Bab 77

Romance Series 36633

ALEEYA terjaga apabila alarm handphonenya berbunyi jam 5.00 pagi. Dan dia menyedari sesuatu, dia berpindah tempat tidur. Dia berpaling ke arah kanannya, hampir dia terlupa ada seseorang bersamanya. Serta merta dia bangun dari pembaringannya. Meraba kepalanya yang tidak lagi bertelekung. Dia beristighfar seketika, lalu dengan perlahan turun dari katil.

"Ya Allah. Kenapa la aku boleh lupa ada dia dalam bilik aku. Entah-entah dia yang angkat aku semalam" seakan berbisik dengan diri sendiri sahaja gaya percakapanya.

Segera Aleeya ke bilik air untuk membersihkan diri. Apabila selesai, dia melakukan rutin hariannya. Seperti kebiasaan, dia akan mulakan harinya dengan melakukan solat-solat sunat, mengaji dan menanti subuh.

Akhtar terjaga dari lenanya apabila mendengar suara seseorang sedang mengaji. Handphonenya dilihat, waktu menunjukkan 5.30 pagi. Dan suara yang didengarinya, adalah suara Aleeya yang sedang mengaji. Dia bangun dari pembaringannya.

"Dah lama Bunga bangun? Kenapa tak kejutkan Arjuna" soalnya pada Aleeya.

"Awal lagi nak bangun subuh" jawab Bunga perlahan lalu menyambung semula bacaannya.

"Arjuna nak mandi. Bunga boleh tolong sediakan pakaian Arjuna?" sengaja dia meminta Aleeya berbuat sedemikian.

Tanpa menjawab pertanyaan Akhtar, Aleeya menamatkan bacaannya. Berlalu ke arah luggage bag milik Akhtar dan mengambil pakaian untuk dipakai lelaki itu. Akhtar pantas berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.

Pakaian telah tersedia diatas katil yang telah dikemas rapi sebaik Akhtar keluar dari bilik air. Namun, bayang isterinya tidak kelihatan. Pantas dia bersiap dan melakukan solat-solat sunat yang menjadi kebiasaannya.

"Bunga..buat apa kat sini?" tanya Akhtar sebaik dia menemui keberadaan isterinya di dapur, yang duduk berseorangan setelah selesai melakukan solat-solat sunat.

"Minum" jawab Aleeya sepatah. Dihadapannya terdapat sebuah mug berisi air hot chocolate yang berbaki separuh.

Perlahan Akhtar mendekati Aleeya, dicium lembut kepala isterinya yang masih bertelekung itu. Lalu dia melabuhkan duduknya bersebelahan Aleeya. Aleeya kaku, laju jantungnya berdegup.

"Buatkan air nescafe boleh?" tanya Akhtar.

Aleeya segera bangun dari duduknya, dia mengambil sebuah mug lalu dibancuh air nescafe permintaan Akhtar. Setelah mug diletakkan, dia duduk ditempatnya semula dan menghabiskan baki minumannya.

Baru sahaja Akhtar mahu bertanya tentang rutin isterinya, Aleeya telah bangun dari duduknya. Dia berjalan ke sinki dan mencuci mug yang digunakan.

"Dah habis minum?" tanya Akhtar pada Aleeya.

"Dah" hanya sepatah jawapan,lalu Aleeya beredar dari situ.

Akhtar buntu, dia cuba mendekat. Namun, semakin jauh dirasakan Aleeya darinya. Berulang kali dia beristighfar. Berfikir dan cuba mencari cara terbaik untuk mendekati isterinya itu. Tidak lama kemudian, azan subuh berkumandang. Akhtar segera ke sinki membasuh mug minumannya dan berlalu ke biliknya.

"Sayang..." Akhtar memanggil Aleeya sebaik pintu bilik dibuka. Dia melihat Aleeya sedang bersedia membentangkan sejadah untuk mereka berjemaah.

"Dah siap? Sekejap ya Arjuna ambil wuduk" kata Akhtar pada Aleeya yang menantinya.

"Bunga okay?" tanya Akhtar setelah mereka selesai berdoa.

Aleeya hanya mengangguk sebagai jawapan.

"Maafkan Arjuna untuk segalanya. Boleh kita mulakan semula hubungan kita? Keadaan macam ni tak akan membantu kita sayang" pujuk Akhtar pada Aleeya.

"Saya dah pernah cakap, saya dah maafkan apa yang pernah terjadi antara kita lama dulu. Apa yang perlu kita mulakan lagi? Segalanya dah pun bermula. Akad sudah dilafazkan. Cuma berikan saya ruang dan masa, untuk saya terima semua yang berlaku ini secara tiba-tiba. Saya perlukan masa" jawab Aleeya tenang.

"Ambil sebanyak mana pun masa yang Bunga perlu. Semua akan baik-baik jika Bunga menjadikan Arjuna sebagai sebahagian dari diri Bunga mulai saat ini" pujuk Akhtar lagi.

"Saya sedang mencuba" perlahan Aleeya menjawab kata-kata Akhtar.

Akhtar hulur tangannya untuk bersalaman. Sebaik Aleeya menyambut dan mencium kekura tangannya. Akhtar mengusap perlahan kepala Aleeya.

"Rasa kasih, sayang dan cinta untuk Bunga tak pernah berkurang sikit pun sejak dulu. Hanya nama Eshal Aleeya yang selalu hadir dalam doa seorang Uzzam Akhtar. Tolong jangan menjauh, Arjuna mahu Bunga rasakan kasih, sayang dan cinta ini" kata Akhtar lalu melabuhkan ciuman di antara kedua kening Aleeya.

