" Umi. Nak pergi mana ni?" tegur Elhan sebaik saja ternampak umi yang kebetulan sedang lalu di lobi hospital itu juga.
Doktor Khalida meminta rakan sekerjanya pergi dulu. Elhan kucup tangan umi yang disalamnya.
" Bilik seminar. Macam biasalah, untuk bentangkan kes-kes pesakit. Umi nak tanya, Hanan dekat rumah kamu lagi ke?"
Terkedu seketika Elhan apabila mendengar soalan itu.
" Macam mana umi tahu?" soal Elhan kembali namun dia tidak teragak-agak. Setahunya, hanya dia, Lukman dan Hayyani saja yang mengetahui keberadaan Hanan sekarang.
Doktor Khalida tersenyum apabila melihat wajah anak lelakinya yang sedikit cuak.
" Kamu rasa sebelum Lukman tanya kamu, dia tanya pada siapa dulu? Mestilah dia balik rumah umi dulu cari Hanan. Masa Lukman datang sorang-sorang umi dah tak pelik dah. Mesti ada something tak kena," ujarnya lagi seraya menggeleng kepala.
Anak gadisnya itu kalau dalam sebulan tak buat hal memang tak sah. Ada saja masalah yang tak selesai. Semuanya terjadi kerana perkara remeh saja tapi kalau boleh nak bawa rajuk sampai berhari-hari. Entah apalah agaknya nasib Lukman di rumah itu seorang diri.
" Elhan bukan nak rahsiakan daripada umi. Cuma sekarang umi kan sibuk sikit daripada biasa jadi tak naklah hal remeh macam ni ganggu umi pulak." Elhan sekadar beralasan. Tidak mahulah umi fikir dia membelakangkan umi pula sampai hal sebegini tak diberitahu. Lagipun sebagai abang, dia fikir boleh menyelesaikan semua ini tanpa melibatkan orang tua mereka.
" Malam ni Lukman nak datang rumah kamu. Nak tak nak Elhan kena paksa juga Hanan jumpa Lukman. Umi tak naklah Hanan buat Lukman macam tu. Tak elok seorang isteri tinggalkan suami tanpa sebab, " lahir kerisauan dari kata-kata yang dizahirkan Doktor Khalida.
Memanglah secara lahiriahnya Hanan itu sudah dewasa tapi bagi dirinya sebagai seorang ibu, nalurinya tetap menganggap anak-anaknya masih kecil. Kadang kala tersilap langkah dan percaturan itu perkara biasa. Lumrah hidup suami isteri ada kala pasang ada kala surut jadi dia tidak meletakkan terlalu banyak kerisauan dalam rumah tangga anak menantunya. Cuma sudah menjadi tugas yang tergalas secara tidak langsung untuk sentiasa menasihati hal-hal yang sepatutnya buat anak menantunya.
Elhan mengangguk faham. " Yalah umi. Nanti Elhan tengokkan. "
" Umi pergi dulu ya. Kirim salam umi pada Daneen, " pesan Doktor Khalida sebelum berjalan pergi meninggalkan kawasan lobi hospital yang luas itu.
Elhan mengeluarkan telefon bimbit dari kocek kot putihnya. Lantas dia membuka aplikasi WhatsApp dan menaip mesej kepada Hayyani. Pesanan supaya merahsiakan kedatangan Lukman pada malam ini. Kalau Hanan tahu, mesti adiknya itu takkan duduk diam saja.
****
" Sayang, baliklah jom. Minggu depan Luk nak balik dah. Sayang tak kesian kat Luk ke duduk rumah sorang-sorang," kata Lukman sambil tayang wajah kasihan.
Sedari awal dia datang memujuk Hanan tetap tak jalan juga. Selama beberapa hari ini dia sudah memberikan cukup ruang buat Hanan. Dan hari ini, dia memutuskan untuk membawa Hanan pulang. Sengsara rasanya apabila berjauhan begitu lama.
" Habistu, awak tak kesian dekat saya ke selalu tinggal sorang-sorang dekat rumah tu. Waktu awak dekat Penang sana, awak ada terfikirkan saya? " selar Hanan tak mahu kalah.
Lukman meraup rambutnya berkali-kali. Susahnya untuk dia memenangi hati Hanan semula.
" Ya Allah. Sayang, Luk tak pernah sekali pun lupakan sayang. Selalu terfikirkan sayang. Rindukan sayang. Ni Luk balik nak jumpa sayanglah. Jom balik rumah kita," pinta Lukman lagi sepenuh berharap. Semoga lembutlah hati Hanan kali ini untuk memaafkannya. Dia tak pernah menyangka perkara ini akhirnya akan mencetuskan sengketa yang berpanjangan antara mereka suami isteri.
" Saya nak mintak izin awak tinggal rumah abang beberapa hari lagi sampai awak balik ke Penang dulu. " Hanan meminta izin tanpa mempedulikan rayuan Lukman.
Dia memikirkan kebenaran dari kata-kata Hayyani tempoh hari untuk meminta keizinan daripada Lukman walaupun hatinya benar-benar geram. Dia sudah dapat menjangkakan kehadiran Lukman di sini adalah angkara Elhan dan Hayyani, namun dia tiada pilihan lain. Elhan pun awal-awal sudah memberi amaran kepadanya agar kekal di situ dan jangan ke mana-mana.
" Jadi sayang tunggu Luk pergi baru nak balik ke rumah? Sayang memang dah tak nak jumpa Luk ke? Janganlah buat Luk macam ni."
Hanan memeluk tubuhnya tanda tidak terkesan. Dia memang sudah nekad membuktikan kata-katanya untuk melancarkan rajuk. Selagi dia tak berkeras Lukman akan terus berkelakuan begini.
" Saya rasa kita dah banyak kali berbincang cara baik tentang perkara ni tapi awak yang berkeras. Saya boleh bertolak ansur dengan hubungan jarak jauh tapi tu dulu sebelum berkahwin. Lepas kita kahwin saya harap kita dapat tinggal sama-sama setiap masa tapi tengoklah kita sekarang. Tak tentu arah. "
Tertunduk Lukman buat seketika. Nampaknya memang kali ini Hanan benar-benar tidak mahu bertolak ansur lagi dengan urusan pekerjaannya.
" Luk minta maaf. Luk tak cuba faham perasaan sayang. " Seperti yang abang iparnya nasihatkan, rendahkan saja ego dan minta maaf. Habis apa lagi Lukman boleh kata. Dia takkan dapat memujuk Hanan kalau dia juga sama ego.
" Apa yang buat awak susah sangat nak pindah Luk? Ke awak ada simpan skandal dekat sana? " tuduh Hanan sedas.
Terbeliak terus biji mata Lukman apabila dituduh melulu sebegitu.
" Astaghfirullahalazim. Sampai ke situ sekali sayang fikir. Luk cuma ada sayang aje. Luk dekat sana kerja takde masa nak curanglah sayang, " nafi Lukman bersungguh-sungguh.
Perempuan yang satu-satunya dicintai hanyalah Hanan seorang. Yang setia susah senang bersamanya sejak zaman belajar lagi jadi mana mungkin dia akan mensiakan Hanan. Bagaimana hendak ditadahkan muka di hadapan keluarga mertua yang diseganinya itu nanti kalau benarlah dia curang. Dia takkan sanggup sampai bila-bila pun.
" Saya tak percayakan awak lagi Lukman," ungkap Hanan bersama sebak yang kian mencengkam dada. Pipinya mula basah dihujani air jernih.
Lukman tarik nafas dalam sebelum dia mengambil dua tapak ke depan bagi merapatkan kedudukannya dan Hanan. Air mata yang luruh di wajah sang isteri diseka dengan jari jemarinya. Kemudian, dia mendongakkan wajah Hanan agar memandangnya. Sebagai suami dia dituntut untuk perbanyakkan bersabar terhadap isteri.
" Okey, Luk minta maaf. Sebenarnya Luk dah lama pertimbangkan pasal ni dan Luk dah fikir masak-masak. Luk akan pindah ke sini, dekat dengan sayang. Tapi Luk mintak bagi Luk masa sikit untuk selesaikan semua urusan dekat sana. Baliklah sayang, ermm? Luk rindu dekat manja Luk ni, " lembut suara Lukman memujuk seraya mengusap pipi Hanan.
Rindu yang menghukum jiwa berkurang sedikit apabila kulit mereka bersentuhan dan matanya dapat menatap wajah kekasih halalnya secara dekat. Allah hadirkan lagi rasa kasih dalam hati untuk dia melihat hikmah di sebalik persengketaan mereka. Ditinggalkan seorang diri di rumah ketika Hanan menginap di rumah Elhan, Lukman pelajari sesuatu. Baru kini dia mengerti perasaan Hanan apabila ditinggalkan ketika dia bekerja di Penang. Rasanya cukup seksa. Dan kali ini dia sudah tidak sanggup untuk berjauhan dengan Hanan lagi.
" Betul ni? Luk tak tipu kan? " Hanan menyoal kembali seolah tak percaya dengan kata-kata Lukman. Perlahan-lahan, dia sudah mula terpujuk.
" Iya sayang," balas Lukman seraya mendakap erat tubuh genit Hanan. Tersenyum senang Lukman ketika ini. Syukur Allah permudahkan segalanya.
Hayyani berdiri di muka pintu memerhatikan Hanan memasukkan semua barangan ke dalam bagasi besarnya. Dia tersenyum sendiri lantas menggeleng kecil. Siap sudah Hanan berkemas barangan setelah berkampung di situ hampir seminggu.
