Bab 37

Romance Completed 15392

" Kenapa awak ajak jumpa dekat hospital? Kejap lagi pun kita nak jumpa. Rindu sangat dekat saya ke?" soal Elhan sambil meleret senyuman.

Ketika dia sedang merawat pesakit tadi, Hayyani tak henti-henti menelefonnya untuk berjumpa. Wanita itu kelihatan terdesak jadi dia bersetuju untuk berjumpa sekejap. Sekurang-kurangnya surut juga rindu di hati saat wajah Hayyani terbias di layar mata.

" Cukuplah Elhan. Saya rimas dengar kata-kata awak. Sejak dulu pun, apa yang keluar dari mulut awak cuma dusta, " tuduh Hayyani dengan tidak semena-mena. Langsung tiada seri senyuman di wajahnya.

Elhan hilang kata melihat perubahan drastik pada emosi tunangnya itu.

" Apa yang awak cakap ni, Daneen? Apa saya dah buat dekat awak? " soal Elhan tanda tak mengerti.

Hayyani berpeluk tubuh. " Awak tak perlu nak hipokrit depan saya lagi Elhan. Cukup-cukuplah dengan permainan awak selama ni. Saya tak tahan lagi. "

Elhan meraup wajahnya. Sungguh telinganya rasa berdesing mendengar kata-kata Hayyani. Namun begitu, dia tetap bijak mengawal emosi.

" Cuba bawak bertenang. Takde angin takde ribut tiba-tiba awak pakai tuduh saya macam-macam. Apa ni, Daneen? Cuba cerita perlahan-lahan, " ujar Elhan menuntut penjelasan.

Hayyani menghembus nafas kuat. Wajah Elhan disorotinya dengan pandangan tajam.

" Rupa-rupanya khabar angin tentang awak dekat London dulu memang betul. Awak jalinkan hubungan sulit dan masih sorokkan hasil hubungan haram tu daripada semua orang. Cuba cakap dengan saya Elhan, sampai bila awak nak rahsiakan daripada saya tentang ni?"

Suara Hayyani naik satu oktaf saat soalan itu terpacul di bibirnya. Kolam matanya sudah ditakungi air mata yang bakal tumpah bila-bila masa saja. Dengan hati yang patah seribu, dia mencampakkan sampul berisi surat dan gambar yang diterimanya semalam pada dada Elhan.

Elhan melepas keluhan berat. Keadaan antara mereka sekarang menuntutnya untuk perbanyakkan bersabar. Kepingan kertas dan gambar di atas lantai itu dikutip jua lalu ditelitinya satu per satu. Alangkah terkejutnya dia setelah membaca isi kandungan surat itu apatah lagi saat dia melihat gambar mesra antara dia dan Louisa.

" Siapa yang hantar surat ni semua?" Soal Elhan. Jelas terpampang kemarahan yang mula mencetak ruang pada wajahnya di kala ini.

" Saya tak nak tahu dan saya tak nak ada kena mengena dengan awak lagi!" Tekan Hayyani tanpa berdalih lagi.

Elhan memejamkan matanya rapat. Nafas ditarik sedalam-dalamnya untuk cuba bertenang sehabis baik.

" Aisyah tu memang anak saya. Tapi bukan anak kandung. Dia cuma anak yang saya jaga sejak lahir, " jelas Elhan ringkas. Dia ingin melihat sejauh mana Hayyani akan bersabar untuk mendengar penjelasannya yang lain.

" Awak sendiri kata kita kena saling kenal hati budi masing-masing. Tapi awak pilih untuk rahsiakan hal ni. Kenapa? Bukan ke pasangan berkahwin perlu saling percaya? Isn't that what they supposed to do? " Persoal Hayyani lagi.

Lamaran Elhan diterima dengan sepenuh hati tanpa paksaan sesiapa kerana dia percayakan lelaki itu. Hayyani tidak peduli walau seburuk mana pun kisah silam bakal suaminya. Tetapi dia amat terkilan andai Elhan tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada dirinya.

" Saya nak berterus terang. Percayalah, saya pun nak sangat bagitahu awak tentang ni tapi saya belum jumpa waktu yang sesuai. 2 bulan kebelakangan ni kita sibuk dengan majlis jadi saya fikir mungkin lepas kita kahwin baru saya ceritakan pada awak, " jelas Elhan dengan sebaiknya.

Sungguh, tidak terlintas di hati untuk membelakangkan Hayyani. Hanya menunggu waktu yang sesuai saja untuk dia ceritakan segala. Namun siapa yang menyangka, belum pun waktu itu tiba hadir pula ujian berat yang menduga.

" Kenapa mesti lepas kahwin? Sebab awak takut saya lari daripada awak kalau awak bagitahu saya sekarang. Macam tu? " sinis soalan yang dilontarkan Hayyani.

Elhan meraup kepalanya. " Tak, saya nak bagi laluan pada yang lebih mustahak dulu. Buat apa saya nak sorokkan daripada pengetahuan awak. "

" Sebab awak tak percaya pada penerimaan saya, " tegas Hayyani. Jelas dia sedang berjauh hati di kala ini sehingga tidak mampu memandang tepat ke arah Elhan pun.

" Dengar sini baik-baik Daneen, apa pun yang awak fikir apa pun yang surat dan gambar ni ceritakan, saya cuma nak awak tahu yang semua tuduhan ni tak betul. Saya tak pernah ada hubungan sulit dengan sesiapa pun. Lillahi ta'ala. " Elhan mengangkat sebelah tangannya bersumpah. Siapalah punya kerja yang membuat fitnah untuk memisahkan mereka ini. Mengapa saat mereka bakal disatukan ada saja yang menghalang.

Hayyani tersenyum sinis. Titis-titis manik jernih mula menuruni lurah pipinya.

" Senang betul menggunakan nama Tuhan bila berdusta dengan perbuatan keji sendiri. Manusia memang berubah tapi rupanya tak semua manusia berubah. Menyesal saya percayakan awak lagi," kesal Hayyani seraya menggeleng kepalanya.

Ucapan Hayyani ditelan Elhan dengan hati yang terhiris. Umpama pepasir yang melalui kerongkongnya. Sukar dan perit untuk menelan hakikat bahawa Hayyani tergamak mempercayai fitnah itu tanpa menyisakannya peluang untuk menjelaskan langsung.

" Awak tak boleh percaya bulat-bulat fitnah ni sebab awak takde dengan saya waktu saya di London dulu. Yang tahu semua perkara zahir batinnya cuma saya saja. Jadi, saya tak rasa adil kalau awak terus menghukum saya tanpa dengar penjelasan dulu. Tolonglah Daneen, saya tak nak keruhkan hubungan kita, " rayu Elhan seraya membiaskan pandangan sayu di wajahnya. Namun dia lebih tahu kalau Hayyani takkan mudah mengasihaninya.

Terketar-ketar bibir Hayyani ketika dia cuba mengatur kata.

" Awak yang keruhkan keadaan. Pemasanya sangat sesuai Elhan. Waktu saya dah sayangkan awak, waktu saya dah boleh terima awak sebagai suami tiba-tiba semua ni jadi. Saya takkan boleh terima, Elhan. " Sebak dan kecewa di hatinya selepas mendapat berita ini melebihi sesiapa pun. Air mata berterusan mengalir tanpa dapat dibendung lagi.

Perlahan-lahan Elhan memegang bahu Hayyani untuk memandangnya. Bebola matanya terasa panas seakan bisa gugur air hangat di pipinya pada bila-bila masa saja.

" Bagi saya peluang untuk jelaskan. Lepastu, terpulang pada awak untuk buat keputusan. Memang dari dulu lagi, saya tak pernah taruh harapan tinggi untuk dipilih oleh awak. Tapi saya berharap sangat, berharap awak boleh jadi isteri saya Daneen, " tutur Elhan dengan sepenuh hati. Dia belum bersedia untuk kehilangan Hayyani. Bukan di saat dia hampir mengecapi bahagia dalam berumah tangga bersama wanita itu.

" Lebih baik awak lupakan hasrat awak. Saya pun tak pasti kalau saya boleh jadi isteri awak lepas awak hancurkan kepercayaan saya, " ungkap Hayyani lirih. Rayuan Elhan sedikit pun tidak berbekas di hatinya. Perasaannya yang hancur berkecai lebih penting dari segala yang lain.

Ketika Hayyani hendak berlalu, Elhan mencapai pergelangan tangannya kemudian meletakkan sesuatu beberapa keping not wang kertas atas tapak tangan Hayyani.

" Ambil grab terus balik ke rumah. Hari dah nak hujan. Saya tak nak awak sakit waktu saya jauh dengan awak, " pesan Elhan dengan hati yang kini sedang karam dalam kesedihan. Dia tidak mampu mengabaikan Hayyani walaupun dilukai dengan kata-kata yang pedih menghiris.

" Saya tak mintak sedekah dari awak, Elhan!"

" Tolong ambil... tolonglah. " Luruh air jernih di pipi Elhan ketika dia merenung mata Hayyani, merayu dengan sepenuh hati.

Tanpa dapat menahan diri lagi, Hayyani melangkah dalam sedu sedannya meninggalkan Elhan keseorangan di situ. Sebegitukah hebatnya cinta Elhan sehingga masih lagi mengambil berat tentang dirinya walaupun dalam keadaan mereka yang sudah retak menanti belah. Namun jauh di sudut hatinya berharap ini bukanlah takdir terakhir dalam perhubungan mereka. Kerana cintanya kepada Elhan, sudah jauh berkelana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience