Di sebalik daun pintu, Hayyani mengintai belakang tubuh Elhan yang sedang membaca al Quran di atas tikar sejadah. Sayup-sayup suara merdu itu menampan cuping telinganya menyisipkan sebuah rasa yang halus. Elhan akan membaca kitab suci itu sebagai penenang hati setiap kali ditimpa masalah mahupun sedang bersedih.
Sudah 2 bulan berlalu sejak Aisyah meninggal dunia. Bermakna sudah 2 bulan jugalah Jasmine meninggalkan bumi Malaysia. Namun, kesedihan Elhan bagai tidak pernah surut. Suaminya itu kelihatan lebih pasif dan banyak mendiamkan diri sejak hari Jasmine pergi. Arif juga tidak munculkan diri lagi sejak malam tahlil arwah Aisyah dulu. Dia sendiri tidak mengerti apa yang sebenarnya terjadi antara Elhan dan Arif. Sudah bertanya enggan dijawab pula.
Jujur, hatinya juga tidak tenang setelah meminta Jasmine pergi jauh tempoh hari. Pasti bukan mudah untuk Elhan terima oleh kerana kasih sayangnya kepada wanita itu cukup besar. Setiap kali memikirkan perkara itu, air matanya mengalir sendiri. Mengapa dia harus cemburu sedangkan dia sudah mengetahui bahawa dialah satu-satunya wanita yang Elhan cintai. Dan Jasmine pula telah dianggap sebagai teman rapat saja. Tanpa sedar, tubuhnya tertolak daun pintu itu sehingga Elhan menoleh.
Lekas disapu air mata yang bersisa. Senyuman manis disimpul sebelum kakinya melangkah masuk.
" Abang... abang nak makan tak? Daneen dah masakkan kari kepala ikan untuk abang. Jomlah makan, ermm?" ajak Hayyani lembut dengan wajah yang cuba diceriakan.
" Sayang pergilah makan dengan umi dulu. Abang belum lapar lagi. Kejap lagi abang turun makan, " tukas Elhan tanpa nada. Al Quran diletakkan di atas rak setelah dicium. Sejadah dikembalikan pada penyangkut dan kopiah diletakkan atas meja solek.
" Kalau belum lapar abang teman aje Daneen makan dekat bawah. Mana tahu bila abang tengok Daneen makan nanti abang ada selera. Jomlah, " ajak Hayyani lagi tidak putus asa. Dia memaut lengan Elhan yang segak berbaju melayu dan bersarong pelikat.
Elhan melayangkan sebaris senyuman. Kepala Hayyani digosok perlahan.
" Okey, kejap lagi abang turunlah. Sayang turun dulu jangan tunggu abang. Abang ada kerja nak settle sikit. "
Beg laptop di tepi meja solek diambil. Lalu dia duduk di atas sebuah sofa di sudut bilik dan menempatkan laptopnya di atas meja kopi. Fokusnya terus dihadapkan pada kerja.
Tubir mata Hayyani sudah panas menahan tangis. Derapan kaki dibawa untuk mendepani Elhan. Sungguh, dia berkecil hati dengan layanan tak sudi Elhan malah sudah lama dia pendam rasa kecewa. Tanpa sedar, kemarahan di dadanya kian bergelodak.
" Jasmine tu mesti dah banyak bagi makna dalam hidup abang, kan."
" Apa maksud sayang?" soal Elhan biarpun fokusnya masih tekun pada skrin laptop. Dia menyelak helaian kertas putih berisi analisis pesakit dengan bersahaja.
" Sejak dia pergi, abang dah tak seceria dulu. Abang lagi banyak termenung dan mengasingkan diri. Bila bercakap dengan Daneen pun macam nak tak nak aje. Abang ingat Daneen tak tahu abang selalu pergi tempat-tempat yang abang pernah pergi dengan Jasmine dulu. Abang kenang memori abang dengan dia kan. Itu aje cara abang untuk lepaskan rindu sementara Daneen, abang buat macam tunggul. Daneen ni siapa di mata abang? Kenapa abang layan Daneen macam ni? " Bertalu-talu soalan yang Hayyani ajukan. Dadanya turun naik dengan laju bagaikan puas dapat memuntahkan rasa hati yang membuak-buak. Dia sudah lama menahan sabar dan hari ini dia tidak mampu untuk bersabar lagi.
Elhan terus terhenti kerana fokus yang sudah teralih. Tidak menyangka kata-kata prasangka itu akan keluar dari mulut Hayyani. Kemudian, dia bangkit dari duduk dan merapati isterinya. Bahu Hayyani dipaut lembut.
" Sayang, awak jangan overthinking sangat boleh tak. Tentulah awak isteri abang. Cinta pertama abang. Bidadari syurga abang. Tak perlu tanya pun abang dah banyak kali ingatkan. Kenapa perlu bangkitkan hal tu dekat sini jugak? "
" Jasmine tu siapa bagi abang? " soal Hayyani keras nada suaranya.
" Tak, sekarang ni awak nak cemburu untuk apa sayang. " Elhan menggeleng kepala. Dia semakin tidak faham dengan isterinya itu.
" Jawablah Daneen tanya! " suara Daneen sudah meninggi. Mendesak Elhan menjawab jua pertanyaan yang dia sudah tahu jawapannya.
" Kawan baik abang! Dia bukan macam apa yang awak fikirkanlah. Tolonglah Daneen, abang dah tak tahu macam mana nak yakinkan awak lagi. " Elhan menjawab kali ini dengan nada yang sedikit keras.
Ego lelakinya agak tercabar apabila didesak begitu. Sebelum ini Hayyani tidak pernah sekali pun cemburu dengan Jasmine kerana dia sudah menegaskan bahawa mereka cuma berteman. Hairan pula dibuatnya apabila gelodak cemburu Hayyani tiba-tiba berbangkit lebih-lebih lagi Jasmine sudah pun tiada di Malaysia.
" Habistu, kenapa abang buat Daneen macam tak wujud lepas Jasmine pergi? Daneen cuba buat macam-macam untuk ceriakan abang tapi abang langsung tak hargai, " luah Hayyani dengan esakannya yang mula jelas kedengaran.
" Sayang... kenapa awak nak marah-marah ni. Tolonglah sayang jangan buat abang macam ni. Kenapa ni sayang, erm? " Elhan cuba memujuk. Dia pasti tiada gunanya kalau dia cuba menegakkan pendapat sendiri juga pada saat ini. Namun, baru saja tangannya ingin menyentuh pipi basah Hayyani, tangan isterinya itu terlebih dahulu menepis sentuhannya.
" Sebab abang gila bayang dekat kawan abang sendiri. Abang ingat Daneen apa? Isteri mana yang tak terasa. Cuba abang letak diri abang di tempat Daneen. "
Elhan meraup wajahnya. Dia bimbang seandainya umi dan yang lain dapat mendengar mereka. Tapi di saat ini dia juga berasa sedih kerana Hayyani tergamak menuduhnya sembarangan.
" Salah ke sayang abang pergi tempat-tempat yang abang selalu pergi dengan kawan-kawan abang dulu? Dia orang semua tu dah tak ada lagi dalam hidup abang. Yang ada cuma memori. Abang cuba untuk ubati rindu dengan cara tu. Abang mengadu pada Tuhan, abang alihkan perhatian abang, abang cuba macam-macam cara sayang untuk lepaskan diri daripada perasaan ni. Tapi abang tak boleh. Abang tak boleh nak jelaskan apa yang abang rasa. Abang minta sayang bagi abang sedikit masa untuk abang biasakan diri dengan semua ni. Tolonglah sayang jangan marah-marahkan abang, " kata Elhan sayu bunyinya.
Besar harapan di kala ini agar Hayyani dapat memahami kegelisahan yang bermaharajalela di hatinya sejak Jasmine dan Arif pergi. Kedua-dua teman baik yang hilangnya ibarat nyawa direntap dari badan. Aisyah pula, walaupun kakinya berlari hingga ke penghujung dunia, dia tetap takkan dapat bertemu anak kecil itu lagi di dunia ini. Mereka semua telah pergi dari hidupnya lalu ke mana harus dia membawa jiwa yang bercangkaliwang ini.
" Abang, jujurlah dengan Daneen yang sebenarnya abang dah tahu tentang perasaan Jasmine pada abang. Cuma abang cuba menidakkan sebab semuanya terbatas selagi Daneen bergelar isteri abang. Kalau abang betul-betul tak bahagia bila dia tinggalkan abang, kenapa abang tak kahwin dengan dia aje? Kenapa mesti pilih Daneen kalau dari awal pun hati abang dah ada dekat dia? "
Bergema lafaz istighfar di hati Elhan lebih-lebih lagi saat mendengar telahan Hayyani tentang Jasmine. Wajah muram Hayyani ditatap pula dengan rasa kesal. Memang benar dia amat sedih saat Jasmine, Arif dan Aisyah pergi umpama separuh nyawanya sudah terbang melayang. Tanpa sedar tindakannya telah melukakan hati Hayyani yang turut dahagakan perhatian dan kasih sayangnya. Besar khilafnya sebagai suami.
" Sayang, setiap kali kita ada masalah, kenapa mesti kaitkan soal perasaan abang pada Jasmine. Abang dah bagitau dari awal yang abang cuma cintakan sayang. Percayalah cakap abang, " tekan Elhan bersungguh-sungguh meyakinkan Hayyani. Suara seboleh mungkin dikawal bimbang didengari orang tuanya.
" Abang tipu! Abang rasa kehilangan yang besar bila dia takde lagi dalam hidup abang. Daneen tak nak percaya tapi Daneen perlu percaya. Sekarang, barulah Daneen faham kenapa Daneen memang tak sedap hati masa berkahwin dengan abang dulu. Kalaulah Daneen tahu lebih awal, Daneen takkan sebilik dengan abang malam ni, " kesal Hayyani dengan mata yang membulat. Semakin lebat air mata yang berhujan di pipinya.
Kata-kata Hayyani umpama sejuta bilah pisau yang menusuk di dada Elhan. Pedihnya terasa seolah-olah diseksa tanpa belas. Separuh mati dia percaya bahawa Hayyani sudah benar-benar ikhlas menerimanya sebagai suami. Kata-kata kesalan itu memijarkan jiwanya.
" Kalau awak meragui perasaan abang kenapa awak tak tanya sebelum kita kahwin? Kenapa bila kita dah sampai sejauh ni barulah perkataan sesal tu keluar dari mulut awak? " soal Elhan sambil merenung tepat mata Hayyani. Sungguh pun begitu, dia masih cuba menahan sabar. Bukan sepenuhnya salah Hayyani dalam hal ini.
Hayyani mengangkat telunjuknya tepat pada wajah Elhan yang sedang mengetap rahang.
" Sebab abang yang paksa Daneen kahwin dengan abang. Abang tipu Daneen dengan helah palsu abang. Buat Daneen jatuh cinta sampai tak boleh melupakan abang. Tapi akhirnya, kecewa yang Daneen dapat. Abang memang tak pernah berubah."
Liur yang ditelan Elhan terasa berpasir. Pedih hatinya mendengar ungkapan berbisa itu. Wajah Hayyani ditenung dengan bebola mata yang mulai terasa hangat dan memerah. Terasa hendak menitis jua air matanya di situ.
" Abang tak pernah paksa awak terima perkahwinan ni sejak dulu lagi Daneen. Abang serahkan keputusan di tangan awak sampailah hari kita nak menikah semuanya atas kerelaan awak tanpa paksaan sesiapa. Tak perlu nak menyesal kerana berkahwin dengan abang kalau dulu awak yang mendakwa lebih kenal siapa abang. Pada mata awak, abang tetap Elhan yang jahil, " kata Elhan yang jelas berjauh hati dengan Hayyani.
Dia meninggalkan Hayyani yang karam dalam sedu sedannya sendiri di dalam bilik itu.
Share this novel