" Bye, kakak ipar." Hanan menghulurkan tangan untuk bersalam. Ketika itu mereka sudah turun ke bawah untuk melihat Hanan dan Lukman pulang.
Hayyani mencebik. Geli hati pula dia melihat muka Hanan yang tak sudah-sudah tersengih itu. Barulah ceria sikit muka dapat berita gembira Lukman nak berpindah. Kalau tidak sebelum ini muka macam nak ajak bergusti saja dibuatnya.
" Nak balik dah ke adik ipar? Ingat nak stay lagi dua hari tiga malam. Kata tak rindu orang di sana tu," perli Hayyani selamba sambil mengerling Lukman di luar.
Hanan tersengih-sengih. Dia dah agak mesti Hayyani akan membahannya. Gila tak rindu suami sendiri? Tuhan saja tahu betapa seksa dia nak merajuk macam ni.
" Eee... tak suka eh tengok orang bahagia? "
Meletus tawa Hayyani. Siapa suruh cari pasal lagi merajuk balik rumah kakak ipar. Kan dah mendapat!
" Dah, pergi cepat Lukman dah tunggu. Lepas ni, no more next time. Janji? "
Hayyani menaikkan jari telunjuknya di depan wajah Hanan seolah memberi amaran. Bukan dia tak suka dengan kehadiran Hanan di situ. Tapi kalau merajuk lama-lama, itu bukan satu petanda hubungan yang sihat. Merajuk manja saja tak apalah, Hanan memang dah biasa buat.
Hanan terus menerpa tubuh Hayyani lalu dipeluknya erat. Pipi Hayyani juga tak segan diciumnya. Kalau bukan kerana sokongan teman baiknya itu, dia sendiri tidak pasti boleh menjadi kuat atau tidak. Sayang itu usah dikata, satu dunia pun sanggup dihadiahkan buat Hayyani seorang saja.
****
Selepas Lukman dan Hanan berangkat pulang, Elhan duduk di sofa sambil menonton televisyen. Sesekali matanya akan mencuri pandang Hayyani yang sedang fokus membuat lakaran pada buku lukisan di sofa bertentangannya. Sejujurnya, di kala ini Elhan sedang memikirkan strategi paling tepat untuk memujuk Hayyani soal semalam. Tapi dia tak tahu bagaimana nak memecahkan kebisuan yang terus berlarutan tanpa sepatah kata antara mereka.
Entah bagaimana, mungkin dia sedang berfikir dan termenung lama ketika memandang wajah Hayyani sehingga dia tak sedar Hayyani merenung semula wajahnya. Dengan tak semena-mena dia ketawa apabila tersedar dia tertangkap oleh Hayyani ketika sedang mengelamun. Matanya berpura-pura memandang skrin televisyen semula untuk menutup canggung.
Hayyani berkerut. " Abang ketawa kenapa? Cerita ni bukan kelakar pun."
" Kelakarlah." Elhan tersengih-sengih. Dia yang segan sendiri di depan Hayyani. Ya, dia tahu dia seorang saja yang pelik kerana ketawa ketika menonton rancangan 999 di tv3.
Hayyani menjongket keningnya, hairan. Hek eleh, yelah tu. Bukan dia tak tahu Elhan cuba menutup malu setelah kantoi mencuri pandang tadi.
" Abang nak air? Daneen boleh buatkan. "
Buku lukisannya ditutup dan diletakkan di atas meja kopi sebelum mengangkat punggung untuk masuk ke dapur pula. Sempat dia berhenti di sisi Elhan untuk mendapatkan jawapan.
" Takpelah, sayang rehat. Kejap lagi abang buat sendiri. "
" Okey, kalau macam tu Daneen naik atas kejap nak lipat baju," pamit Hayyani. Baru saja nak melangkah jari jemarinya terasa dipaut.
" Sayang... sekejaplah. Macam tak sudi aje nak duduk dengan abang. Meh, duduk sini kejap. "
Elhan menepuk ribanya meminta Hayyani duduk di situ. Hayyani teragak-agak pada mulanya dan jujur, dia masih malu walaupun sudah berbulan menikah. Namun renungan mata membunuh Elhan itu akhirnya membuatkan dia akur untuk duduk di ribaan suaminya.
Beberapa saat berlalu tanpa kata, mereka sekadar berbalas pandangan. Muka Hayyani sudah memerah apabila terus direnung begitu. Tiba-tiba, Elhan mencemikkan muka membuat ekspresi wajah kelakar sehingga Hayyani tergelak. Hilang terus rasa malu tadi.
