Rate

Bab 1 : Kampus

Romance Completed 402255

Pertemuan tadi, walaupun singkat, tetapi cukup mendebarkan. Mana taknya selepas beberapa tahun tidak berjumpa, hari ini lelaki itu kembali muncul di depan mata. Tak jadi untuk memasak, Azah simpan sahaja kesemua barang dapur yang dibelinya tadi. Sayur-sayur dimasukkan kedalam peti sejuk.

Order jelah. Tak berdaya dia nak masak selepas terjumpa lelaki itu tadi. Tangannya masih menggigil mengingatkan kejadian dipasaraya. Fikirannya menerawang, kembali ke masa silam.

Disember 2005

"Nak pergi mana?" Tanya Nurul.

"Balik bilik lah. Nak rehat. Kan dah habis berjalan-jalan dekat bangunan Human Sciences tu." Jawab Azah.

Sebagai pelajar baru, mereka diwajibkan untuk berjalan sekitar UIAM kampus Gombak sebelum kelas bermula pada hari Isnin nanti, pada hari Sabtu yang merupakan hari terakhir untuk minggu orientasi itu. Kata senior, takut mereka sesat mencari kelas. Selain dari bangunan Human Sciences, mereka melajakkan diri ke bangunan kuliah Islamic Revealed Knowledge (IRK) atau lebih dikenali sebagai Kuliah Ilmu Wahyu dan Administration (ADM).

Dan oh ya, perpustakaan juga. Alah, yang tempat Shahida penyanyi nasyid kumpulan Solehah itu melakonkan iklan shampu Sunsilk. Yang kertasnya jatuh dekat tangga, mata bertentang mata dengan jejaka kacak lalu jatuh cinta. Sweet! Jadi, masuk universiti ni, akan jumpa jodoh cara macam tu ke? Nak kena langgar siapa ni supaya kertasnya jatuh dan jatuh cinta?

Selain dari berjalan-jalan tadi, senior itu, Kak Wan Nadiah berbaik hati mengajar mereka cara mengetahui lokasi kelas berdasarkan nama bangunan samada HS, ADM, IRK, kadangkala boleh sampai ke bangunan Economics di hujung sana, berdekatan Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws (AIKOL) untuk kelas bagi subjek pilihan yang wajib diambil. Jauh!

"Tak nak makan dulu dekat sini? Boleh cuci mata, ehemm." Bisik Nurul.

Cepat sahaja Azah menggeleng.

"Tak nak lah. Azah penat. Nak balik bilik, bukak kipas nombor 5, lepas tu tidur. Tengahari dah, punyalah panas ni, rimas dah Azah pakai tudung sebab peluh menitik laju disebalik tudung ni." Jawab Azah.

"Please Azah, Nurul nak tengok orang tu." Rayu Nurul.

"Orang mana? Coke ke?" Tanya Azah.

Nurul angguk sahaja. Matanya sehabis bulat dia tunjukkan kepada Azah supaya Azah mengikut sahaja katanya. Azah berdecit, tidak puas hati. Tetapi untuk dia kembali ke bilik sendiri dan berjalan kaki berseorangan juga tidak mungkin.

"Nurul nampak dia tengah beratur nak beli makanan dekat HS Cafe." Bisik Nurul.

Azah buat muka geram.

"Haaa yelah. Jom." Balas Azah.

Apalah susah sangat Nurul ni. Kan lebih baik kalau dia mengaku sahaja dengan si Coke tu yang dia sukakan Coke. Manalah tahu kalau-kalau Coke tu masih single, boleh lah mereka ke tahap seterusnya dalam perhubungan teruna dan dara. Ni tak, acah-acah hendak mengintai dan ikut dalam diam sahaja. Seram!

"Pergilah beli dulu. Nanti Azah beli sendiri." Azah melabuhkan duduk pada kerusi dan meja kosong.

Meja itu pula sengaja dipilih oleh Nurul bertentangan dengan meja yang diduduki oleh Cole dan rakan-rakannya. Coke itu, sama kuliah dengan mereka. Human Sciences. Tetapi pengkhususannya berbeza. Sains Politik. Macam mana Nurul boleh sukakan Coke?

Semuanya bermula ketika mereka belajar di Nilai, Selangor. Ehhh :p

Maaf. Nilai itu di Negeri Sembilan. Bukan Selangor. Maaf untuk kekeliruan lokasi dan negeri yang terlibat. Waktu itu, semua pelajar jurusan bukan Sains seperti Undang-undang, Sains Kemanusiaan, dan Ekonomi bagi Pusat Asasi UIAM ditempatkan ni Nilai, betul-betul di luar pagar masjid Bandar Baru Nilai. Coke ini juga salah satu dari pelajar tersebut.

Cerita Nurul, Coke ada satu kebiasaan yang sangat comel di matanya. Coke suka berpakaian kemas, berkemeja lengan panjang dan seluar slack, membimbit buku dari bangunan kelas di blok C, melintasi padang untuk kembali ke asrama lelaki di blok B1 dan B2. Kulitnya cerah, matanya kelihatan sedikit sepet dan wajahnya kelihatan seperti dia sentiasa sedang tersenyum manis.

Jadi sepanjang semester 1 dan semester 2, itulah kerja tambahan Nurul. Mengusha Coke yang suka menunduk ketika berjalan. Coke juga kelihatan begitu kekok untuk bercakap dengan pelajar perempuan walaupun rakan sekelas. Kata Nurul lagi, itulah lelaki idamannya. Oh ya, Coke itu gelaran yang diberi Nurul, disebabkan songkok hitam yang dipakai Coke sebagai pelengkap gayanya setiap hari.

"Hari-hari makan nasi kosong pun tak apa, asalkan Coke ada depan mata." Ucap Nurul teruja sambil matanya tidak lekang dari memandang Coke yang sedang menikmati makan tengaharinya.

Azah mengecilkan matanya tatkala dia memandang Nurul, menggeleng kepala lalu menutup mata Nurul dengan tapak tangan kanannya sebelum dia bangun dan mula beratur untuk membeli makanan. Nurul niiiii, tak cover langsung gediknya.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience