Rate

Bab 48 : Tegang

Romance Completed 402255

Dari dalam rumah, Azah merenung sahaja Hilmi yang sedang melepak di luar rumah. Azah perasan yang sejak balik dari menjalankan tugas di Kuala Lumpur, lebih banyak termenung. Hendak bertanya Azah tidak mempunyai keberanian. Entah apa yang sedang mengganggu fikiran Hilmi. Langkah diatur menuju ke bilik tidur.

"Yang sorang termenung dalam rumah, sorang lagi termenung dekat luar rumah. Entah apa masalah mereka ni ma." Bisik Hannah kepada Zainab yang sejak dari tadi mengintip dari dapur.

"Hannah rasa kenapa?" Tanya Zainab, juga berbisik.

"Entah lah ma. Tapi sejak abang balik dari Kuala Lumpur tu, macam tu lah perangainya. Pagi-pagi lagi keluar dari rumah. Tak kejut kakak pulak tu. Nak kata gaduh, takde pun dengar apa-apa." Balas Hannah.

"Mama nak tahu sangat-sangat, tapi tak boleh lah nak tanya. Sebab itu kan rumah tangga mereka berdua. Tak apalah, kalau ada masalah, harap-harap mereka selesaikan dengan baik. Baru nak bahagia, Hilmi ni buat perangai pulak!" Bebel Zainab.

"Itulah, patut abang tu kalau ada apa-apa, cakap dengan kita. Bukannya diam je, dingin ala-ala ais kacang. Kakak tu dah lah tengah pregnant. Makan pun sikit je sekarang ni." Sambung Hannah.

"Mama rasa, mama nak suruh papa tanya abang. Sekarang jugak. Tak boleh tangguh-tangguh lagi dah. Meletup kepala mama nanti." Zainab segera melangkah ke bilik tidurnya mencari kelibat suami.

"Okey, go mama, go mama!"

Hilmi melihat waktu pada jam tangan. 10.30 malam. Sekejap lagi boleh la masuk ke dalam bilik sebab Azah dah tidur. Dia akan cuba mengelak dari berhadapan dengan Azah selagi boleh. Apa yang diceritakan oleh Izzat, melekat dalam kepalanya. Arghhh! Jahanam betul.

"Buat apa dekat luar ni?" Tanya Sharif sambil melabuhkan duduknya di kerusi batu yang terletak bersebelahan dengan kerusi yang diduduki oleh Hilmi.

"Tak ada apa-apa pa. Mi ambik angin je. Rasa tak sihat sikit." Jawab Hilmi lancar, seolah jawapan itu telah disediakan skripnya sejak sekian lama.

"Sejak balik dari KL ni, papa tengok yang Mi tak bercakap dengan Azah. Waktu makan pun buat hal masing-masing." Sharif terus sahaja bertanya tanpa ada bengkang-bengkok simpang-siurnya.

"Tak ada pa. Kan Mi dah cakap, Mi penat je. Tak sihat."

"Kalau betul tak sihat, kenapa tak masuk rehat kat dalam bilik? Boleh jugak bercakap dengan Azah sambil-sambil rehat tu." Nasihat Sharif.

"Tak lah, rasa terkurung duduk dalam bilik. Mi nak angin segar malam-malam macam ni. Duduk luar lagi best." Jawab Hilmi malas.

Entah apa-apa je yang papa nak ni. Tiba-tiba datang bersembang, suruh rehat dalam bilik. Orang tak nak jumpa Azah, dia lagi suruh untuk berdepan dengan Azah.

"Kalau ada apa-apa masalah, cerita. Bukan berdiam diri. Jangan jadi macam Haneesya. Masalah dah besar baru nak sedar. Masa tu, dah agak terlambat." Sharif memulakan tugasnya mencungkil rahsia dan pada masa yang sama, menasihati Hilmi.

"Kenapa papa tiba-tiba sebut nama Kak Sya ni?" Tanya Hilmi dengan nada yang tidak senang.

"Papa perasan perubahan pada Mi. Mi jangan ingat papa tak tahu Mi senyap-senyap pergi jumpa Izzat tu. Kenapa? Apa yang dia cakap pada Mi sampai Mi berubah macam ni.

Masa nak Azah tu, Mi tak sabar-sabar. Dah dapat, Mi sia-siakan. Jangan jadi suami yang dayus Hilmi. Papa tak pernah ajar Mi layan isteri macam tu." Tegur Sharif lagi, apabila dilihatkan Hilmi seolah tidak berminat untuk terus bersembang dengannya.

Hilmi diam tidak berkutik. Tangannya dikepal geram. Sebaik sahaja papanya berdiri, dia bersuara.

"Mi dayus, atau papa yang dayus?" Nadanya sinis, menimbulkan perasaan hairan pada Sharif.

"Apa maksud Mi?" Tanya Sharif dengan nadanya yang sudah naik setingkat dari tadi.

"Papa jangan buat-buat tak tahu, papa sendiri ada jawapannya. Kenapa nak teruskan berpura-pura lagi?" Kali ini, Hilmi yang sudah berdiri, melangkah laju masuk ke dalam rumah, seterusnya masuk ke bilik tidur.

*****

Bahu Azah yang sedang menyapu losyen panas pada kakinya terhinggut. Terkejut dek kerana kuatnya tolakan pada pintu bilik, begitu juga kuat bunyi berdentum pintu apabila Hilmi menolak pintu itu kuat untuk menutup pintu.

"Esok nak balik rumah sewa. Kemas semua baju, barang jangan tinggal." Sebiji bantal diambil dari kepalanya, buat menutup wajah.

Azah terdiam. Ingin sahaja dia bertanya lebih lagi, namun, melihatkan Hilmi yang sedang berangin bagaikan sudah tertelan sepuluh biji kipas itu, dia membatalkan niatnya. Gila, kalau ditanya juga memang menempah bala lah jawabnya.

****

"Azah! Kenapa pandai-pandai buat keputusan nak masuk mengajar semula?" Tiada angin, tiada ribut, balik sahaja dari tempat kerja, Hilmi mengamuk.

Terasa kering darahnya berhadapan dengan Hilmi yang sudah begitu berbeza sikapnya. Entah apa yang merasuk, tak pernah lekang dari marah.

"Errr, Azah, Azah, err Azah dapat panggilan tadi, mereka cakap tak cukup tenaga pengajar sebab tak dapat nak cari ganti untuk Kak Siha yang baru je cuti bersalin. Azah pun dah okey, Izzat pun dah kena tangkap, Azah ingatkan abang akan okey je kalau Azah masuk mengajar semula." Terang Azah.

"Kenapa suka sangat buat assumption sendiri? Tak boleh nak tanya dulu ke?" Tanya Hilmi berang.

Azah memejamkan matanya. Kali kedua, sepatutnya kau dah tak gentar Azah. Kau boleh hidup sendiri. Kau tak perlukan belas simpati orang, apatah lagi manusia yang mengaku suami tetapi melayan kau macam kau bukanlah sesiapa.

"Kalau abang ada masalah dengan Azah, cakap dekat Azah elok-elok. Kalau nak lepaskan Azah pun, Azah tak kisah. Tapi jangan nak balik, tiba-tiba terus mengamuk macam ni. Azah tahan je perasaan, tapi kalau macam ni perangai abang, elok Azah jadi janda."

Kau ingat, kau sorang je yang pandai marah? Aku ni, tak ada perasaan?

"Kenapa cakap pasal cerai? Ada abang ungkit pasal cerai ke?" Tanya Hilmi dengan nada bertingkat-tingkat tinggi.

"Tak payah tunggu abang cakap setepek depan muka pun, Azah dah faham lah. Azah bukannya bodoh. Kalau dah tak suka, lepas. Jangan main tarik tali. Penat tahu tak nak meneka!" Marah Azah.

"Apa masalah Azah ni?" Tanya Hilmi yang sudah kehilangan kata-kata.

"Azah tak ada masalah. Abang tu yang ada masalah. Tak payah nak buat-buat bodoh pulak. Azah setuju kahwin dengan abang bukan sebab Azah takut hidup sorang.

Azah sikit pun tak kisah jadi janda. Azah kahwin pun bukan sebab nak menumpang abang. Sebab cinta. Kalau macam ni, baik tak payah kahwin. Buang masa Azah je. Sebab abang tak ada beza dengan ex-husband Azah. Dua-dua lebih pandai menyakitkan hati je."

Hilmi tegang, Azah turut sama tegang. Baru sahaja Hilmi mahu bersuara lagi, Zainab datang meleraikan mereka dari terus bergaduh. Ditarik ya Azah untuk masuk ke bilik Hannah sehingga marah kedua mereka reda.

Kalau tak reda juga, tahu lah dia redakan marah Hilmi ni.

Enjoy reading! :) Maaf tau kalau pendek-pendek. Menaip dekat komputer pakai dua jari je untuk tangan kanan ni sebab jari manis belum boleh bengkok tanpa rasa sakit. Bila terbengkok, mula la sakit. Bila sakit otak pun terkejut terus hilang ayat yang dah rangka dalam kepala. Huhu Kalau nak versi lagi panjang, N tak sempat nak update hari-hari. Maaf sangat-sangat, bukan saja-saja buat pendek T_T Terima kasih banyak-banyak masih sudi singgah luangkan masa untuk membaca T_T Love, N

Share this novel

Diela Muhd
2021-08-25 20:32:39 

semoga cepat sembuh N....


NovelPlus Premium

The best ads free experience