Bab 27

Romance Completed 15392

Baru satu malam di rumah orang tua Hayyani, Elhan berasa resah sehingga tidak dapat melelapkan mata. Dia bangun menyelak selimut dan mengamati bunyi gamat curahan air hujan pada atap genting rumah itu. Sungguh lebat mencurah membuatkan manusia semakin lena diulit mimpi tapi bukan dia. Entah kenapa malam ini sukar baginya untuk terlelap walhal jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Lantaran itu, Elhan membuat keputusan untuk turun ke ruang tamu sementara menunggu kantuknya memberat semula.

Tiap satu anak tangga ditelusuri dengan perlahan-lahan demi menghormati penghuni lain yang masih tidur. Ketika berjalan di sepanjang laluan ke ruang tamu, matanya terpancing untuk melihat potret-potret yang diletakkan di suatu sudut khas. Perlahan-lahan bibirnya mula menguntum senyum tatkala pandangan mata menyoroti setiap potret yang diabadikan di situ.

Makin lebar senyuman di wajahnya apabila terlihat pula potret Hayyani menggenggam segulung ijazah yang jelas dapat dilihat biarpun berbekal sedikit cahaya yang suram sahaja. Dapat dia saksikan kegembiraan pada sekeping potret pegun yang mempunyai tempat istimewanya di tengah-tengah dada dinding. ‘ Awak dah buat yang terbaik selama ni.' Bergema kata-kata berbaur bangga itu dalam hati kecil Elhan.

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi seolah-olah seseorang jatuh terjelepok. Lantas Elhan pergi untuk meninjau. Sebaik saja dia melintas di depan tangga, dia lihat Hayyani sudah melepek di rel tangga. Terkejut Elhan melihat keadaan wanita itu yang seakan tidak bermaya.

" Daneen? Hei, awak okey tak?" Elhan menyandarkan kepala Hayyani pada dada bidangnya. Pipi Hayyani ditampar perlahan. Namun, tiada jawapan yang meniti dari bibir Hayyani membuatkan Elhan cemas.

Telapak tangan diletakkan pula pada dahi Hayyani untuk mengukur suhu badan. Dari situlah, kerisauan Elhan mula memuncak.

" Badan awak panas sangat ni. “

Kepala Hayyani kembali disandarkan pada rel tangga. Elhan ingin segera berlalu menuju ke biliknya.

“ Elhan… “ suara lemah Hayyani memanggil membantutkan pergerakan Elhan.

“ Awak jangan risau. Tunggu sekejap, saya nak ambil kunci kereta dengan dompet. Kita pergi hospital, ya? “

Selang beberapa saat kemudian, Haleena muncul di situ dengan dompet dan kunci kereta Elhan.

“ Abang Elhan… “

Elhan hanya mengangguk seraya menerima huluran Haleena. Memang sangat diperlukan pada waktu yang tepat. Nasib baik ada Haleena menolong dalam situasi genting ini.

“ Keadaan akak teruk ke?” Soal Haleena yang masih tergamam. Jelas terpeta kerisauan di wajahnya itu. Dia sudah berada di situ dari awal lagi jadi dia sempat menyaksikan segalanya dan bertindak segera.

“ Akak demam panas ni. Abang nak bawak ke hospital dulu. Leen tunggu dekat rumah nanti abang call. “

Tanpa membuang lebih banyak masa, Elhan segera mencempung tubuh Hayyani masuk ke dalam perut kereta. Hayyani harus segera dikejarkan ke hospital.

****

Setibanya di hospital berdekatan, Hayyani ditempatkan di wad kecemasan untuk menerima rawatan segera.

Ketika Hayyani mula tersedar, orang pertama yang setia menanti di sisinya adalah Elhan. Kasihan dia melihat lelaki itu. Pasti kepenatan sehingga terlelap. Rasa bersalah mula bergayut di tangkai hati kerana terpaksa menyusahkan Elhan .

Tidak lama selepas itu, tubuh Elhan mula bergerak-gerak tanda dia sudah terjaga.

“ Hei… awak dah sedar?” Soalan pertama yang meluncur dari mulut Elhan. Senyum diukir buat wanita idaman. Berkurang sedikit kerisauan yang bermaharajalela tadi apabila melihat Hayyani semakin membaik.

Hayyani turut melukis senyuman lebar pada bibir pucatnya.

" Saya dah okey. Jom kita balik. " Ketika itu Hayyani sudah bangun dari perbaringannya.

“ Balik? Nak tergesa-gesa buat apa. Takde siapa kejar awaklah cik kak. Drip iv pun belum betul-betul habis lagi. Awak rehatlah dulu. Masih awal lagi ni,“ tukas Elhan tanda tidak setuju dengan permintaan Hayyani.

" Saya tahu tapi saya kena balik sekarang. Saya takut ibu cari saya. Ibu tak suka saya balik lambat walau apa pun alasannya. “

Elhan terdiam sejenak. Dalam pada tengah sakit pun masih memikirkan kemarahan ibu? Tahu tak bagaimana rasa risau bagai nak tercabut jantungya tadi melihat keadaan Hayyani yang lemah. Tapi Hayyani buat seperti tiada apa yang serius pula.

" Hei... cuba awak baring kejap. Bertenang okey? Awak tak perlu takut dengan ibu. Bukan salah awak semua ni jadi, “ kata Elhan untuk menenangkan Hayyani. Dia tahu di kala ini emosi Hayyani sedang tidak stabil.

" Tapi... "

Kali ini Elhan terpaksa memegang bahu Hayyani memaksa wanita itu berbaring kembali.

" Saya janji takkan ambik masa yang lama. Awak tidur aje dulu. Nanti drip dah habis saya kejut awak. "

Akhirnya, Hayyani mengangguk bersetuju. Dia tidak lagi membantah kata-kata Elhan. Mata dipejamkan lagi untuk mendapatkan sedikit rehat sementara Elhan menyambut panggilan telefon yang masuk.

" Akak okey ke sekarang?" Haleena di hujung talian bertanya. Sejak ditinggalkan tadi, dia tidak boleh tidur kerana merisaukan keadaan Hayyani. Bukan dia tak tahu, kakaknya setiap kali sakit memang akan jadi melarat begini. Nasib baiklah kali ini abang Elhan ada.

" Akak okey aje ni. Leen jangan risau sangat dah. Pergi sambung tidur dulu. Lepas akak siap ambil drip abang bawak akak balik rumah,“ tenang Elhan memberikan jawapan demi melandaikan kebimbangan Haleena di kala ini.

" Okey abang. " Haleena berasa lega yang teramat. Akhirnya dia boleh menarik nafas dengan tenang. Dia tahu kakaknya berada dalam jagaan orang yang tepat.

Elhan menggaru hujung keningnya yang tak gatal. Bibir bawah diketap sambil menimbang tara kalau-kalau dia patut memberikan pesan yang satu itu.

" Erm… Leen. Lagi satu, boleh tak abang nak mintak tolong Leen jangan bagitau ibu pasal ni? Sekarang masih awal pagi. Abang tak nak kejutkan ibu atau abah tentang akak. Nanti, abang sendiri akan jelaskan. “

Sebaik saja membuat permintaan itu, Elhan menoleh sekilas melihat Hayyani yang kelihatan pulas terlena di belakangnya. Dia pasti ini juga kemahuan Hayyani untuk merahsiakan keadaannya sekarang. Walaupun sebenarnya dia pasti Puan Farida takkan tergamak memarahi Hayyani selepas mengetahui perkara sebenar nanti.

“ Abang jangan risau, Leen faham. “

Setelah panggilan ditamatkan, Elhan memasukkan kembali telefon bimbit ke dalam poket. Waktu itu, dia merasakan ada tarikan kecil pada hujung lengan bajunya. Segera dia berpaling ke belakang.

" Awak, boleh tak awak bawak saya jalan-jalan sekejap sementara tunggu drip saya habis? Saya tak boleh tidur. "

Elhan menghembus keluhan lemah. Kasihan dia melihat wajah itu, tak sanggup pula untuk menolak walaupun dia mahu Hayyani mendapatkan rehat dengan sebaiknya. Apa boleh buat kalau hati sudah sayang. Akhirnya, dia menuruti kemahuan Hayyani untuk keluar sebentar menghirup udara segar.

****

Embun pagi masih basah di hujung rumput ketika Elhan dan Hayyani tiba di taman rehabilitasi pesakit di hospital itu. Penat berjalan jauh, mereka memutuskan untuk berehat di atas sebuah bangku di taman. Elhan memberikan belakangnya untuk dijadikan sandaran buat Hayyani yang masih dalam keadaan lemah.

" Saya minta maaf. Kalau kita tak redah hujan, tentu awak tak sakit macam ni, “ ujar Elhan sebagai orang yang pertama memecahkan kebisuan antara mereka.

Sepanjang waktu sebelum Hayyani menyedarkan diri tadi, dia terus menghambat diri dengan perasaan kesal. Kalaulah semalam dia tidak membiarkan Hayyani terkena hujan, pasti keadaan tidak seteruk ini. Dia kesal kerana kecuaiannya sendiri dalam menjaga Hayyani.

" Bukan salah awak. Lagipun, saya memang jarang sakit macam ni. Tapi bila sekali saya sakit, saya akan sakit teruk, “ balas Hayyani sederhana. Dia tidak mahu membiarkan Elhan menanggung kesalahan itu padahal dia yang sepatutnya dipersalahkan. Sudah elok Elhan ajak pulang semalam sebelum hujan semakin lebat, namun dia yang berdegil mahu juga terus menunggu.

“ Awak nak tahu tak, dulu saya pernah sakit macam ni waktu saya dekat kolej. Saya tengah bersedia untuk final exam jadi saya belajar bersungguh-sungguh sampai saya tak jaga makan minum sendiri. Saya takut nak sibukkan diri dengan diri perkara lain sebab ibu harapkan saya balik bawa keputusan cemerlang, “ cerita Hayyani dengan suara yang mendayu lemah.

Elhan tetap setia mendengar setiap bait curahan hati Hayyani.

“ Ibu tak tahu saya pernah dimasukkan ke wad sebab demam panas. Ada satu hari tu, selepas saya dapat keputusan saya sepatutnya perlu terus balik ke rumah. Jadi saya gagahkan diri jugak untuk discaj hospital lewat malam. Tapi yang kelakarnya, bila saya balik aje saya kena marah dengan ibu sebab lambat. Keputusan tu terus jadi tak bermakna untuk saya tunjukkan kepada ibu. Kelakar kan. “

Hayyani menutup ceritanya dengan tawa hambar. Kisah dari suatu ketika dahulu yang masih membuatkannya terkilan diceritakan kepada Elhan. Kerana itulah dia amat bersyukur kerana jarang jatuh sakit walaupun setiap kali sakit dia harus terseksa begini.

Tapi di satu sisi yang lain, tiap bait luahan kata Hayyani itu mampu membasahkan pelupuk mata Elhan dengan air jernih. Nasib baik mereka saling duduk membelakangkan satu sama lain ketika ini. Kalau tidak, pasti aib apabila Hayyani melihat tangisannya.

“ Hei, itu bukan kelakar. " Balas Elhan dengan suara yang bergetaran di hujungnya.

Sedihnya menjadi seorang Hayyani. Dia tidak menyangka Hayyani begitu taat kepada ibunya sehingga tahap menghancurkan dirinya sendiri. Selayaknya seorang ibu itu ditaati atas dasar hormat dan bukannya kerana rasa takut seorang anak yang sanggup menggadaikan kebahagiaan sendiri demi menurut kemahuan permaisuri. Tak dapat Elhan gambarkan rasa sedih yang berladung di hatinya saat ini.

" Awak boleh bertenang sekarang, Elhan. Saya dah okey. Awak jangan risaukan saya sangat. Nanti saya mengada-ngada nak bergantung pada awak aje. "

Semakin lebar senyuman di wajah Hayyani setelah menuturkan kata itu. Ketika dikejarkan ke hospital tadi, dapat dia lihat betapa hebat kerisauan yang terlukis pada wajah Elhan walaupun dalam keadaan dirinya yang separa sedar. Tampak tekad lelaki itu semakin menyala untuk membuktikan ketulusannya.

“ Dah bertahun saya jadi doktor, ada satu aje jenis pesakit yang saya tak suka. Saya tak suka pesakit yang tak nak terima rawatan untuk sembuhkan diri sendiri. Pesakit yang lebih pentingkan benda lain selain nyawanya sendiri. Saya tak suka pesakit yang macam tu. "

Giliran Elhan pula berbicara setelah lama dia berjeda. Dalam katanya terselit sesuatu yang mahu disampaikan kepada Hayyani.

" Tapi awak doktor, awak kena sayang semua pesakit awak. Kan? “ Hayyani cuba menduga Elhan dengan gurauan sederhana walaupun sebenarnya dia faham apa yang ingin disampaikan lelaki itu.

Elhan tertawa kecil. Ada saja mulut itu mahu menjawab. Setelah itu, dia menyambung lagi kata-katanya.

" Sebab tulah awak kena ingat, nyawa awak lebih berharga daripada perkara-perkara lain.Bila awak cuma ada diri sendiri, tolong jangan abaikan kesihatan awak. Keputusan yang cemerlang takkan berguna kalau apa-apa terjadi pada awak, “ nasihat Elhan penuh makna.

Potret Hayyani menggenggam ijazah kembali terimbau dalam kotak ingatan. Dia sangkakan senyuman Hayyani melata indah di bibir kerana bahagia namun sebenarnya hanya kerana ingin melindung duka. Kini dia mengerti mengapa Hayyani begitu risau dimarahi oleh Puan Farida sewaktu di wad tadi.

" Awak risau sebagai seorang doktor atau sebagai seorang lelaki? " Hayyani senyum lebar ketika bertanya soalan itu. Entah kenapa nasihat yang kedengaran seperti leteran itu buatkan hatinya berbunga-bunga. Oh, inilah rasanya dipeduli seseorang.

Kali ini Elhan terpana seketika oleh soalan cepumas itu. Namun, kesunyian Hayyani seakan menuntutnya jawapan. Jadi dia berjeda sebentar, mempersiapkan diri untuk membalas.

" Tadi, hati saya berdebar dalam perjalanan kita ke hospital. Debaran tu lain, tak sama macam yang biasanya saya rasa sebagai seorang doktor. Itu debaran yang saya rasakan sebagai lelaki. Saya takut apa-apa jadi pada wanita yang saya sayang, “ luah Elhan jujur. Sudah lama dia menanti kesempatan untuk meluahkan perasaan yang mendiami sanubarinya.

" Sejak bila awak sayang saya, Elhan? Saya tak tahu pula selama saya hidup ada lelaki yang kagumi saya dalam diam. “

Hayyani menyandarkan kepalanya pada belakang Elhan bersama senyuman yang tidak lekang di bibir. Bulan dan bintang pada bumbung langit bersinar terang saat Elhan melafaz kata sayang. Semesta seakan tahu betapa bahagia hatinya disayangi seseorang.

“ Lama. Sangat lama sampai saya rasa penat kagumi awak dari jauh saja, “ kata Elhan lagi. Ada makna tersirat di sebalik kata-katanya. Dan makna tersirat itu sudah dia zahirkan melalui keinginannya untuk memperisterikan Hayyani. Biar di setiap kewujudan Hayyani di muka bumi ini wujudnya dia juga.

" Awak tidur ke? " Soal Elhan selepas seminit berlalu tanpa sebarang respons.

Tergeletek hati Elhan sehingga dia tersenyum sendiri seraya menggeleng kepala. Boleh pula tertidur waktu sedang bercakap. Ini semua perangai anak kecil yang masih comel itu saja.

" Tapi saya tak nak paksa awak. Selama ni awak dah banyak ikut kemahuan orang lain. Saya tak nak dalam hal nikah kahwin ni awak membelakangkan kebahagiaan awak sendiri juga. Awak kena menang kali ni. Bagi saya, dari jauh pun dah cukup untuk tetap kagumi awak, “ kata-katanya tetap diteruskan meskipun mungkin Hayyani tidak mendengarnya lagi.

Senyuman sedih terlakar di bibir Elhan saat dia menuturkan ucapan itu. Biarpun hati benar-benar mahu memiliki Hayyani, namun dia ikhlas andainya Hayyani menolak lamaran cinta sampai syurganya. Biarlah Hayyani bahagia dengan pilihan sendiri.

Tanpa sedar, ada berbutir-butir manik jernih yang mengalir perlahan pada pipi Hayyani. Sedari tadi dia cuma mendengar dan kali ini dia tidak dapat lagi menahan rasa tatkala hatinya terus tersentuh oleh kalimah indah yang meluncur dari bibir Elhan. Malam ini dia menyedari bahawa cinta yang Elhan miliki buatnya maha agung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience