

" Abang, tolong jangan salah faham dengan Daneen. Surat ni semua surat-surat lama. Dah tak bermakna lagi dalam hidup Daneen, " jelas Hayyani cuba memperbaiki salah faham ini.

Ada senyuman sinis yang terlihat di wajah Elhan. Lelaki itu tampak benar berang dan kecewa.

" Abang simpan gambar-gambar Aisyah dalam rumah ni walaupun dia dah tak ada. Sebab Aisyah cukup bermakna dalam hidup abang. Tak mungkin awak akan simpan surat-surat ni semua kalau lelaki tu tak bermakna dalam hidup awak."

Hayyani terus melorot di hadapan Elhan. Tubir matanya digenangi air mata yang bakal tumpah bila-bila masa. Ini semua salahnya yang tidak dapat melupakan kenangan lama. Lalu surat-surat itu disimpan buat tatapan yang hanya mencalit dosa pada dirinya sebagai isteri.

" Abang, Daneen mengaku Daneen salah. Daneen simpan segala kenangan tentang dia dalam rumah kita. Tapi abang percayalah, lelaki tu cuma kisah silam Daneen. Daneen dah tak ada kena mengena dengan dia, " jelas Hayyani dengan bersungguh-sungguh. Dia meminta belas daripada lelaki itu tetapi dia merasakan peluang yang dimilikinya semakin tipis.

" Awak tak perlu berbohong hanya untuk sedapkan hati abang, " tingkah Elhan dingin. Wajahnya yang beku tak beriak semakin menggerunkan Hayyani.

Hayyani menggeleng laju. " Daneen tak bohong abang. "

" Tak perlu bohong!! " jerkah Elhan dengan mata tajamnya sehingga terhincut bahu Hayyani gara-gara terkejut.

Air mata Hayyani mengalir dengan selebat-lebatnya. Buat pertama kali Elhan yang selalu tersenyum dan berlemah lembut itu meninggikan suara terhadapnya. Jelas bahawa kali ini kesalahannya benar-benar mengecewakan Elhan. Apakan daya, padah dicari kekesalan menanti.

Salah satu surat itu Elhan ambil dan layangkan di depan Hayyani yang sedang teresak.

" Dakwat-dakwat atas kertas masih basah. Bukti yang baru aje semalam dua awak tulis surat tu. Cuma awak belum sempat hantar aje lagi ataupun awak sengaja tulis untuk ceritakan perasaan awak setiap hari," kata Elhan berbunyi lirih di hujung kata.

" Awak tulis dekat sini, I hope the vacant room you reserved for me in your heart will be filled with your thoughts on me. I can't erase you my flower guy. " Elhan tertawa sinis ketika membaca habis surat itu. Kecewa.

" Apa semua ni? Apa makna semua ni kalau awak dah tak ada apa-apa dengan dia?! " jerkah Elhan dengan kekecewaan yang maha besar.

Buat kesekian kali, air mata lelakinya jatuh buat wanita bernama Hayyani. Betapa peritnya yang dirasakan apabila cinta yang tulus dari hatinya dibalas dengan pengkhianatan. Sungguh, hancur berkecai kepingan hatinya dilambung onak berduri kecewa.

" Abang rasa macam orang bodoh sebab tak sedar isteri abang main cinta dengan lelaki lain dalam surat. Lebih teruk lagi, abang pernah jumpa lelaki tu. Si mamat bunga dari Istanbul yang bunga tulip pemberiannya lebih bermakna daripada cinta dan kesetiaan abang," ujar Elhan lagi dengan suara yang kedengarannya amat kecewa. Tidak rela dia bertentang mata dengan Hayyani kerana ingatannya akan terimbau pada setiap baris ayat manis pujangga buat lelaki itu dalam surat tulisan tangan Hayyani. Hatinya bagai dirobek-robek.

" Abang... maafkan Daneen. Daneen yang bersalah." Timbul tenggelam suara Hayyani yang tidak berputus asa meminta simpati.

Elhan melutut di hadapan Hayyani yang masih setia di atas lantai. Kedua-dua belah bahu wanita itu dipaut kemas. Bergetar bibirnya menahan tangis apabila sebak mencengkam dada.

" Kenapa Daneen? Kenapa kahwin dengan abang kalau cinta awak untuk lelaki lain? Kenapa?! "

Hayyani dihujani jutaan kekesalan. Soalan yang bertubi-tubi ditujukan kepadanya semakin menghimpit diri. Dia memang layak disalahkan. Memang sepatutnya dia dimarahi dan diherdik. Kesalahannya cukup besar untuk dia dibenci.

" Abang, Daneen mintak maaf abang. Daneen mengaku sebelum kita berkahwin hati Daneen berbelah bahagi sama ada nak pilih abang atau dia. Tapi sekarang... Daneen dah buat keputusan untuk setia dengan abang. Abang suami Daneen. Suami sampai syurga. Percayalah, demi Allah abang Daneen tak bohong. Ampunkan Daneen, abang.. abang.. " pinta Hayyani dengan tangisan yang hiba. Tangan Elhan digenggam dan dicium mengharapkan kata maafnya mampu meninggalkan kesan di hati suaminya. Namun, wajah Elhan tetap beku.

Elhan merentap pegangan Hayyani. Setiap kata penafian yang meluncur dari bibir Hayyani hanya mampu menghancur lumatkan hatinya saja. Kenyataan yang Hayyani beritahu amat berlainan dengan kebenaran yang dia ketahui. Hakikat yang menyudutkannya di lembah kesedihan.

" Sampai ke sudah awak tak habis-habis nak bohong abang. Isi dalam surat ni tak pernah bohong Daneen. Sebab apa yang tertulis atas kertas ni semuanya isi hati awak yang tak pernah awak luahkan pada sesiapa. Sebelum ni abang selalu ternampak awak menangis sorang-sorang. Abang ingatkan air mata awak jatuh sebab abang belum cukup menjaga hati awak tapi rupanya... air mata tu jatuh sebab cinta untuk lelaki lain. "

Elhan tersandar di dinding. Meraup kasar rambut dan wajahnya yang dicemari air mata. Satu demi satu kekecewaan datang mengujinya dan kini giliran Hayyani pula. Insan yang amat dicintainya ternyata adalah insan yang paling melukainya. Tidak cukupkah dengan pemergian Louisa, Aisyah dan Jasmine sebagai hukuman? Ditambah pula pengkhianatan yang Arif berikan kepadanya. Mestikah insan yang amat dicintainya itu melukakan perasaannya juga.

Hayyani mendekati Elhan. Dengan esakan yang tidak berkesudahan, dia memegang wajah suaminya.

" Abang... Daneen mintak maaf pada abang. Daneen berdosa pada abang. Abang tolong maafkan Daneen abang. Daneen merayu pada abang. Tolong jangan tinggalkan Daneen abang. Sumpah, Daneen cintakan abang sorang aje. "

Elhan menepis tangan Hayyani. Lagi-lagi madah cinta yang sudah mati itu Hayyani luahkan. Dia sudah tidak percayakannya lagi. Hatinya sudah lali. Tiada ruang lagi buat cinta yang didalangi dusta itu di dalam dirinya.

" Mati-mati abang ingat abang lelaki pertama yang menang hati awak sebab awak kata awak tak pernah bercinta sebelum ni. Tapi abang silap, rupa-rupanya abang kalah dalam menang. Zahirnya awak milik abang tapi jiwa awak untuk lelaki lain, " tutur Elhan dengan hati yang pedih terhiris. Sakit untuk dia menerima kenyataan itu. Membayangkan bagaimana Hayyani terpaksa berlagak mesra dengannya selama ini, perasaannya menjadi lumpuh.

" Abang, tolong maafkan Daneen abang. Abang... " ratap Hayyani lirih.

Elhan bangkit membiarkan Hayyani meraung di lantai.

" Kalau inilah jalan yang awak pilih, abang relakan. Walaupun hati abang hancur luluh bila baca semua surat tu, abang takkan halang awak pilih kebahagiaan sendiri. Tak ada gunanya berkasih pada orang yang miskin cinta pada suami sendiri. "

Hayyani menggeleng berkali-kali. Dia memeluk kaki Elhan membantutkan langkah Elhan yang hendak berjalan pergi itu demi menyelamatkan hubungan ini. Biarpun cahaya cinta mereka kian kelam kelabu namun dia tetap berusaha memperjuangkan sehingga ke akhirnya.

" Tak, abang! Cinta Daneen hanya untuk abang. Semua ni dah lama berlalu. Hanya tinggal sejarah dalam hidup Daneen. Sekarang, abang keutamaan Daneen. Daneen tak ada suami selain abang. "

" Jangan paksa diri berkorban sampai sanggup bunuh perasaan sendiri. Awak dah banyak menderita dari dulu. Abang cuma nak awak bahagia. "

Demi mendengar ungkapan Elhan itu, tangisan Hayyani semakin menjadi-jadi. Tulus benar niat di hati Elhan sehingga menyentap jantung Hayyani. Ya Allah apa yang telah aku lakukan ini? Kenapa aku tergamak mensia-siakan kasih sayang yang pernah lelaki itu curahkan kepadaku? Kenapa aku sanggup melukai dia? Esak hati Hayyani sendiri.

" Ya, abang. Daneen nak bahagia dengan abang. Kita boleh mula dari awal. Tolonglah, abang. Kasihani Daneen. Daneen janji dengan abang, Daneen akan cintakan abang sepenuh hati. Bagi Daneen peluang abang. Daneen merayu dengan sepenuh jiwa Daneen. " Hayyani berterusan memujuk rayu.

Hayyani takkan dapat membayangkan kekecewaan di wajah ibu dan abah serta keluarga mertuanya apabila perpisahan ini terjadi. Banyak hati yang pastinya terluka untuk menerima suratan ini. Dan ibu pula, dia takkan sanggup berhadapan dengan kebencian ibu lagi. Termasuklah, risiko untuk kehilangan sahabat baiknya, Hanan. Namun, apa yang menjadi keutamaannya sekarang, dia tidak mahu kehilangan Elhan. Dia mahu terus setia di sisi lelaki itu menghargai segala cinta yang diterima.

Elhan melorek senyuman yang mempunyai makna tersirat. Dalam kepasrahan, dia tunak pandangan pada wajah Hayyani yang jelas mengemis simpatinya. Namun, pintu hatinya sudah tertutup untuk kembali mencintai insan yang jantungnya berdetak kerana lelaki lain.

" Dalam hati awak, cuma lelaki bernama Ismet Farhan aje yang boleh bagi awak kebahagiaan. Abang ni cuma bagi derita aje pada awak."

" Abang jangan cakap macam tu abang. Masih ada masa untuk kita baiki segalanya." Hayyani berterusan menaruh harapan. Hakikatnya, dia takkan sanggup untuk menghadapi semua ini.

" Abang dah cintakan awak sejak 23 tahun yang lepas. Cinta yang abang ada dah cukup kuat untuk lepaskan awak. Mulai hari ni, jangan bertindak ikut kehendak sesiapa lagi. Tapi ikut kemahuan hati awak sendiri. Kebahagiaan orang lain hanya akan penting, kalau awak bahagia, " ungkap Elhan penuh makna yang mendalam.

Cukuplah memori indah selama setahun mereka bersama untuk dikenang sepanjang hayatnya. Sebagai bekalan untuk dia ceritakan kepada dunia betapa bahagia dirinya dapat menjadi suami Hayyani walau cuma seketika. Atau mungkin sebagai kekesalan tentang betapa tidak seharusnya dia cuba mengambil tempat di hati Hayyani, wanita yang kini menari-nari di dalam mimpi orang lain.

" Abang! Jangan tinggalkan Daneen!! Abang... " raung Hayyani ketika dia melihat Elhan menapak pergi meninggalkannya dan kepergiannya seolah takkan kembali. Elhan tidak lagi berpaling.

Hayyani menangis semahu-mahunya di atas lantai. Betapa kesedihan yang dirasakan umpama ada langit yang menghempap diri. Sungguh pedih tidak terkata. Kala ini tiada satu pun perkataan yang bisa melembutkan hati Elhan untuk memaafkannya lagi. Tertutup sudah peluang untuk dia memperbaiki keadaan mereka. Sudah tidak akan ada lagi, cinta sampai syurga yang mereka harapkan dulu.

Ya Allah, aku tidak sanggup menghadapi dugaan ini! Rintih Hayyani dalam sedu sedan.

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2024-11-12 20:31:06 

lps lah daneen n carilah jasmeen yg setia menyintai kau elhan


NovelPlus Premium

The best ads free experience