Rate

Bab 96 : Hadiah

Romance Completed 402255

"Kata pensyarah saya, hadiah itu tidak selalunya berbungkus indah. Adakalanya ia datang dalam keadaan yang tidak menarik untuk kita terima. Analogi yang mudah, namun berhari-hari masa saya berlalu tanpa perkara yang berfaedah kerana cuba menghadamkan apa yang diberitahu.

Ya, waktu itu saya fikir membazir kerana, bagi saya, kenapa, ujian yang menderitakan saya itu dikatakan sebagai hadiah? Kenapa hadiah yang Allah berikan kepada saya menyakitkan saya? Kenapa ujian suami suka memukul, sehingga saya kehilangan tiga kandungan itu dikatakan hadiah?

Hadiah, tentunya perlu berbalut indah. Hadiah, tentunya perlu mengukirkan senyuman tanpa lelah. Hadiah, perlu kita sebagai penerima diberi pilihan untuk menolak. Saya tak nak hadiah yang membuatkan air mata saya tak pernah kering di pipi. Saya tak nak hadiah yang meninggalkan kesan lebam pada badan sehingga saya terlupa
apa rasanya jika tidak merasa sakit.

Kalau kesakitan demi kesakitan ini hadiah, maka saya tak nak hadiah itu. Saya tak sudi terima. Namun, atas dasar hormat saya pada pensyarah saya, Madam Azah, saya diamkan diri. Saya tak nak wanita yang membantu saya bebaskan diri saya dari suami durjana terasa hati, atau berkecil hati dengan saya yang mahu membahaskan tentang definisi hadiah itu tadi.

Enam bulan selepas penceraian saya, saya, dalam keadaan keliru mendaftar untuk menjadi sukarelawati dalam organisasi bukan milik kerajaan ini yang memfokuskan kepada usaha membantu ibu-ibu tunggal untuk bina semula hidup mereka selepas penceraian mereka. Selepas ditinggalkan oleh satu susuk manusia yang memegang peranan sebagai suami.

Suami, yang seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas isterinya. Dari situ, dapat saya lihat, bahawasanya, dalam saya merintih menangis merungut mahu didengari oleh manusia akan kesakitan saya, rupanya masih ramai wanita hebat yang dalam diamnya, masih kuat mempercayai Allah yang Maha Berkuasa.

Mereka tidak tahu cara untuk membela diri, namun masih kuat mencari jalan supaya nasib anak-anak terbela. Supaya anak dapat makan walau sesuap nasi demi meneruskan hidup. Waktu itu, saya mula faham sedikit demi sedikit hikmahnya. Saya sempat menjadi isteri yang tersia selama dua tahun.

Saya masih muda. Belum 23 pun umur saya waktu itu. Tapi kakak-kakak yang saya kenal, ada yang lebih 40 tahun umurnya. Bila kami dekati mereka, selama kami menguruskan keperluan dan membantu mereka, tiada sedikit pun rungutan. Walau bercerita, hanya sekadar menceritakan untuk ingatan.

Kuatnya manusia. Sebagaimana kuatnya madam saya. Kuatnya juga dia kerana mampu membantu saya. Hari ini saya diberikan penghargaan sebagai sukarelawati terbaik untuk NGO ini, Tokoh Belia Negeri bagi negeri yang saya sayangi ini, maka seharusnya pujian dan penghargaan itu saya kembalikan kepada Allah yang Maha Esa.

Tidak lupa juga, kepada pensyarah saya, Madam Azah, juga suaminya, juga pensyarah saya, Sir Hilmi, yang tidak berkira dalam meminjamkan dia kepada saya tatkala saya memerlukan madam. Madam Azah, terima kasih kerana telah membantu saya hampir dua tahun yang lalu. Terima kasih, kerana telah meyakinkan saya untuk membuka buku baru.

Terima kasih juga, saat saya ragu-ragu, madam yakinkan saya bahawa ini untuk kebaikan saya. Sungguh benar sekali apa yang madam ingatkan. Dalam masa kurang sebulan sahaja lagi, saya bakal menggenggam ijazah yang telah lama menjadi cita-cita saya.

Hikmah bagi semua kejadian ini, sangat banyak. Saya menjadi manusia yang lebih memahami apa rasanya bila perkahwinan kita diduga. Saya lebih memahami, bahawasanya setiap manusia mempunyai jalan hidupnya yang tersendiri, tidak perlu kita cela, tidak perlu kita nilai mereka.

Sebaliknya jika mahu, hulurkan tangan pada jiwa-jiwa ini yang mahukan kebebasan namun ditindas hebat oleh manusia lainnya. Saya bukan feminis, saya masih mengakui bahawa telah disebut di dalam Al Quran yang lelaki itu ialah pemimpin bagi wanita. Namun jika mereka gagal dan tidak mahu memulakan langkah berubah, kita akan turut terheret sama. Paling sedih, jika anak-anak turut menjadi mangsa.

Selama saya masih hidup, saya akan teruskan perjuangan saya ini di samping rakan-rakan saya, di samping kakak-kakak dan anak-anak mereka yang begitu kuat berjuang meneruskan hidup mereka. Jika ada pahala yang dikira oleh Allah untuk setiap kerja saya ini, moga Allah gembira kan saya dengan menghadiahkan pahalanya buat ibu bapa dan keluarga saya, juga buat Madam Azah, Sir Hilmi serta keluarga mereka.

Akhir kata buat semua wanita diluar sana, jangan takut untuk memohon bantuan sekiranya perlu. Kami ada.

We are made of our hardships, heartaches and our sleepless nights. The reason why we are strong is that, although we can’t always win but we know we will always fight.”**

Seluruh Dewan Jubli Perak Kuantan bergema dengan tepukan hebat, meraikan anak muda yang suatu masa dulu menderita, namun kini bangkit dan membantu wanita-wanita yang lain untuk menjadi lebih kuat sepertinya.

Siti Ariana mengatur langkah menuruni anak tangga perlahan-lahan untuk kembali duduk di tempat yang disediakan untuknya. Sempat dia melambai ke arah Azah yang hadir bersama Hilmi sebagai tetamu jemputan, dan sedang duduk sebaris bersama para tetamu jemputan kehormat yang lain.

Tak terasa air mata yang mengalir di pipinya. Hilmi lap pipi Azah dengan jarinya sendiri.

"Kenapa menangis? Kan hari ini hari kemenangan sayang." Soal Hilmi.

Azah menggeleng.

"Azah tak layak abang. Sampai macam tu sekali Siti angkat sayang, sedangkan sayang tak buat apa-apa pun."

"Kalau tak layak, Allah tak beri sayang. Ini hadiah, untuk kesabaran sayang selama ini. Untuk ketabahan sayang selama ini. Seronokkan, sebab ramai yang mendoakan sayang hari ni. Senyumlah, jangan sampai Siti nampak sayang bersedih di hari yang membahagiakan untuk dia ini." Pujuk Hilmi.

"Madam..." Panggil Siti.

"Siti..." Azah lap air matanya pantas, senyuman lebar diukir untuk Siti.

"Terima kasih madam, sebab banyak tolong saya. Terima kasih sebab usaha supaya saya terbela. Saya dah hilang kata-kata, dan saya tak mampu nak balas apa-apa, saya cuma mampu doakan madam dan keluarga sentiasa dilindungi oleh Allah dari sebarang bahaya." Tumpah juga air mata Siti dalam pelukan Azah.

"Saya tak buat apa-apa Siti. Saya tunjukkan jalan, tapi yang melangkah itu tetap awak. Tahniah, sebab dah kuat, dan mampu pula menguatkan orang-orang lain." Ucap Azah.

"Sebab madam yang kongsikan kekuatan dan menguatkan saya dulu. Terima kasih madam."

*****

"Kita balik?" Tanya Hilmi.

"Ya, kita balik." Lengan kiri Hilmi dirangkul erat.

Azah melangkah perlahan, sesekali Hilmi dipandang, lalu dia tersenyum. Betapa bahagianya dia pada hari ini, sehingga dia merasakan, cukuplah luka dari kehidupan silam itu terus-terusan mengganggu. Jika luka yang diterima sewaktu hidup bersama dengan orang yang salah adalah caranya untuk bangkit dan bahagia dengan orang yang baru, maka dia terima dengan hati terbuka. Dia takkan sesekali menyoal lagi, mengapa semua ini terjadi.

"Abang..." Panggil Azah.

"Ya sayang."

"Azah sayang abang, banyak-banyak. Sampai bila-bila, dengan izin Allah."

Hilmi pula tersenyum lebar. Bahagia.

***Ya Allah
Jika dengan kesakitan cara-Mu untuk aku pulang ke jalan-Mu,
Aku reda.
Jika dengan kesedihan cara-Mu untuk Kau buktikan bahawasanya akan ada kebahagiaan di hujung cerita,
Aku reda.
Jika dengan ujian cara-Mu untuk aku kembali kepada-Mu,
Juga aku reda

Cuma aku bermohon
Disaat aku ditimpa ujian daripada-Mu,
Jangan sesekali mulutku ini mengeluh malah biarkan aku terus menyebut nama-Mu sebagai tanda aku menerima ujian-Mu ini dengan penuh sabar.

{Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik}

Surah Al-Maarij : 5

Credit:

** Fac Nur Najihah Shafie

***Tiktok @pendosa

Enjoy reading! :) Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui". - QS Al Baqarah 216 Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience