Rate

Bab 80 : Sanggup?

Romance Completed 402255

"Tolong lah, sampai ke sini saya datang untuk merayu pada encik dan puan. Kalau encik dan puan nak saya sembah kaki, cium kaki pun saya sanggup. Asalkan encik tarik balik kes itu.

Tolong lah, kasihankan lah saya dan anak-anak saya. Encik pun ada anak. Tentu encik tak sanggup kan kalau anak encik membesar tanpa encik. Saya ni dah lah tak bekerja. Siapa yang nak sara saya dan anak-anak? Takkan encik sanggup anak-anak saya digelar sebagai anak banduan?"

Hujung minggu itu, awal-awal pagi lagi Ayu memunculkan diri di hadapan rumah mereka. Entah dari mana isteri Izzat ini mendapatkan alamat mereka. Menakutkan sungguh perbuatannya ini.

Hilmi yang baru sahaja mahu memandikan Aakif terpaksa menangguhkan rancangannya. Hujung minggu, mamanya akan datang lambat sikit dari hari dia bekerja. Ada juga Azah memberi cadangan supaya mereka mencari orang yang boleh berulang alik.

Namun ditegah oleh mama yang berkeras mahu menjaga Azah dan Aakif sendiri. Satu-satunya cucu dan menantunya buat masa sekarang. Jadi Hilmi juga bertegas yang hujung minggu mamanya tidak perlu kelam-kabut datang ke rumahnya pagi-pagi kerana hujung minggu dia akan menguruskan Azah dan Aakif sendiri.

"Tapi apa yang Izzat buat pada isteri dan anak saya juga melampau puan. Bahaya. Alhamdulillah, mujur tak jadi apa-apa. Buatnya isteri saya keguguran, macam mana? Apa yang puan boleh tawarkan sebagai ganti kalau itu yang terjadi?" Tanya Hilmi.

Azah yang masih berada di dalam bilik tidur mereka hanya memasang telinganya. Ayu ini sangat suka memaksa. Tidak ubah seperti Izzat. Memang sepadan sangat lah mereka berdua. Azah kembali menyambung memasang telinga apabila kedengaran suara Ayu membalas kata-kata Hilmi tadi.

"Tapi selamat kan? Jadi, tak payah lah kita kenangkan perkara yang dah berlalu. Maafkan dan move on sahaja lah encik. Kan lebih mudah begitu? Kita sama-sama orang Islam, kena ada sifat belas ihsan encik." Ayu memberi hujahnya
lagi, doanya semoga kali ini dilembutkan hati Hilmi untuk membantu membebaskan suaminya.

"Puan pun kena ada simpati pada saya dan isteri. Betul kita sesama Islam kena ada belas ihsan, tapi untuk orang yang melakukan kesilapan, Islam ada beritahu juga untuk dihukum. Apatah lagi dia pecah masuk rumah saya sebelum larikan isteri saya dalam keadaan mengandung.

Puan tak perlu cakap apa-apa lagi puan. Saya takkan ubah atau tarik balik keputusan yang hakim dah putuskan." Maklum Hilmi dengan tegas.

Ayu mengetap giginya, menahan marah yang hampir memuncak. Terasa membazir masanya beria-ria dia datang ke sini untuk memujuk pasangan suami isteri yang sombong ini.

"Ingat sikit encik, manusia ni tak selamanya ada di atas. Hari ni encik ada di atas. Allah beri peluang encik lakukan kebaikan. Tapi encik kufur dengan nikmat tuhan. Esok-esok, bila jadi dekat keluarga encik baru encik faham macam mana keadaan saya.

Memang betul cakap bonda mentua saya, memang membazir masa sahaja saya datang ke sini. Encik dan isteri encik sama sahaja angkuhnya. Manusia yang tak berhati perut." Hambur Ayu sepuas hatinya.

Klakkkk! Bunyi pintu yang terbuka menarik perhatian mereka, seterusnya membuatkan Hilmi terdiam apabila memandang Azah keluar dari bilik dengan penuh bergaya. Ha ah, penuh gaya, yang gayanya adalah gaya orang berpantang itulah. Kain batik, tshirt, serta sanggul tingginya. Tidak ketinggalan bau minyak wangi mahal, bauan herba yang bercampur dengan bau muntah susu Aakif.

"Dah tu, buat apa datang?" Tanya Azah sebaris.

"Hah?" Ayu terpinga-pinga.

"Saya tanya, kalau dah bonda mentua kesayangan awak tu dah beritahu awak yang kami ni manusia tak berhati perut, buat apa nak datang merayu lagi? Meraung keluar air mata darah sekali pun, suami saya takkan ubah keputusannya." Azah melabuhkan duduknya di sebelah Hilmi.

"Errr...., hmmm." Ayu tidak mampu untuk berkata apa-apa, lidahnya seakan dikunci.

"Awak tak tahu apa yang Izzat dah buat apa pada saya. Awak tak tahu luka apa yang Izzat dah tinggal dalam diri saya. Alih-alih, awak datang, cakap bukan-bukan. Kalau puan jadi saya, puan sanggup nak terima segala apa perbuatan yang dia dah lakukan pada saya?

Macam mana nak jadi mak yang baik, yang ajar anak-anak untuk sentiasa berbuat baik, bila bapaknya buat salah, awak bela sehabis daya? Tak perlu suruh kami yang letakkan diri kami di tempat awak, kalau awak sendiri gagal nak letakkan diri awak di tempat kami.

Kalau hendak mendidik, didik betul-betul. Adab dan akhlak bukannya macam kita makan buffet. Ambik apa yang kita nak, abaikan apa yang kita tak nak. Anak-anak lelaki perlu diajar bagaimana caranya untuk menghormati perempuan.

Perlu diajar yang mereka tidak boleh berbuat sesuka hati kepada perempuan. Jika mereka buat tindakan yang salah, mereka perlu bertanggungjawab. Kalau kena masuk penjara sekali pun, masuk lah. Dah namanya buat salah.

Anak-anak perempuan pulak perlu dididik, apa sekali pun yang berlaku, jangan mudah merasa diri tak berguna. Perempuan bukan dilahirkan sekadar untuk jadi tempat lelaki lepaskan geram, atau tempat lepaskan dendam. Apatah lagi untuk menjadi hamba lelaki yang tak berguna.

Islam dah angkat martabat perempuan setinggi-tingginya. Mak lah yang kena mainkan peranan untuk mendidik anak perempuan supaya sentiasa membela dirinya sendiri. Puan pun tak perlu merayu begini pada kami bagi pihak Izzat dan bondanya.

Bukan puan yang kena jaga Izzat. Kena lindungi Izzat dari menerima hukuman untuk setiap kesalahan dia. Dia dah cukup besar untuk menerima hukuman dan akibat dari perbuatan dia sendiri.

Balik lah, dan jangan datang lagi. Saya takkan teragak-agak untuk ambik perintah mahkamah supaya puan dan setiap ahli keluarga puan tidak lagi boleh mendekati saya."

Pintu utama rumah itu dibuka seluasnya oleh Azah untuk mempersilakan Ayu keluar dengan segera. Ayu pula, kali ini dia yang sudah kehilangan kata-kata menurut tanpa mengeluarkan bunyi apa-apa.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Asmah
2021-09-11 13:11:08 

tudia keluar dah ceramah ibu berpantang

Cik Mafia
2021-09-11 03:01:49 

mantap azah hujah yg penuh dengan ilmu dan nasihat yg bermanfaat..terbaik author


NovelPlus Premium

The best ads free experience