Bab 20
Elhan lihat Aisyah sedang ralit melukis sesuatu dengan krayon ketika dia masuk ke wad kanak-kanak itu. Tak pernah-pernah Aisyah tidur lewat melebihi jam 10 malam. Selalunya dia yang akan memastikan Aisyah tidur sebelum pulang ke rumah.
" Aisyah lukis apa tu?" soal Elhan bernada lembut sambil duduk di birai katil. Cepat-cepat Aisyah menterbalikkan lukisan seakan-akan terkejut dengan kehadirannya di situ.
" Rahsia. Papa tak boleh tengok. Ni Aisyah buat untuk mummy aje."
Elhan sengaja tarik muka. " Alah... mana aci macam ni. Bagilah papa tengok sikit." Dia menghulurkan tangannya meminta kepada si kecil namun dia perasan Aisyah tetap menggeleng.
" Tak boleh. Ni mummy punya, " pangkah Aisyah lalu dia menyorokkan buku lukisannya ke dalam laci di meja sisi.
Elhan tertawa kecil. Kebelakangan ini Aisyah gemar berahsia dengannya. Kadangkala dia yang naik cemburu apabila Aisyah beritahu semua perkara dengan Jasmine saja dan bukannya dengan dia.
" Yalah. Papa tak tengok pun." Kepala Aisyah digosok perlahan. Entah apalah yang Aisyah lukiskan sehingga lukisan itu eksklusif hanya untuk Jasmine saja.
" Papa! Mummy tak datang ke hari ni?"
" Tak. Mummy kan cuti seminggu nak jaga nanny sakit. Kenapa, Aisyah rindukan mummy ke?"
Masuk kali ini sudah beberapa kali Aisyah bertanyakan soalan yang sama. Selalunya kalau hari cuti pun Jasmine akan tetap datang menjenguk Aisyah walaupun sekejap. Barangkali kebisuan dan kehilangan Jasmine selama beberapa hari ini mengundang resah pada si kecil.
" Rindu! Mummy kata nak bawak Aisyah pergi jalan-jalan dengan papa hari ni. " Aisyah buat muncung panjang sedepa. Pipi gebu itu dicuit Elhan.
" Alolo... kesiannya anak papa ni. Okey, kalau Aisyah rindu apa kata kita call mummy. Nak? " Cadang Elhan cuba mengembalikan kegembiraan Aisyah. Sebenarnya, dia juga teringin nak menelefon Jasmine.
" Nak!! " Aisyah bersuara girang. Elhan mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuat panggilan video kepada Jasmine. Selang beberapa saat, panggilannya berjawab.
" Mummy! Kenapa mummy tak datang tengok Aisyah hari ni? "
" Sayang... I'm sorry okay. Esok mummy datang jumpa Aisyah. Sayang mummy ada makan tak tadi? " Suara lunak milik Jasmine bertanya.
" Dah. Tapi tak seronok. Mummy tak ada suapkan Aisyah hari ni. " Wajah Aisyah berubah muram. Elhan hanya tersenyum melihat gelagat Aisyah dan Jasmine. Memang tak sah kalau tak berjumpa sehari.
" Alololo... kesiannya anak mummy. Okey, nanti mummy datang kita pergi makan aiskrim, nak? "
" Nak!! "
Jasmine tergelak nipis. Jujur matanya sudah bergenang kerana rindukan Aisyah tapi sedaya upaya dia menyembunyikannya. Dia bercuti selama beberapa hari pun kerana hendak menjaga Datin Rozana. Kasihan anak Louisa rindukan aku.
" Okey! Aisyah pergi tidur dulu. Nanti mummy nak datang mummy bagitau. "
" Promise?"
Elhan tersenyum saat jari kelingking Aisyah dan Jasmine bertemu secara maya. Babak inilah yang menjadi kegemarannya setiap hari iaitu ketika dia menyaksikan ketulusan hati Jasmine melayan kerenah Aisyah. Terserlah sifat keibuan dalam diri wanita itu walaupun Aisyah bukan terlahir dari benihnya sendiri.
" Promise sayang. "
" Apa kata sekarang ni Aisyah pergi cuci muka dulu. Gosok gigi sebelum tidur. Sekarang dah nak masuk pukul 12. " Elhan memotong perbualan yang semakin rancak itu. Dia tidak mahu Aisyah tidur lewat malam lantaran keadaan kesihatan si kecil yang tidak mengizinkan.
" Okey papa. Goodnight mummy. I love you so much. " Aisyah turun dari katil untuk masuk ke bilik mandi setelah menamatkan perbualan dengan Jasmine.
" Apasal you sorokkan muka? " Soal Elhan hairan. Lama juga dia menunggu supaya Jasmine menampakkan wajahnya. Tapi sejak Aisyah pergi tadi, hanya dahi gadis itu saja yang kelihatan.
" I tak nak you tengok bare face I, " jawab Jasmine.
" I lagi suka tengok muka you tak pakai make up. Nampak suci. "
" Suci? Cis... so selama ni tak suci lah?" Suara Jasmine mula mengeras. Geram dengan kenyataan selamba Elhan.
" Selama ni nampak macam penyanyi opera cina sikit, " seloroh Elhan sebelum tawanya pecah sendiri.
" Eii!! Shut up you... siaplah esok. I tak nak jawab call you lagi, " ugut Jasmine. Muka aku ni ada iras Jennifer Lawrence tau. Ada pulak dia nak samakan dengan opera cina.
" I berguraulah. Alah... tak payahlah nak malu dengan I. Macam tak biasa, " ujar Elhan cuba menyedapkan hati si wanita. Lambat-lambat Jasmine mula tayang wajahnya.
Mereka berbalas senyuman. Kemudian, ketawa bersama-sama. Entah apalah yang menggelikan hati mereka. Selepas itu, barulah Elhan bersuara.
" You okey tak? You nampak macam tak okey aje ni, " soal Elhan prihatin. Wajah Jasmine yang terlihat suram mengundang kerisauannya. Teruk sangat bekerja sampai lewat malam agaknya kebelakangan ini.
" I okaylah. I just have slight fever dalam dua tiga hari ni, " beritahu Jasmine sekadar untuk melandaikan keresahan pemuda itu.
" Ya? Nak I datang KL tengok you? " Elhan mula tak senang duduk. Dia memang pantang mendengar berita kurang baik tentang Jasmine. Apatah lagi mereka memang sudah lama tidak berjumpa.
" Tak payahlah. I ni doktor pandai-pandailah I makan ubat nanti. "
" Doktor kalau dah sakit tetap namanya pesakit. I datang jumpa you kejap. Medication kit you pun ada tertinggal dekat sini kan. " Elhan masih berusaha. Sebenarnya, dia saja mencipta alasan untuk berjumpa Jasmine. Hatinya tak senang kalau tidak berjumpa gadis itu malam ini.
" Really? You ni macam tahu-tahu aje. Okeylah, kalau macam tu kita nak jumpa dekat mana? "
Elhan mengerling sekilas jam tangannya yang hampir menginjak pukul 12. Tak elok pula untuk mereka berjumpa di luar lewat malam begini. Namun, dia masih juga mahu melihat keadaan Jasmine.
" You tunggu kat rumah. Dah lewat ni bahayalah perempuan keluar lewat-lewat malam. Tunggu aje I sampai kejap lagi. Nanti kalau nak I belikan apa-apa you sms aje, okey? "
" Okey. Drive safe."
Setelah meletakkan panggilan, Jasmine tersenyum sendiri. Terasa cair segala organ dalamannya sebentar tadi walaupun sekarang dia sedang berdiri di bawah cahaya rembulan. Elhan... Elhan... macam manalah aku tak jatuh hati kalau macam ni punya baik kau layan aku.
****
Elhan sedang bersandar pada pintu kereta ketika Jasmine keluar dari pagar rumah. Sebaik saja pandangan mereka bersabung, ada senyuman manis yang kelihatan pada wajah keduanya.
" Uit... dah lama sampai?" Soal Jasmine yang elegan mengenakan pijama merah jambu miliknya.
Elhan tarik muka, masam. " Dah naik berjanggut pun. "
" Alah... janganlah merajuk. I tengah mandi tadi. Tak sangka you datang cepat. Tengok rambut I basah lagi ni. " Jasmine mengirai rambut panjangnya yang ikal di hujung. Masih lembab kerana dia tergesa-gesa bersiap tadi.
Pandangan mereka yang bersatu lama menghantar debar di hati Elhan. Apasal menawan sangat senyuman dia malam ini? Tiba-tiba dia teringat kata-kata umi tempoh hari.
" Kalau boleh umi nak Elhan kahwin antara Daneen atau Jasmine saja."
Uish! Tak boleh ini bahaya. Cepat dia tepis secangkir rasa yang tidak sepatutnya ada di dalam hati itu apatah lagi mereka sekadar berteman.
Tiba-tiba Elhan menghulurkan sejambak bunga melati yang disembunyikan di belakangnya. Jasmine terpaku sebentar. Matanya bergetaran membiaskan rasa terharu yang maha dalam. Wajah Elhan yang sedang tersenyum manis dipandang pula.
" Apa ni Elhan?"
" Kasut." Jawapan selamba Elhan mencetuskan tawa mereka. Suka main-main dan tak pernah nak serius.
" Bunga untuk you. I jumpa bunga ni di tempat yang tak sesuai. Jadi, I rasa bunga ni patut dipulangkan kepada pemiliknya. Jasmine. Si bunga cantik, " tutur Elhan romantis pada pendengaran Jasmine. Ketika dia singgah membeli buah tangan tadi dia terlihat bunga yang mengingatkannya kepada Jasmine. Lantas dia membelinya dan menuju ke sini.
Jasmine merenung kasih wajah Elhan. Senyuman di bibirnya juga mendefinisikan rasa sedih dan gembira pada masa yang sama. Jujur hatinya bergetar semacam kali ini apabila dia merasakan kejujuran dari kata-kata Elhan. Hati ini ingin berhenti berharap namun mengapa kau terus memberi harapan? Teriak hati kecil Jasmine. Namun hanya sejenak saat itu berlalu, ketawanya tiba-tiba meledak.
" Apa ni? Mengayat perempuan kelas pertama betul. " Dada Elhan ditolak perlahan. Sengaja dia menutup rasa hati dengan berbuat demikian. Tak mungkin Elhan memaksudkan kata-kata itu melebihi sempadan seorang sahabat.
" Orang dah bagi bunga dia cakap macam tu pulak. Pulangkanlah semula. "
Baru saja Elhan nak merampas bunga itu Jasmine bertindak memeluk jambangan bunga itu erat ke dadanya.
" Eee mana boleh buruk siku. Dah bagi tak boleh ambil balik. Ni I punya. Thank you! " ucap Jasmine riang lalu mencium bunga jasmine itu. Tersenyum Elhan melihat kebahagiaan dari seraut wajah jelita itu.
" Demam you dah okey? I bawakan medication kit you. "
" Thank you. Kenapa you susahkan diri nak bawak semua ni. Sekarang dah tengah malam tahu tak. Esok you nak pergi kerja. "
Medication kit milik Jasmine dikeluarkan dari dalam kereta lalu dibuka dan seperti selalu, Elhan yang akan mengisi semula ubat di dalam kotak itu jikalau sudah kehabisan stok. Dia bukannya suka sangat makan ubat kalau sakit kuat sekalipun. Selalunya memang Elhan yang paksa.
" Small matterlah. I tak sampai hatilah dengar you sakit tapi I buat saja aje. Rasa tak kena, " balas Elhan seraya tersenyum.
Ketika itulah, Jasmine merasakan bagai ada rama-rama di dalam perut biarpun cuba dia kawal ekspresi wajahnya. Kata-kata Elhan benar-benar meresap ke dalam kalbunya. Tolonglah Elhan, jangan buat aku terus berharap!
" Jangan skip makan ubat tau. You kena sihat cepat kalau nak jaga orang sakit, " pesan Elhan yang santai berpeluk tubuh.
" I mana pernah skip makan ubat."
" Eleh, yelah tu. Cuba makan sekarang I nak tengok." Elhan sengaja menguji Jasmine. Dia tahu temannya itu paling pantang kalau kena makan ubat.
" Sekarang? Betul ni selamat nak makan? "
Elhan tertawa geli hati. Reaksi Jasmine seolah-olah dunia akan kiamat kalau dia makan ubat itu. Takut sangat makan ubat.
" Ya. Kejap I ambilkan air untuk you. " Air mineral di dalam kereta diambil buat gadis itu. Tanpa ragu lagi, Jasmine menelan dua biji pil itu dan menelan sedikit air.
