Rate

Bab 93 : Terisi

Romance Completed 402255

"Kau ni memang kurang ajar lah Ayu. Sia-sia aku buat baik dengan kau. Tu laki kau tu, ada berapa tahun je lagi nak keluar. Tapi kau kat luar ni dah buat perangai. Kau tak malu ke?" Bebel Maimunah.

Ayu mendiamkan diri sahaja di sofa itu. Bingit telinganya mendengarkan bebelan Maimunah sejak dia ter tangkap oleh Maimunah sewaktu rakan sekerja lelakinya menghantar dia balik ke rumah. Bukan berdua, tetapi ada seorang lagi bersama mereka.

"Bonda, Ayu bukan buat benda bukan-bukan pun. Mereka tu hantar Ayu balik je alang-alang dah satu jalan. Dah nak buat macam mana kalau dah terpaksa OT. Bukan ada teksi malam-malam macam ni. Ayu ni ikhlas kerja sebab anak bonda tu dah buat benda bodoh dekat janda dia. Macam orang tak ada otak, bonda tahu tak?

Akibatnya, bukan dia sorang je yang tanggung. Ni Ayu ni, kena sara tiga anak. Hantar pengasuh je dah RM1000.00 gaji Ayu habis. Bakinya ada berapa sen je lagi. Harapkan bonda jaga, memang takkan nak jaganya. Penat lah, tak laratlah. Itu kan cucu bonda jugak." Marah Ayu.

"Eh Ayu, kau cakap dengan aku ni baik-baik sikit. Aku ni mak mentua kau. Bukan kawan-kawan kau, boleh sergah sana sini." Hambur Maimunah, tak nak kalah.

"Bila fikir balik, memang patutlah janda dia mintak cerai. Ayu je yang bodoh terhegeh-hegeh terima untuk kahwin dengan Izzat, kononnya akan bahagia sebab mak mentua yang pilih. Tapi Ayu silap. Ayu tak bahagia langsung. Agaknya ini balasan sebab Ayu aniaya Azah tu.

Rampas laki orang sesuka hati, sakitkan hati Azah. Selama kahwin, Izzat tak ada pun layan Ayu baik-baik. Harap ke bonda, bercakap je lebih kononnya akan jaga Ayu, beri apa Ayu nak, bagi duit belanja. Ayu tak tahan lah hidup macam ni. Ayu pun nak tuntut cerai. Ayu nak balik duduk dengan mak Ayu."

"Tuntut lah cerai kalau berani. Engkau ni memang tak pernah bersyukur dengan apa yang aku beri. Mana nak rasa cukup. Pergi kerja pun menggatal. Memang tak sesuai jadi menantu aku. Aku menyesal pilih kau jadi menantu."

Mereka berdua saling bertikam lidah, sehinggalah akhirnya Ayu menghentakkan kaki masuk ke bilik tidur. Dia mengemas bajunya sendiri beserta baju anak-anaknya. Telefonnya dicapai lalu dia menghubungi rakan sekerjanya tadi untuk menghantar dia balik ke rumah ibunya di bandar Raub.

Dalam hati Ayu terdetik, Azah yang cerdik itu pun boleh Maimunah cuba bodoh-bodohkan walaupun tidak berjaya, ini kan dia yang kurang cerdik dari Azah. Entah apa lagi yang akan Maimunah kawal dan hambur pada dia sekiranya dia tersalah langkah lagi. Tidak mahu dia fikirkan. Semak kepalanya!

Tak kira apa yang bakal dikata oleh orang-orang, dia tetap mahu menuntut cerai dari suami banduannya itu. Ada juga dia pergi ke penjara untuk melawat, namun sering sahaja ditolak oleh Izzat. Terbaru, dia cuma diberikan surat oleh Izzat supaya tidak pergi lagi ke sana. Kerana dalam hatinya tiada cinta buat Ayu. Hanya Azah yang mengisi ruangan itu.

Suami apa begitu? Langsung tiada gaya bahawa dia sudah insaf dan bersedia memulakan hidup baru bersama Ayu dan anak-anak mereka nanti apabila dia sudah keluar dari penjara. Sakit menunggu Izzat sama seperti menunggu buah yang tak gugur. Harapan tetaplah berakhir dengan kekecewaan.

*****

"Eh kenapa ni?" Tanya Azah apabila melihatkan Madihah yang memandu kereta Hilmi tiba dirumahnya, sementara Hilmi menaiki kereta bersama Shahrul.

"Tu suami mithali Azah tu, sakit kepala dia cakap. Tadi dekat kampus, dia tak boleh bau makanan langsung. Terus muntah-muntah. Apa cerita ni? Ada isi ke kawan?" Usik Madihah.

"Isi apa? Baru je lepas period ni. Tak pernah miss langsung bulan-bulan" Jawab Azah lurus.

"Iya ke?" Tanya Madihah tidak percaya, tangannya laju sahaja menyentuh perut Azah.

"Betul lah. Mana ada tipunya. Dia migrain je tu. Dah banyak hari dah. Dari masa kenduri tu lagi." Balas Azah yang cepat-cepat sahaja mengelak.

"Ingatkan nak menyambut orang baru tengokkan gaya melentok tu. Tak ubah macam Azah masa mengandungkan Aakif tu. Ingat tak? Sampai mabuk nak drive. Bahaya betul." Komen Madihah.

"Eh, kalau pun Azah mengandung, Azah lah yang mabuk. Kenapa dia pulak? Ni rasanya ada yang akan MC dua tiga hari ni." Sahut Azah pula.

Hilmi menonong sahaja masuk ke rumah. Beg kerja dan beg laptop di dalam kereta Shahrul di tinggal begitu sahaja. Shahrul yang membantu menyerahkannya kepada Azah untuk dibawa masuk.

"Masuk minum dulu lah. Nak dinner sini pun boleh. Azah dah siap masak." Pelawa Azah.

"Eh tak nak tak nak. Kami nak balik rumah mak Shahrul lepas ni. Nak makan dekat sana. Jumpa lagi nanti. Ada apa-apa beritahu kami. Assalamualaikum." Madihah memasuki kereta suaminya Shahrul yang kemudiannya membunyikan hon tatkala kereta itu berlalu pergi.

Azah masuk ke dalam rumah. Hilmi sudah melelapkan mata terbaring di ruang tamu, di permaidani bersebelahan Aakif yang sedang aktif bermain dengan permainan kegemarannya. Tali lehernya juga terpusing hingga ke belakang. Hilang gaya macho nya pagi tadi. Sebiji bantal diambil dan dialaskan kepala Hilmi.

"I feel like dying." Luah Hilmi.

"Tak lah, abang tak sihat je ni. Kejap lagi, kita makan nasi sikit, lepas tu abang makan panadol, rehat je. Ya?" Pujuk Azah.

"Tak nak. Tak ada selera. Tak makan pun muntah-muntah. Kalau makan, mesti lagi banyak kali muntah-muntah." Omel Hilmi.

Azah pula masih mengurut kepala itu perlahan.

"Sebab tak makan lah muntah, perut masuk angin." Balas Azah.

Aakif sudah turut sama menguli kepala daddynya. Aneh, walaupun Aakif menguli sesuka hatinya sahaja, Hilmi kelihatan begitu menikmati urutan dari Aakif itu. Maka dibiarkan sahaja tangan Aakif terus bekerja.

"Hmmmm." Itu sahaja balasannya, serta terus sahaja menyambung tidur.

Azah juga membiarkan sahaja Hilmi begitu dahulu, sementara dia pergi menyiapkan meja untuk makan malam sebentar lagi.

****

"Mi memang macam tu Azah kalau dia migrain. Rasanya elok pergi klinik atau hospital." Ujar Zainab.

"Muntah-muntah teruk jugak ke ma? Sejak balik ni je dah dekat enam tujuh kali jugak dia muntah. Sampai bad mood dah dia. Apa yang makan tadi memang keluar balik. Sampaikan minum air kosong pun muntah balik." Cerita Azah lagi.

"Aik, sebelum ni tak adalah sampai macam tu sekali. Mama suruh Haziq pergi sanalah, bawak dia pergi hospital. Karang muntah-muntah, kering jadinya. Risau pulak." Sempat lagi Zainab melawak, cuba memenangkan Azah yang sudah mula kedengaran panik dalam menghadapi situasi ini.

Dalam hatinya tidak putus-putus mendoakan yang terbaik untuk Hilmi walaupun puncanya masih belum dapat dikenalpasti.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience