Rate

Bab 87 : Mula Dulu

Romance Completed 402255

Sepanjang solat berjemaah tadi, dapat Azah merasakan bahawa dia tidak khusyuk langsung. Dalam tergopoh-gapah dia keluar ke ruang tamu sebelum solat bersama, sempat dia lihat wajah ibu yang muram. Hampir selama solat itu, dia berfikir dan menjangkakan apa yang akan berlaku sebaik sahaja dia menyalami tangan ibu.

Astaghfirullah hal azim!
Dalam keadaan belum habis berdoa kau berkhayal Azah. Pipinya digaru kekok selesai sahaja berdoa itu. Belum sempat Azah menyalami sesiapa, Aakif sudah merengek, terus sahaja kuat suaranya tidak ditahan lagi. Lapar barangkali.

"Pergilah masuk dulu, susukan dia. Biar dia sambung tidur dalam keadaan kenyang." Arah Azlinda.

"Baik ibu." Telekung dihulur kepada Hilmi yang sudah pun mendekatinya.

Azah dukung sahaja Aakif itu, terus masuk ke bilik tidurnya. Tatkala sedang leka menyusukan Aakif, Hilmi masuk ke bilik. Kepala Aakif yang sudah merenikkan peluh itu di lap beberapa kali dengan kain lampin sebelum dicium. Wangi, masih ada bau bayi!

"Kejap lagi kan sayang, lepas Aakif dah tidur semula, pergilah jumpa ibu dalam bilik. Cakap dengan ibu, berdua. Boleh?" Bisik Hilmi perlahan, takut Aakif terkejut, walaupun hakikatnya, Aakif boleh tidur bila-bila masa sahaja yang dia nak tanpa mengira suasana sekeliling.

"Takut. Kalau ibu tak nak bercakap, macam mana?" Tanya Azah pula, yang turut merendahkan suaranya, terikut dengan Hilmi.

"Cuba dulu. Ibu mestilah ada ego dia sendiri. Kita ni anak, bila dah nampak hint macam ibu dah makin okey, kita mintak maaf dulu.

Abang tak ada niat apa-apa. Abang dah tengok sendiri macam sakitnya sayang waktu bersalin. Disebabkan itu, abang nak bila Aakif besar nanti, dia hormat kan sayang juga.

Tapi Aakif kena tengok contoh yang baik jugak depan mata dia sepanjang dia membesar. Anak susah nak dengar cakap, tapi mudah nak ikut tiru apa yang kita buat. Macam mana nanti kita nak terangkan pada Aakif yang menghormati ibu bapa adalah satu perbuatan yang dituntut, bila hubungan kita sendiri dengan ibu bapa kita tak baik?" Pujuk Hilmi lagi.

"Okey. Azah cuba, walaupun takut."

"Jangan takut, itu kan ibu sayang." Hilmi meyakinkan Azah lagi.

Sebaik sahaja Aakif diletakkan di atas katilnya, Azah terus sahaja mandi dan merapikan diri yang tadinya hanya sempat memberus gigi, mencuci muka dan mengambil wuduk sahaja.

Berulang kali dia menarik nafas, kemudian dihembuskan perlahan. Wajah Hilmi dipandang dahulu, seakan meminta suami itu menyalurkan semangat untuk membantu dia berdepan dengan ibu.

{Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai lanjut, berusia dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.}

-Surah Al-Israa' : 23 & 24.

Sampai sahaja di hadapan bilik itu, sekali lagi dia menarik nafas, dihembus perlahan sebelum dia mengetuk pintu.

"Masuk lah. Pintu tak kunci." Kedengaran suara Azlinda dari dalam bilik.

"Ibu." Seru Azah.

Azlinda yang sedang mengemas bagasi bajunya berpaling serta-merta.

"Azah..." Sahut Azlinda.

"Boleh tak Azah nak cakap dengan ibu sikit?" Tanya Azah sambil duduk bersimpuh di sisi ibunya.

"Cakaplah." Balas Azlinda.

Kali ini, ada bezanya. Azlinda tidak lagi mengelak. Bahkan, ada roman senang pada wajahnya. Roman wajah ibunya dulu-dulu, sebelum hubungan mereka menjadi dingin.

"Terima kasih sebab ibu tengokkan Aakif tadi." Azah memulakan bicara.

"Sama-sama. Benda kecik aje. Aakif tu budak baik, tak banyak kerja pun jaga dia." Jawab Azlinda pula.

Tangannya yang sedang ligat melipat baju Ghani, terhenti apabila dicapai oleh Azah.

"Ibu, Azah nak mintak maaf banyak-banyak dekat ibu. Sebab Azah banyak melawan ibu. Gaduh dengan ibu. Banyak tahun kita tak bercakap, Azah rindu nak berbaik semula dengan ibu. Macam dulu-dulu." Tangan itu dicium keduanya.

Menitik air mata Azlinda mendengarkan ayat yang diucapkan oleh anaknya.

"Ibu yang kena mintak maaf dengan Azah. Sebab dah rosakkan hidup Azah untuk beberapa tahun. Disebabkan ibu, Azah terlepas peluang untuk bahagia dengan Hilmi.

Disebabkan ibu, Azah hampir hilang nyawa dibelasah syaitan tu. Ibu tahu, ibu mintak maaf macam mana pun, tetap tak dapat nak kembalikan masa untuk ibu tebus semua salah ibu.

Ibu mintak maaf. Ibu mintak maaf banyak-banyak. Ibu yang berdosa dengan Azah." Luah Azlinda.

Mata kedua mereka sudah sama-sama basah.

"Ibu, ibu jangan cakap macam tu. Azah ni anak je, tak layak nak berdendam dengan ibu. Azah faham, ibu cuma nak yang terbaik je untuk Azah. Tapi keadaan tak memihak pada kita." Dia memeluk Azlinda perlahan.

Ya Allah, tak tergambar rasa bagaimana aku rindukan pelukan ibu. Terima kasih kerana melembutkan hati ibu untuk bercakap dengan aku semula.

"Ibu malu nak mengaku, tapi semua perkara buruk yang berlaku dalam hidup Azah, semuanya bermula dari ibu. Ibu mintak maaf. Ibu sayang Azah. Tapi ibu salah menilai manusia. Azah nak marah, nak pukul ibu, buatlah nak. Asalkan Azah puas hati. Asalkan Azah nak maafkan ibu yang dah buat salah besar ni." Pelukan Azah dibalas erat.

"Tak ibu. Azah nak berbaik dengan ibu semula je. Azah tak marah ibu dah. Azah nak ibu doakan Azah supaya Azah boleh bahagia dah kali ni." Balas Azah.

"Ibu sayang Azah. Tak pernah tak sayang. Terima kasih sebab sudi terima ibu semula dalam hidup Azah."

Hilmi diluar bilik, turut gugur air matanya bersama Ghani. Dia lap kan sahaja dengan lengan bajunya.

"Mari kita beri mereka ruang untuk sesi luahan perasaan. Kita masak sarapan." Ghani bersuara perlahan sambil menepuk bahu Hilmi.

{Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang.}

-Surah An-Nuur : 22.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience