Bab 13

Romance Completed 15454

Bab 13

Sebaik saja kaki Hayyani mencecah lantai garaj, dia melihat kereta Proton Saga Encik Sulaiman sudah terparkir elok di situ. Barangkali abah sudah pulang dari sekolah sewaktu dia keluar tadi. Di luar pagar pula, ada kereta Grand Livina milik abangnya Haris. Meriah semacam aje. Ada apa-apa ke ni?

" Eh! Awek Istanbul dah balik!" Suara ceria Haris menegur Hayyani sebaik saja bayang adiknya itu muncul di ruang tamu.

" Hek eleh... perli orang aje tahu kan. Khaira dengan Mikael mana?" Hayyani memerhati sekeliling ruang tamu. Hanya ada abang dan kakak iparnya di situ.

Dia melangkah merapati abangnya yang sedang menonton tv. Tangan kasar Haris disalam. Dilempar senyuman semanis madu apabila wajah kakak iparnya, Balqis di sebelah Haris menyapa pandangan. Dia menghulurkan tangan bersalam dan memeluk kakak iparnya itu.

" Ada dekat atas. Tengah tidur. Penat lari-lari tadi. Itu yang lepas bagi susu aje terus tidur," cerita Balqis mesra.

Hayyani sekadar tersenyum. Tak sabar nak berjumpa dengan anak-anak buahnya yang banyak ragam dan comel-comel belaka itu. Di atas sofa bersebelahan Haris, dia melabuhkan duduk.

" Hai... salam aje? Buah tangan dari Istanbul takde ke? Abang ada kirim kat Daneen lokum kan. Hah... mana, mana?" Harris menadah tangan meminta-minta kepada Hayyani.

Hayyani mencebik. Abangnya memang kelakar, selamba dan gila-gila. Mungkin kerana itulah, Balqis boleh terpaut pada abangnya yang sengal ini.

" Eleh, dia kirim air liur aje kita bawaklah balik air liur jugak. Wang mari la..." Hayyani memulangkan paku buah keras dengan senyuman mengejek. Tangannya pula dihulur kepada Haris.

Haris tercengang. " Cis! Kurang asam punya adik." Pipi Hayyani terasa kebas dicubit Haris. Habis berbekas dengan warna merah pipi Hayyani yang agak cerah itu.

" Adalah. Daneen ada belikan untuk semua orang. Cuma tak sempat nak kasi lagi. Kejap lagi, eh? " Hayyani bersuara riang sambil memandang abangnya.

" Ha... macam ni baru adik abang. "

Bagai nak putus nafasnya apabila lengan besar Haris mula memaut lehernya. Bertuah punya abang!

" Hish... abang ni tak tahu malu betul. Itulah, sebelum saya mengandungkan Khaira lagi saya dah ajak pergi Istanbul tapi abang tak nak. Asyiklah sibuk dengan kerja. Sekarang ni sampai Mikael dah keluar perut pun abang tak bawak lagi pergi sana. " Balqis yang hanya memerhati sedari tadi mula bersuara. Haris hanya mampu tersengih-sengih sambil menggaru kepala yang tak gatal.

" Entah abang ni. Istanbul best tau. Abang kena pergi sana, " tambah Hayyani siap mengangkat ibu jarinya buat tanda bagus. Sengihannya bergentayangan menampakkan barisan giginya yang tersusun.

" Yalah, nanti abang pergilah bawak awak dengan anak-anak. Jangan merajuk sayang," pujuk Haris sambil mengusap lembut pipi Balqis di sebelah.

Hayyani tersenyum melihat mereka. Bahtera rumah tangga Haris dan Balqis masih utuh walaupun sudah 7 tahun berlalu. Seronoknya kalau keadaannya pun begini nanti.

" Bila kita nak pergi abang?" Balqis menggoncang tangan suaminya. Maklumlah dia tak pernah menjejakkan kaki ke sana.

" Amboi! Muka tu semangat kalau orang ajak jalan, kan?" Sakat Haris mengundang tawa Balqis.

" Nantilah tunggu abang cuti panjang. Daneen jadi tourist guide kita. "

Hayyani terus melipat maut. " Eee!! Sesuka hati aje nak suruh orang. "

" Apa salahnya? Kau pun dah tahu selok belok Istanbul. Mana tahu kau boleh tolong jagakan Mikael dengan Khaira sementara abang dengan kak Balqis pergi dating berdua. Untung-untung kau dapat anak buah baru. "

Haris mengangkat kening dengan senyuman nakalnya memandang si isteri. Automatik tangan ketam Balqis merayap di pinggang suaminya. Haris mengaduh kesakitan disambut gelak ketawa mereka bertiga. Adeh! Sengal punya abang.

" Daneen... dah tak reti-reti nak tolong ibu dengan abah dekat dapur? " Kelibat Puan Farida yang lengkap berapron sudah terjengul di ruang tamu. Automatik suasana yang hangat dengan tawa tadi bertukar dingin.

" Coming, ibu. " Hayyani melempar senyuman kelat kepada Balqis dan Haris. Dah faham sangat. Beg kertas di atas sofa bersebelahannya diambil sebelum dia bangkit.

" Biar Balqis ajelah yang tolong ibu. Khaira dengan Mikael pun tengah tidur sekarang. " Balqis menawarkan diri. Tadi pun dia ingin membantu namun Puan Farida tak benarkan. Setelah bertahun bergelar menantu, dia sudah maklum dengan sikap ibu mertuanya itu.

" Tak payah Balqis. Biar anak dara ibu ni buat kerja. Nak jadi isteri orang kena pandai buat kerja dapur kan. Jangan tahu nak panjang langkah aje, " sindir Puan Farida pedas.

Hayyani rasa tertampar. Namun dia tetap menahan sabar walaupun maruahnya terasa seperti sedang diinjak-injak di depan Balqis dan Haris. Sabar dan sabar. Itulah kalimat yang sentiasa menjadi azimatnya demi menghadapi Puan Farida yang perengus.

" Kejap, Daneen nak salin baju dulu. "

Tanpa berlengah, Hayyani mula membuka langkah melepasi Puan Farida yang asyik memerhatinya bagai tak berpuas hati.

" Kejap... kejap... kejap." Langkah Hayyani membeku. Puan Farida sudah mendekati dan kali ini beg kertas di tangannya menjadi perhatian wanita pertengahan 50 an itu.

" Ni... beli barang banyak-banyak ni dapat duit dari mana? Dekat Istanbul dah sakan berbelanja. Takkan tak puas-puas lagi. Berjimat cermat sikit jangan tahu nak berhabis aje. Kau ni kerja pun tak ada lagi. Ingat duit ni senang nak cari? "

Hayyani ketap bibir bawahnya sedang cuba menahan tangis. Tubuhnya juga sedikit menggigil menahan gelojak kemarahan yang berbangkit di hati. Puan Farida selalu saja nak mencari salahnya tanpa usul periksa.

Haris yang menyaksikan sedari tadi mula bergerak mendekati ibu dan adiknya yang sudah bermuram durja.

" Lah... biarlah ibu dia beli apa dia nak. Haris pun ada bank in sikit duit belanja untuk Daneen semalam. Agaknya dia pakai duit tulah kut. "

Haris membela Hayyani. Bahu adiknya dipeluk erat cuba menenangkan Hayyani. Sebagai anak sulung, tak ada salahnya dia bersuara demi meredakan situasi.

" Daneen naik dulu. " Hayyani buru-buru memanjat anak tangga tanpa sedikit pun memandang wajah sesiapa. Hatinya remuk redam.

****

Haleena menolak daun pintu bilik Hayyani. Suasana bilik agak suram. Yang terpasang hanya lampu tidur. Dia lihat kakaknya sedang bermalasan di atas katil sambil menyiapkan lukisan

" Akak, jomlah turun makan."

" Akak tak lapar. Pergilah makan sana. " Suara Hayyani seperti tak bersemangat. Matanya masih fokus pada lukisan.

Haleena lepas keluhan berat. Dia duduk di birai katil. " Tak boleh. Kali ni abah sendiri yang turun perintah. Abah kata ada sesuatu nak tunjuk kat akak."

Hayyani menukar posisi daripada meniarap kepada duduk. Bantal goleknya dibawa ke dalam pelukan. Hilang sudah rasa lapar setelah puas disindir dan dibebel tadi. Naik kebas telinganya nak menadah lagi.

" Akak dah penatlah Leen. Letih nak bertekak dengan ibu pasal benda yang sama aje. Akak ni dah boleh hafal tau sebiji-sebiji apa yang keluar dari mulut ibu."

Haleena lepas pandangan simpati. Dia kasihankan kakaknya. Selesai saja menolong di dapur tadi Hayyani terus naik ke bilik dan mengunci dirinya.

" Nak buat macam mana kak. Kita semua ni dah masak sangat dengan perangai ibu. Tak boleh nak buat apa pun. Redha ajelah."

" Akak tak mintak pun ibu belai rambut akak, puji akak macam-macam. Akak cuma mintak ibu cakap baik-baik aje. Tapi itu pun ibu tak boleh buat, " luah Hayyani. Dia jadi emosional sendiri acap kali bercakap soal layanan Puan Farida terhadapnya.

Haleena peluk lengan Hayyani erat. Di bahu kakaknya, dia meletakkan kepala.

" Baik buruk macam mana pun ibu tu, dia tetap ibu kita. Allah takdirkan ibu jadi mak kita, sebab kita aje yang mampu hadapi sikap ibu yang macam ni. Rasanya kalau orang lain duduk tempat kita, dia orang pun tak boleh tahan agaknya. Akak boleh hidup bertahun lama dalam rumah ni dengar ibu membebel setiap hari. Maknanya, akak kuatlah. Kan, kak? " Soal Haleena sambil tersenyum. Sebenarnya lebih kepada sebuah pernyataan.

Hayyani senyum kembali. Memungkinkan bahawa hatinya sedikit terpujuk dengan kata-kata Haleena. Patutlah setiap kali abah yang merajuk tu boleh sejuk hati bila dipujuk Haleena. Ibu pun tak ada kelebihan ini.

" Hmm..." Tapi, tak boleh ke ibu layan aku baik-baik walaupun aku sebagai anak kena terima dia seadanya? Hati kecil Hayyani masih berharap.

" Jomlah kak. Kita makan sekali, eh?"

Lambat-lambat Hayyani bersetuju juga. Lagipun di bawah ada Haris dan Balqis serta dua orang anak buahnya. Bolehlah dia mengelak daripada menjadi tumpuan Puan Farida.

" Eh jap. Akak nak turun pakai macam ni? "

Hayyani berkerut. " Yalah, kenapa tak elok ke pakai baju kelawar aje? " Baju kelawar yang membaluti tubuhnya diimbas dari atas ke bawah. Elok aje aku pakai selama ni. Tak pernah jadi isu pun.

" Akak pakailah elok-elok sikit. Pakai ni sekali. " Haleena mencapai selendang hitam pada penyangkut di belakang pintu lalu diserahkan kepada Hayyani.

" Tak naklah. Bukannya ada orang bukan mahram pun dekat bawah sana. " Tapi aneh, dia lihat Haleena juga sudah bertudung litup. Something is fishy!

" Alah... pakai ajelah. Leen nak ajak akak beli top up lepas makan nanti."

" Top up? Bukan kau pakai postpaid ke?" Tanya Hayyani ragu.

Haleena telan liur. " Err... top up Mobile Legend. Nak naikkan rank kena pakai top up. Alah akak apa tahu akak bukan kaki game. Please... Leen tunggu kat luar eh? " Haleena tersengih-sengih ada makna.

Nak tak nak terpaksa juga Hayyani mengambil selendang itu. Macam-macam hal betul kanak-kanak riang ni. Selalu saja jadi mangsa kalau adiknya itu hendak ke mana-mana.

****

Ketika kaki mereka mencecah anak tangga paling bawah, mata Hayyani terus menangkap susuk tubuh Elhan di depan mata. Hanya sekilas kerlingan yang Hayyani terima sebelum lelaki yang santai bertshirt kolar itu membontoti Encik Sulaiman menuju ke meja makan.

Dia mencerlung kepada Haleena yang sudah tersengih-sengih di sebelahnya. Kurang asam punya adik! Tapi dia tertanya-tanya, masih merajukkah Elhan dengannya sejak kejadian minggu lepas? Ketat semacam aje muka.

Ketika di meja makan, dia terpaksa duduk bersebelahan Elhan oleh kerana kerusi yang lain semuanya sudah diduduki. Wajah Haleena dipandang memberi isyarat menukar tempat duduk namun adiknya itu buat tak tahu saja. Sakit pula hatinya.

" Elhan, tambah lagi lauk tu. Ada banyak jenis ni. Buat macam rumah sendiri. Jangan segan-segan. Macamlah baru sehari dua kenal, " ramah suara Encik Sulaiman mempelawa.

" Rambang mata saya abah nak pilih lauk ni. Rasa nak bungkus bawak balik aje simpan untuk esok, " seloroh Elhan seraya tergelak nipis.

" Kalau nak datang makan, datang ajelah bila-bila masa kamu nak. Abah dengan ibu boleh masakkan, " ceria suara Puan Farida ketika berbicara.

Hayyani menjeruk rasa. Layanan baik ibunya kepada Elhan bagai mencengkam seluruh urat dan sarafnya dengan walang. Kalau dengan dia, senyum pun susah apatah lagi nak bercakap dengan suara yang lemah gemalai begitu.

" Boleh ke abah? Kalau boleh bulan puasa nanti saya sahur dengan berbuka dekat sini ajelah, " seloroh Elhan menghangatkan lagi suasana di ruang makan.

Hayyani menyuap sedikit demi sedikit nasi ke dalam mulutnya. Apabila dia melihat Elhan berjenaka, tak ada pula dia merasakan kalau lelaki itu hanya berpura-pura. Bahasa dan tingkah lakunya juga sangat bersopan santun ketika bercakap dengan orang tua tidak seperti dulu. Mungkinkah Elhan sudah benar-benar berubah?

" Boleh sangat. Takde masalah. Ni, tambah lagi apa yang ada atas meja ni, " pelawa Encik Sulaiman mesra.

Elhan tersenyum manis. " Dah dua round abah. Sedap makanan ni semua. Ibu yang masak ke? "

" Semua ni abah kamu yang masak. Ibu dengan Daneen tolong-tolong sedia bahan aje. Kecuali sambal bunga kantan yang kamu makan tu. Daneen yang masak. "

Hayyani tersentak. Terperanjat kerana kata-kata itu meluncur dari bibir Puan Farida. Namun dia berpura-pura tak terkesan dan menancapkan pandangan pada Haris dan Balqis yang sedang melayan putera dan puteri mereka makan.

" Oh... patutlah sedap. Kalau macam tu lain kali saya datang bawak bunga kantan saya tahulah nak suruh siapa masak, kan? " Elhan berjenaka lagi disambut dengan tawa ahli keluarga bakal mertuanya. Sengaja dia mengusik Hayyani.

Tenang Hayyani! Kau tak boleh menggelabah bila dia sakat macam tu. Buat biasa aje, okey.

" Tambah lagi Han, kalau sedap hari-hari Daneen boleh masakkan untuk kau. Tu, tok guru sedia turunkan ilmu pada Daneen. " Haris yang sekadar mendengar sedari tadi mula menerbit jenaka memeriahkan lagi suasana makan malam kali ini.

Sepanjang menikmati santapan malam, hanya tawa dan perbualan mesra saja yang kedengaran bersambut-sambut antara Elhan dan ahli keluarganya. Hanya Hayyani saja yang banyak membatukan diri. Entah kenapa kehadiran Elhan bersama seolah-olah mampu menghidangkan aura yang terasa berbeza kali ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience