Melihat dari jauh

Romance Series 32056

Setelah hampir sebulan bersekolah di situ, Chrisytal sudah semakin terbiasa berjauhan dengan keluarganya. Walaupun ada sesekali dia merindukan mereka, namun dia tidak mahu dibuai perasaan. Dia mahu pengorbanan selama berjauhan dengan keluarganya akan membuahkan hasil kelak. Senyuman bangga pastinya mahu dia ukirkan di wajah mamanya nanti.

Pada petang itu, Laura mengajaknya untuk berjoging di sekitar padang sekolah kerana mereka sudah lama tidak mempunyai masa lapang pada waktu petang. Waktu petang mereka hanyalah diisi dengan kelas tambahan dan kegiatan kokurikulum sahaja.

“Fuh, lelah aku pusing satu padang ni. Dah lama juga kan kita tak berlari macam ni lagi” ujarnya sambil tercungap-cungap kelelahan. “Ha a, betul tu. Jomlah rehat dulu kat tepi situ” arah Chrisytal ke sebuah pohon di tepi padang hoki.

Mereka bergerak untuk berehat di bawah pokok itu sambil melihat pemandangan petang. Kedudukan sekolah mereka juga kebetulan berada dekat dengan pantai dan angin pantai yang berhembus, menghilangkan kepenatan mereka seketika.

Bunyi bola yang bersentuhan dengan stick hoki menarik perhatian Chrisytal untuk memerhatikan sepasukan pelajar yang sedang berlatih. Mereka sungguh lincah berlari kesana kesini sambil membawa bola dengan kayu hoki.

Sekali lagi, tanpa jemu-jemu matanya langsung tertarik melihat susuk tubuh yang sedang berdiri di tepi padang sambil berpeluk tubuh melihat anak buahnya berlatih. Lelaki itu mengenakan seluar legging hitam panjang yang ditutup dengan seluar sukan pendek diluar dan bertopi. Cukup menarik buat matanya untuk terus memerhati dari jauh.

Semenjak dari peristiwa dia pengsan itu, cikgu Maalik sudah jarang sekali menyebut namanya di dalam kelas. Jika terserempak di luar kelas, dia hanya akan tersenyum dan berlalu pergi. Chrisytal juga tidak tahu apakah sebabnya, namun dia bersyukur sekurang-kurangnya dia tidak terlalu berharap dan terus hanyut dibuai perasaan.

“Bossku dah jom balik, dah nak senja ni. Takut pula kalau-kalau aku terbawa balik kawan yang salah nanti. Kau tu bukan boleh percaya, kalau dah duduk macam ni ha panjang betul mengelamunnya.” kejut Laura. Chrisytal tersentak lalu mengekori langkah Laura untuk pulang ke asrama.

Sesekali dia menoleh ke arah padang untuk melihat susuk itu, namun jauh di lubuk hatinya dia berasa sedikit kecewa. Dia tidak pasti apa yang membuat lelaki itu seakan-akan mulai ingin menjarakkan diri.

“Aku ada buat salah ke?” tanyanya kepada diri sendiri. Chrisytal hanya menggelengkan kepala dan melangkah pergi dengan seribu pertanyaan yang pastinya dia sendiri sukar untuk fahami.

Please support, thank you

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience