Hayyani mengintai papan tanda arah di sebalik cermin kereta. Kemudian, dia memandang Elhan yang masih tenang memandu di sebelah. Musykil betul. Tadi suaminya kata hendak membeli barang keperluan dapur saja di Tesco tapi dalam perjalanan pulang kereta itu dipacu menuju ke Kuala Lumpur pula.
" Abang, kita nak pergi mana ni?" Hayyani akhirnya melontarkan juga persoalannya. Pada masa yang sama, sempat dia meneliti wajah tampan Elhan walaupun cuma dilihat dari sisi tepi saja. Dengan aviator sunglasses yang tersangkut pada batang hidung itu menambah aura pada diri suaminya. Macam manalah imannya boleh tidak tergugat ketika Elhan berusaha memikatnya dulu.
" Nanti sekejap lagi sampai awak tahulah." Elhan memandang isterinya sekilas dengan seulas senyuman di bibir.
" Abang ada urusan penting dekat KL, eh?" Hayyani menyoal sekali lagi. Dengan penuh minat dia memandang Elhan.
" Haah. Ada urusan yang sangat penting. Tak boleh tunda-tunda lagi, " balas Elhan yang masih berkeras untuk merahsiakan tujuan mereka ke Kuala Lumpur.
Hayyani kembali memandang ke hadapan. Dia juga enggan mendesak apabila Elhan berkata begitu. Mungkin ada sesuatu yang suaminya rancangkan. Dia mengikut saja arah yang dipandu sehinggalah mereka tiba di Taman Tasik Titiwangsa.
" Abang, kita nak buat apa dekat sini? " soal Hayyani. Dia semakin tidak faham tujuan Elhan membawanya ke situ.
Ketika itu, mereka sudah keluar dari perut kereta. Dia membuntuti Elhan yang sedang terbongkok-bongkok mencari sesuatu di dalam booth kereta. Elhan tidak menjawab sebaliknya dua lembar layang-layang berwarna warni di tangannya ditunjukkan kepada Hayyani.
Hayyani seakan kelu. Belum dapat menangkap maksud di sebalik pandangan dan senyuman Elhan. " Layang-layang?"
" Yelah. Awak tak ingat ke pertarungan kita ni belum berlangsung lagi. Asyik tertunda aje. Jadi, hari ni kita lawan," balas Elhan sambil menjongket sebelah kening. Walaupun permintaan Hayyani dahulu boleh dianggap remeh tapi dia benar-benar berbesar hati untuk menunaikannya.
Perlahan-lahan, senyuman lebar mula terlukis di bibir Hayyani sehingga menampakkan barisan giginya yang putih. Teringat kembali permintaannya untuk bertanding layang-layang dengan Elhan suatu ketika dahulu. Walaupun ketika itu dia tewas tanpa bertanding, namun asbab layang-layang itulah hubungannya dengan Elhan semakin akrab.
" Senyum macam tu nak goda abang supaya mengalah ke?" usik Elhan bersahaja. Senyuman manis itu haih, sungguh memikat hatinya.
" Eh takde maknanya. Daneen senyum sebab terfikir menu apa yang sedap masa abang belanja makan malam nanti. " Hayyani menjongket-jongket kedua belah keningnya sengaja menyindir sang suami.
Elhan tertawa sendiri. Hidung Hayyani ditariknya.
" Oh, kiranya Daneen pandang rendah pada kemampuan abang? Takpe, kita tengok siapa yang kena keluar duit malam ni. "
" Daneen pantang dicabar tau. Tengoklah, abang mesti kalah punya. " Mata Hayyani sudah bersinar-sinar ketika dia memilih salah satu antara dua layang-layang yang perlu dipilihnya.
Elhan tergelak kecil. Dia sendiri dapat merasakan api semangat yang berkobar-kobar dalam diri isterinya ketika ini. Si comelnya masih menyukai layang-layang sehingga kini.
" Amboi, tak habis lagi nak bercakap besar. Tengoklah, orang yang bercakap besar ni selalu kalah. "
Booth kereta ditutup dan central lock ditekan untuk mengunci kenderaan. Lalu, mereka berjalan bersama-sama mencari kawasan yang agak lapang dan berangin untuk menerbangkan layang-layang. Akhirnya, mereka menjumpai kawasan yang sesuai untuk mula beraksi.
" Disebabkan Daneen kesian dekat abang, Daneen kasi abang terbangkan layang-layang dulu. Pergilah," ujar Hayyani sambil tayang muka kerek. Sengaja nak mencabar suaminya itu.
" Betul tak menyesal ni? "
Hayyani mengiyakan. " Yup. Tapi, tunggu Daneen kira sampai 3 dulu baru abang boleh lari. "
Elhan mengangguk bersetuju dengan syarat isterinya. Layang-layang yang dipegang bersedia untuk dilepaskan dari tangannya. Kakinya juga dalam posisi bersedia untuk berlepas selepas Hayyani memberi isyarat.
Hayyani memandang Elhan yang bersemangat itu dengan pandangan tersirat. Bibirnya juga tersenyum jahat. Ada sesuatu yang nakal terlintas di fikirannya ketika ini.
" Satu, dua... "
Belum sempat menyebut tiga, Hayyani terlebih dahulu berlari. Terdengar suaranya ketawa seolah puas dapat mengenakan Elhan.
" Mana aci macam ni. " Elhan yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan tak terjangka itu segera berlari mengejar Hayyani.
" Sorrylah, Daneen bukannya baik hati sangat nak kasi orang lain menang, " usik Hayyani lalu menjelirkan lidah pada Elhan yang cemberut. Jarang-jarang sekali dapat mengenakan suaminya itu. Reaksi wajah itu lebih mahal dan sukar didapati daripada jam tangan Omega yang pernah dimiliki oleh Elvis Presley dahulu.
" Abang mesti dah tak ingat cara main layang-layang kan?"
" Ya, abang dah lupa. Nak ejek abanglah tu."
Elhan pamer muka tak puas hati. Tahu sangat apabila melihat wajah isterinya itu. Tersenyum-senyum seolah puas dapat mengenakan dia. Punyalah payah dia cuba control macho tadi habis rosak semuanya.
Makin sakan Hayyani ketawa. Hidung suaminya dicuit. Ada kala keletah Elhan benar-benar menggeletek perasaannya.
" Abang, Daneen cuma nak ingatkan. Kalau nak main layang-layang sorang kena tolong pegangkan dan sorang lagi kena jadi juru anjung," beritahu Hayyani. Elhan berkerut memandang isterinya.
" Juru anjung?"
Hayyani tahan senyumnya melihat wajah itu. Apalah yang dia makan agaknya masa dekat London dulu sampai lupa terus cara main layang-layang. Padahal dulu dialah yang paling pakar. Gerutu Hayyani sendiri.
" Juru anjung tu orang yang pegang tali. Susah sikitlah nak terbangkan tanpa bantuan juru anjung tapi boleh aje ikut keadaan cuaca. Tapi kalau cuaca yang tak berangin sangat macam ni agak susahlah. Sebab tulah Daneen sengaja kenakan abang tadi. "
Mulut ditekup dengan tangan cuba menahan tawa. Hayyani masih tidak boleh melupakan kesungguhan Elhan ketika hendak menerbangkan layang-layang itu sendiri tadi. Memikirkan bagaimana Elhan mempercayainya bulat-bulat, keseriusan wajahnya terus diragut senyuman dan tawa yang enggan berhenti.
Elhan menggeleng kepala seraya mengukir senyuman. Gelagat Hayyani yang menawan hati membuatnya jatuh cinta. Senyuman dan tawa yang akan menjadi pemandangannya setiap saat dan ketika. Dia tidak kisah diusik asalkan dapat melihat wajah itu sampai bila-bila.
" Seronok kenakan abang eh. "
Hayyani berhenti ketawa juga akhirnya walaupun senyuman di bibirnya masih belum lekang. Dia mencubit kedua belah pipi Elhan. Kasihan pula dia melihat wajah muram suaminya itu.
" Alolo... merajuk dah baby boy Daneen ni. Meh, biar Daneen pegangkan abang jadi juru anjung," pujuk Hayyani. Dia menawarkan diri untuk membantu tanpa dipinta.
Beberapa ketika berlalu, Elhan dibayangi rasa cemburu menyaksikan layang-layang Hayyani yang masih konsisten di atas langit. Layang-layang miliknya saja yang masih paras-paras hidung. Tapi dia hanya mampu mendiamkan diri padahal rasa nak give up itu sudah sampai ke langit ketujuh. Susahnya nak dapatkan skill lama!
" Abang punya layang-layang dah bertambah berat badan ke? Dari tadi paras tu aje," perli Hayyani dengan senyuman mengejeknya.
" Abang kasi chance aje tu," bidas Elhan tak mahu kalah. Dah agak Hayyani mesti akan mengejeknya.
" Zaman kegemilangan Elhan Ashareeq dah berakhir. Sekarang ni, zaman Daneen Hayyani pula beraksi. " Hayyani berlagak di depan suaminya. Baru tahu siapa helang siapa gagak sekarang. Hohoho!
" Suka sangat ke dapat kalahkan abang?" Elhan mencubit pipi isterinya. Hayyani masih murah dengan tawanya.
" Sukalah. Dulu abang aje yang kalahkan Daneen. Meh sini Daneen tolong abang."
Gulungan tali layang-layang miliknya dengan Elhan bertukar tangan. Elhan kagum melihat kelincahan isterinya menghulur dan menarik tali layang-layang melawan arah angin. Dalam sekelip mata saja, layang-layang itu sudah melayang tinggi ke langit. Harus dia akui, Hayyani pemenang sebenar pertandingan ini.
****
Apabila sudah penat bermain layang-layang, Elhan dan Hayyani memilih untuk duduk berteduh di bawah pohon nan merendang yang berkedudukan menghadap tasik. Mencuci mata melihat kehijauan alam ditemani bayu yang bertiup lembut mendamaikan perasaan.
" Abang kena belanja makan malam ni."
Seperti yang dijanjikan, pemenang dapat makan percuma. Disebabkan Elhan sudah tewas sejak awal lagi, kemenangan kali ini adalah milik mutlak Hayyani.
" Abang memang penaja rasmi. Tak payah mintak pun dapat. "
Tawa mereka sama-sama meletus. Penat memang penat bermain layang-layang tadi. Tapi cukup berbaloi kerana mereka dapat kembali ke zaman kanak-kanak. Melarikan diri seketika daripada konflik yang hanya melanda manusia yang semakin dewasa.
" Masa Daneen kecil dulu Daneen selalu rasa takde orang yang sayangkan Daneen. Sebab tu Daneen selalu bawak diri jauh dari semua orang macam layang-layang dekat langit. Mula-mula Daneen rasa selesa tetapkan batas antara Daneen dengan orang lain tapi lama kelamaan Daneen mula rasa sunyi. Sama aje macam layang-layang putus tali. Terbang tinggi tapi tak tentu arah akhirnya jatuh ke tanah, " cerita Hayyani mendatar namun hikayatnya penuh jiwa. Sorotannya dipasak pada layang-layang yang berterbangan di langit biru milik kanak-kanak lain. Di hari yang indah itu, hatinya terbuka untuk memberi ruang buat Elhan memahami khalikahnya suatu masa dulu.
" Keluarga ni satu institusi masyarakat yang mendidik bermula dengan kasih sayang. Asas pembinaan keluarga antara seorang lelaki dan perempuan pun mestilah bermula dengan cinta. Mustahil sayang, mustahil keluarga awak sendiri tak sayangkan awak kalau asas kasih sayang tu cukup kukuh, " balas Elhan penuh sentimental. Dia menautkan jari jemari mereka biar mengalir pahala dari setiap sentuhan dan belaian berkah antara suami dan isteri.
Hayyani tersenyum hambar. Dia meletakkan pula kepalanya pada bahu Elhan. Kalbunya menjinak tiap kali dibelai lelaki itu.
" Tulah, mungkin Daneen overthinking sangat kut. I had to handle with a lot of emotion back then. Mungkin Daneen terbawa-bawa dengan perasaan yang tak pasti. Tapi bila dah besar, Daneen mula pandai kawal emosi. Banyak lagi ujian dalam hidup ni yang menguji emosi dan kesabaran kita, " ujar Hayyani lagi. Mengakhiri katanya dengan iktibar yang dipelajari daripada dukanya sendiri.
Jiwa mudanya memang kuat meronta dahulu. Kadang kala tersilap menilai antara kehendak sendiri dan nafsu belaka. Ibu tidak salah dalam semua hal memarahinya demi kebaikan dulu tapi dia juga seperti anak lain yang berkehendak menentukan papan cerita hidup sendiri. Biarpun kini semua itu semakin jauh dari genggaman.
Elhan mengemaskan pelukannya pada tubuh si isteri. Dia hanya mampu berempati walaupun mulutnya tidak bisa berkata banyak. Menyedari apa yang Hayyani perlukan cuma telinga untuk mendengar dan hati untuk memahami.
" Sayang, awak ingat tak masih kita kecil-kecil dulu kita selalu main layang-layang. Setiap kali umi bawak abang datang rumah awak mesti kita main layang-layang dengan abang Haris sekali. Abang teringat lagi sayang menangis dekat dalam tandas sebab merajuk tak dapat layang-layang macam abang. Waktu tu dalam fikiran abang cuma satu. Eee, cengengnya budak perempuan tu."
Hayyani menolak dada Elhan dengan muka semasam tapai. Cerita tu dah sedap nak dengar. Tapi kenapa yang hujungnya macam menyakitkan hati eh?
" Ohh, kecil-kecil lagi dah pandai mengutuk Daneen kan, " gerutu Hayyani. Kecil besar matanya memandang wajah senyum Elhan.
" Awak memang cengeng dulu. Nak buat macam mana. " Elhan sengaja mengata Hayyani. Kemudian, dia tergelak besar. Dia membiarkan saja lengannya ditampar si isteri.
Panas saja telinga Hayyani mendengar tawa yang makin bersambung-sambung itu. Nampaknya, pakatan Elhan untuk menyerang balasnya sudah dilancarkan. Eee! Tak suka betul kena usik macam ni tau!
" Nak dengar lagi tak?"
" Tak nak." Hayyani tayang muka tak berminat dan menyilangkan sambil tangan membuang pandang ke tengah tasik.
Elhan tersenyum. Dagu Hayyani dicuit agar kembali memandangnya. Berkali-kali dia mencuba, Hayyani tetap tak mahu menoleh.
" Dengarlah lagi. Abang belum habis cerita."
Dengan satu hembusan kuat, Hayyani kembali memandang Elhan. " Yelah tu."
Elhan mendepangkan tangannya untuk kembali memeluk bahu si isteri. Kepala Hayyani dikucup kejap. Hayyani tidak sedar darah merah menyerbu wajahnya gara-gara teruja diperlakukan begitu. Terus tak jadi nak marah tau. Memang sengaja buat dia blushing!
" Esoknya, abang ajak umi pergi kedai belikan layang-layang untuk awak pulak. Setiap hari abang tunggu umi bawak abang jumpa sayang untuk bagi layang-layang tu. Tiba-tiba, umi kata kami kena pindah segera ke Johor sebab kena berkhidmat dekat sana. Nak jumpa ibu dengan abah buat kali terakhir tapi masa tu keluarga awak ada dekat kampung jadi tak dapat nak jumpa. Penyudahnya, abang terus terlupa nak bagi sayang layang-layang tu sampai hari ni, " cerita Elhan panjang lebar.
Memorinya terhenyak dalam ingatan zaman kanak-kanak. Sewaktu persahabatannya dan Hayyani baru mula bertunas, dia terpaksa mengikuti umi untuk ke Johor Bahru. Selepas tempoh 10 tahun, barulah mereka kembali berpindah ke Shah Alam. Disebabkan itulah, mereka tidak lagi akrab. Kadang-kadang, dia cukup cemburu dengan Hanan yang masih bersahabat baik dengan Hayyani walaupun sudah lama berpisah.
" Kenapa abang tiba-tiba baik hati nak belikan Daneen layang-layang? Bukan abang bencikan Daneen ke dulu? " soal Hayyani sambil mendongakkan wajah memandang Elhan. Dulu, setiap kali dia cuba menyentuh barang peribadi Elhan, suaminya itu pasti akan melenting marah-marah.
" Abang tahu sayang tak percaya, but you are my first love. Unforgettable childhood memories. Sebab tu kalau tanya abang apa yang paling abang syukuri setakat ni, abang bersyukur dapat kahwin dengan first love abang. Orang kata cinta pertama mustahil untuk bersama tapi sekarang abang dapat buktikan yang dia orang salah. "
Dengan tidak semena-mena, air mata Hayyani mengalir sendiri. Dapat dia rasakan ketulusan dari bait-bait bicara itu. Ada unsur apresiasi dan kebanggaan yang maha hebat. Keikhlasannya juga bukan dibuat-buat. Malah dia sendiri tahu cinta Elhan kepadanya bukan dongeng tapi hakikat.
" Terima kasih abang. Terima kasih sebab dah jadikan Daneen cinta pertama abang. Kasih sayang abang untuk Daneen buat Daneen rasa terseksa. Daneen rasa terseksa kalau tergamak sakitkan hati abang," ungkap Hayyani ditemani air mata yang makin hebat bercurahan di pipi. Tak dapat menahan perasaan, mukanya disembamkan pada dada bidang Elhan.
Buat kali yang keberapa, dia disentak khayalan afeksi Elhan. Dia takkan mampu untuk menafikan realiti ini lagi. Tidak ada lelaki yang mampu mencintainya sehebat Elhan. Seharusnya dia meletakkan Elhan sebagai yang pertama di hati namun mengapa, mengapa mesti hadir dia pada masa yang sama. Kalau saja waktu itu mereka tidak berjumpa, pasti semua takkan begini.
" Abang nak kita sama-sama jaga cinta ni. Sampai bila-bila. Walaupun abang bukan yang pertama dalam hati awak, tapi abang nak jadi yang terakhir. Percayakan abang sayang, jangan sakit hati jangan sedih sorang-sorang. Kahwin ni tentang kebersamaan. Jadi abang nak sama-sama suka duka dengan awak sayang," ujar Elhan romantis. Titisan air mata di wajah Hayyani disapu dengan jari jemarinya.
Pelukan antara mereka dieratkan lagi. Sesungguhnya, tidak akan pernah ada nikmat kebahagiaan yang perlu Elhan persiakan lagi setiap kali bermadu kasih dengan Hayyani. Kebahagiaan yang menguasai mereka terasa semakin sukar untuk dilepaskan pergi. Berdoa agar kebahagiaan mereka kekal hingga ke hujung nyawa. Sehingga ke dalam syurga Maha Pencipta.
Share this novel