" Kenapa abang buat muka macam tu? Nak cakap apa-apa cakap ajelah tak payah nak goda-goda kita, " ujar Hayyani lalu mencuit hidung Elhan dengan tawanya yang masih bersisa.
Elhan tersenyum. " Sayang marah dekat abang ke? "
Berhati-hati Elhan membuka pertanyaan itu. Memandangkan mood Hayyani kelihatan baik hari ini, jadi dia tak nak terus berlengah untuk membincangkan perkara itu. Takut dibiar berlarutan, sengsara jiwa raganya.
Hayyani menggeleng kepala lalu tersenyum. Dia sudah dapat mengagak ini tentang apa.
" Taklah, ada nampak muka Daneen marah? Daneen senyum aje sekarang. "
Elhan jongket sebelah keningnya. Fahamlah Hayyani bahawa suaminya itu menuntut penjelasan lanjut.
" Cuma haritu Daneen emosional sikit. Rasa macam kerdil aje Daneen ni kalau nak dibandingkan dengan Jasmine. Lagi satu sebab Jasmine memang lebih layak jaga Aisyah berbanding Daneen. Dia ada dengan Aisyah sebelum Aisyah lahir lagi sampailah sekarang. Daneen aje yang tak malu buat permintaan macam tu pada abang, " luah Hayyani dengan suara yang kedengaran sebak di hujung kata. Namun dia sedar dia tak sepatutnya menyandarkan kesalahan itu kepada sesiapa termasuklah Elhan. Tiada sesiapa yang bertanggungjawab atas rasa cemburu yang dicetuskan oleh dirinya sendiri.
" Taklah sayang. Jangan fikir bukan-bukan. Kalau bukan kita yang jaga pun kita masih boleh gilir-gilir dengan Jasmine untuk jaga Aisyah. Seminggu dekat rumah kita seminggu dekat rumah Jasmine. Banyak jalan penyelesaiannya. Tapi, buat masa ni kita tak payah bincang dulu pasal tu semua. Yang penting kita semua ada sokong Aisyah sampai dia betul-betul sembuh. Okey?"
Elhan meraih tangan Hayyani, diusap lembut dan dikucupnya penuh kasih sayang. Kemudian, sebuah renungan halus diberikan kepada sang isteri berharap pujukannya meresap ke hati. Cair Hayyani jadinya sehingga tak boleh kawal senyum.
" Okey, abang. Sayang naik dulu nak lipat baju sikit. " Sekali lagi Hayyani meminta diri tanpa sedar dia membahasakan diri dengan panggilan 'sayang' berbanding Daneen. Dia cuba turun dari ribaan Elhan tapi tangan Elhan yang melilit kuat di sekeliling pinggangnya menghalang.
" Apa dia, abang tak dengar. " Elhan sengaja mengusik padahal hatinya sudah berbunga mendengar bahasa panggilan itu tadi. Pelukan dikemaskan lagi pada pinggang Hayyani. Rapat tubuh Hayyani ke dadanya sehingga dia dapat mencium haruman sang isteri yang menusuk ke dalam rongga hidung, membangkitkan selera.
Hayyani tergelak. Dia segan nak mengulang lagi panggilan yang terkeluar dari mulutnya tanpa sengaja itu. " Abang lepaslah. Jangan nak gatal sangat eh. "
" Ulang sekali lagi baru abang lepaskan," ugut Elhan sampailah lambat-lambat Hayyani bersetuju.
" Okey, okey. "
Hayyani merapatkan wajahnya pada telinga Elhan seraya tersenyum nakal.
" Daneen kata... sayang. Sayang... Elhan Ashareeq? " bisik Hayyani di telinga Elhan dengan senyuman nakalnya. Dia menggigit manja cuping telinga suaminya. Sengaja mengusik.
" Boleh lepaskan tak sekarang? " Hayyani menuntut janji.
Semakin lebar senyuman di bibir Elhan, semakin kemas pelukannya pada pinggang Hayyani.
" Tak boleh. You are chained now. You shall not find your way to escape this charm, " bisik Elhan seraya mengenyitkan sebelah mata, nakal.
Kemudian, tanpa isyarat dia mencempung tubuh Hayyani untuk dibawa ke bilik tidur mereka. Terjerit kecil Hayyani dibuatnya dengan tindakan spontan itu. Melihat pandangan mata Elhan yang semakin menggila, Hayyani sedar kemahuan Elhan terhadap dirinya kian memuncak pada saat ini.
" Abang... Daneen nak lipat bajulah. Ada sikit lagi tak settle dekat atas tu. Nanti siapa nak buat, jiran sebelah nak buat? " sempat Hayyani mengomel ketika mereka sedang menaiki anak tangga. Menyesal betul dia menggoda Elhan tadi. Habis satu kerja pun tak jalan.
" Esok, esok boleh buat. Abang beli mesin lipat baju terus. "
Share this novel