Rate

Bab 36 : Pertemuan

Romance Completed 402255

"15 ribu? Mahal sangat jumlah hantaran tu." Marah Abdul Rahim, wakil bagi pihak anak saudaranya, Izzat.

"Ada sebab bang kenapa saya mintak 15 ribu kalau nak langsung kan perkahwinan dalam tempoh masa mereka masih belajar ni." Jawab Sharif.

"Kenapa? Apa sebabnya?" Tanya Abdul Rahim.

"Saya tahu anak-anak kita dua-dua pandai. Tapi perkahwinan ni datang dengan tanggungjawab yang besar. Yang berat. Sedangkan orang yang lagi tua dari mereka pun ada yang tergadai rumahtangga, inikan mereka berdua yang masih mentah tu.

Saya ada beritahu pada anak saya, kalau dia kahwin, saya takkan tanggung dia lagi. Saya memang akan serahkan sepenuhnya urusan kehidupan mereka kepada mereka berdua. Soal belanja makan pakai yuran semua tu, saya serahkan semuanya kepada mereka.

Kalau tiba-tiba ditakdirkan mereka dapat anak awal, itu juga memerlukan duit. Belanja persediaan nak sambut anak, belanja hospital, makan minum, semua guna duit. Saya tak nak anak-anak kita main-main dengan perkahwinan. Kalau nak kahwin, kahwin betul-betul.

Disebabkan itu saya mintak 15 ribu. Kalau jadi apa-apa, mereka ada 15 ribu itu untuk diguna waktu-waktu emergency. Kalau kata pihak lelaki tak setuju, maksudnya kena tunggu mereka habis belajar barulah kita nikahkan keduanya." Balas Sharif menerangkan sebab kenapa 15 ribu yang dimintanya.

Abdul Rahim dan beberapa orang lain dari pihak keluarga Izzat mengangguk kepala. Bersetuju dengan huraian yang diberi Sharif. Namun, lain pulak respon yang diberi Maimunah, bonda Izzat.

"Encik orang senang, takkan itu pun nak berkira. Apa salahnya kalau kita kahwinkan aje mereka tu. Kalau ada apa-apa kesusahan mereka, tidak kiralah pasal duit ke apa ke, menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa mereka untuk membantu. Bukan boleh bawak ke kubur pun duit yang kita ada." Bantah Maimunah.

Sejak dari mula-mula sampai ke rumah ini, matanya melilau melihatkan keadaan sekeliling. Kata orang-orang dan jirannya, orang yang tinggal di kawasan perumahan Taman Tun Dr. Ismail ini kaya-kaya semuanya. Beruntunglah dia dapat berbesan dengan orang kaya.

"Betul, tapi saya nak mereka faham yang berkahwin ni bukan setakat untuk menghalalkan hubungan mereka berdua. Tetapi perkahwinan tu datang dengan tanggungjawab yang besar. Mereka yang kena mematangkan diri mereka,
bukan hanya mengharapkan ibu bapa.

Mereka yang kena ajar diri bersedia. Sebab itu saya mintak Izzat untuk adakan 15 ribu yang saya mintak itu, kalau betul dia nak nikah dengan Haneesya dalam masa terdekat. Andai kata pihak lelaki tak dapat nak adakan 15 ribu itu, saya anggap yang pihak lelaki bersetuju untuk tangguhkan majlis pernikahan anak-anak kita sehingga mereka tamat belajar." Ulas Sharif dengan penuh kesopanan.

"Jangan disusahkan laluan anak-anak nak nikah, nanti mereka lebih memilih untuk berzina." Tempelak Maimunah lagi.

"Insya Allah, tidak. Saya yakin dengan didikan abang dan kakak sebagai ibu ayah pada Izzat, dan didikan saya dan isteri pada Haneesya. Kita doakan anak-anak kita ni kental dalam mencari jalan untuk mencukupkan hantaran yang saya mintak. Bukan untuk kita, untuk kesenangan mereka jugak." Balas Sharif dengan senyuman.

*****

"Maca mana bonda?" Tanya Izzat sebaik sahaja bondanya tiba di rumah mereka pukul 7 malam itu dari Petaling Jaya.

"Lupakan ajelah Zat. 15 ribu hantaran pihak perempuan mintak. Mana nak dapat duit banyak macam tu?" Soal Maimunah.

Izzat menelan air liur. 15 ribu? Izzat bingkas bangun menuruti langkah bondanya hingga ke dapur.

"Bonda tak runding ke?" Tanya Izzat.

"Mereka tak nak kurangkan. Ada 15 ribu tu baru boleh kahwin. Kalau tak ada, sampai bila-bila pun tak boleh kahwin. Tu tak termasuk dengan hantaran-hantaran lain lagi tu. Barang kemas serba satu." Pendek sahaja jawapannya yang sudah lari dari maksud sebenar papa Haneesya.

"Biar betul bonda?" Soal Izzat lagi.

Maimunah hanya menjeling anaknya itu.

"Apa yang tak betulnya? Kau nak cakap bonda menipu ke?" Sinis sahaja pertanyaan Maimunah itu.

Izzat menggaru kepalanya. Dia lekas sahaja melangkah keluar ke ruang tamu untuk mendapatkan telefon bimbit Nokia 3310 nya dan menelefon Haneesya. Sambil menunggu Haneesya menjawab panggilan, Izzat melangkah masuk ke bilik tidurnya.

"Assalamualaikum Sya. Sya, apa dah jadi ni? Kenapa papa Sya letak syarat macam tu?" Tanya Izzat tanpa sabar.

"Waalaikumussalam, Izz. Papa buat semua tu demi kebaikan kita. Tak apa, Sya boleh tolong Izz kumpul duit tu." Balas Haneesya.

"Berapa lama kena tunggu baru boleh dapat duit macam tu Sya? Tak termasuk duit kenduri lagi. Berapa puluh ribu Izz kena cari ni? Papa Sya bukan orang miskin.

Orang senang, kan? Kenapa papa Sya tak boleh nak tolong kita? Duit banyak-banyak ni nak bawak pergi ke mana? Masuk kubur?" Hambur Izzat.

"Izz, jangan cakap pasal papa Sya macam tu lah. Kan Sya dah cakap, papa tak kisah kalau Sya tolong Izz kumpul duit tu. Asalkan ada 15 ribu tu, cukup lah. Hal lain papa boleh uruskan." Pujuk Haneesya.

"Dah la Sya, Izz tak sangka langsung papa Sya ni mata duitan. Nak jual anak, padahal sebagai orang yang kaya, papa Sya kena tolong kita nikah dan hidup nanti. Apa salahnya kalau tolong? Tak berdosa pun kan? Papa Sya akan dapat pahala lagi, sebab memudahkan niat kita nak nikah.

Mulai hari ni, kita putus je lah." Tekad Izzat.

"Izz, Izz tak ada hak untuk kutuk hina papa Sya macam tu. Selama ni papa Sya tolong je Izz kan? Dah lah, Sya tak boleh terima kalau macam ni perangai Izz dekat papa Sya. Izz nak putus? Fine! Kita putus. Izz jangan cari Sya lagi." Panggilan itu diputuskan.

Izzat terdiam sambil merenung akan telefon di tangannya, tidak menyangka itu reaksi Haneesya. Sepatutnya Haneesya memujuk dia supaya tidak memutuskan hubungan mereka berdua.

Enjoy reading! :) Terima kasih banyak-banyak untuk donations dan komen-komen semua. Semoga rezeki awak semua melimpah ruah dan berganda-ganda aamiinn. I love you all muahh! Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience