Elhan mengangkat kepala sebaik saja terdengar bunyi ketukan di daun pintu.
" Sibuk ke anak umi ni?" Wajah Doktor Khalida sudah terjengul di sebalik pintu.
" Takdelah umi. Tengah baca carta patients sikit. Kenapa umi tak tidur lagi?" Segera dia menutup lid komputer ribanya dan diletakkan atas meja sisi. Jam dinding yang sudah menginjak pukul 12 tengah malam dikerling kejap.
Doktor Khalida terus melangkah masuk. Wanita separuh umur yang masih kelihatan cantik itu duduk di sebelah Elhan.
" Umi tak boleh tidur. Tiba-tiba aje teringat dekat arwah Louisa, " beritahu doktor Khalida.
" Lah... Buat apa umi fikir banyak sangat sampai tak boleh tidur ni? Bahayalah umi tidur lewat malam. Ingat, umi tu ada migrain. Nanti sakit pening karang susah nak kerja esok, " pesan Elhan. Bukan dia tak maklum dengan migrain yang dialami umi. Kadang-kadang teruk sampai tak boleh bangun langsung.
" Ya, umi tahu. Umi teringat pun sebab patient umi minggu lepas ada yang meninggal sebab tumpah darah macam Louisa dulu. Sebab tu umi tak boleh tidur, " luah doktor Khalida. Apabila sudah lanjut usia, perkara kecil pun boleh menjadi sensitiviti baginya. Lagipun, dia tidak menafikan memang selalu teringat akan Louisa.
" Umi rindu dialah tu. Itu yang sampai terbawak-bawak masa nak tidur. " Elhan sengaja cakap begitu. Sekurang-kurangnya umi tak terlalu bersedih.
Walaupun ada rasa sayu yang melilit di tangkai hati namun dia masih tayang muka ceria. Sampai bila-bila pun nama itu akan abadi dalam hatinya. Malah, mungkin bersemadi dalam hati sesetengah yang lain juga. Rasa bersyukurnya tak terkira tatkala Doktor Khalida merestui hubungannya dengan Louisa dulu walaupun lebih ramai yang mengeji dan menentang.
" Mestilah umi rindu bakal menantu umi tu. Kamu tak rindu ke? " Doktor Khalida menggosok lembut pipi anak terunanya.
Elhan tertawa kecil. Walaupun Louisa tak sempat bergelar menantu, Doktor Khalida masih membahasakan diri Louisa dengan panggilan bakal menantu itu. Kadangkala, dia rasa seperti panggilan itulah yang membuatkannya terasa seperti Louisa tidak pernah pergi.
" Rindu, umi. Tiap-tiap hari duk teringat dekat arwah. Tiap-tiap hari terfikir sayang sangat agaknya Tuhan dekat Louisa sampai bagi syahid dekat dia. Tapi Elhan bersyukur, Louisa mati dalam Islam umi. "
Walaupun Elhan tampak tenang dan ceria namun, Doktor Khalida tahu jauh di sudut hati anaknya itu masih tersimpan selembar kerinduan dan kesedihan tak terucap. Dia mengerti perasaan itu kerana dia juga pernah kehilangan seorang suami. Sakit itu tetap ada walaupun hidup perlu diteruskan.
" Umi ingat umi nak pergi buat umrah bila-bila masa nanti. Bolehlah melawat kubur Louisa sekali dekat sana. Elhan nak ikut? " Soal Doktor Khalida lembut. Sebelum ini, hampir setiap 6 bulan, anaknya itu akan menunaikan umrah sekali gus melawat pusara Louisa di sana.
" InsyaAllah umi, kalau Han takde apa-apa hal masa tu Han ikut. Kalau tak, umi ajak ajelah Hanan dengan Lukman. "
" Yalah. Ni, umi nak tanya... Han ada dengar cerita pasal Daneen? "
Elhan terdiam kejap. Dia memandang Doktor Khalida yang masih tersenyum. Hairan, macam ada sesuatu yang belum dia tahu. Sesuatu yang tergempar dan hebat.
" Pasal apa umi?" Elhan berdebar sedikit.
" Tadi ibu Farida ada call umi. Katanya Daneen balik minggu depan. Han tolong ambilkan Daneen dekat airport boleh? Lepastu ingatkan bolehlah ajak dia makan malam dekat sini. Boleh, sayang? "
" Boleh umi. InsyaAllah... " ujar Elhan rendah. Aduh, kenapa hatinya rasa semacam. Sepatutnya dia rasa gembira tapi kenapa dia rasa tak sedap hati?
" Ni kenapa muka monyok macam ni? Macam tak gembira aje Daneen balik. " Doktor Khalida hairan. Kalau tidak sebelum ini boleh dikatakan setiap hari Elhan akan menghantar mesej bertanyakan tentang Hayyani.
" Bukan tak gembira umi. Nervous sikit aje."
" Takut Daneen tolak lamaran tu? "
Elhan mengeluh lemah. Takutkah dia? Takutkah kalau sejak awal lagi dia sedar mustahil untuk Hayyani menerimanya.
" Han tak berharap pun Daneen terima atau tolak. Itu semua terpulang pada dia. " Jawapan klise yang selalu disebutnya setiap kali ada yang menyentuh soal lamaran itu. Bunyi macam pasrah tapi gelora dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu betapa dia sedih kalau benar Hayyani akan menolak pinangannya.
" Tapi ibu tahu, jauh dekat dalam hati tu, mesti berharap Daneen terima, kan?" Elhan membiarkan tangan lembut umi mengusap lembut kepalanya. Umi memang sangat memahami perasaannya.
" Dia aje perempuan yang kamu betul-betul suka sebelum kamu jumpa Louisa dulu. Umi faham perasaan tu."
" Orang kata kalau tak nak sedih jangan letak harapan dekat manusia. Han serahkan semua urusan hati ni dekat Allah. Ada rezeki nanti adalah umi. Kalau takde rezeki anak umi ni membujanglah sampai tua bangka nanti, " seloroh Elhan seraya tertawa sendiri. Doktor Khalida mencubit lembut pipi Elhan.
" Hish... janganlah cakap macam tu. Umi ni kalau boleh nak jugak ada cucu cicit. Aisyah pun boleh dapat adik nanti. "
" Umi nak Han kahwin? " Elhan sengaja menduga uminya.
" Mestilah. "
" Okey, Han kahwin. Tapi dengan restu umi. Umi restu tak Han nak kahwin nanti? "
" Restulah kenapa pulak tak restu. Umi ni suka sangat dekat Daneen dengan Jasmine tu. Kalau boleh umi nak kamu kahwin dengan salah sorang antara Daneen dengan Jasmine aje."
Elhan ketawa besar. Terkejut juga apabila umi tiba-tiba sebut nama Jasmine. Memanglah umi dan Jasmine agak kawtim dan sangat akrab kerana mereka bekerja di bawah jabatan perubatan yang sama. Tapi tak sangka pula umi ada hati nak bermenantukan temannya itu.
" Umi ni... Jasmine tu kawan Han ajelah, " tukas Elhan selepas tawanya surut. Dia dapat bayangkan reaksi Jasmine kalau temannya itu mendengar apa yang umi katakan tadi.
" Manalah tahu kalau andai kata Daneen tak jadi terima kamu, kamu kahwinlah dengan Jasmine, ya nak? " Saran doktor Khalida. Lengan Elhan digoncangnya seakan merayu.
Elhan tersenyum seraya menggeleng. Permintaan uminya dianggap karut. Kahwini Jasmine yang sudah rapat dengannya bagai adik beradik? Langsung tak masuk akal. Lagipun perempuan secantik Jasmine itu mesti ada kriteria tersendiri juga dalam memilih suami.
" Umi ni macam-macam pulak dah. Hari dah jauh malam ni umi. Karang, Han yang tak dapat tidur nanti. "
" Malulah tu bila umi cakap pasal Jasmine, " giat doktor Khalida semakin galak mengusik anak lelakinya. Walaupun dia maklum tentang status hubungan Jasmine dan Elhan yang setakat persahabatan sahaja. Manalah tahu daripada sahabat boleh menjadi cinta. Dia yang tua ini pun amat suka dengan keperibadian Jasmine.
" Malaslah kawan dengan umi. Baliklah kalau macam ni. " Dia bingkas bangun dari katil dan berura-ura hendak pergi.
Doktor Khalida cuba menahan tawanya. Bimbang Elhan berkecil hati. Dia memaut lengan sasa anaknya supaya kembali duduk.
" Alahai... Kesian anak umi. Alah, umi usik sikit aje. Mari, umi peluk. Umi sayang handsome boy umi ni." Doktor Khalida mengucup dahi anaknya.
Elhan tersenyum ketika umi memeluknya. Takkan ada pelukan hangat sehangat pelukan seorang ibu. Sumpah!
" Sayang rupanya. Ingatkan tak sayang. Orang ni punyalah sayang dekat dia. "
Elhan sengaja memuncung. Bukan selalu dia bermanja dengan umi. Tawa dan gurau senda dua beranak itu makin bersambung-sambung.
Share this novel