ALEEYA cuba membuka kelopak matanya, namun terasa berat. Dia tidak mampu mengawal tubuh badannya dan tidak boleh mencerna keadaan sekelilingnya. Sayup-sayup kedengaran suara seseorang sedang mengaji ditepinya. Suara yang memberikan ketenangan padanya setiap kali, ia seolah membantu dirinya untuk sedar semula.
"Bunga..." panggil pemilik suara.
"Bangun Bunga. Lama sangat tidur ni. Tak kesian ke pada semua yang menunggu Bunga. Bangunlah, kembali semula pada kami. My Bunga, bangun ya bila sudah bersedia.." kata pemilik suara itu bernada sayu memujuknya.
Entah kali keberapa Akhtar mengungkapkan kata-kata yang sama setiap kali melawat gadis itu. Dua hari seperti dua tahun lamanya menanti gadis itu sedarkan diri. Bagai direntap jantungnya apabila mendapat berita keadaan yang menimpa gadis itu.
"Dah lama sampai?" soal Eidlan pada Akhtar yang baru tiba dari cafeteria hospital untuk mengisi perut.
"Tak juga" jawab Akhtar.
"Bangun la sayang. Sampai bila nak tidur ni. Semua orang tunggu sayang bangun ni. Kesian dekat ibu, dia susah hati dengan keadaan Bunga" bisik Eidlan di telinga adiknya memujuk sambil mengusap kepala adiknya.
Air mata Aleeya mengalir sedikit. Eidlan mengelap dengan penuh kasih sayang. Mendengar seseorang menyebut nama ibunya membuatkan Aleeya ingin segera membuka mata namun dia tidak berdaya.
"Doctor cakap apa progress dia bang?" tanya Akhtar.
"Masih sama. Hentakan atau pukulan di kepala yang mungkin menyebabkan dia belum sedarkan diri, namun hasil imbasan MRI dan CT scan Bunga tiada masalah. Tulang rusuk yang patah perlukan masa untuk sembuh. Retak dan terseliuh di kaki kiri dia juga perlukan masa untuk pulih. Luka di perut juga akan ambil masa, mujur tak ganggu organ dalaman. Kesan lebam yang banyak akibat berlawan, akan ambil masa juga untuk hilang. Doctor kata dia mungkin dalam keadaan separa sedar, masih boleh mendengar cuma tiada tindak balas" jelas Eidlan.
"Assalamualaikum" Nazim memberi salam.
"Wa'alaikumsalam. Dah sampai" tegur Eidlan.
" Aleeya masih belum sedar?" soal Nazim.
"Belum lagi. Masih sama" jawab Eidlan.
"Bang, saya minta diri dulu la. Apa-apa abang bagitahu ya" Akhtar meminta diri untuk beredar.
"Awalnya, tak nak tunggu macam selalu?" soal Eidlan, dia tahu Akhtar tidak senang dengan kehadiran Nazim disitu. Dia juga tahu Akhtar menahan amarahnya pada lelaki itu kerana kejadian yang menimpa adiknya.
"Tak untuk harini. Saya ada urusan lain" Akhtar memberi alasan.
"Cepat bangun ya Bunga. InsyaAllah, my Bunga are the strongest fighter. You will win this battle" Akhtar menitip pesanan pada Aleeya sebelum beredar.
Nazim sedar lelaki bernama Akhtar itu sering menyebut perkataan "my Bunga" setiap kali berbicara kepada Aleeya. Dia tidak pernah bertegur sapa atau berbual dengan lelaki itu sejak bersua muka. Dia yakin Aleeya pasti seseorang yang istimewa bagi lelaki itu. Ahli keluarga Aleeya juga kelihatan mesra apabila berbual dan bertegur sapa dengan lelaki itu.
"Ramai yang datang melawat Aleeya?" soal Nazim pada Eidlan.
"Semua kenalan Aleeya yang mana rapat, ada juga kenalan keluarga. Tapi yang ramai-ramai semalam, masa Nazim sampai dia orang nak balik tu semua MMA family members. Yang mana masa kenal kat Johor pun ada, yang dekat sini pun ada" jelas Eidlan. Dia tahu lelaki itu terkejut dengan tetamu yang ramai datang melawat keadaan adiknya.
"Oh. Saya sebenarnya baru tahu Aleeya joined MMA semalam. No wonder dia boleh bertahan dengan serangan lelaki tu" perlahan sahaja nada percakapan Nazim, masih dihantui rasa bersalah.
"Perkara dah jadi. Aleeya memang perahsia. Dari kecil dia tidak suka orang tahu siapa keluarga dia dan dia juga tidak suka orang tahu perihal diri dia. Dia cuma terbuka dengan kami adik-beradik, bukan dengan orang luar. Kalau ada pun orang luar, cuma yang dia rasa selesa dan boleh percaya macam si kembar, lelaki tadi Akhtar. Yang saya tahu setakat ni macam tu lah" jelas Eidlan.
"Akhtar tu siapa pada Aleeya?" terluah juga persoalan Nazim itu pada Eidlan.
"Hurm. Yang tu, kena la tunggu Aleeya sedar. Nazim boleh tanya sendiri nanti" jawab Eidlan mudah. Baginya, siapa pun Akhtar pada Aleeya. Biarlah Nazim tahu sendiri dari adiknya, bukan dari dia atau orang lain.
"Saya nak solat sekejap. Nazim berbual la dengan Aleeya. Mana tahu dia akan sedar bila Nazim pula yang bercakap dengan dia" kata Eidlan sebelum berlalu pergi.
"Aleeya. Hai sayang, boleh dengar saya? Bangunlah. Saya nak minta maaf pada awak. Semua yang terjadi ni berpunca dari diri saya. Saya betul-betul minta maaf" katanya pada gadis yang masih belum sedarkan diri itu.
"Saya bangga dengan awak, sayang. Pandai jaga diri. Pandai bersukan. Pandai berbusiness. Dan yang terbaru saya dapat tahu, awak pandai berlawan sebab awak joined MMA. Dapat saya bayangkan bersungguh awak mempertahan diri awak malam tu, sikit pun awak tak gentar berlawan dengan lelaki tu. Sebab saksi lain kata, awak tak menjerit pun meminta pertolongan. Awak berhabisan melawan seorang diri. Bangun lah, bangun ya. Saya rasa bersalah dengan keadaan awak. Awak jadi macam ni disebabkan saya" kata Nazim pada gadis itu.
Aleeya bukan tidak berusaha untuk bangkit semula, tetapi bagai ada sesuatu yang menghalangnya. Terasa sungguh penat dan lelah sehingga dia merasakan habis tenaganya, sekali lagi rasa penat itu bagai menjemput lenanya.
"UMMI dan abi tak habis faham kenapa kamu merahsiakan kepulangan kamu. Hari sabtu sewaktu makan malam bersama bakal mertua kamu. Belum apa-apa dah tergesa-gesa pergi, hari ini dah petang macam ni baru kamu muncul. Call tak berjawab, WhatsApp tak reply. Kamu kenapa sebenarnya Akhtar?" panjang bebelan puan Nuraini sebaik dia tiba di rumah.
"Malam nanti lepas isyak, kita berbincang ummi. Akhtar letih" hanya itu jawapan yang mampu dia berikan kemudian berlalu ke biliknya.
Selesai solat isyak berjemaah malam itu. Akhtar duduk bersama ahli keluarganya yang lain.
"Akhtar minta maaf pada semua sebab rahsiakan kepulangan Akhtar. Akhtar perlukan masa untuk uruskan beberapa hal. Juga maaf ummi dan abi, tentang kejadian di rumah kawan ummi dan abi. Akhtar tahu apa yang Akhtar buat tu melampui batas" Akhtar mula menyusun bicara.
"Bukan niat Akhtar nak malukan ummi dan abi, tapi Akhtar betul-betul kena pergi malam tu atas urusan peribadi" jelasnya lagi.
"Apa yang lebih penting dari jumpa bakal mertua dan tunang kamu?" marah puan Nuraini.
"Ummi. Abi. Akhtar nak putuskan pertunangan ni" terluah juga akhirnya.
"Apa?! Kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni?" naik lagi seoktaf suara puan Nuraini.
"Sedar. Sepatutnya Akhtar berterus terang lebih awal pada ummi dan abi. Akhtar tak boleh teruskan pertunangan ni. Demi Allah, Akhtar cuba menerima pertunangan ni tapi Akhtar tak mampu paksa diri. Akhtar minta maaf ummi, abi" Akhtar sudah tidak mahu bertangguh lagi, dia perlu berterus terang pada ahli keluarganya.
"Kamu jangan main-main Akhtar. Empat tahun Leyla menanti kamu, setia menunggu kamu. Jangan nak malukan ummi dan abi" marah puan Nuraini.
"Kamu ada orang lain?" soal abinya tenang.
Akhtar diam.
"Jadi betul lah kamu ada orang lain? Kamu sedar tak kamu tu tunang orang? Kenapa tak jaga pandangan" marah puan Nuraini padanya.
"Sejak bila?" masih tenang encik Usaid Akram bertanya.
"Sebelum ummi dan abi mahu menjodohkan Akhtar dan Leyla" jawab Akhtar jujur.
"Tapi masa tu kamu kata, kamu tak ada sesiapa" kata encik Usaid Akram.
Yang lain juga sabar menanti jawapannya. Kakak iparnya, Hanim dan Laily cuba memujuk umminya yang sedang marah.
"Akhtar baru mahu mengenal dia. Dan waktu itu, tumpuan Akhtar lebih kepada pelajaran" jelas Akhtar.
"Sama-sama kuliah?" soal abinya lagi.
"Tak sama. Junior. Lain jurusan, bukan Islamic course" jawab Akhtar tanpa mahu berselindung.
"Jadi. Selama ni, kamu abaikan Leyla kerana kamu ada dia? Kerana dia kamu mahu putuskan pertunangan? Dia tahu tak kamu tunangan orang?" marah benar puan Nuraini bila tahu akan hal itu.
"Tidak ummi. Akhtar tak melayani Leyla kerana tidak mahu memberi harapan. Jika bukan kerana gadis itu pun, Akhtar mahu putuskan pertunangan. Sejak ummi mendesak suruh bertunang, Akhtar dan dia tak selalu berhubung. Malah selama mengenali dia, kami memang jarang berhubung kerana dia dan Akhtar, masing-masing menjaga batasan. Sejak Akhtar bertunang, kami langsung tak berhubung" tiada rahsia mahu disimpan, jadi dia memilih untuk menjawab semua persoalan dengan jujur.
"Kamu tu yang tak cuba nak mengenali Leyla. Kamu yang tak buka hati untuk terima dia. Macam mana kamu nak suka pada dia" puan Nuraini masih marah.
"Ummi, Akhtar cuba. Tapi tak berjaya. Akhtar istikharah ummi. Namun hati berat mahu meneruskan. Tak ada timbul rasa sayang atau cinta. Akhtar tak mahu menyesal di kemudian hari" Akhtar cuba menerangkan situasi dirinya.
"Jadi kamu nak putuskan pertunangan ni, sebab kamu nak kembali bersama dengan gadis tu?" tiba-tiba encik Usaid Akram bertanya.
"Jika tidak bersama dia, Akhtar tetap mahu putus. Untuk kebaikan semua, sebelum terlambat. Sebelum Leyla jauh terluka. Abi, gadis tu tak pernah tahu dan tak ambil tahu hal Akhtar sejak Akhtar menjadi tunangan orang. Akhtar cuma mahu tamatkan hubungan yang Akhtar tak yakin nak tempuhi ni" jawabnya.
"No! Ummi tak izinkan. Tiga bulan lagi kamu akan bernikah. Noktah!" kata puan Nuraini dengan suara yang tinggi.
"Jangan pernah sebut hal putus tunang lagi" puan Nuraini bangun dari duduknya berlalu masuk ke dalam bilik.
Masing-masing diam membisu. Akhtar kehabisan kata-kata. Dia tahu, jika A kata umminya maka A lah yang perlu diturutinya.
"Abi minta kamu lakukan lagi istikharah. Lapangkan hati dan fikirkan. Semoga kamu beroleh jawapan. Leyla itu calon yang tiada kurangnya. Fikirkan semula" kata abinya sebelum berlalu.
"Sorry. Angah tak dapat bantu" kata Akmal.
"Along rasa, kamu yang perlu fikirkan cara lain untuk pujuk ummi. Tapi kamu pun tahu, jika A kata ummi maka A lah yang perlu kamu ikut. Berdoalah, semoga lembut hati ummi" kata alongnya, Akif.
Akhtar tunduk membisu. Berfikir cara untuk memahamkan umminya keadaan dirinya. Tidak mahu jika dia meneruskan perkahwinan itu, rumahtangganya tidak bahagia kerana hatinya tidak bahagia.
"ARGHHHHHH! Hancur plan aku. Bodoh la Vincent" kata Kaisara berang.
"Kau jangan buat hal lagi. Baru lepas kena reman. Kau keluar ni pun dengan ikat jamin pakcik kau yang polis tu. Cukup-cukuplah Kaisara" bebel Mimie.
"Ni semua bukan salah aku tau. Vincent tu yang bodoh tak reti buat kerja" Kaisara masih tidak mahu mengalah.
"Aku tak nak terlibat dan campur lagi hal kau. Lusa aku pindah keluar. Aku tak nak terlibat lagi dah dengan plan bodoh kau orang tu" kata Mimie kemudian berlalu ke biliknya.
"Suka hati kau lah. Ingat aku kisah ke. Kau tak ada pun aku tak rugi" kata Kaisara bengang.
Jane hanya duduk berdiam diri. Dia diasak pelbagai rasa. Dia juga takut apabila dirinya disoal siasat oleh pihak polis dengan tuduhan bersubahat melakukan jenayah terancang.
"Aku nak keluar. Nak hilangkan stress. Kau nak follow tak? Ke kau pun dah sama taubat macam Mimie jugak" sinis kata-kata Kaisara.
"Aku nak lepak rumah je. Aku letih" kata Jane perlahan.
"Up to you. Bye" Kaisara kemudian berlalu keluar.
Jane berlalu mendapatkan Mimie dibiliknya.
"Mimie. Boleh aku masuk?" soal Jane.
"Masuk lah" jawab Mimie dari dalam biliknya.
"Ada apa?" tanya Mimie sebaik Jane masuk ke dalam biliknya.
"Aku takut la Mimie" adu Jane.
"Baru sekarang kau nak rasa takut. Selama ni aku cakap kau bukan nak dengar" marah Mimie.
"Apa yang aku kena buat ni Mimie. Aku dah tak nak terlibat lagi dah" kata Jane.
"Kau bagi keterangan yang sebenarnya pada polis. Kau berhenti kerja sekarang. Tukar kerja lain. Pindah keluar dari rumah ni. Kau dengan Vincent tu serious ke? Sunggup nak hidup dengan orang upahan macam dia?" bebel Mimie.
"Tak pun. Dia selalu tukar-tukar perempuan. Aku cuma jumpa dia bila Kaisara nak jumpa and lepak dengan dia. Kalau aku pindah keluar aku nak stay mana, kerja sekarang aku sayang nak berhenti gaji baru naik" keluh Jane.
"Kau fikir, nyawa atau duit lebih penting untuk kau sekarang. Kalau sayang nyawa tukar kerja, pindah cari la bilik sewa" kata Mimie.
"Aku bukan berduit macam kau. Aku bertahan stay kat rumah ni dan kawan dengan Kaisara sebab aku duduk sini free, makan ke apa kalau aku tak ada duit dia yang bayarkan" kata Jane pada Mimie.
"Habis. Selama ni kau kerja, mana pergi duit kau?" soal Mimie. Dia akui hubungan dia tidak lah serapat mereka berdua.
"Aku bayar keperluan sekolah adik-adik aku, keperluan hidup dia orang. Mak aku dah tak boleh kerja. Bapa aku dah lari tinggalkan kami semua" luah Jane sebak.
"Kaisara tahu?" soal Mimie.
"Tak. Bila dia tanya aku cuma cakap aku bagi mak aku duit sebab adik aku perlu duit untuk sekolah" jawabnya.
"Esok, cuba tanya boss kalau kau boleh transfer ke branch lain yang ada kosong. Kalau betul kau nak tamatkan semua ni dan tak nak terlibat lagi. Pasal bilik nanti aku tanya rumah yang aku sewa ni, if ada kosong aku bagitahu kau" ujar Mimie.
"Okay. Tapi aku serba salah dengan Kaisara. Aku kesian pada dia" kata Jane simpati.
"Kita dah cuba nak selamatkan dia dari perangai dia yang entah apa-apa banyak kali. Dia yang pilih untuk hidup cara macam ni. Bagi aku, cukup dah. Tapi kalau kau masih nak stay. Up to you" jawab Mimie pula.
Mimie menyambung semula kerja mengemas barangan miliknya untuk berpindah. Baginya cukup sampai disitu dia terjebak dengan plan gila Kaisara.
"LEYLA. Kamu memang tak tahu Akhtar sudah pulang ke sini bulan lepas?" soal encik Hashim.
"Tak abah. Kalau Leyla tahu. Mesti Leyla dah beritahu mama dan abah" jawab Leyla lembut.
"Kamu betul nak teruskan hubungan ni?" tanya ayahnya lagi.
"Ya abah" jawabnya.
"Abah bukan apa. Tak nampak langsung usaha Akhtar untuk perbaiki hubungan kamu berdua. Tak ada khabar berita yang diberi pada kamu sebagai tunang dia. Tiba-tiba dah balik Malaysia, dah kerja. Macam mana kamu nak teruskan dengan hubungan yang tak pasti ni. Seolah kamu bertepuk sebelah tangan" nasihat encik Hashim.
"Mama pun fikir yang sama dengan abah kamu. Kamu betul ke nak teruskan ni. Yakin kamu boleh?" soal puan Zaharah pula.
"Yakin. InsyaAllah, berkat doa dan usaha pasti segalanya baik-baik sahaja. Bagus juga dia dah kerja, boleh kita segerakan majlisnya" kata Leyla yakin.
"Kalau dah itu keputusan kamu. Abah dan mama turutkan. Cuma kami harap kamu fikirkan semula, kami bukan apa. Bimbang kamu terluka" nasihat encik Hashim.
Leyla mendiamkan diri. Tiada kata yang mampu diberikan untuk meyakinkan mama dan abahnya lagi. Dia tahu, mereka dapat menghidu kepincangan hubungannya bersama Akhtar.
"Aku kena jumpa Aleeya. Aku yakin, Akhtar mesti ada hubungi atau cari dia. Aku yakin. Aku harap dia kotakan janjinya" bisik Leyla dalam hati.
Share this novel