Elhan tersenyum penuh makna. Ada idea nakal yang terlintas di benaknya saat ini.
" You nak tahu tak, kali terakhir I update ubat dalam kotak ni 3 tahun yang lepas. Yalah, sebab you pun jarang-jarang makan ubat. Macam mana ek? I rasa ubat ni dah expired lah. "
Dengan muka bersahaja, Elhan berkata-kata. Tersembur air di dalam mulut Jasmine gara-gara terkejut beruk dengan pemberitahuan itu. Potong mood betullah.
" Hah? Eii!! You ni memang nak kena kan. You jangan main-main. Kalau I mati katak macam mana? "
Elhan ketawa sambil menepuk belakang Jasmine yang masih terbatuk-batuk. Senang betul gadis itu mempercayai kata-katanya. Kerana itulah, dia gemar mengusik Jasmine sejak dulu lagi.
" Mana ada mati. Takdelah sampai ke situ. "
Jasmine cemberut mendengar tawa Elhan yang masih bersisa. " Habistu apa? You jangan macam-macam okey. I campak you atas bumbung nanti. "
" Cukup aje 30 minit nanti, pipi you jadi kembang, mata you bengkak macam grumpy. Okay apa daripada mati katak. " Kenyataan selamba Elhan menyebabkan Jasmine bertindak menolak dada bidang miliknya.
" Eii!! Kalau muka I betul-betul bengkak nanti takde orang nak, I nak you bertanggungjawab kahwin dengan I." Jasmine tarik muka, masam.
Elhan membiarkan saja gadis itu menampar lengannya. Lain pula bagi Jasmine, dia yang semakin nanar apabila mendengar ketawa pemuda itu yang semakin bersambung-sambung. Panjang aje akal dia nak mengenakan aku.
" Elhan? " Datin Rozana muncul di situ ditemani Kak Wani, pembantu rumah.
Elhan dan Jasmine terhenti. Mata mereka sama-sama terpanah ke arah susuk tubuh wanita pertengahan usia itu. Lekas-lekas Elhan mendekati Datin Rozana yang berkerusi roda itu sambil menghadiahkan segaris senyuman.
" Assalamualaikum aunty. Aunty sihat? " Sapa Elhan sekadar beramah mesra.
" Waalaikumussalam. Macam nilah keadaan aunty, Han. Jemputlah masuk takkan nak duduk luar aje, " pelawa Datin Rozana sambil tersenyum. Sempat juga dia mengerling anak gadisnya di sebelah pemuda itu. Senyum sampai ke telinga bila jumpa buah hati.
" Takpelah, saya singgah kejap aje ni. Lain kali saya datang lagi. Ingatkan aunty dah tidur tadi, " tukas Elhan sopan.
" Janganlah macam tu. Jas, ajak Elhan masuk. Hari ni kamu tidur sini ya? Dah lewat ni nak balik ke Shah Alam semula. Aunty boleh suruh kak Wani siapkan bilik. " Datin Rozana masih berdiplomasi.
Jasmine menyenggol lengan Elhan yang masih tersengih-sengih itu. Meminta pemuda itu untuk memberikan balasan. Berat nak tolak permintaan mummy lah tu.
" Dia malu mummy, " ujar Jasmine sengaja mengusik temannya. Dia perasan Elhan mengerling ke arahnya.
" Alah, nak malu buat apa. Bukannya tak kenal aunty. Marilah, satu malam aje. " Datin Rozana belum berputus asa. Sepertinya Jasmine juga tidak keberatan dengan permintaannya itu.
Elhan garu belakang kepala yang tidak gatal. Melihat kepada kesungguhan Datin Rozana, dia tidak betah untuk menolak. Lagipun, sudah lama juga dia tidak berbual panjang dengan wanita itu.
" Yalah aunty. Mari, saya bawak aunty masuk dalam. " Elhan menolak kerusi roda Datin Rozana masuk ke dalam rumah. Sementara itu, Jasmine di sebelah tak habis-habis tersenyum seolah-olah seronok mengenakan dia.
" Jangan nak balik senyap-senyap sudah waktu subuh nanti, " usik Jasmine membuahkan tawa antara mereka.
Share this novel