Berdebar jantung Aleeya apabila diperlakukan sebegitu. Hadir satu rasa dalam dirinya. Tetapi dia sendiri tidak pasti apakah ia. Aleeya masih kaku disitu.

Akhtar simpan senyum bila melihat isterinya yang kaku begitu.

"Ibu cakap Bunga tak mahu pakai inai. Arjuna dah pesan pada ibu, kalau Bunga tak mahu, tak perlu paksa. Akhirnya Bunga pakai juga" Akhtar alih topik perbualan mereka. Dia memegang dan melihat jari jemari isterinya.

"Pakai sebab ibu suruh, tak nak ibu kecil hati" jawab Aleeya jujur.

"Cincin mana? Arjuna tak nampak Bunga pakai sejak petang semalam. Longgar ke? Nak tukar yang lain? Rantai tangan ni cantik terletak, pandai ibu beri ukuran" Akhtar sengaja memancing Aleeya untuk berbual dengannya.

"Semalam petang nak buat kerja, Bunga buka simpan dalam jewellery box" jawab Aleeya.

"Bunga ambil la, mari Arjuna sarungkan" kata Akhtar pada isterinya.

Aleeya malas mahu berbalas kata. Diambil jewellery box miliknya dan diserahkan kepada Akhtar. Dan dia terlupa sesuatu.

Akhtar buka jewellery box yang diserahkan Bunga. Akhtar tersenyum apabila melihat isinya. Hanya terdapat lima bentuk cincin di dalamnya. Dua bentuk cincin pernikahan semalam, sebentuk cincin pemberian ibunya, sebentuk cincin hadiah  pemberian Eidlan dan sebentuk lagi cincin yang pernah diberikan pada Bunga suatu ketika dahulu.

"Cincin belah rotan ni sebagai cincin pertunangan sepatutnya. Sebab kita tak bertunang, Arjuna berikan juga. Cincin permata ni, memang untuk majlis nikah kita. Rantai tangan ni pula sebagai hadiah, tanda terima kasih Arjuna pada Bunga yang sudi mulakan hidup baru bersama" jelas Akhtar sewaktu menyarungkan dua bentuk cincin di jari Aleeya.

"Bunga masih simpan?" Akhtar tunjuk cincin pemberiannya dahulu.

"Ada orang suruh pakai dan janji hanya tanggalkan apabila tiba masanya. Bunga hanya berpegang pada janji" jawab Aleeya jujur.

Berubah wajah Akhtar saat mendengar jawapan Aleeya. Pedih terasa menikam jiwanya, betapa Aleeya sangat setia pada janji mereka.

"I'm sorry. I'm so sorry sayang" Akhtar diterpa rasa bersalah.

"Saya nak pergi bantu ibu dan yang lain didapur" kata Aleeya yang ingin bangun.

"Cincin sewaktu bertunang dengan Nazim mana? Tak pernah nampak Bunga pakai" soal Akhtar ingin tahu.

"Saya dah pulang semula" jawab Aleeya yang sedang melipat sejadah mereka.

"Bunga pergilah bersiap. Nanti Arjuna simpan sejadah" arah Akhtar.

Aleeya mencapai sehelai tudung, dia kemudiannya ingin berlalu ke bilik air.

"Sayang nak pergi mana?" sengaja Akhtar bertanya.

"Pakai tudung" jawab Aleeya blur.

"Sayang dah tak ada batas aurat pun dengan Arjuna. Lagipun malam tadi Arjuna dah tengok semuanya" Akhtar buka perlahan telekung yang dipakai oleh Aleeya. Perlahan Akhtar menyebak rambut lurus Aleeya yang berjurai jatuh menutupi sedikit wajahnya.

Aleeya kaku. Jantungnya kembali berentak laju. Walau dia cuba bertenang, tetap jantungnya tidak memberi kerjasama. Begitulah setiap kali Akhtar mendekatinya atau menyentuhnya.

"Semua? Dia tengok apa? Dia ni nak suh aku mati awal ke? Jantung aku da macam nak terkeluar landasan ni dengar ayat dia" runggut Aleeya dalam hati.

"Arjuna cuma tengok ni je sayang. Belum yang lain lagi. Tak payah buat muka comel sangat, ada yang kena kiss ni nanti. Bersiaplah, Arjuna nak ke homestay ummi sekejap" kata Akhtar menunjuk bahagian wajah dan leher Bunga yang terdedah setelah perasan wajah cemberut isterinya. Sempat dihadiahkan sebuah ciuman di pipi isterinya sebelum berjalan keluar dari bilik.

"Cisss,..sempat aje ambil kesempatan" runggut Aleeya.

"TAK balik lagi Akhtar?" tanya puan Aliah.

"Belum" jawab Aleeya sepatah.

"Kejap lagi sampai la tu, abang pun dah hantar makanan untuk family dia sarapan" kata ibunya.

"Bunga panggil yang lain la. Semua dah siap ni, dah boleh makan. Sekejap lagi dia orang nak terus balik KL" kata Aleeya pada ibunya.

"Pergilah" kata puan Aliah.

Semua berkumpul dia ruang makan. Nasi lemak dan bihun goreng menjadi menu pagi itu. Disamping kuih muih yang dibeli oleh Eidlan di gerai Mek Ani.

"Assalamualaikum" Eidlan memberi salam.

"Wa'alaikumsalam" jawab semua serentak.

"Makan abang" kata kakak iparnya, Eisya.

"Kamu sorang? Akhtar mana?" tanya puan Aliah.

Belum sempat Eidlan menjawab. Akhtar terlebih dahulu memberi salam pada mereka.

"Assalamualaikum" Akhtar masuk menuju ke arah Aleeya.

"Sampai pun, ibu ingat kamu sarapan disana" kata puan Aliah.

"Tak lah ibu, Akhtar nak balik dah tadi masa abang Eidlan sampai. Tapi tak jadi, tolong hidangkan makan yang abang Eidlan hantar baru Akhtar balik sini" jelas Akhtar.

"Bunga, tuang air untuk suami tu" tegur Eryna pada Aleeya yang sedang makan.

"Nak air apa?" tanya Aleeya perlahan pada Akhtar yang melabuhkan duduk disebelahnya.

"Teh O" jawab Akhtar.

Aleeya ambil jug berisi air teh O, lalu dituangkan ke dalam cawan untuk Akhtar.

"Nasi lemak ke bihun?" soal Aleeya lagi.

"Bihun" jawab Akhtar.

Aleeya letakkan dihadapan Akhtar pinggan yang telah berisi bihun bersama sudu dan garfu.

"Terima kasih sayang" kata Akhtar pada isterinya.

Aleeya tidak membalas, dia hanya duduk dan sambung makan semula. Kembar dan yang lainnya hanya menjadi pemerhati. Aleeya tetap dengan wajah bekunya yang tidak berperasaan.

"Lepas ni Akhtar ikut abang pergi buka banner dan penunjuk arah ya" kata Eidlan.

"Okay, boleh" jawab Akhtar.

"Kembar dengan yang lain lepas ni terus balik ya?" soal Eryna.

"Ha'ah kak. Semua balik harini" jawab Azizah.

"Nanti bawa balik sekali kereta Bunga" kata puan Aliah.

"Eh! Kenapa kereta Bunga dia orang bawa balik KL pula?" soal Aleeya pada ibunya.

"Dia orang naik dua kereta je, tak apa la bagi dia orang bawa kereta Bunga. Lagipun Akhtar ada, nanti Bunga balik sekali la dengan Akhtar" kata Eryna.

"Eh. Bukam kau orang datang tiga kereta ke haritu?" tanya Aleeya pada kembar dan pekerjaannya.

"Dua kereta je. Kereta Kira dan kereta Firas" jawab Azlina.

"Kereta kau orang mana?" tanya Aleeya pada kembar.

"Masuk bengkel" jawab Azizah pantas, alasan paling munasabah pada waktu genting begitu.

"Nanti kembar bawa kereta Bunga balik KL. Bunga nantikan boleh balik dengan Akhtar" kata Eidlan.

"Kalau macam tu kau orang balik esok je lah dengan aku" kata Aleeya lagi.

Akhtar hanya menjadi pendengar dan pemerhati. Dia tahu isterinya itu mahu mengelak untuk berada dekat dengannya.

"Bunga nak balik esok? Majlis baru je lepas semalam" bebel puan Aliah.

"Memang dah plan nak balik esok pun dari awal. Selasa dah buka kedai semula" jawab Aleeya perlahan. Dia bangun dan berlalu ke dapur membawa pinggan dan cawan miliknya. Hatinya terusik dengan segala aturan keluarganya tanpa persetujuan dari dia.

Akhtar perhati wajah mendung Aleeya. Dia tahu pasti isterinya itu memendam rasa. Serba salah pula dia dengan keadaan itu. Kembar dan team Bunga&Coklat hanya mendiamkan diri. Puan Aliah dan Eidlan saling berpandangan.

"Iqmal rasa, biarkan Bunga teruskan dengan plan dia. Pasti hatinya banyak terluka kebelakangan ni. Bagi dia buat apa dia nak. Dia bukan anak kecil lagi yang kita boleh kawal. Akhtar pun, bagi Bunga ruang untuk terima perkahwinan kamu berdua. Buat masa ni, apa pun pilihan dia kita ikutkan selagi tak melampui batas. Bunga pun tak pernah minta apa-apa selama ni" Iqmal mula bersuara melihatkan keadaan adik iparnya yang kelihatan sangat terganggu. Bimbang pula jika adik iparnya itu memendam rasa dan membawa diri. Tindakan seorang Eshal Aleeya memang sukar dijangka.

"Akhtar tak ada masalah. Lagipun Akhtar memang cuti sampai hari rabu. Akhtar pun belum sempat bincangkan hal balik ke sana dengan Bunga" kata Akhtar pada Iqmal.

"Abang pergi tengok Bunga" kata Eidlan pada semua.

"Sayang.." panggil Eidlan pada Aleeya di dalam bilik yang sedang sibuk melihat tablet miliknya.

"I'm not your sayang anymore" jawab Aleeya tanpa rasa.

"Kenapa cakap macam tu?" soal Eidlan.

"Abang dah ada kak Eisya. Plus. Semua orang pun dah tak perlu persetujuan Bunga" sekali lagi Aleeya menjawab tanpa rasa.

"Kenapa cakap macam tu. Bunga tetap 'sayang' pada abang, Emir, kakak dan ibu. Kak Eisya pun sayang abang juga, bezanya dia isteri dan Bunga adik. Maafkan kami yang buat pilihan tanpa berbincang dan tanpa bertanyakan Bunga terlebih dahulu" pujuk Eidlan.

Aleeya masih diam. Tidak membalas kata-kata Eidlan. Dia menyibukkan dirinya dengan kerja yang berada dihadapan matanya. Dia terlalu berkecil hati dengan keputusan yang membelakanginya.

"Abang keluar dulu. Bunga ambil masa untuk bertenang, nanti kita bincang" Eidlan mengalah melihat reaksi adiknya yang dingin.

"Bunga, boleh kita bincang sekejap" muncul Akhtar pula.

"Apa dia" Aleeya meletakkan tablet miliknya. Berpaling ke arah Akhtar. Dia tahu, bagaimana marah, sentap, kecil hati atau yang seangkatan dengannya dia perlu menghormati suaminya itu.

"Arjuna cuti sampai hari rabu. Khamis dah mula kerja semula, tak boleh cuti lama-lama. Arjuna ambil cuti tiba-tiba, next time baru kita cuti honeymoon okay. Bunga ada pilihan, nak ikut Arjuna pulang ke rumah atau Bunga mahu tinggal bersama kembar untuk seketika" kata Akhtar pada isterinya.

"Rumah ummi?" tanya Aleeya.

"Tak. Rumah kita. Bunga buat pilihan. Arjuna okay mana-mana pun keputusan Bunga" kata Akhtar lagi.

"Bunga balik rumah sewa dulu boleh? Nanti next week, hari jumaat kedai off baru Bunga balik rumah kita" tanya Aleeya pada suaminya.

"Boleh. Maksudnya, jumaat minggu hadapan Bunga balik rumah kita. Minggu ni Bunga stay dengan kembar dulu. Tapi pastikan sentiasa update Arjuna keberadaan Bunga nanti okay. Cuma sebagai langkah berjaga-jaga" pesan Akhtar.

"Okay" patuh Aleeya.

"Lagi satu, boleh Bunga bagi kembar bawa balik kereta ke KL? Esok kita balik, Bunga naik kereta dengan Arjuna. Boleh sayang?" kata Akhtar lagi.

"Kita balik esok?" Aleeya meminta kepastian.

"Ya sayang. Kita balik esok. Arjuna kan cuti sampai hari rabu. Kalau balik hari rabu, nanti mesti letih. Khamis dah mula kerja" Akhtar beralasan.

"Okay" putus Aleeya. Malas mahu berbalah isu itu.

"Dah, jom. Dia orang nak balik dah tu, family Arjuna pun nak balik dah sekejap lagi" ajak Akhtar. Aleeya menurut, diambil kunci kereta miliknya, kemudian mereka keluar beriringan.

"Sorry. Aku jadi childish. Hati-hati driving. Jumpa esok kat rumah. Banyak benda kita kena bincang" Aleeya mohon maaf pada kembar, dipeluk erat keduanya.

"It's okay. Tahu kau stress" kata Azizah.

"It's okay bebeh. Take your time okay" ujar Azlina pula.

"Terima kasih Firas, Haiqal, Farhan, Kira, Hana dan Rose. Jumpa hari Selasa nanti okay. Hati-hati memandu, konvoi sekali dengan kakak kembar tau. Maaf mana yang terkurang terlebih dengan kepala angin akak sehari dua ni" kata Aleeya pada anak-anak buahnya.

"It's okay kak" kata mereka serentak.

"Suami akak baik, boleh masuk dengan kita orang" kata Firas.

"Kipas nampak" tembak Aleeya. Akhtar disisinya senyum nipis.

"Mana ada kipas, kalau suami boss tak sporting. Habis la kita orang" kata Haiqal pula.

"Abang Akhtar, jaga boss kesayangan kita orang baik-baik tau. Dah macam kakak sendiri dah pada kami ni. Banyak dia bantu kami" kata Hana pada Akhtar yang berada di sisi Aleeya.

"InsyaAllah" jawab Akhtar.

"Dah-dah. Pegi balik sana. Nanti lambat sampai. Cuti dulu puas-puas. Selasa masuk kerja, lepas ni no more cuti untuk dua minggu" kata Aleeya serious.

"Kak kembar!!!" serentak mereka memangil kembar.

"She's the boss" kata kembar pula serentak.

"Mana aci.."

"Dua minggu tu.."

"Serious la..."

"Tak boleh dating.."

Dan pelbagai runggutan lain dari mulut anak buahnya. Aleeya buat keras. Pamer muka bekunya.

"Bunga..." tegur Akhtar.

"Ish. Nak main-main pun tak boleh" runggut Aleeya perlahan.

"Dah-dah. Akak main-main je pun, kau orang yang ambil serious. Pergi balik lah" kata Aleeya pada mereka semua.

"Halau nampak. Mentang dah ada cik abang" usik Azizah.

"Nak kaki ke nak tangan?" Aleeya menyoal Azizah. Azizah hanya ketawa mendengar soalan Aleeya.

"Aumm..garang sejak dah ada teman tidur ni" usik Azlina pula.

"Sorang lagi. Dah lah, pergi balik lah" kata Aleeya. Malu diusik begitu.

"Kita orang nak balik la ni, group hug" kata Azlina sambil mereka berpelukan bertiga.

"Jaga diri tau, apa-apa bawa berbincang okay. Aku sayang kau" bisik Azizah.

"Jangan buat andaian sendiri. Kalau nak kepastian, terus tanya tuan punya badan. Aku pun sayang kau" bisik Azlina pula.

Aleeya hanya mengangguk. Tiada yang lebih memahami dia selain mereka.

"Kita orang doakan kau dengan dia kekal hingga akhir hayat" kata Azizah lagi. Aleeya semakin erat memeluk mereka.

"Kita orang balik dulu" ujar Azlina selepas pelukan dileraikan.

Kembar dan team Bunga&Coklat bergerak selepas bersalaman dengan ahli keluarga Aleeya yang lain.

PETANG itu selepas mereka berehat dari menghilangkan rasa letih mengemas pada sebelah paginya. Mereka duduk berkumpul diruang tamu, membincangkan isu perkahwinan Aleeya.

"Ibu minta maaf, buat semua ni tanpa bertanyakan Bunga dan tanpa persetujuan dari Bunga" kata puan Aliah.

"Abang tak setuju pada mulanya tapi bila ibu nyatakan kebimbangannya. Abang tiada pilihan selain untuk setuju" Eidlan meluahkan apa pendapatnya.

"Kakak sejujurnya setuju dengan idea menjodohkan kamu berdua. Kakak tahu Bunga dah banyak berusaha untuk teruskan semuanya dan bermula semula, tapi kakak rasa inilah yang terbaik untuk Bunga. Jadi akak setuju dengan pilihan ibu" kata Eryna.

"Sorry sayang. Idea gila ni dari Emir. Emir nampak Bunga masih simpan semua pemberian dia. Emir sangka Bunga masih ada perasaan lagi" kata adiknya pula serba salah.

"Abang Iqmal tak setuju. Satu sebab keputusan dibuat tanpa persetujuan Bunga. Dua, abang rasa belum tentu Bunga akan terima. Tiga, membelakangi Bunga soal masa hadapan Bunga bukan perkara yang baik. Tapi naluri seorang ibu ni lebih tahu" kata abang iparnya.

"Apa yang menjadi kebimbangan terbesar ibu, sampai mengetepikan hak Bunga untuk buat keputusan?" Aleeya bertanya pada ibunya.

"Ibu bimbang Bunga akan jatuh dan tak mampu untuk bangkit semula. Ibu bimbang Bunga akan tutup pintu hati Bunga selamanya. Ibu bimbang anak ibu akan dicemuh kerana tidak jadi berkahwin" sebak puan Aliah meluahkan kebimbangannya.

"Perkara dah pun berlaku. Akad pun dah terlafaz, Bunga sendiri bersetuju. Bunga cuma minta diberikan masa untuk menerima semua ni. Ya. Bunga akui, Bunga teruskan kerana tak mahu ibu dan ahli keluarga yang lain malu jika Bunga menolak. Kenapa Bunga nekad teruskan juga majlis walaupun majlis dibatalkan pihak sana? Supaya Bunga tak malu nak berdepan dengan orang-orang kampung, supaya Bunga boleh mulakan langkah baru walaupun Bunga pengantin tak jadi. Tapi tak sangka, lain pula jadinya. Bunga cuma perlukan masa. Bukan Bunga menolak atau memberontak, hanya perlukan masa untuk belajar menerima semua ni" Aleeya meluahkan apa yang tersimpan.

"Bunga tahu semua orang bimbang tentang Bunga. Mungkin perkahwinan yang tak jadi itu, jawapan dari salah satu doa Bunga pada Tuhan. Perkahwinan yang terjadi ini pun, mungkin juga salah satu doa yang Bunga minta pada Tuhan. Bunga terima qada' dan qadar Nya. Doakan saja yang terbaik untuk Bunga" luahnya lagi.

"Emir minta maaf" kata adiknya.

"Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Semua pun buat keputusan untuk Bunga kerana kasih dan sayang. Jadi Bunga pun tak berhak untuk melepaskan amarah atau memberontak tak tentu hala" kata Aleeya pada semua.

"Abang, bila Bunga sign borang permohonan nikah tu? Abang tiru sign Bunga ke?" soal Aleeya ingin tahu.

"Bunga yang sign, cuma Bunga tak perasan tu borang permohonan nikah. Ingat tak abang suruh sign borang masa Bunga nak balik KL ahad pagi tu" jawab Eidlan.

"Oh. Pandai pilih timing" perli Aleeya. Eidlan tayang sengih, dia mengambil kesempatan saat adiknya mahu cepat dan masih dalam keadaan cuba menerima kenyataan perkahwinannya dengan Nazim dibatalkan.

"Banner, hantaran, goodies bag semua tu kerja siapa pula?" soal Aleeya masih tidak berpuas hati. Akhtar yang duduk disisinya hanya menjadi pendengar dan pemerhati, kerana dia juga termasuk dalam rancangan mereka.

"Kakak dengan abang" jawab Eryna tersenyum suka.

"Esok Bunga kena juga balik KL. Ada urusan dengan suppliers bunga-bungaan hari rabu" kata Aleeya pada semua.

"Jadi juga balik esok?" soal Eidlan.

"Akhtar pun kebetulan hari khamis dah kerja. Jadi Akhtar buat keputusan balik esok sahaja" Akhtar pula memberi kata putusnya.

"Bunga nanti balik mana? Bila nak pindah rumah Akhtar?" soal puan Aliah.

Aleeya toleh pandang pada Akhtar seketika disisinya. Tidak tahu jawapan terbaik apa yang mahu diberikan.

"Esok Akhtar hantar Bunga balik rumah sewa. Nanti bila rumah dah settle, baru Akhtar ambil Bunga duduk dengan Akhtar" jawab Akhtar bagi pihak isterinya.

"Ada keperluan yang tak cukup di rumah Akhtar?" soal puan Aliah padanya.

"Biasa la ibu, rumah baru. Akhtar pun pindah masuk rumah tu tak sampai seminggu. Rumah bujang pula. Baru siap renovated. Langsir apa semua pun belum ada. Nanti dah settle seminggu dua lagi, baru Akhtar ambil Bunga duduk bersama" dia beralasan supaya Aleeya tidak ditegur oleh ibunya kerana tidak mengikuti dia.

"Baiklah kalau macam tu. Bunga nak buat apa-apa dan nak kemana-mana perlu izin suami dulu. Tak boleh terjah macam dulu" pesan puan Aliah pada anaknya.

"Ibu nak masuk berehat sekejap, nanti maghrib kita berjemaah" kata puan Aliah sebelum beredar.

Yang lain juga mula meninggalkan ruang tamu itu. Hanya tinggal Emir, Aleeya dan Akhtar.

"Nak pergi kemas barang-barang" kata Aleeya pada Akhtar.

"Pergilah" jawab Akhtar padanya.

Akhtar berbual bersama Emir. Eidlan juga turut menyertai mereka sebaik Aleeya beredar.

"YOU!!! I ni bukan tunggul tau. I isteri you!!!!" jerit Kaisara pada Nazim.

"Kau dengan family kau yang hadap sangat nak kahwinkan aku dengan kau. Aku jijik dengan kau!!!" jawab Nazim kemudian berlalu keluar dari biliknya.

Datin Seri Afina dan Dato' Seri Nazhan Izzuddin berpandangan. Sudah seminggu berlalu sejak anak mereka dipaksa bernikah dengan Kaisara. Namun keadaan semakin bertambah buruk, pergaduhan yang tiada penghujungnya. Nazim juga kelihatan tidak terurus.

"Salah ke tindakan abang?" soal Dato' Seri Nazhan Izzuddin pada isterinya.

"Kita dah cuba buat yang terbaik untuk semua" pujuk Datin Seri Afina.

Mereka sering menasihati Nazim. Namun, Nazim tetap menolak semua teguran dan nasihat mereka.

"Aku akan buat hidup kau macam dalam neraka!" Nazim melepaskan rasa geram.

"Kerana kau, aku dan Aleeya tak dapat bersama. Kau punca semuanya. Aku akan pastikan kau menyesal kahwin dengan aku. Aku akan buat kau minta diceraikan" kereta dipandu tanpa arah tujuan.

Handphonenya diambil. Cuba menghubungi seseorang. Sudah seminggu dia mencarinya, panggil disekat. WhatsApp juga tidak dapat dihantar. Puas mencari di kedai, namun tiada. Rumah sewanya juga tiada, sudah digantikan dengan penyewa baru.

"Mana awak pergi Aleeya" rintihnya.

"Awak pasti terluka dan kecewa seperti saya. Maafkan saya. Tolong lah jawab, tolong lah muncul depan saya. Merata saya cari awak" keluh Nazim.

"Kampung!!! Kampung!!! Kenapa la aku tak terfikir!!!" Nazim memecut laju keretanya ke arah lebuh raya, berniat untuk pergi ke rumah keluarga Aleeya di Johor.

"Tunggu saya datang" kata Nazim bersungguh.

"ASSALAMUALAIKUM" kedengaran suara seseorang memberi salam sewaktu Aleeya membentangkan sejadah untuk mereka solat maghrib berjemaah.

Aleeya seakan mengenali suara itu. Segera dia mendapatkan ibunya dibilik.

"Ibu, ada orang beri salam. Macam suara Nazim" kata Aleeya perlahan.

"Betul ke? Panggil abang" arah puan Aliah. Bimbang juga dia akan terjadi hal lain. 

Aleeya mendapatkan abangnya dan memberitahu apa yang berlaku.

"Macam mana ibu? Nak suruh dia masuk atau macam mana?" tanya Eidlan pada ibunya.

"Abang suruh dia pergi masjid dulu solat disana. Pukul 8.00 minta dia ke sini. Bunga nanti lepas solat keluar dulu dengan Akhtar. Pergi la mana-mana" kata ibunya pada Eidlan dan Aleeya.

"Sayang pergi mana? Ada orang beri salam diluar" tegur Akhtar yang mencari isterinya, dia mahu berlalu ke arah pintu utama. Segera Aleeya memegang lengan Akhtar untuk menahannya berbuat demikian.

Eryna, Iqmal, Emir dan Eisya terpinga-pinga. Eidlan dan puan Aliah juga hampir menahan Akhtar.

"Biar abang Eidlan pergi" kata Aleeya pada Akhtar.

Akhtar dapat rasa sesuatu disembunyikan darinya.

"Kita tunggu sini sekejap" kata Aleeya lagi.

"Yang lain, jom kita ke depan. Nak solat maghrib" kata puan Aliah. Mereka bergerak ke arah ruang tamu yang telah dibentangkan sejadah.

"Kenapa ni sayang? Cuba bagitahu abang" Akhtar berlembut dengan isterinya yang kelihatan resah, diusap perlahan bahu yang dilapisi telekung.

"Nazim. Bunga rasa dia yang datang" kata Aleeya perlahan.

"Oh. Okay, jadi kenapa nak mengelak dari dia. Satu hari nanti, dia akan tahu juga" kata Akhtar lagi.

"Dia berkali-kali datang cari Bunga dikedai. Kemudian rumah sewa. Bunga pindah rumah sewa baru sebab dia. Dia akan datang dan tunggu setiap hari dihadapan pagar rumah. Tak sangka dia akan datang sini hari ni" jelas Aleeya.

"Macam tu. Bunga mengelak dari dia?" kata Akhtar.

Belum sempat Aleeya menjawab. Emir datang menghampiri mereka.

"Jom kita solat" Emir panggil mereka berdua.

Usai solat berjemaah, puan Aliah mendekati mereka berdua.

"Akhtar dengan Bunga keluar dulu ya. Nanti urusan disini dah selesai baru balik" minta puan Aliah pada anak dan menantunya.

"Akhtar rasa, kita perlu berdepan dengan Nazim. Dia perlu tahu dan menerima hakikat, Bunga dan Akhtar telah berkahwin" kata Akhtar tenang.

"Iqmal setuju. Biar semuanya jelas hari ini. Lagi pula, bukan pihak kita yang bersalah dalam hal ni" sokong Iqmal pula.

"Bunga macam mana?" puan Aliah bertanya pendapat anaknya.

"Bunga mahu berhadapan dengan dia" jawab Aleeya.

"Iris dengan Irene jaga adik Isyraq ya. Duduk dalam bilik dulu okay. Kami semua ada urusan orang dewasa" pesan Eryna pada anak-anaknya.

"Okay mama" serentak jawab keduanya. Mereka berdua berlalu ke bilik Eryna.

Mereka menanti kedatangan Nazim. Aleeya duduk disisi ibunya. Yang lain juga turut serta. Kedengaran salam diberi. Eidlan menyambut kehadiran Nazim.

Terkejut Nazim melihat Akhtar juga turut berada disitu sebaik masuk ke dalam rumah.

"Kau buat apa kat sini?" soal Nazim pada Akhtar.

"Duduk Nazim. Ada apa Nazim datang ke sini?" soal puan Aliah.

"Saya nak jumpa Aleeya" kata Nazim.

"Kamu tahu kan, hubungan kamu dengan dia telah berakhir? Pertunangan di putuskan dan perkahwinan juga dibatalkan" kata puan Aliah lagi.

"Tapi itu semua tanpa persetujuan saya. Mama dan papa yang buat keputusan, bukan saya" kata Nazim tegas.

Aleeya kelu. Melihatkan keadaan Nazim yang seperti tidak terurus. Melihat ketegangan air wajahnya. Aleeya diterpa rasa resah.

"Ya. Tapi itulah adatnya. Mama dan papa kamu yang datang untuk merisik, mereka juga yang datang dan memutuskan pertunangan kamu. Juga membatalkan majlis perkahwinan disaat akhir" kata Eidlan juga tegas. Eisya disebelahnya cuba menenangkan Eidlan, dia tahu Eidlan kecewa apabila adiknya diperlakukan sebegitu.

"Aleeya please. Kita bincang, kita betulkan semuanya semula. I akan pastikan majlis kita berlangsung, kita akan pastikan semuanya akan okay semula" bersungguh Nazim berkata pada Aleeya.

"Nazim. Balik lah, kamu pun dah ada isteri. Nanti apa kata isteri kamu, mertua kamu, mama dan papa kamu lagi" pujuk puan Aliah.

"No! Saya kena betulkan semua ni. Saya tak bersalah!" sedikit meninggi suara Nazim.

"Aleeya dah berkahwin, semalam. Tak ada apa yang kamu perlu betulkan semula" kata Eidlan tegas.

"What?! No! Kahwin dengan siapa?" soal Nazim lagi. Dia kelihatan sangat terganggu.

"Akhtar. Akhtar ni suami Aleeya sekarang" kata puan Aliah menjawab pertanyaan Nazim.

"Hahah. Kau?! Oh! Ini semua rancangan kau dengan Kaisara kan? Kau sengajakan nak rampas Aleeya dari aku?!" kata Nazim berang.

"Istighfar Nazim. Kaisara tu siapa? Aku kenal pun tidak. Aku tak rampas sesiapa. Aku bernikah dengan Aleeya saat dia bukan tunangan atau milik sesiapa" tegur Akhtar tenang.

"Aleeya.." Nazim mahu menerpa ke arah Aleeya. Namun sempat ditahan Iqmal.

"Lepas lah. Aku nak cakap dengan Aleeya" Nazim cuba menepis pegangan Iqmal. Emir dan Eidlan pantas sahaja membantu Iqmal.

Puan Aliah melindungi Aleeya. Akhtar juga pantas mendapatkan isterinya. Aleeya berdiri di belakang Akhtar. Eidlan dan Emir kunci pergerakan Nazim dari meronta minta dilepaskan. Eryna dan Eisya saling berpegangan, cemas dengan keadaan yang terjadi dihadapan mata mereka.

"Aleeya isteri aku yang sah. Pernikahan dan perkahwinan kami berlangsung semalam. Aku minta kau terima hakikat ini. Kau pun ada rumahtangga yang perlu dijaga. Kau balik lah, cepat atau lambat kau perlu terima hakikat ini" kata Akhtar tenang.

"No! Ni semua rancangan kau. Kalau tak, macam mana kau ada masa aku kena tangkap?!" Nazim meninggi suara.

"Tenang Nazim, aku akan jelaskan semuanya. Kau perlu bertenang. Kami akan jelaskan semuanya" pujuk Akhtar.

Emir, Eidlan dan Iqmal melepaskan Nazim apabila dia tidak lagi meronta. Mereka duduk semula. Aleeya kini duduk rapat disisi Akhtar, tangan Akhtar memegang kejap jemari isterinya.

"Aku berkerja di jabatan agama islam, ditugaskan ke bahagian unit penguatkuasaan. Pada hari kejadian, ustaz Ayman yang menguruskan kes kau datang pejabat aku maklumkan ada aduan pasangan bukan muhrim bersekedudukan. Aku dapat maklumat, individu yang melaporkan kejadian seorang lelaki. Dari maklumat yang diberikan, lelaki itu merupakan tunang kepada wanita yang dilaporkan. Sebaik tiba, aku terkejut bila pintu dibuka oleh kau. Dalam masa yang sama, Aleeya dan abang Eidlan juga tiba sewaktu kami meminta kerjasama dari kau. Itu sebenarnya yang berlaku. Dan waktu itu, aku baru dapat tahu kau dan Aleeya dah bertunang dan akan berkahwin. Aku cuma dapat tahu kau dan Aleeya tak jadi berkahwin apabila dihubungi abang Eidlan. Itulah hakikat dan kenyataannya" jelas Akhtar tenang.

"Nazim, apa yang berlaku dah pun berlaku. Kamu kena terima kenyataan. Jangan macam ni, bertenang. Serah semuanya pada Tuhan. Semua yang berlaku atas izin DIA" nasihat Eidlan pada Nazim.

"Kenapa awak lari dari saya Aleeya? Puas saya cari awak. Kalau awak tak lari dari saya. Awak tak perlu pun kahwin dengan dia?" sayu Nazim meluahkan.

Aleeya menoleh kepada Akhtar disebelahnya. Akhtar menepuk-nepuk lembut tangan Aleeya di dalam genggamannya.

"Cakap lah sayang. Kami semua pun perlu tahu. Sayang banyak berahsia dari kami semua" kata Akhtar pada Aleeya.

"Pertama, saya rasa dikhianati. Kedua, Dato' Seri dan Datin Seri datang jumpa saya, minta supaya saya tidak berjumpa atau mendekati awak lagi. Ketiga, apabila semua telah berakhir, maka tiada apa yang perlu ditunggu dan saya perlu terus mulakan langkah baru. Saya tak nampak apa perlunya kita berjumpa atau berbincang, sedangkan awak suami orang. Saya tak mahu mendapat dosa atau menjadi punca keretakan rumahtangga. Saya tak berjumpa awak atau menjawab panggilan awak, kerana permintaan mama dan papa awak, mereka merayu untuk saya menjauhi awak demi masa hadapan syarikat. Saya faham kenapa mereka terdesak melakukan itu, semua kerana masa hadapan para pekerja" jawab Aleeya tenang.

"Jadi awak memilih untuk berkahwin bersama dia, demi menutup malu perkahwinan yang tidak terjadi antara kita?" Nazim masih mahukan jawapan.

"Tiada apa yang saya nak tutup, perkahwinan yang tidak terjadi tetap juga saya teruskan. Walaupun saya tahu saya akan mendapat malu. Tiba-tiba disaat akhir, Akhtar muncul untuk menjadi suami saya. Perlu ke saya menolak untuk memberi sekali lagi malu lagi pada keluarga saya? Keluarga dia? Saya hanya ada pilihan, menolak dan mendapat malu, atau menerima dan maruah keluarga terjaga. Dan saya memilih untuk menerima dan maruah keluarga terjaga. Saya belajar mempercayai setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya, saya cuma perlu menerimanya perlahan-lahan. Saya juga percaya, apa yang berlaku adalah jawapan daripada doa-doa yang saya mohon pada Tuhan. Awak juga perlu belajar untuk menerima semua yang dah berlaku" Aleeya menjawab pertanyaan Nazim, juga cuba menasihati lelaki itu.

"Mudah bagi awak Aleeya, mudah sebab dia ex kekasih yang awak tunggu selama ni. Awak berkali-kali menolak saya kerana dia. Bagaimana mungkin awak tidak setuju bila disatukan dengan lelaki yang awak cinta" sinis Nazim bersuara.

"Kami tidak pernah bercinta Nazim" tegur Akhtar.

"Saya menolak awak sebelum ini, kerana saya tidak mahu memberi harapan palsu. Pada akhirnya, saya tetap menerima awak. Rasa kasih yang muncul musnah sekelip mata apabila saya dikhianati. Saya terluka ketika menerima hakikat saya ditinggalkan oleh tunang sendiri. Saya tidak pernah menunggu sesiapa. Dia dan saya, kami tidak pernah bercinta. Dia tidak pernah menghubungi atau WhatsApp saya setiap hari atau setiap malam hanya untuk menyatakan rasa sayang, rasa cinta atau rindu seperti mana awak lakukan pada saya. Tidak pernah. Tolong jangan buat tuduhan melulu. Dan hentikan apa yang awak lakukan. Tolong lah jangan ganggu saya lagi, saya isteri dia. Dan awak juga sudah ada isteri" Aleeya bertegas.

"Cukuplah Nazim. Kamu dah dengar semuanya. Balik lah, tiada apa yang boleh diperbetulkan lagi disini. Yang perlu diperbetulkan, ada diri kamu dan rumahtangga kamu. Terima qada' dan qadar Nya" nasihat Iqmal.

"Awak tak akan bahagia bersama dia. Kebahagian awak hanya bersama saya. Saya yakin itu" kata Nazim lalu beredar keluar dari rumah itu.

Masing-masing beristighfar. Kecewa dengan sikap dan perlakuan Nazim yang sebegitu.

"Sayang okay?" tanya Akhtar prihatin. Diusap perlahan belakang badan isterinya.

"Saya okay" jawab Aleeya.

"Bunga lepas ni kena hati-hati. Make sure kemana-mana berteman. Bagitahu mana Bunga pergi. Tak dapat call Akhtar, call abang, Emir atau abang Iqmal" pesan Iqmal pada adik iparnya.

"Baik" Aleeya memahami kebimbangan mereka, itu semua kerana keadaan Nazim yang sebegitu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience