Rate

Bab 61 : Entah

Romance Completed 402255

"Tak lama lagi, Azah pulak, kan?" Usik Kak Mazlina pada Azah yang sedang memangku Cahaya Orked, cahayamata pertama Kak Mazlina.

"Insya Allah kak." Balas Azah pendek.

Gelisah kerana dari tadi tingkahnya diperhatikan oleh Hilmi. Tak selesa. Beberapa bulan lamanya dia hidup bersendirian, dia rasa kekok untuk berdepan dengan Hilmi. Rasa gelisahnya sama seperti dia di tempat awam dengan mana-mana orang yang tidak dikenali.

"Azah bersalin dekat mana nanti?" Tanya Kak Mazlina lagi.

"Tak pasti lagi kak. Macam nak balik kampung. Itu pun kalau sempat, takut terbersalin awal je." Balas Azah.

Ini yang dia rasa berat hati untuk menghadirkan diri ke kenduri Kak Mazlina ini. Kerana sejujurnya, dia sendiri masih belum mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk hal urusan bersalin ini. Nak balik kampung? Mustahil sekali dengan perangai ibu yang masih membantah perkahwinannya bersama Hilmi.

"Betul jugak tu, kalau sempat bersalin dekat kampung, mestilah nak dekat kampung kan. Selesa jugak pantang dengan mak sendiri. Tapi mak mentua Azah pun apa kurangnya, sayang sangat dekat Azah kan. Rasanya, kalau terbersalin awal dekat sini pun, mak mentua boleh jagakan." Sambung Kak Mazlina pula.

Azah hanya mendiamkan diri, mengiyakan pun tidak, menafikan juga tidak. Biar lah orang membuat spekulasi mereka sendiri. Dia tidak mahu terlalu banyak berkongsi hal peribadinya. Cahaya Orked diserahkan semula kepada Kak Mazlina.

Sejak sarat ini, dia cepat berasa mengah, penat dan hampir 24 jam sehari dia mengantuk. Mulut yang hampir menguap itu cepat sahaja ditutup Hilmi dengan belakang tangan kirinya.

"Kami mintak diri dulu lah kak. Azah pun penat sangat dah ni. Insya Allah, bila akak dah balik Kuantan nanti, saya dengan Azah ziarah baby lagi." Hilmi bersuara bagi pihak Azah.

"Tak apa, balik lah dulu. Akak faham. Akak pun hujung-hujung mengandung dulu tu, pun macam ni lah. Cepat penat. Mengantuk tak payah cerita.

Dalam kelas pun macam sempat je akak tertidur. Punyalah penat. Terima kasih Azah dengan Hilmi, sebab sudi datang jauh-jauh dari Kuantan. Rasanya nanti kita jumpa semula, akak pangku baby Azah pula." Balas Kak Mazlina.

Sebelum bertolak balik ke Kuantan, sempat Hilmi menyerahkan satu hamper besar untuk Cahaya Orked, manakala Azah menyerahkan satu sampul yang mengandungi duit kerana dia tidak sempat membeli apa-apa hadiah untuk Cahaya Orked.

*****

Masuk sahaja ke dalam kereta, Azah terus memejamkan matanya untuk mengelak dari berbicara dengan Hilmi. Namun, nampaknya Hilmi berpura-pura tidak faham akan klu yang diberi Azah. Dia terus-terusan mencuba untuk bersembang.

"Ada nak singgah mana-mana tak?" Tanya Hilmi, dia tahu walaupun Azah melelapkan mata, namun dia bukan lah dalam keadaan tidur.

"Tak ada." Jawab Azah malas.

Dia memeluk tubuhnya yang sedikit kesejukan apabila badannya disapa oleh pendingin hawa yang dalam keadaan paling minimum itu pun, masih terlalu menyejukkan. Agaknya sebab kereta Hilmi ini bukan kereta tempatan.

Kalau Myvi nya, untuk sejuk begini dia perlu memulas tombol suhu hampir maksimum, dengan kelajuan kipas pada nombor dua atau tiga. Atau hanya dia yang merasa panas lain macam. Lantak lah, tak larat nak fikir. Nak tidur je ni. Tangannya diselindungkan di sebalik tudung yang dipakai. Sejuk!

"Sejuk ke?" Tanya Hilmi.

"Hmmmm."

"Nah selimut dengan sweater abang. Selimut yang biasa sayang guna tu abang keluarkan dari kereta sebab nak cuci. Tapi itulah, tak tercuci pun lagi." Sweater yang tersangkut pada kerusi pemandu itu dicapai dengan tangan sebelah kirinya dan diserahkan kepada Azah.

Laju sahaja Azah menyelubungkan dirinya dengan sweater itu. Namun, bau wangian Hilmi yang menusuk hidungnya setiap kali dia menarik nafas itu mendera perasaan. Minyak wangi yang dia beri sebagai hadiah kepada Hilmi sewaktu mereka mula-mula bernikah.

Bau yang menemani setiap malamnya tanpa gagal, sehinggalah peristiwa dia dilarikan oleh Izzat. Lalu segalanya mula menjadi kacau bilau selepas itu. Singkat benar waktu dia berbahagia. Matanya yang masih terpejam itu membuatkan fikirannya melayang jauh. Satu demi satu kata-kata kasar Hilmi dimainkan semula oleh kotak ingatannya.

Lama Azah tenggelam dalam lamunan dunianya sendiri, sehinggalah sentuhan lembut Hilmi pada perutnya menarik Azah untuk kembali ke dunia realiti. Laju sahaja dia menepis tangan itu dari terus-terusan mengusap perutnya. Kekok.

"Jangan lah sentuh." Biarlah, walaupun tindakannya menolak tangan itu tadi kelihatan begitu kasar.

"Kenapa?" Tanya Hilmi lurus.

"Saya tak suka." Jawab Azah tanpa berselindung.

"Oh, okey. Abang mintak maaf. Lain kali abang janji tak buat lagi." Balas Hilmi, sedikit tersinggung namun dia sedar kesilapan diri.

Keadaan dalam kereta itu kembali sunyi sepi. Beberapa ketika kemudian, Azah yang disangkanya sedang tidur itu mengusap perutnya perlahan. Tidak lama kemudian, Azah mengeluarkan telefonnya. Menaip sesuatu pada aplikasi WhatsApp dan menyimpannya semula.

"Rumah yang abang beli tu, dah dapat kunci. Nanti kita pergi tengok sama-sama ya? Boleh plan untuk beli perabut semua tu." Beritahu Hilmi.

Azah masih mendiamkan diri. Hilmi ini masih lagi tidak faham agaknya. Kalau diberikan istana sekalipun, belum tentu lagi Azah dapat melupakan setiap perbuatannya itu. Belum tentu luka besar yang Hilmi tinggalkan itu akan sembuh. Belum tentu dapat Azah berpura-pura, seolah-olah tiada apa yang terjadi antara mereka.

"Abang ingat nak masuk rumah tu sebelum sayang bersalin. Nanti kita bincang dengan Interior Designer. Sayang ada nak beli barang keperluan bilik baby jugak tak?" Sambung Hilmi lagi, apabila Azah masih diam begitu.

"Kalau boleh, abang nak jaga sendiri sayang pantang nanti. Dengan bantuan mama dan ibu lah. Itu pun kalau sayang sudi. Jadi abang harappppp sangat sayang bersalin dekat sini. Boleh tak sayang?"

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience